Thursday, June 18, 2009

Memoir Sekolah Agama Johor


"Aku ajar Geografi, PJ dan yang lebih sedap," kata seorang rakan sekuliah penulis di UM dahulu "Pendidikan Islam!"


Beliau adalah antara kalangan kami yang menceburkan diri dalam bidang pendidikan setelah tamat Ijazah Sarjana Muda Sains Biokesihatan. "Sebab ada darjah khas nilah aku kena ajar Pendidikan Islam," terangnya lagi. Nampaknya, ramai juga dikalangan rakan-rakan sekuliah penulis yang mendapat tawaran KPLI – dan sementara hendak memohon KPLI, mereka juga mengajar sebagai guru sandaran – maka matapelajaran yang pelik-pelik juga yang mereka terpaksa ajar.


Apa yang menarik perhatian penulis adalah betapa rakan penulis tadi boleh menjadi "ustazah sementara" adalah disebabkan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) yang beliau peroleh sebelum ini. Beliau dan penulis sendiri adalah antara pelajar-pelajar yang dapat menamatkan penuh sistem pembelajaran sekolah agama Kerajaan Negeri Johor. Sistem Sekolah Agama Johor ini bermula tahun 1918 dan berubah secara beransur-ansur sehingga ke hari ini. Kalau dahulu, kitab-kitab nipis tulisan jawi lama dijadikan sebagai panduan, kitab Mat'laal Badrain karangan Syeikh Daud Al-Fatani dijadikan rujukan, kini kitab-kitab sekolah agama telah dijilid dengan baik dan diselaraskan dengan tulisan jawi moden – dengan gambar dan lukisan bagi "membantu" pembelajaran pelajar.


Pembelajaran dahulu dahulu (zaman dahulu), dahulu (zaman penulis) dan kini (zaman sekarang) memang berbeza. Pelajar yang menyertainya juga nampaknya berbeza dari segi umur. Pada zaman penulis, pelajar memasuki darjah 1 sekolah agama ketika mereka berada sama ada darjah dua atau tiga sekolah rendah. Namun kini, melalui informasi yang penulis peroleh (daripada kenalan dan laman web http://www.johordt.gov.my/ppaj/) sistem pembelajaran kini sudah jauh berbeza. Umur pelajar darjah satu sekolah agama sudah selaras dengan darjah satu sekolah rendah i.e. 7 tahun. Daripada pemahaman penulis, ada matapelajaran yang digabungkan. Penulis tidak tahu bagaimanakah penggabungan itu dapat dibuat?!


Sekadar memoir tentang persekolahan penulis dalam sekolah agama kerajaan negeri Johor, dahulu penulis bermula tatkala penulis berumur 9 tahun iaitu darjah 3 sekolah rendah. Pada ketika itu, penulis bersekolah pada sesi petang untuk sekolah agama bermula jam 2.00 hingga 3.30. Tahap satu persekolahan sekolah agama adalah sehingga darjah tiga. Pada waktu itu juga, syarat lulus matapelajaran Al-Quran, Tauhid dan Ibadat masih diamalkan lagi untuk "naik darjah."


Penulis bermula tahap dua i.e. darjah empat ketika 12 tahun. Pada ketika itu, pembelajaran sekolah agama sudah semakin berat. Masa pun bertambah dari pukul 3.30 hingga 6.30 (3 jam). Subjek wajib Ibadat dan Tauhid sudah memasuki fasa yang lebih mendalam. Subjek Pendidikan Al-Quran (Tafsir) mula diajar. Namun, sistem pembelajaran bertambah kompleks apabila bermula darjah 5 kerana subjek-subjek seperti Muamalat, Munakahat dan Faraid diperkenalkan. Ketiga-tiga subjek fiqah ini memberi satu dimensi baru tentang pembelajaran agama pada ketika itu. Muamalat lebih dikenali sebagai "perniagaan Islam," munakahat sebagai "perkahwinan Islam," dan Faraid sebagai "urus harta si mati yang Islam." Aspek spiritual juga ditambah dengan subjek Tasauf – cabang untuk menjadi ahli sufi.


Tahun enam, ditambah lagi satu subjek iaitu Jenayat atau "undang-undang Islam." Selain daripada subjek-subjek tersebut, subjek lain seperti Tajwid, Akhlak, Tulisan jawi, Sejarah dan Bahasa Arab turut diajar hampir setiap tahun. Selepas melengkapkan darjah enam, pelajar berpeluang untuk ke darjah tertinggi dalam sistem persekolahan agama negeri Johor iaitu Darjah Khas. Pembelajaran Darjah Khas ini meliputi hampir kesemua subjek yang diajar pada sebelum ini dengan tambahan subjek Hadis dan Mushtala Hadis. Kalau zaman dahulu, seandainya seseorang sudah ada sijil Darjah Khas ini dan kelulusannya baik, bolehlah beliau bercanang-canang untuk memasuki pengajian Islam di Maahad untuk menjadi Ustaz/Ustazah.


Darjah Khas dibuat pada setiap hari Sabtu, dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Pembelajaran kini sudah masuk ke fasa ulangkaji, serta pengukuhan terhadap apa yang dipelajar semasa pengajian darjah 1 hingga 6. Ramai di kalangan pelajar yang lulus darjah 6 akan sambung untuk mengikuti Darjah Khas. Penulis belajar Darjah Khas pada Tingkatan 3. Pada ketika itu, Bukan senang untuk membahagikan masa belajar untuk pelajaran sekolah menengah dan sekolah agama. Sembilan subjek PMR dan 12 subjek Darjah Khas; nasib baik masa peperiksaannya tidak sama. Darjah khas biasanya diadakan semasa cuti sekolah akhir tahun; selepas SPM.


Sebagaimana yang penulis tekankan pada awal tadi, pembelajaran dahulu dan kini jauh berbeza. Dahulu, penulis terpaksa bekejar-kejaran dari SMK Tasek Utara untuk pulang ke rumah (balik dalam pukul 2 petang) untuk tiba di Sekolah Agama Dato' Omar Yusuf (SADOY) pada pukul 3.30 petang. Apabila musim "sukan" sekolah menengah, ada sahaja sehari yang terpaksa penulis ponteng sekolah agama untuk menyertai aktiviti sukan sekolah yang diadakan pada waktu petang. Jadi, di situ sahaja sudah ada kompromi yang perlu dibuat.


Sewaktu Darjah Khas pula, penulis berada di Tingkatan 3. Ketika itu, kegiatan ko-kurikulum hari Sabtu pula yang menjadi kompromi. Penulis masih ingat perang "surat menyurat" antara sekolah menengah dan sekolah agama yang mengkehendaki pelajar menghadiri kelas/kegiatan ko-kurikulum. Namun, penulis tetap bertegas untuk ke sekolah agama demi menghadiri kelas Darjah Khas. Puas juga penulis dan rakan-rakan penulis (ketika itu Hisham, Hadi) pergi ke pejabat pentadbiran di sekolah menengah untuk menerangkan keadaan sebenar kepada penolong pengetua akademik. Ustazah di sekolah menengah turut memujuk dengan alasan bahawa semua yang dipelajari semasa Darjah Khas akan turut diajar kelak. Namun, pada ketika itu, penulis tidak peduli! Darjah Khas tetap Darjah Khas. Darjah Khas perlu ditamatkan juga.


Kini, kesemua itu hanya tinggal kenangan. Mungkin, disebabkan penglibatan secara langsung tentang isu pihak sekolah menengah dan sekolah agama menjadikan atau mengajar penulis menjadi kritikal. Penulis terpaksa berkompromi itu dan ini untuk mendapat apa yang penulis inginkan – pembelajaran sekolah agama. Pun begitu, dalam banyak keadaan pun, sekolah agama jugalah yang menjadi manga ponteng penulis. Kalau ada latihan drama waktu petang, maka sekolah agamalah yang menjadi mangsa. Waktu latihan sukan, sekolah agama yang turut diponteng. Begitulah adanya....


Senario sekarang sudah berubah. Sebagaimana yang diterangkan pada awal tadi, umur darjah 1 sekolah agama kerajaan Johor kini sudah diselaraskan mengikut umur sekolah rendah. Terfikir juga bagaimanakah ini akan mengubah silibus sekolah agama. Adakah pelajar darjah lima dan enam (umur 11-12 tahun) sudah bersedia untuk mempelajari hal-hal seperti "sifat ta'aluk bagi Allah" (Tauhid), wajib haji dan fardu haji (Ibadah) hal-hal berkaitan nikah kawin cerai (munakahat), hal-hal seperti mudharabah, musyarakah, baiatus salam (muamalat) dan lain-lain lagi? Penulis percaya, yakin dan berharap agar hal-hal berkaitan pedagogi ini akan mendapat perhatian Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor supaya pelajar yang mempelajarinya akan benar-benar faham apa yang diajar.


Selain itu, kelangsungan sistem pendidikan sekolah agama juga harus diperhatikan. Semasa timbul isu tentang berbelas A dalam SPM disebabkan pelajaran aliran agama Sains, penulis kira model sekolah agama kerajaan negeri boleh dijadikan alternatif bagi menyelesaikan masalah tersebut. Melalui pengalaman penulis di sekolah agama, pembelajarannya jauh lebih mendalam seandainya dibandingkan dengan subjek Pendidikan Islam di sekolah menengah rendah. Penulis mempelajari hal-hal muamalat, munakahat, faraidh, jinayat, hadis, hatta perkara ibadat seperti haji, umrah, akikah, korban pada ketika Tingkatan 1,2 dan 3 lagi. Sedangkan silibus sebegini hanya akan diajar di sekolah menengah pada waktu tingkatan 4 dan 5.


Perkara seperti faraidh pula langsung tidak disentuh dalam silibus Pendidikan Islam menengah; tidak tahulah bagi mereka yang mengambil jurusan sains agama?! Sebab itulah orang Islam sekarang ini pun masih tidak memahami konsep "wasiat" dalam Islam iaitu bahagian harta si mati yang hanya boleh diterima oleh YANG BUKAN WARIS (maksimum 1/3 harta si mati). Maka, secara syarak, tidak sepatutnya wasiat harta si mati kepada sama ada anak, isteri, ibu, bapa dan ahli waris lain (sebenarnya ada perdebatan juga tentang hal wasiat harta ini; namun pendapat yang dipilih di sini ialah pendapat yang
 masyhur dalam Mazhab Syafie). Ahli waris akan mendapat pembahagian harta pusaka melalui fardu (jamak – faraidh) dan asabah yang telah ditetapkan oleh syarak melalui Al-Quran, Hadis dan ijtihad para sahabat RA. (Ditegaskan di sini kalau si mati belum siap-siap membahagikan harta i.e. menukar namanya kepada anak-pinak dan keluarga tedekat mengikut kehendaknya melalui kaedah hibah maka pendekatan faraidlah yang perlu digunakan dalam pembahagian harta pesaka).


Begitulah adanya. Penulis merasai betapa sistem pendidikan sekolah agama Johor yang pernah penulis alami dahulu merupakan template untuk pengetahuan agama yang penulis fahami. Banyak asas pengetahuan agama penulis peroleh dari situ. Dan penulis tidak merasa menyesal sedikitpun, malah merasa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana Tuhan memberi penulis ruang dan peluang untuk menyertainya. Mungkin pengetahuan yang diperoleh tidak sebegitu banyak berbanding yang benar-benar mendalami ilmu agama (seperti yang belajar di SMKA, Maahad, Madrasah, jauh sekali hendak dibandingkan dengan yang belajar di Fakulti Islam di universiti?!) namun pada penulis, itulah asasnya kepada pengetahuan agama kita.


Zaman sudah berubah. Ibu bapa semakin sofistikated. Tidak hairanlah ada ibu bapa yang mengabaikan langsung pembelajaran agama anak-anak mereka. Tatkala kita asyik buat-buat pening kepala kenapa kebejatan sosial semakin menular; rompak, rogol, rempit, rasuah bunuh dan sebagainya; mari kita tanya diri kita sejauh manakah kita telah bersedia secara rohani bagi menghadapi zaman akan datang. Tidak dapat tidak, ajaran dan amalan agama yang akan menjadi pembenteng kita daripada hanyut ke dalam arus keduniaan. Walau dimana pun kita peroleh ilmu tersebut, selagi kita peroleh dari guru yang mursyid, maka nescaya ilmu tersebut mampu memberi manfaat kepada kita.


Demi sesungguhnya, Allah jualah yang memberikan Taufik-Nya.



No comments: