Wednesday, June 24, 2009

Kehadiran Islam di Alam Melayu: Satu tinjauan awal

Satu lagi kelebihan berada dirumah (i.e. tak kerja... lagi atau tak belajar... lagi) adalah masa yang boleh dihabiskan untuk membelek buku-buku menarik yang ada dalam koleksi. Terminologi "membelek" terpaksa digunakan kerana adalah sangat sukar untuk diri ini membaca satu buku per se. Disebabkan beberapa buku dibelek, maka sejujurnya memang pada kebiasaannya, tidak semua bab bagi satu-satu buku itu dibaca. Akhirnya, tebuk sini tebuk sana jadinya...

Salah satu daripada jenis koleksi buku yang dikumpul adalah buku-buku yang membincangkan sejarah umat Islam di Alam Melayu ini. Paling menarik perhatian adalah bagaimanakah sebenarnya Islam bertapak di kepulauan Melayu; dari manakah ajaran Islam itu tiba di kepulauan Melayu. Hal ini amat penting kerana amalan dan weltenchauung Islam pada bangsa Melayu itu sendiri di dapati berbeza berbanding asal usul bertapaknya Islam di Tanah Arab. Asimilasi budaya Melayu lama dan Islam menjadikan Melayu Islam sebagaimana yang diperlihatkan sekarang.

Oleh sebab itulah, kalau dilihat dari sudut pakaian pun, songkok, baju melayu, baju kurung itu melambangkan seseorang itu Melayu Islam. Dan dalam perlembagaan Malaysia pun, orang yang dikatakan Melayu itu adalah beragama Islam. Sebagaimana yang pernah penulis hujahkan sebelum ini dalam artikel "Kata permainan bicara," (4 Mac 2009) dalam konteks Malaysia, seseorang Melayu itu mesti Islam dan seandainya seseorang Melayu itu murtad, maka dia akan "terkeluar Melayu." Maka dengan sebab itu, sejarah kedatangan Islam ke alam Melayu akan dapat memberikan kepada kita gambaran tentang bagaimanakah sebenarnya situasi "Melayu itu Islam" boleh berlaku. Hal ini penting bagi memahami keunikan Melayu Islam itu berbanding dengan situasi masyarakat Islam yang lain.

Satu perkara yang menarik yang dibawa oleh buku-buku tersebut adalah betapa Islam hadir ke alam Melayu melalui kaedah tasauf; iaitu lebih kepada unsur kerohanian. Walaupun terdapat perdebatan tentang negeri yang paling awal menerima Islam, kebanyakan pengarang menyandarkan bahawa Islam hadir melalui ahli sufi yang singgah di alam Melayu. Perkara ini disokong kuat oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang menyatakan manuskrip Melayu tertua yang dijumpai adalah Aqaid An-Nasafi pada abad ke – 16, sebuah kitab kerohanian. Walaupun terdapat pertikaian tentang naskhah Melayu tertua, kedatangan Islam melalui ajaran tasauf adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Amalan berzikir dan wirid yang panjang selepas sembahyang dan waktu malam membuktikan pengaruh tasauf di dalam amalan peribadatan umat Melayu Islam. [1]

Pengaruh Syiah semasa awal keIslaman Melayu kuno juga dapat diambil perhatian dalam penyebaran Islam di alam Melayu. Hal ini didorong dengan bukti bahawa unsur-unsur mistik Islam di alam Melayu dahulu lebih mirip kepada amalan Syiah berbanding Sunni. Ajaran seperti Nur Muhammad lebih dekat kepada amalan Syiah. Mahayuddin Haji Yahya misalnya mendakwa bahawa naskhah Melayu yang awal seperti Bahr Lahut merupakan ajaran pengarangnya terhadap doktrin Nur Muhammad; doktrin yang dibawa oleh masyarakat Syiah dari Tanah Arab[2]. Oleh sebab itu, terdapat kemungkinan pengIslaman awal masyarakat Melayu di kepulauan Melayu disaluti dengan ajaran tasauf Syiah. Selepas dari itu, barulah beransur-ansur aliran ahlus sunnah wal jamaah hadir sehingga menenggelamkan ajaran Syiah.

Itu fenomena yang berlaku di Alam Melayu secara umum. Dan fenomena ini juga yang perlu dikaji bagi memahami bagaimanakah Islam tersebar di Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) dan Sabah dan Sarawak. Gerakan-gerakan ajaran yang dikataka terpesong atau ajaran sesat yang menyimpang daripada Islam di Malaysia mungkin memerlukan kajian terhadap sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak itu sendiri dikaji.

Bagaimanakah ajaran sesat itu boleh berlaku? Apakah terdapat kaitan antara ajaran sesat itu dengan unsur-unsur tasauf yang telah di ajar pada zaman silam? Mengapakah terdapat cakap-cakap kononnya ajaran Syiah sedang mula hendak disebarkan dalam masyarakat Islam Malaysia? Sejauh manakah Syiah itu terpesong dari ajaran Islam tulen? Persoalan-persoalan sebegini menuntut kita kembali meneliti semula bagaimanakah Islam itu tiba ke Malaysia dan bagaimanakah orang Melayu beradaptasi dengan ajaran Islam setelah menganut kepercayaan animisme dan Hindu Buddha pada masa awal kedatangan Islam.

Moga-moga kita diberi peluang dan ruang untuk mengkajinya [3].

__________________________

Nota hujung

1 Ahmad Jelani Halimi, Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu, Utusan Publications & Distributors, 2008

2Islam di Alam Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001. Dalam buku ini, pengarang berhujah bahawa karya Melayu paling tua adalah Bahr Lahut karangan Abdullah Arif. Naskhah ini dipercayai ditulis pada abad ke-12. Pengarangnya begitu mendorong kajian yang lebih ekstensif dilakukan bagi memperbaharui rekod Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

3 Bagi cuba untuk memenuhi keperluan ini, beberapa buah buku tentang sejarah dan ketamadunan Melayu akan cuba ditelaah. Salah satu karya yang mendapat perhatian ahli akademik masa kini adalah Sejarah Umat Islam karangan Almarhum Prof. Dr. Hamka. Buya Hamka adalah seorang ulama yang tidak asing lagi. Walaupun pembabitan beliau di dalam bidang keagamaan terutamanya Tasauf, Tafsir dan Kesusasteraan Islam sering dirujuk, namun, jasa beliau dalam bidang penulisan sejarah tidak boleh dipandang sepi. Karya Islam di Alam Melayu oleh Mahayudin Haji Yahya dan Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu oleh Ahmad Jelani Halimi juga akan dirujuk. Bagi melihat bagaimana pihak orientalis melihat sikap dan perangai orang Melayu dari persepsi kolonial, tidak boleh tidak karya seminal The Myth of the Lazy Natives oleh Almarhum Prof Dr Syed Hussein Alatas perlu dibaca dan dibincangkan. Hal ini bagi membolehkan sinergi dilakukan antara Islam dan Melayu dari awal penyebaran Islam hingga abad ke-20.


 

 

No comments: