Friday, September 17, 2010

Hari-hari Hari Malaysia

Bermula tahun ini, kerajaan Malaysia yang diterajui BN telah memutuskan untuk turut serta memberi cuti kepada rakyat sempena hari penggabungan Sabah-Sarawak (dan pada ketika itu Singapura) bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu lalu digelar sebagai negara Malaysia. Oleh sebab itu, secara teknikalnya, Sabah dan Sarawak dibebaskan dari koloni British pada 16 September 1963 dan bukannya pada 31 Ogos. Jadi, secara "teknikalnya" juga, sambutan kemerdekaan Sabah Sarawak adalah pada 16 September.

Mungkin ada kepentingan tertentu bagi pihak kerajaan untuk secara rasmi menyambut hari tersebut (baca: memberi cuti) sedangkan 46 tahun yang lepas, tidak pula disambut dengan meriah Hari Malaysia. Dari perspektif seorang rakyat biasa, Hari Malaysia sesungguhnya menambahkan lagi satu lagi hari cuti tahunan berbayar dan sudah pastilah akan diterima dengan redha dan gembira. Tambahan pula, mood sambutan Aidil Fitri masih lagi belum surut, maka seharusnya hari cuti tambahan sebegini memberikan peluang kepada pekerja untuk sama ada bercuti, mengadakan rumah terbuka mahupun berziarah sesama keluarga, rakan dan taulan.

Pada masa yang sama, jasa mereka yang terdahulu yang berjuang bagi melengkapkan Persekutuan Malaysia tidaklah boleh dipandang sepi. Lalu diwujudkanlah Anugerah Hari Malaysia bagi mengenang jasa dan pengorbanan mereka ini agar sentiasa diingati atau sekurang-kurangnya, dikenali oleh generasi yang baru. Masih tidak jelas sama ada anugerah tersebut seprestij Anugerah Merdeka namun mengadakannya pun sudah memadai bagi setidak-tidaknya menjadi dorongan kepada rakyat Malaysia untuk berbakti kepada negara dalam pelbagai bidang dan cabang yang boleh diusahakan.

Cuma dari segi politiknya juga, tahun ini merupakan ulang tahun kedua ketidakjayaan/kegagalan ketua pembangkang kita yang disegani lagi dihormati merangkap bakal PM Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan bagi menumbangkan BN sebagaimana yang telah dicanang, dirangka dan dijanjikan. Lebih dari itu, cadangan cuti pada 16 September yang diwar-warkan oleh Anwar dilaksanakan pula oleh BN tanpa perlu menunggu beliau menjadi PM. 16 September akan menjadi hari keramat kebangkitan PR yang dicanang seluruh negara dan sudah pasti mereka akan kekal pada landasan yang satu bagi menumbangkan kerajaan BN yang pada mereka kejam, zalim, tidak berperikemanusiaan, mengamalkan perebutan kuasa, melakukan pembasmian kaum dan pelbagai lagi gejala negatif yang boleh mereka fikirkan.

Apa yang lebih penting bagi hemat penulis adalah pendekatan yang sewajarnya bagi menanamkan semangat kekitaan kita dalam menjurus kepada perpaduan nasional merentas bangsa, agama dan politik. Dari masa ke masa kita sering dimomokkan dengan betapa generasi muda masa kini tidak lagi mempunyai perasaan cinta kepada negara. Pelbagai alasan dan tudingan jari dilakukan dek kerana sikap generasi masa kini yang dikatakan lebih individualistik berbanding generasi terdahulu. Kenyataan sebegitu mungkin ada benarnya dan mungkin juga ada khilafnya. Akan tetapi, tindakan lebih konkrit perlu dilaksanakan agar generasi kini lebih memahami sebab dan akibat dari pembentukan Malaysia itu sendiri. Oleh sebab itu, tidak dapat tidak, aspek pendidikan jualah yang menjadi salah satu komponen penting untuk menyemai kefahaman generasi masa kini untuk lebih menyayangi Malaysia.

Justeru, aspek patriotisme haruslah disemai sepanjang masa dan bukannya tertakluk pada hari-hari tertentu sahaja. Pihak kerajaan, swasta dan NGO sendiri haruslah menerapkan nilai-nilai Malaysia dalam keberadaan mereka tatkala bertemu dengan rakyat. Aspek-aspek rukun negara misalnya perlulah diperkasakan terutamanya bagi prinsip yang begitu universal iaitu kesopanan dan kesusilaan. Hal-hal kecil seperti ucapan terima kasih sering dianggap remeh dan tidak diamalkan. Kadang-kala, kita kerap mendengar wakil rakyat kita memaki-hamun dan cerca-mencerca di parlimen (baca: Dewan yang Mulia) sedangkan prinsip tersebut tidak sama-sekali memenuhi tuntutan prinsip Rukun Negara yang kelima. Sementara penggunaan Bahasa Malaysia (BM Malaysia) perlulah diperkasakan. Acap kali ditegur kenapa menggunakan perkataan "bajet" sedangkan ada perkataan "belanjawan." Perkara sebegini seharusnya diambil berat oleh pihak kerajaan kerana kalau kerajaan sendiri tidak serius untuk meMalaysiakan rakyat, mana mungkin rakyat akan menghargai menjadi seorang rakyat Malaysia?

Tuntasnya, sambutan (hari cuti) Hari Malaysia sememangnya satu cara untuk menzahirkan penghargaan terhadap usaha mereka yang terdahulu menjadikan Malaysia sebagaimana yang ada pada masa kini. Akan tetapi, menjelang zaman, ritual upacara itu dan ini (seperti perhimpunan) akan kekal menjadi ritual semata-mata dan tidak ada "isi" di dalamnya. Adalah lebih wajar untuk pihak berkepentingan untuk melaksanakan perancangan yang berkesan agar rakyat lebih memahami dan menginsafi apakah maksud menjadi seorang rakyat Malaysia berbanding sekadar satu sambutan saban tahun yang kadang-kala tidak memberikan tambah nilai kepada rakyat jelata.

Selamat Hari Malaysia!

Thursday, September 16, 2010

Kisah politik orang kampung

Sebuah pekan kecil di negeri Pahang pernah menjadi "kawasan hitam" pada zaman pemberontakan komunis. Penulis mempunyai seorang mak saudara yang tinggal di kawasan tersebut. Rumah kayu beratap zink; modal sebuah rumah kampung tradisional. Masjid di pekan tersebut kini telah berubah dari sebuah masjid kayu yang usang kepada sebuah masjid batu yang begitu cantik.

Penulis pernah bersolat Jumaat di masjid tersebut dan khutbahnya sememangnya cukup-cukup mengujakan. Khatibnya begitu lantang menghentam kerajaan pemerintah yang dituduhnya kafir dan tidak mahu menegakkan Islam di Malaysia. Khatib tersebut juga menyeru jemaah sekalian menyokong parti Islam dan teguh setia bersama-sama pejuang-pejuang mereka kerana menentang kerajaan yang kafir itu samalah dengan berjihad fisbilillah; maka matinya adalah mati syahid!

Menurut sepupu penulis memanglah pekan tersebut banyak didiami oleh saudara-mara seorang pemimpin besar parti dari PR dan merekalah yang mencorak masyarakat di kawasan tersebut. Dikatakan majoriti penduduknya mempunyai sikap sangat-sangat membenci kerajaan BN; apa sahaja yang berkait dengan kerajaan bagi mereka salah/haram/kufur/bidaah belaka. Tiada yang baik langsung kerajaan tersebut.

Dahulu, tatkala parti mereka tidak bersekongkol dengan sebuah lagi parti ultra sekular, mereka menghina-dina pemerintah kononnya berkawan dengan kafir musyrikin yang halal darahnya. Mungkin kenyataan tersebut bukan pendirian pemimpin tertinggi mereka namun hakikatnya, memang penyokong mereka yang mengeluarkan cercaan kafir kepada penyokong dan pemimpin kerajaan. Seyugia kita mendengar sokong sekian masuk syurga; sokong sekian tak masuk syurga. Memang kenyataan sedemikian diikrarkan penyokong parti tersebut siap dengan dalil aqli dan naqli sekali. Hal inilah hakikat yang perlu mereka dan pemimpin mereka sedari walaupun saban kali, pemimpin mereka menafikan perkara tersebut dan mendakwa bahawa kerajaan BN suka menambah-nambah cerita.

Akan tetapi, pada kala ini parti Islam ini bersekongkol dengan parti yang memang tidak akan sama sekali menerima Islam sebagai perundangan, agama rasmi apatah lagi hukum hudud, nada mereka telah bertukar. Pada pendapat mereka, lebih baik mereka turut serta dalam pakatan yang sekular atas alasan yang sekular ini tidak tahu dan tidak faham tentang Islam sedangkan bagi BN, parti utama mereka tahu tentang Islam, menganut agama Islam tetapi enggan menerima Islam sebagai perundangan. Mereka merasakan bahawa adalah lebih awla bekerjasama dengan parti yang memang tidak akan sama sekali menerima Islam (langkah mayat Karpal dulu...) daripada bekerjasama dengan umat Islam sendiri. Begitulah adanya...!

Kembali kita kepada cerita masjid tadi; kini masjid tersebut tersergam indah. Bukan main cantik lagi masjid tersebut. Penulis ada memberikan komen tentang betapa cantik dan lawanya masjid tersebut kepada sepupu penulis. Tanya beliau secara sinis, "ada kau tengok tulisan papan tanda di luar masjid tu?"

"Tak perasan pula," jawab penulis.

"Dia tulis lebih kurang, 'projek ini disumbangkan oleh orang-orang kampung' ," jawabnya selamba. Menurut beliau lagi, kalau kerajaan negeri beri sumbangan pun bukannya mereka akan berubah hati hendak menerima sumbangan kerajaan negeri. Jadi, biar sahaja mereka sahaja yang mengutip dana sendiri untuk membina semula masjid tersebut.

"Yang kita musykilkan, ada saja orang cina yang menyumbang besar untuk buat masjid itu. Bila kita tanya, 'bolehkah bina masjid guna duit sumbangan bukan Islam?' Dia jawab, 'eh boleh! Sebab orang itu nak mintak Tok Guru mendoakan dia jadi hukum dia boleh!' " sambung sepupu penulis lagi.

Penulis pun musykil hukum tersebut tetapi itulah kata penyokong sebuah parti Islam.

Begitulah hendaknya politik orang kampung. Jangan diminta sumbangan orang Islam sendiri sebab orang Islam tersebut "tak nak terima hukum Islam" Rela diterima sumbangan orang bukan Islam yang memang "Tidak akan sama sekali menerima Islam."



Wednesday, September 15, 2010

Balik kampung dan balik bandar

Musim perayaan tiba lagi dan Aidil Fitri disambut meriah oleh kaum muslimin dan sambutan itu secara tradisinya dilangsungkan sehingga sebulan. Rasional kepada sambutan sebulan adalah kerana mereka berpuasa sebulan. Sama ada betul atau tidak pemikiran tersebut, terpulanglah pada masing-masing mentafsirkannya. Namun, tujuan sebenar sambutan perayaan adalah kerana meraikan Aidil Fitri merupakan satu ibadah; bukannya adat. Ada caranya, tatasusilanya dan sunnah-sunnahnya yang berkaitan; bukannya sekadar berlibur di hadapan televisyen menonton filem/telemovie yang sakan disiarkan oleh stesen televisyen.

Bagi penulis, sambutan tahun ini tidaklah semeriah dahulu; lantaran kematian ayahanda penulis, Zulkifly Idris pada bulan Ramadhan yang baru berlalu. Almarhum meninggal dunia di dalam tidur dan diisytiharkan doktor disebabkan oleh sindrom koronari akut (acute coronary syndrome). Almarhum pergi ke rahmatullah meninggalkan isteri dan dua orang anak (termasuk penulis). Semoga Allah Taala sentiasa merahmati roh Almarhum dan ditempatkan pada maqam-mahmudah sebagaimana orang-orang yang soleh.

Justeru, sempena hari perayaan kali ini, penulis sekeluarga pulang ke kampung di Pahang pada hari raya pertama. Perjalanan di Lebuh Raya Utara Selatan dimulai sejurus selesai menziarahi pusara ayahanda dan apa yang diramal menjadi kenyataan. Aliran trafik di lebuh raya tersebut begitu sesak sehingga purata kelajuan dari Plaza Tol Kulai ke Yong Peng sekitar 70 km/j. Tatkala tiba di Kuala Lumpur (untuk memasuki Lebuh Raya Karak), MRR2 tidak sebagaimana perangainya yang biasa; jalan raya begitu lengang.

Lain hal pula semasa balik dari kampung. Penulis ikut jalan Mersing-Kota Tinggi dan tatkala tiba di Kota Tinggi, polis trafik memaksa pemandu untuk membuat lencongan masuk ke dalam bandar Kota Tinggi itu sendiri. Apa rasionalnya mereka berbuat begitu hanya polis dan mereka yang terlibat dengan perancang jalan sahaja yang mengetahuinya. Kesannya, berlakulah satu kesesakan jalan raya yang maha dahsyat sehingga kenderaan penulis sekeluarga tersekat di Kota Tinggi lebih sejam.

Sudahlah tersekat kesesakan jalan raya, papan tanda jalan masuk ke jalan Kulai-Kota Tinggi pun tiada. Sudahnya, penulis terpaksa membuat pusingan U untuk kembali mengambil jalan tersebut untuk pulang ke rumah ke Kulai. Satu perjalanan pulang rumah yang sepatutnya mengambil masa empat jam telah mengambil masa enam jam. Begitulah gamaknya perjalanan pulang.

Masalah utama yang mungkin boleh dikaitkan dengan kejadian sedemikian adalah lambakan kereta sekaligus pada ketika itu. Penulis sekeluarga pulang dari kampung pada hari Ahad, jadi mungkin bagi orang yang tidak bercuti panjang dan akan kembali bekerja semula pada hari Isnin, sudah pasti akan bertolak pulang pada hari Ahad. Akan tetapi, lebih menambahkan "minyak di dalam api" adalah jalan tersebut terbabit dalam proses pembaikan yang menyebabkannya menjadi sempit. Hal inilah yang menyebabkan perjalanan yang sudah sedia perlahan dek kerana pertambahan kenderaan bertambah perlahan (atau terberhenti terus) dek keadaan jalan.

Sepanjang perjalanan, penulis tidak ketemu sebarang kemalangan yang menyebabkan kematian. Kelihatan khemah-khemah polis ada didirikan di sepanjang jalan yang penulis lalui; ada yang berpenghuni dan ada yang sekadar diletakkan kerusi dan meja sahaja. Mungkin anggota bertugas sedang menjalankan rondaan. Cuma apa yang boleh ditambah baik selain daripada menyediakan "jadual perjalanan" pulang adalah menyediakan jalan-jalan yang penting agar berada dalam keadaan baik semasa perayaan berlangsung. Kadang-kala, hanya sekadar satu kon pun orang boleh memperlahankan kenderaan. Seterusnya, hal tersebut boleh menyebabkan kenderaan lain pula berhenti secara mengejut seterusnya boleh mengakibatkan kemalangan juga.

Moga-moga jalan kita semakin baik hendaknya; bagi mengelak kelewatan melampau mahupun kemalangan melayang nyawa....

Thursday, September 9, 2010

9/11: Antara tidak mahu faham dan tak faham-faham

Tahun ini, genaplah sembilan tahun berlakunya tragedi 11 September iaitu hari yang memberi perubahan besar terhadap dunia khususnya berkait dengan keganasan dan Islam. Kebetulan pula, 11 September tahun ini jatuh pada hari-hari umat Islam menyambut Aidil Fitri. Apa yang menarik menjelang ulang tahun tersebut adalah adalah dua cadangan oleh dua gerakan keagaaman berbeza di Amerika Syarikat. Pertama adalah pembinaan sebuah pusat kebudayaan Islam berhampiran dengan tapak WTC (digelar "Ground Zero") dan yang kedua adalah cadangan sebuah gereja di Florida yang diketuai paderi Terry Jones untuk membakar Al-Quran sempena "memperingati 11 September.

Perkara pertama telah disensasikan oleh media barat seolah-olah pada tapak Ground Zero tersebut, masjid akan didirikan. Hal ini mengundang reaksi negatif daripada beberapa pihak seperti penduduk bandar New York dan keluarga mangsa kejadian tersebut. Seolah-olah, dari tapak runtuhan WTC itu, akan terbinalah sebuah masjid yang sudah tentu mengundang konotasi yang tidak menyenangkan iaitu seolah-olah setelah WTC diruntuh masjid pula terbina disitu. Lanjutan daripada itu, ramai dikalangan mereka yang berkait dengan kejadian tersebut memprotes cadangan tersebut walhal realitinya, pusat kebudayaan Islam tersebut dibina hanya berhampiran (bukan di) tapak Ground Zero itu. Pembinaan pusat kebudayaan di tanah persendirian itu telah mendapat sokongan (atau sekurang-kurangnya tidak dibantah) oleh Datuk Bandar dan Presiden Barack Obama. Lebih melucukan, dengan persetujuan dari Barack Obama tersebut, semakin ramai pula rakyat AS yang menyangka beliau seorang muslim. Sampai sebegitu sekali deduksi sebahagian dari masyarakat di AS!

Bagi perkara yang kedua pula, bolehlah kita rumuskan sebagai satu komuniti gereja yang agak terkeliru dengan cara mereka menyambut peringatan kejadian 9 September. Mereka hendak menzahirkan kemarahan mereka dengan membakar Al-Quran sedangkan kita pun tidak nampak apakah korelasi/regrasi antara bakar kitab suci dengan memperingati si mati. Hal ini mungkin berlaku kerana dalam diri mereka telah ditanam dengan sikap ego yang tinggi. Matlamat mereka sebenarnya bukan hendak memperingati si mati sebaliknya lebih kepada menzahirkan kemarahan kepada Islam sepenuhnya. Islamlah sebenarnya sasaran mereka (bukannya si mati) dan cara mereka memuaskan hati mereka adalah dengan membakar sesuatu yang dianggap suci bagi umat Islam. Mereka akan merasionalkan tindakan mereka dengan frasa your taboo is not our taboo (pantang larang anda bukan pantang larang kami). Kita pasti bahawa akan ada reaksi daripada umat Islam di seluruh dunia andai cadangan tersebut diteruskan. Adalah diharapkan juga, terutamanya bagi umat Islam Malaysia, dalam kita menyambut perayaan, janganlah kita pandang sepi kejadian sebegini walaupun bukan berlaku di negara kita.

Kedua-dua kejadian sempena 9/11 menunjukkan walaupun AS melaung-laungkan hak kebebasan beragama, mereka masih tidak dapat membendung aktiviti penghinaan agama oleh penganut agama lain. Akhbar tempatan hari ini pun (Berita Harian 9/09/2010) menyiarkan betapa pihak berkuasa di AS tidak dapat menghalang gereja dari membakar Al-Quran sehinggalah penganjur dan pengikutnya benar-benar membakar Al-Quran tersebut. Kita tidak boleh meramal bagaimanakah tindak balas umat Islam seandainya perkara tersebut benar-benar berlaku, namun begitulah keadaannya apabila langkah pencegahan tidak dapat dibuat. Di satu pihak pula, umat Islam sendiri perlulah menunjukkan teladan terbaik bagi membendung imej dan persepsi Islam adalah ganas. Kebanyakkan keganasan yang berlaku adalah disebabkan umat Islam tidak bersatu bagi menyelesaikan konflik dan asyik berperang sesama sendiri. Semoga peristiwa sebegini akan membuka mata dunia bahawa toleransi beragama adalah penting lebih-lebih lagi tatkala agama itu sendiri telah hanya dipraktikkan sebagai ritual tradisi semata-mata tanpa dihayati maksud, falsafah dan matlamat beragama itu sendiri.

Berilah reaksi yang matang.....

Wednesday, September 8, 2010

Menginsafi bencana di tempat orang

Sekali lagi, dunia digemparkan dengan kematian ribuan manusia angkara bencana banjir yang melanda. Sesungguhnya, kejadian banjir di Pakistan sebenarnya memberikan satu amaran kepada kuasa besar dunia bahawa kemusnahan manusia tidaklah memerlukan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) sebagaimana yang begitu ditakuti oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Tambahan pula, banjir yang berlaku di Pakistan bukanlah bencana pertama yang memberi kesan kepada kehidupan manusia sejagat pada tahun ini. Sebelum ini pun sudah ada bencana yang memberi kesan besar terhadap lanskap geografi dan ekonomi sesebuah negara seperti di Haiti.

Dari perspektif golongan agama dan seangkatan dengannya, bencana tersebut tidak dapat tidak berkait dengan balasan daripada Tuhan Yang Maha Kuasa ke atas umat manusia. Manusia di dunia ini di lihat sudah semakin tersasar dan kerap kali melakukan perkara-perkara yang dimurkai Tuhan. Manusia semakin hanyut dengan arus kemodenan sehingga melupakan batas-batas agama dan akhirnya, bencana melanda bagi menunjukkan murka Tuhan terhadap manusia.

Memang benar, manusia sudah semakin jauh tersasar dari suruhan Tuhan. Seandainya diluaskan lagi skop ini, suruhan Tuhan seperti tidak melakukan kerosakan ke atas muka bumi[1] merupakan antara suruhan yang begitu banyak dilanggar oleh manusia. Apabila pembangunan dibuat tanpa mengambil kira nilai alam sekitar, maka kronologi bencana akan muncul secara berturutan dan akhirnya, akan membentuk satu bencana besar. Mungkin bermula dari abnormaliti cuaca. Hujan pada waktu tidak harus hujan, atau salji tidak berhenti ketika yang sepatutnya berhenti. Impak cuaca yang panas juga menyebabkan pencairan air di kutub seterusnya mengakibatkan peningkatan aras lautan. Kesemua ini andai dilihat secara holistik akan menyumbang kepada bencana!

Tuhan juga menyuruh umat manusia untuk bersatu-padu dan tidak berpecah-belah[2]. Namun, suruhan ini juga merupakan satu suruhan yang amat sukar sekali dituruti oleh umat Islam. Mereka sering berpuak-puak dalam menegakkan agama yang satu. Ada yang berpecah kerana berbeza teologi - Sunni-Syiah, ada yang berpecah kerana tidak menghormati perbezaan mazhab – Syafie, Maliki, Hanbali, Hanafi, Salafi dll; ada juga kerana parti politik pun hendak berpecah-belah. Lalu wujudlah dusta-mendusta, satu masjid dua sembahyang Jumaat, doa membala sesama Islam dan lain-lain lagi agenda politik. Maka tidak hairanlah bala daripada Tuhan turun kerana memang ada yang minta bala dari Tuhan!

Tuhan juga menyeru manusia untuk tidak melakukan maksiat[3]. Maksiat akan membawa kepada keruntuhan peradaban dan akhlak insani. Malangnya, seruan inilah yang sentiasa hendak diingkari atas alasan hak asasi manusia. Lalu munculah hak berhomoseksual, hak seks bebas tanpa perkahwinan, hak menunggang motor berbahaya, hak bermonopoli perniagaan, hak kapitalisme – kesemua hak-hak yang terbit kerana ingin memenuhi nafsu mereka. Malangnya, manusia tidak pula sedar yang "hak-hak" sebegini yang diperjuangkan sebenarnya telah lari dari fitrah manusiawi. Fitrah manusia yang pada asalnya mendambakan kebaikan diisi dengan pemikiran anti-fitrah yang menjijikkan. Akhirnya, Tuhan menunjukkan kekuasaannya dengan menurunkan bencana, bak kaum-kaum terdahulu bagi memberi ingatan kepada mereka yang hanya memerhati....

Teori bencana disebabkan oleh kemurkaan Tuhan tidak harus sama sekali dipandang sepi, walaupun kadang-kala dipandang sinis sesetengah orang. Hatta ahli akademik dan orang terpelajar pun kadang-kala cuba merasionalkan kejadian bencana kononnya tanpa divine intervention. Apa yang penting bagi mereka yang menjadi pemerhati, yang tidak turut merasa secara terus kesukaran (plight) yang dialami oleh mangsa bencana adalah untuk menginsafi betapa kerdilnya manusia di muka bumi ini. Sebolehnya, bagi sesiapa yang mampu membantu, maka bantulah seadanya. Juga kita hendaklah insafi sama ada kita sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana sebagaimana yang mereka rasai. Kata orang beringat sebelum kena, sediakan payung sebelum hujan. Selain langkah-langkah pencegahan, apakah kita sudah bersedia mengahadapi sebarang kemungkinan bencana besar?

Ya Allah, lindungi kami dari sebarang bala' bencana dan wabak penyakit....

______________________________

Nota hujung

1. Sebagai contoh Surah Al-Baqarah ayat 11

2. Surah Ali Imran ayat 103,

3. Sebagai contoh Surah Al-An'am ayat 120

Tuesday, September 7, 2010

Luar lingkungan, perlembagaan,hak dan keadilan.


Topik yang dibawa oleh rancangan bual-bicara Di Luar Lingkungan Bersama Syed Munawar semalam (6/09/2010) merupakan satu topik yang sangat menarik. Isu perlembagaan dan sebuah karya bertajuk "Perlembagaanku" yang telah ditulis dalam Bahasa Melayu dan beberapa bahasa vernakular mendapat perhatian kerana karya tersebut telah dituduh sebagai mengelirukan masyarakat pembaca terhadap beberapa perkara penting di dalam Perlembagaan Persekutuan. Empat orang ahli penal dijemput untuk membincangkan perkara tersebut. Kesudahan rancangan tersebut memungkinkan topik yang sama akan cuba diperbahas pada masa akan datang sekali lagi (mungkin dengan dimensi berbeza, kata Syed Munawar) dan meninggalkan lompong yang begitu besar untuk diisi dengan pelbagai jawapan kepada persoalan yang tidak terjawab.

Apa yang boleh penulis komen adalah susunan acara Di Luar Lingkungan itu sendiri yang terlalu padat. Penalis sudahlah empat orang. Hendak menjawab soalan moderator. Kemundian kena jawab soalan pemanggil dari telefon. Kemudian hendak pula menjawab soalan dari Facebook. Hendak tayangkan iklan lagi... Sebuah bicarawara yang sepatutnya boleh memberi kesimpulan sebaliknya mewujudkan lagi persoalan-persoalan furu' yang akhirnya skop perbincangan nampaknya tidak ada! Mungkin pada masa akan datang, jumlah ahli penal boleh dikurangkan dan jemputlah ahli penal yang dapat memenuhi jangkaan (expectation) penonton dan bukannya dikatakan tidak layak membincangkan isu tersebut. Soalan juga hendaklah rencam dan sungguhpun "di luar lingkungan," lingkungan yang luar itu pun hendaklah kita lingkungkan sebab kalau kita tidak membataskan; jadilah perbincangan tersebut caca-marba.. tidak objektif dan tiada matlamat!

Pada hemat penulis, isu yang hendak dibincang lebih kepada "buku Perlembagaanku", maka biarlah skop perbincangan lebih kepada buku tersebut. Contohnya, matlamat buku, siapa yang menulis buku- pakar ke tidak penulis buku itu dalam membincangkan perlembagaan, kritikan terhadap buku, kenapa ada klausa-klausa yang mengelirukan dalam buku, kritikan terhadap buku dan cadangan penambahbaikkan buku. Tetapi, apabila perbincangan itu sudah masuk ke tafsiran hak istimewa Bumiputera atau kata seorang ahli penal sebagai "kedudukan istimewa bumiputera;" ada pula ahli penal yang lain membuat kesimpulan bahawa Perkara 153 digubal atas sebab "keadaan ekonomi pada ketika itu", maka perbincangan itu bukan bersifat impartial lagi, malah sebenarnya sudah menjadi tak berobjektif – apa sebenarnya yang hendak dibincangkan? Kalau hendak bincangkan tafsiran satu persatu klausa perlembagaan sekaligus, nescaya satu jam tidak mencukupi. Usahkan sejam, sehari, seminggu atau sebulan pun belum tentu mencukupi!

Satu perkara yang begitu menarik tentang perbincangan tersebut (yang kononnya hangat) adalah tatkala ahli-ahli penal begitu asyik membincangkan hak itu dan hak ini; hak berhimpun secara aman (dikatakan oleh ahli penal sebagai telah dikongkong oleh Akta Polis), hak tatkala ditahan polis, hak istimewa Bumiputera, hak mendapat keadilan dan pelbagai hak terpilih, tiada satu orang ahli penal pun menyentuh tentang tanggung jawab yang perlu dipikul dalam mengeksesais hak tersebut. Pada hemat penulis secara mudah, setiap hak ada had. Ramai yang memperjuangkan hak namun sedikit yang memperkatakan had. Semua hak ada had masing-masing dan hak tersebut boleh ditarik balik kerana seseorang tidak lagi memenuhi keperluan hak tersebut. Sebagai contoh seorang warganegara berhak bebas bergerak tanpa disekat tetapi kalau beliau telah disabit kesalahan oleh mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara, maka hak bergerak bebas telah ditarik balik. Kalau ikutkan hak asasi manusia, memenjarakan orang sebenarnya salah sebab orang itu berhak bebas! Namun sebab orang itu bersalah, hak itu ditarik semula.

Terdapat juga hak yang diberikan namun perlu ada langkah-langkah tertentu bagi membendung hak itu disalahgunakan. Misalnya berhimpun secara aman. Dalam kita mengeksesais hak ini, kita kena juga lihat apa yang telah berlaku sebelum ini. Berhimpun bukannya membabitkan seorang (kalau seorang-seorang bukan berhimpun namanya...) dan secara kognitif dan psikologinya, perangai dan sikap orang berbeza. Tujuan berhimpun perlu jelas kerana dalam sejarah, perhimpunan yang tidak terkawal boleh menyebabkan huru-hara (13 Mei misalnya). Soalnya bukan berhimpun itu yang salah, tetapi orang yang menyertai perhimpunan itu – apakah emosinya stabil? Ambil sahaja contoh Indonesia yang lebih mengeksesais hak berhimpun secara aman jauh lebih baik berbanding Malaysia (mungkin di sana hendak berhimpun tak perlu permit bapak polisi). Apa yang berlaku di sana? Bendera dibakar, najis dibaling. Asal perhimpunan yang aman telah diisi dengan provokasi itu dan ini. Maka perkara sebegini perlu dicegah. Sejarah membuktikan bukan rakyat Indonesia sahaja yang pernah membakar bendera Malaysia, rakyat Malaysia pun ada membakar bendera sendiri. Bukankah perkara sebegini boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat?

Satu lagi isu yang dibangkitkan dengan meluap-luap oleh ahli penal adalah soal keadilan. Keadilan kepada kesemua kaum misalnya. Kesemua kaum, tak mengira Melayu Cina dan India patut diberi keadilan yang sama. Sesuatu yang perlu dijelaskan disini adalah konsep keadilan (justice) dan kesamarataan. Pada pendapat penulis, adil dan sama itu dibezakan dengan input nilai dan hikmah iaitu keadilan perlu berteraskan nilai dan hikmah akan tetapi kesamarataan tidak semestinya berasaskan nilai dan hikmah. Ambil contoh, dalam menjelaskan pertelingkahan/perbezaan pendapat. Andai menurut konsep adil dalam Islam, perbezaan pendapat hendaklah diselesaikan dengan merujuk kembali kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya. Hal ini disebabkan kedua-duanya adalah sumber perundangan yang tertinggi di dalam Islam. Namun, andai sama rata digunakan, kalau ada dua pendapat yang paling dominan, maka dua pendapat itulah yang akan digunakan secara pukul rata. Misal lain, kalau pembahagian bantuan, kalau menurut konsep keadilan, ada yang mendapat lebih bantuan dan ada yang mendapat kurang kerana yang memerlukan mungkin mendapat lebih. Kadar bantuan dinilai dari segi kemampuan seseorang itu. Tetapi, kalau mengikut kesamarataan, kesemua akan mendapat jumlah yang sama tanpa mengira kaya miskin. Input nilailah yang membezakan sama rata dan adil. Tegasnya, adil didasari nilai kepercayaan (yang tidak semestinya umum pada kesemua latar masyarakat) dan hendaklah dilaksanakan dengan berhikmah (wisdom).

Bagi menyimpulkan satu perbincangan yang begitu berkepelbagaian, rancangan bual-bicara seperti Luar Lingkungan perlulah mempunyai satu skop yang nyata agar pada akhir perbincangan, satu kesimpulan dapat dibuat bagi menjawab persoalan yang dikemukakan. Isu perlembagaan pula memang wajar dibincang akan tetapi, perbincangan hendaklah berhemah, emosi terkawal dan lebih mengambil kepentingan umum berbanding yang khusus. Isu hak dan keadilan hendaklah dilihat dengan cermat agar penafsirannya tidak menyebabkan kekeliruan.

Soalnya, apakah masyarakat kita sudah sematang itu untuk membincangkan hal-hal yang sensitif dengan terkawal?




Monday, September 6, 2010

Apabila akhir Ramadhan menjelma

Akhir Ramadhan semakin menjelang dan dari hari ke hari, kita semakin hampir ke hari kembali kepada fitrah iaitu Hari Raya Aidil Fitri. Terbaca juga di dalam akhbar ada yang mengatakan hari raya tahun ini disambut sehari lebih awal dari yang dijangka dalam takwim; ada yang mengatakan bahawa "anak bulan" pasti akan kelihatan pada petang (jadi besoknya raya) dan ada juga katanya alasan bahawa pak Arab akan menyambut raya terlebih dahulu maka kenapa pula kita tidak boleh menyambut sebagaimana mereka. Persoalan sebegini hanya mereka yang pakar sahaja yang boleh menjawabnya terutama mereka yang berada di Jabatan Mufti, pakar falak dan ahli astronomi. Walaupun kadang-kala mengelirukan, wajar juga pemahaman tentang kaedah penentuan tersebut dihebahkan kepada masyarakat agar mereka benar-benar faham apakah pertimbangan yang perlu dibuat bagi menentukan tarikh-tarikh penting dalam Islam[1].

Sebagaimana biasa, menjelang hari raya mood beraya biasanya lebih meluap-luap berbanding sebelumnya. Gedung membeli belah dan bazar Aidil Fitri menjadi tumpuan orang ramai untuk membuat persiapan beraya. Pelbagai promosi yang dibuat bagi menarik perhatian pengunjung untuk membeli jualan yang mereka sediakan. Dari kuih raya, pakaian raya, perabot raya, langsir raya, televisyen raya, permaidani raya hinggalah ke kenderaan raya; kesemuanya dipromosikan atas dasar "raya." Pada masa tersebut, pastilah kanak-kanak yang paling gembira menyambut ketibaan Syawal dan ibu bapa juga akan tersenyum gembira melihat karenah anak-anak; tidak kurang yang berkerut juga di dahi memikirkan duit cukup atau tidak untuk bertahan raya sebulan!

Dek kerana terlalu bersungguh untuk menyambut raya, maka terdengar juga suara-suara penceramah yang menegur/memberi nasihat tentang janganlah pula kita berlebihan untuk menyambut raya. Lalu diceritakan bersama kisah para sahabat RA yang semakin hari menjelang Syawal, semakin sedih di hati mereka kerana hendak meninggalkan satu bulan yang penuh kemuliaannya, bulan yang penuh rahmatnya; takut-takut tidak ketemu lagi Ramadhan pada masa akan datang! Malah, bukankah termaktub dalam Al-Quran tentang malam yang padanya lebih baik dari seribu bulan dan dikhabarkan melalui sabdaan Nabi-Nya SAW bahawa carilah malam tersebut dalam sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadhan[2]. Maka apakah kita hendak meninggalkan begitu sahaja peluang dan ruang yang begitu terbuka dan terhidang bagi memperoleh sekian banyak rahmat daripada-Nya hanya kerana hendak menyambut hari raya?

Namun, sebagaimana yang diperihalkan oleh Ismail Ibrahim [3] bahawa "orang agama" dahulu tidaklah secara sinis menegur kekurangan semangat ibadah menjelang hari raya kerana dek persiapan besar-besaran bagi menyambut Aidil Fitri. Hal ini mungkin disebabkan dalam kemeriahan sambutan tersebut, sememangnya masih ada yang tekun beribadah bagi merebut rahmat Ramadhan yang tersisa. Atau teguran yang dibuat oleh ustaz-ustazah masa kini merasakan bahawa masyarakat sekarang sudah dikelilingi dengan sambutan hiburan yang melampau yang semakin menyimpang dari matlamat asal perayaan Aidil Fitri.

Masjid dan surau masa kini pun telah banyak sekali mengadakan qiyamulail bagi menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan dan kesemua ini merupakan satu usaha yang baik dan harus dipuji. Sememangnya warid dari hadis yang sahih[4] bahawa Nabi SAW akan bersungguh-sungguh untuk beriktikaf di masjid pada sepuluh malam terakhir dan amalan sebegini telah dihidupkan kembali pada masa kini. Hal ini membuktikan bahawa bukan perihal adat sahaja yang dipentingkan oleh masyarakat Melayu Islam di Malaysia malah telah dari masa ke masa cuba untuk menghidupkan kembali amalan sunnah yang dibawa oleh Nabi SAW. Walaupun mungkin tidak semua yang dapat diamalkan, namun adalah lebih baik untuk beramal apa yang mampu daripada tidak berbuat langsung.

Sesungguhnya kita mungkin boleh mengatakan bahawa apa yang berlaku pada masa kini berbeza dengan apa yang berlaku dahulu. Namun, kita hendaklah menghargai apa yang terbaik yang kita lakukan hari ini sebelum kita terlalu mengkritik apa yang berlaku pada hari ini. Mana-mana yang baik hendaklah kita teruskan dan mana yang terkurang, kalau ditambah alangkah moleknya.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir batin.

____________________

Nota hujung

1. Salah satu contoh adalah artikel Berita Minggu 5 September 2010 bertajuk Anak Bulan Hanya Kiasan memberi maklumat sedikit sebanyak tentang maklumat tentang awal Ramadhan dan awal Syawal di Malaysia dan perbandingannya dengan negara-negara yang lain

2. Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim. Lihat hadis no. 726 dalam Fuwad Abdul-Baqi, Al-Lu' lu' wal-Marjan, translated by Muhammad Muhsin Khan, Pearls and Corals Dar-us Salam: S. Arabia, 1995

3. Ismail Ibrahim, Sekilas Pandang, Yayasan Ilmuan: K. Lumpur, 2009. m.s 195

4. Lihat hadis no. 724 dan 725 dalam Fuwad Abdul-Baqi, op.cit

Friday, September 3, 2010

Ops Sikap dan Sikap Ops

Saban tahun, Ops Sikap dijalankan dengan kerjasama pihak polis dan JPJ bagi membendung kejadian kemalangan pada musim perayaan. Biasanya, dua perayaan besar yang akan membabitkan Ops Sikap ialah Aidil Fitri dan Tahun Baru Cina. Apa yang dahulunya dikenali sebagai Ops Statik telah dilaksanakan saban tahun dengan harapan, pengguna jalan raya akan semakin berhati-hati dan semakin berwaspada semasa memandu di jalan raya. Pun begitu, saban tahun juga, kemalangan maut sentiasa menjadi statistik dalam Ops Sikap dan saban tahun juga, saman terus-menerus dikeluarkan bagi pesalah jalan raya. Oleh sebab itu, adakah operasi tersebut benar-benar memberi kesan yang diinginkan dalam mencapai kematian dan kemalangan sifar?

Salah satu penyebab kepada kemalangan jalan raya adalah kelajuan yang melampau. Kenderaan masa kini yang begitu mementingkan kecekapan dan keberkesanan enjin sudah pasti lebih laju berbanding yang lama. Apa yang merisaukan adalah apabila kelajuan itu tidak kena pada tempat dan tidak berhemah dalam pemanduan tersebut. Andai jalan raya yang memang terkenal dengan sifatnya yang bengkang-bengkok atau bersimpang-siur, sudah tentu kelajuan bukanlah sesuatu yang harus dipraktikkan. Begitu juga halnya kalau kenderaan terlalu banyak di atas jalan raya, maka kelajuan melampau sekadar menambah bahaya kepada diri sendiri.

Satu lagi punca kemalangan jalan raya adalah struktur jalan yang kadang-kala begitu mendukacitakan. Lobang di sini sana yang tidak bertampal hanya akan mengundang bahaya kepada pengguna (bukankah kita pernah mendengar berita penunggang mati kerana hendak mengelak lobang/melanggar lobang baru-baru ini?). Dalam hal ini, tidak dapat tidak pihak kerajaan perlu dipertanggungjawabkan kerana pembinaan dan baikpulih jalan adalah tertakluk kepada bidang kuasa mereka. Memang terdapat jalan-jalan yang terlalu uzur dan perlukan pembaikan namun, kadang-kala pemulihan yang diinginkan tidak dilakukan berbulan-bulan atau hingga bertahun-tahun. Pihak kerajaan seperti kerajaan tempatan (PBT), kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan seharusnya menyelia jalan-jalan yang ada bagi mengelakkan berlakunya kerosakan yang teruk yang mengakibatkan risiko keselamatan kepada pengguna. Adakah setiap kali Karam Singh Walia perlu membuat laporan aduan rakyat terhadap ketidakcekapan kerajaan dalam penyeliaan jalan barulah kerajaan dan pihak berkenaan hendak bertindak?

Skil dan kemahiran pemanduan juga merupakan satu perkara penting dalam menghadapi situasi kecemasan. Sepuluh tahun dahulu dalam sebuah rancangan perbincangan, penulis ada menonton satu temu-bual bersama sebuah organisasi yang melatih pemandu dengan mengajarkan skil tertentu dalam pemanduan. Skil-skil ini bukan sahaja digunakan untuk aktiviti stunt (lagak ngeri), malah boleh juga diaplikasikan dalam keadaan kecemasan semasa di jalan raya. Oleh yang demikian, kebarangkalian mendapat kecederaan semasa berlakunya kemalangan dapat diminimumkan. Skil-skil sebegini sangat penting terutamanya bagi mereka yang sering berjalan jauh dan melalui kawasan yang terdedah dengan bahawa kemalangan. Namun, nampaknya hebahan kursus-kursus sebegini tidak meluas sedangkan kursus-kursus sebegini sangat penting bagi mengelakkan kecederaan parah sekaligus mengelak melayang nyawa.

Lebih penting lagi sikap pemandu itu sendiri perlulah diubah bagi membentuk pemandu yang lebih berhemah dan tidak mementingkan diri sendiri. Pemandu yang memandu perlahan di lorong laju merupakan pemandu yang tidak berhemah dan boleh mengundang kemarahan orang lain dan kemalangan. Pemandu yang tidak memberikan isyarat semasa membelok ataupun menukar lorong juga merupakan pemandu yang bersikap "kurang ajar." Begitu juga bagi mereka yang galak menggunakan telefon bimbit padahal beliau sedang memandu di lorong laju, suka melakukan aksi "cilok" kiri dan kanan ketika memandu, memandu ketika mengantuk, tidak bertali pinggang keledar; kesemuanya mengundang bahaya bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada orang lain. Sikap-sikap beginilah yang seharusnya diubah bagi merealisasikan matlamat Ops Sikap itu sendiri.

Bagi penguatkuasa seperti polis dan JPJ pula, zahirkan kehadiran anda di jalan raya bagi sekurang-kurangnya mendisiplinkan pemandu. Tiada guna kita menyorok di semak-samun/kebun bunga, membuat speed trap kalau kehadiran penguatkuasa tidak langsung mencegah kemalangan daripada berlaku. Sudah nyata bahawa rakyat Malaysia takut kehadiran polis di jalan raya, maka kenapa pula polis hendak disorok-sorokkan? Letak sahaja seorang anggota polis setiap lima hingga sepuluh kilometer, maka boleh jadi orang akan memperlahankan pemanduan berbanding membuat pecutan!

Dalam banyak keadaan pun, kemalangan sifar adalah sesuatu yang kelihatan mustahil. Hal ini disebabkan perkataan itu sendiri – kemalangan. Malang tidak berbau dan walau secermat mana pun manusia, malang itu boleh terjadi bukan disebabkan dirinya (contohnya: wrong place at wrong time). Akan tetapi, kita boleh cuba dan berusaha untuk mengelak kemalangan itu sendiri daripada berlaku dan sekurang-kurangnya dapat mengelakkan kematian. Semoga pemandu pada musim perayaan kali ini akan memandu dengan lebih selamat sekaligus dapat mengurangkan jumlah statistik kemalangan dan kematian di jalan raya.

Pandu cermat, jiwa pun selamat..............

Thursday, September 2, 2010

Rezeki Ramadhan

Ramadhan tahun ini sudah masuk ke fasa terakhir iaitu sepuluh malam terakhir. Bagi kebanyakkan orang, pastilah persiapan perayaan akan menjadi agenda utama bagi menyambut kehadiran Aidil Fitri. Macam-macam hendak diuruskan. Dari baju baru, baju, langsir baru, perabot baru, duit petrol nak balik kampung, duit nak servis kenderaan dan sebagainya. Namun, sedar atau tidak, bulan Ramadhan kini bukan sahaja menjadi "madrasah" bagi menguji keimanan dan ketakwaan umat Islam, Ramadhan juga telah menjadi bulan "dibuka pintu rezeki seluas-luasnya." Dari kompleks membeli belah, hotel, Pasar Ramadhan dan Bazar Ramadhan – kesemuanya menyediakan 1001 peluang perniagaan bagi mereka yang mengintainya.

Malah, menurut seorang kenalan penulis pekerja profesional pun sanggup untuk terkejar-kejar selama sebulan bagi mengimarahkan ekonomi Ramadhan. Seorang peguam menurutnya, sanggup menambah beban kerja dua kali ganda semata-mata untuk turut serta menjadi tauke warung Pasar Ramadhan di Bangsar. Nyata sekali bahawa pulangan yang diberikan untuk perniagaan pada bulan Ramadhan berlipat kali ganda sehingga ada yang sanggup berhempas tenaga kerja tetap dan sampingan bagi mengejar peluang tersebut.

Ramadhan tahun ini, penulis sambutnya dengan serba sederhana di kediaman penulis di Johor. Sempat juga penulis merayau-rayau di satu dua buah Pasar Ramadhan di sekitar JB dan selain mencari juadah berbuka, kesempatan ini juga diambil bagi membandingkan harga juadah berbuka yang dijual di Pasar Ramadhan tersebut.

Nyata sekali bahawa disebalik momokan bahawa ekonomi negara sudah semakin pulih, harga makanan yang dijual tidak pula menampakkan penurunan harga. Malah, bagi kes JB misalnya, harga juadah berbuka puasa nyata sekali mengikut tempat Pasar Ramadhan tersebut bertapak. Di Bandar Baru Uda (BBU) misalnya, harga kuih-muih telah setara dengan harga di Pasar Ramadhan di Bangi atau TTDI di Kuala Lumpur. Harga jualan hampir ekslusif pada kadar lima untuk dua ringgit! Nasi lemak kosong dengan telur mata pun mencecah tiga ringgit. Harga murtabak pula mencecah tujuh ringgit sekeping. Nyata sekali bahawa kadar harga sedemikian telah mencapai taraf elit (atau mungkin sebenarnya overrated!). Akan tetapi, pembeli nampaknya galak membeli dengan harga mati tersebut. Tiada pula rungutan atau ketidakpuashatian terhadap penjual yang menjual makanan dengan harga yang tinggi. Mungkin redha Ramadhan pembeli meluap-luap dan menerima harga tersebut walaupun mungkin tidak masuk akal (sami'na wa ato'na). Tiada pula kedengaran pesatuan/kesatuan pengguna yang meminta pembeli untuk memboikot Pasar Ramadhan sebagaimana mereka menyeru pengguna untuk memboikot pembelian barang-barang tertentu atas alasan harga mahal.

Penulis berkesempatan juga menjegah Pasar Ramadhan di Taman Dahlia. Pasar Ramadhan di situ merupakan salah satu Pasar Ramadhan yang panjang dan mempunyai kepelbagaian makanan yang ketara. Harga di Pasar Ramadhan tersebut bolehlah dikatakan normal dengan harga kuih muih secara purata masih lagi tiga untuk seringgit. Malah, ada juga peniaga yang masih menjual pada kadar empat untuk seringgit. Tahun ini, ikan bakar bersambal merupakan menu yang paling banyak dijual di situ bersama-sama murtabak dan roti john. Kadar jualan murtabak misalnya sekitar dua ringgit hingga tiga ringgit sekeping. Harga nasi ambang pun masih sekitar tiga ringgit. Hal ini jelas berbeza dengan Pasar Ramadhan di BBU yang rata-rata menjual dengan harga elit.

Mungkinkah kerana faktor tempat dan penduduk menjadikan harga di satu Pasar Ramadhan itu berbeza antara satu sama lain? BBU mungkin didiami oleh golongan kelas menengah dan tinggi maka harga yang dicanangkan di tempat tersebut juga menjadi tinggi juga? Atau misalnya di kawasan Taman Dahlia yang rata-rata pembelinya dari kawasan taman perumahan pangsa (dulu dikenali dengan nama perumahan SEDC) maka harga yang dikenakan perlulah murah juga? Dari pengalaman penulis, nyata sekali teori tersebut benar.

Pengguna perlulah diingatkan bahawa hak mereka tidak pula boleh dicabuli hanya sekadar disebabkan jualan berlaku pada bulan Ramadhan. Bagi penguatkuasa pula, janganlah berlaku berat sebelah apabila hanya jenis peniaga tertentu sahaja yang hendak mereka periksa/kuatkuasa undang-undang sedangkan ada peniaga lain yang mungkin mendapat berlipat-kali ganda keuntungan. Kita begitu sibuk meminta peniaga runcit mendapatkan pelbagai lesen (walaupun kini masih percuma; lambat-laun pastilah berbayar) sedangkan bagi penjual yang menggunakan bahan tersebut (dimasak) dibenarkan pula menjual dengan harga sewenang-wenangnya. Sedangkan tepung harga kawalan, minyak masak harga kawalan, gula harga kawalan, ayam harga kawalan, minyak petrol pun harga kawalan.... maka mengapa pula julat harga di satu Pasar Ramadhan dengan Pasar Ramadhan lain perlu begitu besar?

Justeru, jangan tutup sebelah mata dan hanya buka sebelah mata bagi memilih kes-kes tertentu sahaja. Semua pun ingin merasa rezeki dan rahmat yang dilimpahkan pada bulan Ramadhan.....



Wednesday, September 1, 2010

Wajah Sebenar Rakyat Malaysia menghadapi dilemma Malaysia-Indonesia

Umum mengetahui bahawa kali ini bukanlah kali pertama peristiwa penghinaan "segelintir" warga Indonesia di tanah air mereka terhadap Malaysia. Sejarah membuktikan bahawa sejak zaman pemerintahan Sukarno lagi, Indonesia mudah sekali mencetuskan bibit-bibit konfrantasi dengan Malaysia. Hatta, peristiwa Batik yang sebenarnya canangan pihak lain pun hendak diganyang Malaysia. Kes Manohara pun hendak dijadikan agenda "membuluh runcing" Malaysia. Begitulah sentimen antara Malaysia-Indonesia walaupun sesungguhnya, terdapat begitu ramai sekali rakyat Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia.

Kali ini, Pejabat Kedutaan Malaysia telah dirusuh dan lemparan najis dibuat terhadap gerbang nama Kedutaan Malaysia. Bagi golongan ini, najis itu lebih suci dari Malaysia. Pemimpin mereka juga membangkitkan hal yang sama di dalam parlimen mereka tanpa mengira sama ada mereka penyokong kerajaan mahupun pembangkang. Hal ini berbeza di Malaysia apabila isu tersebut tidaklah sehingga menyebabkan ratusan rakyat keluar ke kedutaan Indonesia mengadakan bantahan. Tenang sekali rakyat Malaysia – tidaklah diketahui sama ada memang mereka tenang atau sebenarnya memang tidak kisah apa yang berlaku disekitarnya melainkan isu-isu perkauman sahaja yang hendak dibangkitkan. Sungguhpun kerajaan kedua-dua negara dari masa ke masa menegaskan bahawa hanya "segelintir" sahaja rakyat Indonesia yang berkonfrantasi, hakikat dalam banyak hal pun, rakyat di Malaysia dilihat lebih berdiam diri daripada membalas konfrantasi tersebut. Mungkin ada satu dua badan/organisasi yang membuat bantahan namun bantahan yang dibuat bukanlah hari-hari mahupun bersifat berlebih-lebihan sehingga memegang najis mahupun "ditanda dengan darah."

Kejadian-kejadian tersebut mengundang persoalan adakah benar masyarakat Malaysia lebih rasional atau sebenarnya mereka lebih pasif dalam menghadapi isu-isu selain perkauman? Adakah masyarakat kita benar-benar patriotik? Ataupun hanya sekadar memperjuang sesuatu atas dasar kepentingan golongan tertentu? Bukankah tatkala keadaan sebegini berlaku, apabila negara dihina sedemikian rupa, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mempunyai satu pandangan bersama, mengecam tindakan tidak bertamadun "segelintir" rakyat Indonesia itu. Bukankah inilah masanya kita menunjukkan bahawa kita dengan berbilang bangsa bersama-sama mengecam tindakan menghina nama baik negara kita yang telah disetarakan dengan najis? Namun, perkara tersebut tidak berlaku di Malaysia. Dalam banyak hal, hanya isu perkauman sahajalah yang akan mendorong orang ramai berarak, membawa sepanduk dan bendera dan melahirkan rasa amarah yang tidak terbendung... Itulah Malaysia.

Mungkin benar kita lebih rasional berbanding negara jiran kita. Memang pun Malaysia lebih rasional berbanding negara lain di rantau ini. Kerasionalan itulah yang membentuk rakyat Malaysia sebagaimana sekarang ini. Kadang-kala, kerasionalan kita pun telah pun melebihi tahap tidak rasional lagi. Tatkala negara lain mengutuk dan mencerca Malaysia, tidak kurang juga rakyat Malaysia sendiri yang mencerca dan menghina Malaysia di mata dunia. Mereka pula mencanang betapa kerajaan di Malaysia mengamalkan sistem kezaliman yang maha dahsyat sehingga melaksanakan dasar penghapusan etnik beramai-ramai persis apartheid. Ada yang sanggup ke negara-negara kuasa besar lain bagi mencanang keburukan Malaysia – mungkin dengan harapan Malaysia akan diceroboh bagaikan negara Iraq untuk tujuan "mengembalikan demokrasi yang telah mati."

Apa yang boleh dilihat disini adalah betapa kestabilan politik dan ekonomi negara sering kali dicemburui oleh negara lain. Kejayaan Malaysia menganjurkan kempen Melawat Malaysia misalnya sangat-sangat dikagumi oleh negara lain sehingga mereka pun turut melaksanakan hal yang sama. Keunikan budaya kita sememangnya layak digelar Truly Asia kerana kita masih memberikan kebebasan untuk kesemua bangsa mengamalkan budaya dan resam hidup masing-masing. Namun, hal demikian kadang-kala tidak dilihat sebagai kelebihan bagi sesetengah rakyat Malaysia. Ada yang dari hari ke hari cuba sahaja mencetuskan ketidaktentuan dan mengundang kemarahan orang lain dikalangan rakyat Malaysia. Ada sahaja modal perkauman yang hendak dibibitkan dalam masyarakat sehingga penyatuan rakyat yang seharusnya boleh dikekalkan semakin sukar untuk dipertahankan. Sebab itulah, dalam menghadapi isu hubungan antarabangsa puak-puak ini tidak pula menyatakan pendirian sama ada mereka menyokong kerajaan Malaysia ataupun lebih meredhai perbuatan negara seperti Indonesia.

Akhirnya, jadilah kita pak turut. Apa yang dikata orang terhadap kita, kita iakan sahaja. Malah, kita sokong dan tambah hujah lagi bagi pihak tersebut. Padahal, kita seharusnya membuka mata dan telinga kita agar lebih peka dan bersedia menghadapi cabaran dan rintangan atas nama globalisasi yang sedang menyambar kita. Tatkala entiti negara sudah tidak lagi kita pertahankan, maka apakah lagi yang kita hendak perjuangkan atas nama tanah air yang tercinta?