Tuesday, June 30, 2009

Dari hal Kerajaan Perpaduan

Kerajaan perpaduan. Kerjasama. Muzakarah. Muqabbalah. Terdapat pelbagai frasa-frasa politik yang digunakan bagi menjelaskan satu usaha kerjasama antara Umno dan Pas berlaku. Walaupun dari semasa dan semasa usaha tersebut dilihat gagal, cubaan membawanya semula sentiasa dilakukan; tidak kiralah dari pihak Pas mahupun Umno yang mencetuskannya. Begitulah Umno dan Pas; walaupun kelihatan mereka seperti anjing dan kucing – sering bercakaran antara satu sama lain, namun mereka sebenarnya wujud dari akar yang sama.

Ada pengulas yang memberikan pandangan yang positif terhadap usaha "kerajaan perpaduan" tersebut. Mereka menyatakan bahawa usaha tersebut adalah usaha yang murni dan akan memberikan banyak kebaikan kepada orang Melayu dan Islam. Bukankah Islam menuntut kita untuk bersatu padu dalam melakukan kebaikan? Usaha sedemikian akan memberikan impak yang positif dengan kerjasama yang dapat mengetepikan sebarang perselisihan faham antara orang Melayu Islam di Malaysia.

Bagaimanapun tidak kurang juga ada yang memberi pandangan negatif terhadap usaha kerjasama tersebut. Bagi mereka usaha ini akan memecahkan satu stable yang sedia ada kuat di pihak Pakatan Rakyat. Usaha sebegini akan menyebabkan impian PR untuk menjadi kerajaan akan musnah seterusnya mengakibatkan pembaharuan yang dicanang-canang di Malaysia tidak akan berlaku. Malah, kerjasama sebegini telah memecahbelahkan Pas yang tiba-tiba ada Team A dan Team B mereka tersendiri. Ada dikalangan ahli Pas yang menyokong dan tidak kurang yang membantah. Pun begitu, suara yang membantah kedengaran lebih kuat berbanding yang menyokong.

Beginilah adat berpolitik. Kadang kala, kawan boleh makan kawan. Lawan boleh jadi kawan. Kawan pun boleh jadi lawan. Namun, hal-hal sedemikian bukanlah sesuatu yang aneh. Percaturan politik sebenarnya menunjukkan bahawa dasar sesebuah parti itu boleh berbeza dalam sekelip mata. Kalau dahulu itu maka sekarang ini. Dahulu begitu, sekarang begini. Kita tidak dapat salahkan keadaan demikian kerana politik terdiri daripada unsur kuasa. Siapa yang berkuasa maka dialah yang akan mendapat manfaatnya.

Pas yang dahulunya dengan lantang mengkritik dasar-dasar yang dijalankan oleh Umno dan BN yang dianggap sekular, tidak Islamik; kini sudah boleh berkompromi dengan sebuah parti yang sememangnya tidak akan menerima hudud sebagai hukum yang akan dilaksanakan di dalam negara kita. Kini, mereka dengan rela mengikut telunjuk ketua umum parti lain bagi membolehkan mereka turut merasakan mereka berkuasa dalam Malaysia. Tidak tahulah sama ada mereka ditekan oleh ketua umum tersebut atau sememangnya mereka sangat menyayangi kuasa mereka dalam stable PR, namun tindak tanduk mereka sebenarnya menggambarkan betapa setakat ini, mereka sudah pasrah dengan percaturan politik PKR dan DAP. Malah, mereka juga kini telah mengeluarkan "fatwa-fatwa" mereka bagi menyokong segala tindakan DAP yang kononnya pada mereka walaupun pengikut parti DAP itu bukan Islam, tindakan DAP itu Islamik.

Bagi satu pihak lagi, Umno pula dilihat sebagai semakin kehilangan taringnya. Mereka kelihatan terdesak bagi mengekalkan kuasa orang-orang Melayu kerana risau dengan kebangkitan politik orang bukan Melayu. Sering diwar-warkan bahawa orang bukan Melayu terutamanya yang Cina walaupun berbeza fahaman politik, mereka tetap bersatu dalam memperjuangkan nasib bangsa mereka. Mereka sedia berkompromi demi nasib bangsa mereka dan akan mengekalkan perjuangan mereka walau dibawah bendera mana sekalipun. Oleh sebab itu, usaha kerjasama Umno-Pas ini dilihat sebagai usaha yang boleh menyeimbangkan tekanan yang dihadapi oleh orang Melayu. Namun, faktor sejarah kerjasama telah merencatkan usaha kerjasama tersebut. Umno dilihat sebagai memanipulasikan Pas sebelum ini dan membiarkan Pas terkontang- kanting. Akhrinya, perpaduan yang terbentuk antara Umno dan Pas akhirnya terlerai jua. Pas berasa makan hati dan mungkin sudah serik untuk bekerjasama dengan Umno.

Kembali kepada realiti – kini kedua-dua parti perlu membuat kata putus. Hal ini bagi membolehkan ketidakpastian (uncertainty) dapat dirungkaikan bagi memberikan rasa tenang kepada rakyat. Pas perlu mengaku bahawa perjuangan mereka kini sudah mula menuju ke arah toleransi antara kaum dan ada kemungkinan besar bahawa seandainya PR memenangi pilihan raya, Pas masih tidak dapat melaksanakan hudud sepenuhnya dibawah kerajaan PR. Dan dengan ura-ura ancaman rakan komponen mereka yang lain untuk keluar daripada BN, mereka kini perlu merangka strategi yang ampuh bagi mengekalkan kekuatan mereka sebagai kerajaan.

Motif disebalik kerajaan perpaduan telah dibahaskan dengan panjang lebar sama ada yang menyokong atau yang menentang. Paling penting adalah kata putus daripada mereka sama ada terus melaksanakan atau tidak. Kerjasama BN-PR juga perlu kita fikirkan supaya kita boleh kurangkan budaya politiking antara kedua-dua regim. Negara kita mempunyai kepelbagaian bangsa – maka jadikan kepelbagaian tersebut sebagai aset negara dan bukannya liabiliti yang harus acap kali digembar-gemburkan sebagai polemik perkauman.

Saturday, June 27, 2009

Bahasa oh bahasa

Cadangan YAB Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadikan matapelajaran Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus untuk mendapat sijil SPM mendapat pelbagai reaksi; ada yang menyokong, ada yang kurang bersetuju dan ada yang setuju tetapi bersyarat. Polemik bahasa nampaknya tidak pernah surut dan asyik dibincangkan dalam seminar, ceramah politik, forum di institusi pengajian dan di kedai kopi. Begitu pun, kita seharusnya terbuka dalam menerima kesemua pandangan orang awam mahupun cerdik pandai. Untuk rekod, penulis pernah mengulas dengan panjang lebar tentang isu-isu berkaitan bahasa dalam dua artikel sebelum ini iaitu Kata Permainan Bicara (4 Mac 2009) dan Bahasa Kita Tanggungjawab Kita (27 November 2008).

Sepanjang pengajian penulis dalam kursus Master Kualiti dan Produktiviti, penulis sering membaca kritikan tentang pensijilan ISO (certification) dan perlaksanaan ISO (implementation). Terdapat ahli akademik dan juga pemain industri yang merasakan bahawa standard ISO 9001 misalnya sekadar satu prosedur dan pensijilan yang sekadar menyebabkan sesebuah organisasi membanyakkan kertas kerja dan dokumentasi organisasi tersebut. Pensijilan menjadi bebanan kepada mereka kerana mereka terpaksa menghabiskan masa untuk menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan oleh pihak pengaudit; sampaikan borang hendak membeli barang pun hendak spesifik.

Begitulah halnya seandainya kita kaitkan dengan mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris SPM. Seandainya sedari awal lagi kita mengatakan bahawa perkara tersebut menjadi beban kepada pelajar kita, kemudian kita kaitkan lagi dengan pelajar bandar-luar bandar, kita katakan kesusahan pelajar (plight of the students) untuk lulus SPM dengan kewajipan lulus pada subjek Bahasa Inggeris; maka mewajibkan subjek tersebut bagi memperoleh sijil memang sekadar menyusahkan pelajar dan guru. Namun, seandainya lain pula yang kita fikirkan, tentang masa hadapan pelajar, nilai tambah pelajar, peluang untuk pelajar menguasai bahasa antarabangsa – sudah pasti kita perlu melihatnya dari satu perspektif yang berbeza.

Sijil sebenarnya tidak membawa sebarang makna seandainya apa yang perlu diterjemahkan oleh sijil tidak dapat diterjemahkan. Oleh sebab itu, cabaran yang paling utama dalam perlaksanaan dasar sedemikian adalah menimbangkan sama ada sumber yang kita ada itu mencukupi dan boleh dioptimumkan bagi mendapat hasil yang dikehendaki. Dalam hal ini, adakah sudah cukup guru pengajar Bahasa Inggeris yang cekap (competent) untuk mengajar subjek tersebut? Sejauh manakah keberkesanan sumber ilmiah (buku teks) yang bakal digunakan dalam pengajaran tersebut? Adakah guru subjek tersebut sudah bersedia menghadapi bebanan tugas yang lebih berat dengan keperluan lulus Bahasa Inggeris pelajar sebagai KPI untuk mereka?

Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita menyediakan prasarana yang diperlukan bagi mencapai objektif syarat wajib Bahasa Inggeris dalam SPM. Kalau peralatan mengajar tidak cukup, guru Bahasa Inggeris tidak cukup, itu tidak cukup dan ini tidak cukup, bagaimana mungkin dasar tersebut boleh member kesan positif kepada pelajar? Malahan, tiap kali keputusan SPM keluar, isu seperti pencapaian bandar-luar bandar akan sentiasa dibangkitkan. Sampai bilakah dikotomi jurang bandar-luar bandar ini hendak diteruskan? Perlukah kita wujudkan pula modul kurikulum baru untuk bandar-luar bandar?

Sebetulnya, penulis melihat isu bahasa ini dari sudut perhubungan. Bahasa pada asasnya adalah untuk komunikasi. Dan antara cara komunikasi paling berkesan adalah melalui pertuturan. Penulis misalnya ada mengambil Bahasa Burma semasa di UM, namun malangnya tidak begitu ramai orang Burma yang ada di Malaysia. Bagaimanakah hendak penulis manfaatkan pengetahuan Bahasa Burma penulis seandainya penulis tidak dapat bertutur dalam Bahasa Burma dengan sesiapa. Sudahlah buku pembelajaran Bahasa Burma pun sangat-sangat terhad di pasaran. Akhirnya, tinggal dua tiga frasa sahaja yang penulis ingat – Minglabar (Selamat sejahtera), Sapi bi laa (Sudah makan ke belum?) dan Kyet su tin bar de (Terima kasih). Sebab itu, pada pendapat penulis, perbualanlah yang menjadi asas kepada penguasaan bahasa.

Justeru, galakan untuk berbual dalam bahasa baru penting bagi memudahkan penguasaan bahasa. Berbual dan menulis adalah dua perkara yang berbeza. Menulis perlu diakui sebagai satu tahap yang lebih tinggi berbanding berbual. Sebab itulah kita seharusnya member galakan untuk pelajar kita berbual dalam Bahasa Inggeris. Kayakan mereka dengan perbendaharaan kata dahulu (vocabulary) bagi memudahkan perbualan. Penekanan ini penting bagi menyesuaikan dan member keselesaan kepada mereka untuk belajar dengan lebih mudah. Selepas itu, barulah unsur-unsur nahu, tatabahasa (grammar) diterap.

Satu perkara lagi, pihak kerajaan seharusnya mengkaji sedalam-dalamnya baik buruk dasar tersebut apabila dilaksanakan kelak. Seandainya kebaikan yang lebih, apakah kita mempunyai sumber yang mencukupi bagi melaksanakan dasar tersebut. Seandainya tidak (seperti guru kurang), maka kita perlu menyelesaikan lompong yang itu dahulu sebelum kita hendak melaksanakannya. Ambil kira pandangan pakar dan cuba kita buat penanda aras modul pengajaran dan pembelajaran negara-negara lain yang mempunyai situasi yang hampir sama dengan kita (i.e. negara yang mempunyai Bahasa rasmi selain Bahasa Inggeris; maka Singapura sudah terkeluar dari senarai…). Contohnya negara-negara di Afrika, atau Hong Kong dan sebagainya. Mana tahu kejayaan mereka dapat kita adaptasikan di negara kita!

Memang benar, belum tentu mereka yang belajar Bahasa Inggeris ini akan menggunakan bahasa tersebut. Ada yang berpendapat bahawa kalau seseorang itu sekadar hendak jadi kerja sekian-sekian, tak perlu pun dia tahu Bahasa Inggeris. Namun, sedar tak sedar, banyak istilah Inggeris yang kita lebih senang gunakan berbanding istilah Melayu. Contohnya untuk kaki bola. Kita lebih senang sebut "defender" berbanding pemain pertahanan. van der Sar adalah seorang "keeper" berbanding penjaga gol. Pemain sepak pemain lebih mudah kita katakan sebagai "foul" berbanding kesalahan. Kawasan petak berhampiran pintu gol pun lebih dikenali sebagai "penalty" berbanding kawasan hukuman. Cara menyepak bola hantaran terus tanpa diberhentikan terlebih dahulu lebih mudah kita katakana sepakan "volley".

Pendek kata, Bahasa Inggeris sebenarnya banyak kita gunakan tanpa kita sedari. Walaupun sekadar sebagai kata pinjam, kita tidak boleh nafikan bahawa bahasa tersebut penting. Itulah yang menyebabkan "signifikan" lebih sedap didengar berbanding bererti. Dan penulis sendiri tidak tahu satu perkataan yang paling sesuai untuk menterjemahkan sofistikated?!? Sama-samalah kita tanamkan azam dan berusaha untuk belajar bukan sahaja Bahasa Melayu dan Inggeris, malah bahasa lain lagi yang releven untuk kita. …

Thursday, June 25, 2009

Ke arah mewujudkan farmakopoeia herba tempatan

Farmakopoeia – begitulah istilah yang digunakan bagi mentakrifkan satu himpunan cara kerja untuk penyediaan bahan-bahan ubatan. Sejarah kewujudannya adalah begitu lama sekali; sejak zaman Greek, ketamaduanan China kuno, ketamadunan Islam dan hingga sekarang. Farmakopoeia menjadi satu bahan rujukan penting bagi persediaan ubatan sama ada menggunakan persediaan herba, haiwan, unsur-unsur, campuran atau sebarang bahan yang boleh dijadikan ubat atau penawar.

Usaha ke arah mewujudkan satu himpunan maklumat penting tentang herba tempatan perlu dibuat. Hal ini bukan sahaja berguna untuk para penyelidik di institusi pengajian dan penyelidikan, edisi yang kurang teknikal tetapi berautoriti juga dapat diterbitkan. Edisi tersebut boleh dijadikan rujukan oleh orang awam tentang khasiat, penggunaan dan sebarang amaran yang perlu diberi perhatian oleh pengguna awam apabila menggunakan ubatan herba.

Sebagaimana yang pernah ditekankan sebelum ini (dalam artikel-artikel yang lepas) Malaysia kaya dengan tumbuhan yang mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai ubat. Bagaimanapun, hanya beberapa spesies sahaja yang dikomersialkan sebagai "berubat" dan dapat meningkatkan vitaliti seperti tongkat ali dan kacip fatimah. Memang benar, kesihatan seksual penting dalam kehidupan manusia, akan tetapi, fakta membuktikan bahawa lebih ramai yang mati kerana sakit jantung, strok, kanser, darah tinggi dan kencing manis berbanding mati pucuk. Tambahan pula, penyakit sebaran kelamin seperti AIDS pun masih tidak dijumpai lagi ubatnya. (Fakta terbaru mengatakan bahawa sebaran secara seksual untuk HIV/AIDS sudah mengatasi sebaran melalui jarum; sesuatu yang perlu semua renung-renungkan...) Dan situasi terkini, penyakit binatang pun sudah berjangkit ke kita!

Oleh sebab itu, penulis sangat-sangat berharap agar satu monograf yang sederhana dapat dihimpun dan diterbitkan untuk tujuan mengkaji potensi tumbuhan herba tempatan dalam menangani pelbagai penyakit degeneratif. Ambillah dalam sepuluh tumbuhan sahaja; yang mudah dijumpai di semak samun, di belakang rumah, atau menjalar di pasu bunga – yang mudah diperoleh dan mudah dicapai. Misalnya hempedu bumi/akar cerita (Andrographis paniculata), dukung anak (Phyllanthus niruri), keremak (Alternanthera sessilis), galak kucing/kucing galak??? (Acalypha indica) dan pegaga (Centella aciatica). Tumbuhan sebegini kadang kala dikategorikan rumpai – namun, pastilah Tuhan ciptakan sesuatu itu bukan sia-sia... bukan? (Lagi lima tumbuhan boleh cadangkan.....)

Bagi edisi monograf yang teknikal, ujian saringan fitokimia perlu dilakukan untuk menentukan kandungan sebatian kimia yang ada di dalam tumbuhan tersebut. Ujian-ujian seperti BSLA (Brine Shrimp Lethality Assay) perlu dilakukan untuk mengesan nilai LC50 untuk sebatian. Adalah dicadangkan supaya ekstrak yang digunakan adalah ekstrak ethanol dan air kerana kedua-dua ekstrak ini boleh dimanfaatkan oleh orang kebanyakan. Orang kebanyakan boleh menjadikan "tincture" herba mahupun teh herba dengan menggunakan minuman beralkohol dan dekoksi herba menjadi seakan-akan teh (atau rebusan ubat).

Bagaimanapun, bagi mengoptimumkan potent tumbuhan sebagai ubat, ekstrak cara lain harus juga dibuat bagi mendapatkan sama ada kandungan minyak meruap dan sebatian sekunder yang lain. Laporan fitokimia seperti TLC, HPLC, GCMS, NMR perlu dibuat (kalau ada duit nak buat, kalau tak, TLC sahajalah jawabnya...) Bioassay in vitro sebaiknya dilakukan. Gunakanlah bioassay in vitro yang mudah (kalau setakat antioksidan pakai DPPH sudahlah...) yang boleh dijadikan sebagai kajian pendahuluan untuk kajian akan datang yang lebih ekstensif

Penemuan seperti kesan sampingan perlu dilaporkan. Seandainya terdapat sebatian yang mimik kepada aktiviti dadah atau memberi kesan kepada aktiviti dadah, ia perlu dilaporkan juga. Hal ini akan menjadi sebagai langkah pencegahan supaya pengguna tidak tersalah guna atau overdose. Sebagai contoh pada kes ini, hawthorn yang meningkatkan kesan digoxin. Oleh sebab itu, seandainya seseorang itu mengambil hawthorn, dia tidak sepatutnya mengambil digoxin bersama untuk mengubati penyakit jantungnya.

Setelah edisi teknikal ini diwujudkan, barulah edisi yang kurang teknikal boleh diterbitkan. Edisi ini berbentuk lebih mudah, kurang istilah-istilah pelik (macam TLC, HPLC, BSLA, siapa nak baca benda-benda pelik tu...), mungkin boleh memasukkan langkah penanaman, cara menjadikan tumbuhan tersebut sebagai persediaan ubat ringkas dan paling penting, amaran-amaran tertentu bagi mengelakkan interaksi persediaan herba dengan ubatan klinikal. Hal ini membolehkan orang awam mendapat sedikit manfaat daripada kajian yang telah dibuat di institusi penyelidikan. Orang ramai pun boleh buat duit seandainya ada syarikat yang hendak mengkomersialkan. Akhirnya, siapa sangka rumpai pun boleh buat duit.

Bagaimanapun, kesemua ini menuntut kajian mendalam tentang prosedur untuk perlaksanaan langkah-langkah yang telah dibincangkan. Sudah pastilah, apabila tiba kepada peringkat komersialisasi, isu bioetika pula yang akan menjajat dalam ruang perbincangan. Kalaulah satu tumbuhan itu dijumpai mempunyai potensi mengubati selesema binatang yang menyerang manusia, pastilah ada syarikat dari yang kecil hingga ke multibilion dollar yang akan mengambil kesempatan pula untuk tujuan paten dan sebagainya. Bersediakah kita melihat rumput rumpai belakang rumah dipatenkan dan tidak boleh ditanam pula?

Bagaimana pula dengan isu bahan ubatan di dalam pokok pula? Adalah pokok tersebut akan dimasukkan pula sebagai tumbuhan racun dalam Akta Kawalan Dadah? Perkara tersebut perlu diambil kira juga. Sebarang tumbuhan yang mempunyai potensi racun berbahaya perlu dikenalpasti dan dilaporkan. Bagaimanapun, perkara tersebut pastilah akan menyebabkan sekali lagi orang ramai tidak boleh menanam pokok tersebut pula... tak pasal-pasal.

Begitulah adanya. Walaupun kelihatan pelbagai perkara yang perlu diambil kira dalam membangunkan satu monograf akademik dan umum, namun penulis kira usaha tersebut seharusnya difikirkan dan dilaksanakan. Hal ini bagi menjamin pendemokrasian kesihatan dapat dijadikan kenyataan. Maksudnya frasa "kesihatan untuk semua" itu benar-benar dapat dijadikan realiti. Isu tentang adakah keperluan perubatan itu hak untuk semua sering dibangkitkan di negara barat. Hanya mereka yang berduit dan berinsurans sahaja yang layak mendapat keperluan perubatan. Maka, usaha sebegini pastilah akan memberi harapan kepada orang awam untuk mendapat alternatif kepada perubatan konvensional. Akan tetapi, nyawa tidak boleh dikompromi dengan amalan buruk "doktor kendiri." Dari itu, kewujudan satu sistem perubatan yang holistik adalah didambakan.

Moga-moga usaha itu dapat dicapai....

Wednesday, June 24, 2009

Kehadiran Islam di Alam Melayu: Satu tinjauan awal

Satu lagi kelebihan berada dirumah (i.e. tak kerja... lagi atau tak belajar... lagi) adalah masa yang boleh dihabiskan untuk membelek buku-buku menarik yang ada dalam koleksi. Terminologi "membelek" terpaksa digunakan kerana adalah sangat sukar untuk diri ini membaca satu buku per se. Disebabkan beberapa buku dibelek, maka sejujurnya memang pada kebiasaannya, tidak semua bab bagi satu-satu buku itu dibaca. Akhirnya, tebuk sini tebuk sana jadinya...

Salah satu daripada jenis koleksi buku yang dikumpul adalah buku-buku yang membincangkan sejarah umat Islam di Alam Melayu ini. Paling menarik perhatian adalah bagaimanakah sebenarnya Islam bertapak di kepulauan Melayu; dari manakah ajaran Islam itu tiba di kepulauan Melayu. Hal ini amat penting kerana amalan dan weltenchauung Islam pada bangsa Melayu itu sendiri di dapati berbeza berbanding asal usul bertapaknya Islam di Tanah Arab. Asimilasi budaya Melayu lama dan Islam menjadikan Melayu Islam sebagaimana yang diperlihatkan sekarang.

Oleh sebab itulah, kalau dilihat dari sudut pakaian pun, songkok, baju melayu, baju kurung itu melambangkan seseorang itu Melayu Islam. Dan dalam perlembagaan Malaysia pun, orang yang dikatakan Melayu itu adalah beragama Islam. Sebagaimana yang pernah penulis hujahkan sebelum ini dalam artikel "Kata permainan bicara," (4 Mac 2009) dalam konteks Malaysia, seseorang Melayu itu mesti Islam dan seandainya seseorang Melayu itu murtad, maka dia akan "terkeluar Melayu." Maka dengan sebab itu, sejarah kedatangan Islam ke alam Melayu akan dapat memberikan kepada kita gambaran tentang bagaimanakah sebenarnya situasi "Melayu itu Islam" boleh berlaku. Hal ini penting bagi memahami keunikan Melayu Islam itu berbanding dengan situasi masyarakat Islam yang lain.

Satu perkara yang menarik yang dibawa oleh buku-buku tersebut adalah betapa Islam hadir ke alam Melayu melalui kaedah tasauf; iaitu lebih kepada unsur kerohanian. Walaupun terdapat perdebatan tentang negeri yang paling awal menerima Islam, kebanyakan pengarang menyandarkan bahawa Islam hadir melalui ahli sufi yang singgah di alam Melayu. Perkara ini disokong kuat oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang menyatakan manuskrip Melayu tertua yang dijumpai adalah Aqaid An-Nasafi pada abad ke – 16, sebuah kitab kerohanian. Walaupun terdapat pertikaian tentang naskhah Melayu tertua, kedatangan Islam melalui ajaran tasauf adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Amalan berzikir dan wirid yang panjang selepas sembahyang dan waktu malam membuktikan pengaruh tasauf di dalam amalan peribadatan umat Melayu Islam. [1]

Pengaruh Syiah semasa awal keIslaman Melayu kuno juga dapat diambil perhatian dalam penyebaran Islam di alam Melayu. Hal ini didorong dengan bukti bahawa unsur-unsur mistik Islam di alam Melayu dahulu lebih mirip kepada amalan Syiah berbanding Sunni. Ajaran seperti Nur Muhammad lebih dekat kepada amalan Syiah. Mahayuddin Haji Yahya misalnya mendakwa bahawa naskhah Melayu yang awal seperti Bahr Lahut merupakan ajaran pengarangnya terhadap doktrin Nur Muhammad; doktrin yang dibawa oleh masyarakat Syiah dari Tanah Arab[2]. Oleh sebab itu, terdapat kemungkinan pengIslaman awal masyarakat Melayu di kepulauan Melayu disaluti dengan ajaran tasauf Syiah. Selepas dari itu, barulah beransur-ansur aliran ahlus sunnah wal jamaah hadir sehingga menenggelamkan ajaran Syiah.

Itu fenomena yang berlaku di Alam Melayu secara umum. Dan fenomena ini juga yang perlu dikaji bagi memahami bagaimanakah Islam tersebar di Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) dan Sabah dan Sarawak. Gerakan-gerakan ajaran yang dikataka terpesong atau ajaran sesat yang menyimpang daripada Islam di Malaysia mungkin memerlukan kajian terhadap sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak itu sendiri dikaji.

Bagaimanakah ajaran sesat itu boleh berlaku? Apakah terdapat kaitan antara ajaran sesat itu dengan unsur-unsur tasauf yang telah di ajar pada zaman silam? Mengapakah terdapat cakap-cakap kononnya ajaran Syiah sedang mula hendak disebarkan dalam masyarakat Islam Malaysia? Sejauh manakah Syiah itu terpesong dari ajaran Islam tulen? Persoalan-persoalan sebegini menuntut kita kembali meneliti semula bagaimanakah Islam itu tiba ke Malaysia dan bagaimanakah orang Melayu beradaptasi dengan ajaran Islam setelah menganut kepercayaan animisme dan Hindu Buddha pada masa awal kedatangan Islam.

Moga-moga kita diberi peluang dan ruang untuk mengkajinya [3].

__________________________

Nota hujung

1 Ahmad Jelani Halimi, Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu, Utusan Publications & Distributors, 2008

2Islam di Alam Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001. Dalam buku ini, pengarang berhujah bahawa karya Melayu paling tua adalah Bahr Lahut karangan Abdullah Arif. Naskhah ini dipercayai ditulis pada abad ke-12. Pengarangnya begitu mendorong kajian yang lebih ekstensif dilakukan bagi memperbaharui rekod Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

3 Bagi cuba untuk memenuhi keperluan ini, beberapa buah buku tentang sejarah dan ketamadunan Melayu akan cuba ditelaah. Salah satu karya yang mendapat perhatian ahli akademik masa kini adalah Sejarah Umat Islam karangan Almarhum Prof. Dr. Hamka. Buya Hamka adalah seorang ulama yang tidak asing lagi. Walaupun pembabitan beliau di dalam bidang keagamaan terutamanya Tasauf, Tafsir dan Kesusasteraan Islam sering dirujuk, namun, jasa beliau dalam bidang penulisan sejarah tidak boleh dipandang sepi. Karya Islam di Alam Melayu oleh Mahayudin Haji Yahya dan Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu oleh Ahmad Jelani Halimi juga akan dirujuk. Bagi melihat bagaimana pihak orientalis melihat sikap dan perangai orang Melayu dari persepsi kolonial, tidak boleh tidak karya seminal The Myth of the Lazy Natives oleh Almarhum Prof Dr Syed Hussein Alatas perlu dibaca dan dibincangkan. Hal ini bagi membolehkan sinergi dilakukan antara Islam dan Melayu dari awal penyebaran Islam hingga abad ke-20.


 

 

Thursday, June 18, 2009

Memoir Sekolah Agama Johor


"Aku ajar Geografi, PJ dan yang lebih sedap," kata seorang rakan sekuliah penulis di UM dahulu "Pendidikan Islam!"


Beliau adalah antara kalangan kami yang menceburkan diri dalam bidang pendidikan setelah tamat Ijazah Sarjana Muda Sains Biokesihatan. "Sebab ada darjah khas nilah aku kena ajar Pendidikan Islam," terangnya lagi. Nampaknya, ramai juga dikalangan rakan-rakan sekuliah penulis yang mendapat tawaran KPLI – dan sementara hendak memohon KPLI, mereka juga mengajar sebagai guru sandaran – maka matapelajaran yang pelik-pelik juga yang mereka terpaksa ajar.


Apa yang menarik perhatian penulis adalah betapa rakan penulis tadi boleh menjadi "ustazah sementara" adalah disebabkan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) yang beliau peroleh sebelum ini. Beliau dan penulis sendiri adalah antara pelajar-pelajar yang dapat menamatkan penuh sistem pembelajaran sekolah agama Kerajaan Negeri Johor. Sistem Sekolah Agama Johor ini bermula tahun 1918 dan berubah secara beransur-ansur sehingga ke hari ini. Kalau dahulu, kitab-kitab nipis tulisan jawi lama dijadikan sebagai panduan, kitab Mat'laal Badrain karangan Syeikh Daud Al-Fatani dijadikan rujukan, kini kitab-kitab sekolah agama telah dijilid dengan baik dan diselaraskan dengan tulisan jawi moden – dengan gambar dan lukisan bagi "membantu" pembelajaran pelajar.


Pembelajaran dahulu dahulu (zaman dahulu), dahulu (zaman penulis) dan kini (zaman sekarang) memang berbeza. Pelajar yang menyertainya juga nampaknya berbeza dari segi umur. Pada zaman penulis, pelajar memasuki darjah 1 sekolah agama ketika mereka berada sama ada darjah dua atau tiga sekolah rendah. Namun kini, melalui informasi yang penulis peroleh (daripada kenalan dan laman web http://www.johordt.gov.my/ppaj/) sistem pembelajaran kini sudah jauh berbeza. Umur pelajar darjah satu sekolah agama sudah selaras dengan darjah satu sekolah rendah i.e. 7 tahun. Daripada pemahaman penulis, ada matapelajaran yang digabungkan. Penulis tidak tahu bagaimanakah penggabungan itu dapat dibuat?!


Sekadar memoir tentang persekolahan penulis dalam sekolah agama kerajaan negeri Johor, dahulu penulis bermula tatkala penulis berumur 9 tahun iaitu darjah 3 sekolah rendah. Pada ketika itu, penulis bersekolah pada sesi petang untuk sekolah agama bermula jam 2.00 hingga 3.30. Tahap satu persekolahan sekolah agama adalah sehingga darjah tiga. Pada waktu itu juga, syarat lulus matapelajaran Al-Quran, Tauhid dan Ibadat masih diamalkan lagi untuk "naik darjah."


Penulis bermula tahap dua i.e. darjah empat ketika 12 tahun. Pada ketika itu, pembelajaran sekolah agama sudah semakin berat. Masa pun bertambah dari pukul 3.30 hingga 6.30 (3 jam). Subjek wajib Ibadat dan Tauhid sudah memasuki fasa yang lebih mendalam. Subjek Pendidikan Al-Quran (Tafsir) mula diajar. Namun, sistem pembelajaran bertambah kompleks apabila bermula darjah 5 kerana subjek-subjek seperti Muamalat, Munakahat dan Faraid diperkenalkan. Ketiga-tiga subjek fiqah ini memberi satu dimensi baru tentang pembelajaran agama pada ketika itu. Muamalat lebih dikenali sebagai "perniagaan Islam," munakahat sebagai "perkahwinan Islam," dan Faraid sebagai "urus harta si mati yang Islam." Aspek spiritual juga ditambah dengan subjek Tasauf – cabang untuk menjadi ahli sufi.


Tahun enam, ditambah lagi satu subjek iaitu Jenayat atau "undang-undang Islam." Selain daripada subjek-subjek tersebut, subjek lain seperti Tajwid, Akhlak, Tulisan jawi, Sejarah dan Bahasa Arab turut diajar hampir setiap tahun. Selepas melengkapkan darjah enam, pelajar berpeluang untuk ke darjah tertinggi dalam sistem persekolahan agama negeri Johor iaitu Darjah Khas. Pembelajaran Darjah Khas ini meliputi hampir kesemua subjek yang diajar pada sebelum ini dengan tambahan subjek Hadis dan Mushtala Hadis. Kalau zaman dahulu, seandainya seseorang sudah ada sijil Darjah Khas ini dan kelulusannya baik, bolehlah beliau bercanang-canang untuk memasuki pengajian Islam di Maahad untuk menjadi Ustaz/Ustazah.


Darjah Khas dibuat pada setiap hari Sabtu, dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Pembelajaran kini sudah masuk ke fasa ulangkaji, serta pengukuhan terhadap apa yang dipelajar semasa pengajian darjah 1 hingga 6. Ramai di kalangan pelajar yang lulus darjah 6 akan sambung untuk mengikuti Darjah Khas. Penulis belajar Darjah Khas pada Tingkatan 3. Pada ketika itu, Bukan senang untuk membahagikan masa belajar untuk pelajaran sekolah menengah dan sekolah agama. Sembilan subjek PMR dan 12 subjek Darjah Khas; nasib baik masa peperiksaannya tidak sama. Darjah khas biasanya diadakan semasa cuti sekolah akhir tahun; selepas SPM.


Sebagaimana yang penulis tekankan pada awal tadi, pembelajaran dahulu dan kini jauh berbeza. Dahulu, penulis terpaksa bekejar-kejaran dari SMK Tasek Utara untuk pulang ke rumah (balik dalam pukul 2 petang) untuk tiba di Sekolah Agama Dato' Omar Yusuf (SADOY) pada pukul 3.30 petang. Apabila musim "sukan" sekolah menengah, ada sahaja sehari yang terpaksa penulis ponteng sekolah agama untuk menyertai aktiviti sukan sekolah yang diadakan pada waktu petang. Jadi, di situ sahaja sudah ada kompromi yang perlu dibuat.


Sewaktu Darjah Khas pula, penulis berada di Tingkatan 3. Ketika itu, kegiatan ko-kurikulum hari Sabtu pula yang menjadi kompromi. Penulis masih ingat perang "surat menyurat" antara sekolah menengah dan sekolah agama yang mengkehendaki pelajar menghadiri kelas/kegiatan ko-kurikulum. Namun, penulis tetap bertegas untuk ke sekolah agama demi menghadiri kelas Darjah Khas. Puas juga penulis dan rakan-rakan penulis (ketika itu Hisham, Hadi) pergi ke pejabat pentadbiran di sekolah menengah untuk menerangkan keadaan sebenar kepada penolong pengetua akademik. Ustazah di sekolah menengah turut memujuk dengan alasan bahawa semua yang dipelajari semasa Darjah Khas akan turut diajar kelak. Namun, pada ketika itu, penulis tidak peduli! Darjah Khas tetap Darjah Khas. Darjah Khas perlu ditamatkan juga.


Kini, kesemua itu hanya tinggal kenangan. Mungkin, disebabkan penglibatan secara langsung tentang isu pihak sekolah menengah dan sekolah agama menjadikan atau mengajar penulis menjadi kritikal. Penulis terpaksa berkompromi itu dan ini untuk mendapat apa yang penulis inginkan – pembelajaran sekolah agama. Pun begitu, dalam banyak keadaan pun, sekolah agama jugalah yang menjadi manga ponteng penulis. Kalau ada latihan drama waktu petang, maka sekolah agamalah yang menjadi mangsa. Waktu latihan sukan, sekolah agama yang turut diponteng. Begitulah adanya....


Senario sekarang sudah berubah. Sebagaimana yang diterangkan pada awal tadi, umur darjah 1 sekolah agama kerajaan Johor kini sudah diselaraskan mengikut umur sekolah rendah. Terfikir juga bagaimanakah ini akan mengubah silibus sekolah agama. Adakah pelajar darjah lima dan enam (umur 11-12 tahun) sudah bersedia untuk mempelajari hal-hal seperti "sifat ta'aluk bagi Allah" (Tauhid), wajib haji dan fardu haji (Ibadah) hal-hal berkaitan nikah kawin cerai (munakahat), hal-hal seperti mudharabah, musyarakah, baiatus salam (muamalat) dan lain-lain lagi? Penulis percaya, yakin dan berharap agar hal-hal berkaitan pedagogi ini akan mendapat perhatian Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor supaya pelajar yang mempelajarinya akan benar-benar faham apa yang diajar.


Selain itu, kelangsungan sistem pendidikan sekolah agama juga harus diperhatikan. Semasa timbul isu tentang berbelas A dalam SPM disebabkan pelajaran aliran agama Sains, penulis kira model sekolah agama kerajaan negeri boleh dijadikan alternatif bagi menyelesaikan masalah tersebut. Melalui pengalaman penulis di sekolah agama, pembelajarannya jauh lebih mendalam seandainya dibandingkan dengan subjek Pendidikan Islam di sekolah menengah rendah. Penulis mempelajari hal-hal muamalat, munakahat, faraidh, jinayat, hadis, hatta perkara ibadat seperti haji, umrah, akikah, korban pada ketika Tingkatan 1,2 dan 3 lagi. Sedangkan silibus sebegini hanya akan diajar di sekolah menengah pada waktu tingkatan 4 dan 5.


Perkara seperti faraidh pula langsung tidak disentuh dalam silibus Pendidikan Islam menengah; tidak tahulah bagi mereka yang mengambil jurusan sains agama?! Sebab itulah orang Islam sekarang ini pun masih tidak memahami konsep "wasiat" dalam Islam iaitu bahagian harta si mati yang hanya boleh diterima oleh YANG BUKAN WARIS (maksimum 1/3 harta si mati). Maka, secara syarak, tidak sepatutnya wasiat harta si mati kepada sama ada anak, isteri, ibu, bapa dan ahli waris lain (sebenarnya ada perdebatan juga tentang hal wasiat harta ini; namun pendapat yang dipilih di sini ialah pendapat yang
 masyhur dalam Mazhab Syafie). Ahli waris akan mendapat pembahagian harta pusaka melalui fardu (jamak – faraidh) dan asabah yang telah ditetapkan oleh syarak melalui Al-Quran, Hadis dan ijtihad para sahabat RA. (Ditegaskan di sini kalau si mati belum siap-siap membahagikan harta i.e. menukar namanya kepada anak-pinak dan keluarga tedekat mengikut kehendaknya melalui kaedah hibah maka pendekatan faraidlah yang perlu digunakan dalam pembahagian harta pesaka).


Begitulah adanya. Penulis merasai betapa sistem pendidikan sekolah agama Johor yang pernah penulis alami dahulu merupakan template untuk pengetahuan agama yang penulis fahami. Banyak asas pengetahuan agama penulis peroleh dari situ. Dan penulis tidak merasa menyesal sedikitpun, malah merasa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana Tuhan memberi penulis ruang dan peluang untuk menyertainya. Mungkin pengetahuan yang diperoleh tidak sebegitu banyak berbanding yang benar-benar mendalami ilmu agama (seperti yang belajar di SMKA, Maahad, Madrasah, jauh sekali hendak dibandingkan dengan yang belajar di Fakulti Islam di universiti?!) namun pada penulis, itulah asasnya kepada pengetahuan agama kita.


Zaman sudah berubah. Ibu bapa semakin sofistikated. Tidak hairanlah ada ibu bapa yang mengabaikan langsung pembelajaran agama anak-anak mereka. Tatkala kita asyik buat-buat pening kepala kenapa kebejatan sosial semakin menular; rompak, rogol, rempit, rasuah bunuh dan sebagainya; mari kita tanya diri kita sejauh manakah kita telah bersedia secara rohani bagi menghadapi zaman akan datang. Tidak dapat tidak, ajaran dan amalan agama yang akan menjadi pembenteng kita daripada hanyut ke dalam arus keduniaan. Walau dimana pun kita peroleh ilmu tersebut, selagi kita peroleh dari guru yang mursyid, maka nescaya ilmu tersebut mampu memberi manfaat kepada kita.


Demi sesungguhnya, Allah jualah yang memberikan Taufik-Nya.



Wednesday, June 17, 2009

Dari hal pati manggis

Satu kelebihan berada di rumah (i.e. tak kerja atau tak belajar) adalah masa yang boleh digunakan untuk menonton TV, lebih-lebih lagi talkshow waktu pagi. Kadang –kala informasi yang dibincangkan atau dibawa adalah sangat menarik, tidak kurang juga ada yang sekadar untuk memasarkan barangan syarikat tertentu. Namun, kita kena lihat sudut yang baik bagi satu-satu perkara. Untuk itu, memang puaslah penulis menukar-nukar siaran TV waktu pagi bagi menonton perbincangan yang memuaskan hati penulis – dari TV1 (SPM), TV3 (MHI) dan NTV7 (The Breakfast Show) – siaran-siaran TV yang mempunyai rancangan bual bicara pagi pada hari biasa.

Salah satu perbincangan yang menarik perhatian adalah pada siaran The Breakfast Show baru-baru ini yang membawa satu produk "manggis" yang dijadikan sebagai "pati manggis." Walaupun mod perbincangan ketika itu berbentuk pemasaran produk, apa yang menarik perhatian penulis adalah betapa pemasar/syarikat yang kononnya memasarkan produk pati manggis itu adalah syarikat luar negara – wakilnya yang hadir ke rancangan tersebut juga adalah orang putih! Manggis(Garcinia mangostana) yang sebetulnya adalah tumbuhan tropika yang begitu banyak ditanam di Malaysia dijadikan produk kesihatan oleh sebuah syarikat luar negara? Hebat betul buah manggis! Dan salah satu claim yang dibuat oleh mereka adalah pati manggis sebagai satu agen antipenuaan – yang secara terang-terangan adalah BENAR!

Untuk rekod, di kawasan Johor Bahru/Kulai, harga sekilo manggis boleh mencecah RM 3.00-RM4.00. Ada yang mendakwa manggis mereka berasal dari Muar, ada yang kata dari Pahang, tidak kurang juga ada yang begitu bebesar hati untuk mengaku bahawa manggis mereka dari Thailand. Namun, tidak sebagaimana belambaknya durian pada musim durian (kadang kala sampai ke tahap bayar RM 10, makanlah sepuas mana atau sebiji seringgit!!!!) harga manggis boleh dikatakan masih stabil untuk satu hasil pertanian. Setakat ini, harga tipikal adalah sekitar tiga kilo sepuluh ringgit.

Jadi, agak-agaknya, berapakah pula harga pati manggis yang dikatakan dicampur dengan kulit manggis itu? RM30 sebotol? RM 50 sebotol? RM100 sebotol? Lebih-lebih lagi, unsur "antipenuaan" yang pastinya memukau golongan-golongan yang begitu mengambil berat terhadap kesihatan dan kecantikan mereka dengan harapan bahawa mereka akan dapat melambatkan penuaan dengan pengambilan jus manggis ini. Penulis secara peribadi bersetuju dengan dakwaan antipenuaan tersebut – kulit buah manggis yang berwarna keunguan – menunjukkan ia mempunyai kandungan fitokimia(phytochemical)yang tinggi terutamanya unsur flavonoid yang berpotensi menjadi antioksidan (dalam bahasa biasanya – antipenuaan). Tapi kalau sampai nak beli pati manggis – hal ini merupakan sesuatu yang berbeza.

Sebagaimana yang pernah penulis utarakan dalam tulisan penulis sebelum ini (di bawah label kesihatan), industri kesihatan merupakan satu industri yang semakin berkembang. Andai seseorang itu pandai mencari peluang, maka setiap peluang akan membuka ruang. If there is a will, there is a way. Oleh itu, tidak salah sebenarnya orang putih menjadikan manggis sebagai pati manggis. Mereka yang sudah berusaha sampai ke situ dahulu. Maka, bilakah pula anak tempatan akan mewujudkan pati rambutan, pati ciku, pati langsat pula? Atau kita akan terus ketinggalan dek kecanggihan teknologi sehinggakan durian D24 pun diimport dari Thailand?!?! Itu yang sampai jual sebiji seringgit!!!

Selain itu, penyelidikan dan pembangunan hasil tempatan perlu diperkasakan. Penulis pernah pergi ke sebuah pameran bioteknologi yang mana antara peserta pameran tersebut yang memasarkan produk herba dari India. Produk herba ini dipercayai digunakan dalam perubatan Ayurveda dan/atau Unani Tibb. Aneh, sampai ke India kita hendak mencari produk herba sedangkan rumput-rampai belakang rumah pun masih kita tidak kaji potensinya untuk dijadikan ubatan herba?!

Penyelidikan ubatan herba terutamanya yang murah dan mudah diperoleh perlu dipergiat. Hal ini disebabkan keadaan persekitaran kita yang semakin tidak sihat – dengan jerebu, asap kenderaan dan pelbagai "radikal bebas" yang mampu menyerang badan. Kita pun sudah banyak makan makanan segera dan juga menyiram buah-buahan dan sayur mayur kita dengan racun serangga. Belum lagi dicampur dengan keduri-kendara jamuan makan yang pelbagai yang perlu kita hadiri pada kala hujung minggu atau di tempat kerja!Penyakit binatang pun sudah menyerang manusia. (selesema babi dsb..) Sudahlah penyakit bawaan binatang (seperti denggi, malaria, Chikugunya) pun, kita masih teraba-raba untuk mencari penyelesaiannya!

Oleh sebab itu, adalah sangat bermanfaat seandainya kita mengkaji potensi tumbuhan mudah diperoleh agar kita boleh manfaatkannya dengan menjadikannya sebagai teh, atau dibuat "ulam" dan sebagainya. Bagi yang ada duit, bolehlah membelinya dalam bentuk kapsul namun bagi yang tidak, boleh juga dimanfaatkan tumbuhan mudah diperolehi itu. Semua orang boleh dapat manfaat yang sama. Oleh sebab itu, kita boleh kurangkan kos ubatan dan kos rawatan.

Kesemua ini dengan harapan, tidak perlulah kita tunggu sampai orang putih sekali lagi datang ke siaran TV dan memasarkan produk mereka yang mana tumbuhan tersebut secara terang lagi bersuluh diperoleh dari negara kita dan dikatakan bahawa pati sekian sekian ini dapat merawat penyakit sekian-sekian. Dan penyelidik-penyelidik dan agen pemasaran kita tidak perlulah sampai ke India atau Vietnam, atau China untuk mencari ubatan herba untuk dipasarkan di Malaysia sedangkan banyak sekali tumbuhan herba di Malaysia yang kita sendiri tidak kaji potensinya untuk dijadikan ubat. Dan kita pula tak perlulah banyak sangat berfikir tentang wang ringgit apabila kita dan/atau orang tersayang memerlukan kos perubatan... Alternatif ada, apa salahnya kita gunakan?

Nota kaki

Menarik juga kita buat satu kajian lingusitik tentang etimologi perkataan manggis. Manggosteen – manggisteen – manggis ???

Tuesday, June 16, 2009

Membina semula dari runtuhan

Memalukan. Itu frasa yang disebut oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor terhadap kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh di Terengganu. Penulis turut berkongsi frasa yang sama dalam hal ini; dengan sedikit tambahan – "Menganehkan!!!"

Penulis bukan seorang jurutera; jauh sekali belajar di sekolah teknik. Namun, hal-hal seperti bangunan runtuh, bumbung runtuh, flyover retak, siling bocor, hospital berkulat kesemuanya sentiasa bermain dengan satu perkara – nyawa manusia. Sebab itu kita tidak hairan dengan kartun-kartun yang menyindir sinis tentang bumbung stadium runtuh diterbitkan dalam akhbar utama; mahupun akhbar alternatif. Sudahlah nyawa manusia menjadi kompromi, jangka masa berlakunya retak, bocor, runtuh berkulat yang sangat-sangat pendek setelah masa selesai pembinaan menimbulkan tanda tanya – apa sebenarnya yang mereka bina?

Sebagaimana biasa, tuding- menuding berlaku dan sebagaimana biasa juga, hal ini memerlukan masa yang sangat lama untuk mencari kepastian akan siapa yang seharusnya dipersalahkan. Mungkin ada pihak yang menerima kesalahan tersebut dan mungkin juga liabiliti tersebut tidak ditanggung oleh sesiapa. Kalau keadaan yang terakhir yang berlaku, siapakah yang sebenarnya hendak kita salahkan? Mother nature? Sudah sampai ajal bumbung nan setahun?

Sekali lagi, kredibiliti kerajaan sebagai kerajaan yang "dipilih rakyat" akan dipertikaikan. Oleh sebab itu, tindakan drastik seharusnya diambil oleh pihak kerajaan bagi menangani masalah sebegini daripada berlaku lagi. Bukanlah semata-mata hendak mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, langkah pencegahan juga perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk lagi daripada berlaku sehingga mungkin boleh meragut nyawa pula.

Pengumuman oleh YB Menteri Kerja Raya tentang hanya kontraktor A yang mempunyai pensijilan ISO sahaja yang akan diberi keutamaan untuk projek akan datang memberikan impresi yang baik terhadap kaedah yang akan digunakan bagi menentukan bakal penerima projek pada masa akan datang. Almaklumlah, ISO akan dikaitkan dengan kualiti. Semakin berISO sesebuah syarikat/jabatan/organisasi maka semakin berkualitilah syarikat/jabatan/organisasi tersebut – pada persepsi orang ramai.

Penulis pun bersetuju dengan cadangan tersebut. Namun, ISO mana yang hendak dimiliki oleh syarikat pun perlu dijelaskan. Almaklumlah juga, ISO mempunyai banyak familinya. Ada yang lebih kepada pengurusan kualiti, ada yang kepada pengurusan alam sekitar (yang berkualitilah juga!!!) ada yang pengurusan IT (berkualiti)... pendek kata banyak sekali standard ISO yang wujud dan diwujudkan di atas muka bumi ini. Jadi, standard mana yang penting pun perlu diterangkan agar kualiti yang dikehendaki itu kena pada tempatnya.

Mempunyai ISO dan mengamalkan apa yang terkandung di dalam ISO adalah dua perkara yang sangat berbeza. Sesebuah syarikat/organisasi/jabatan boleh jadi mempunyai ISO, namun amalan/perlaksanaan belum tentu berkualiti. Lebih lagi kalau pensijilan yang diperoleh adalah semata-mata bagi memenuhi kehendak kerajaan yang mengkehendaki organisasi/jabatan/syarikat tersebut mempunyai ISO – jadi "keikhlasan" sesuatu organisasi itu memperoleh pensijilan ISO boleh kita pertikaikan.

Mungkin track record yang baik juga perlu dijadikan asas kepada membuat sesuatu keputusan. Syarikat yang mempunyai track record yang baik memberikan kelebihan kepercayaan kepada syarikat tersebut. Sesebuah syarikat yang mempunyai track record yang baik seharusnya dapat mengoptimumkan sebarang sumber yang mereka ada dan dapat memenuhi janji yang mereka telah taburkan semasa hendak mebida projek tersebut. Aduan yang dilaporkan selepas projek selesai juga seharusnya minimum.

Namun, yang lebih penting adalah kerajaan sendiri perlu melakukan sesuatu bagi memberikan persepsi yang baik kepada rakyat Malaysia. Kerajaan seharusnya membuat keputusan yang betul bagi memberikan kontrak kepada mereka yang selayaknya mendapat kontrak tersebut. Projek kerajaan menelan wang rakyat. Dan jargon seperti wang rakyat, pembayar cukai dan hak rakyatlah yang akan menjadi senjata utama pihak yang berkepentingan bagi mempersoalkan ketidakcekapan kerajaan memilih syarikat yang betul untuk melaksanakan projek kerajaan.



Persepsi rakyat terbina dengan pemerhatian yang dapat mereka lakukan terhadap subjek (kerajaan). Sebagai contoh, gambar yang dilampirkan. Ada yang mungkin melihatnya sebagai muka dua orang yang saling bersetentang. Ada juga yang melihatnya seperti pasu (vase). Mereka (rakyat) bebas melihat dan menilai apakah gambar itu sebenarnya. Oleh sebab itu, kebenaran telah menjadi relatif pada mereka. Apa yang dilaporkan oleh kerajaan boleh jadi diterima atau disanggah oleh mereka. Mengambil contoh gambar dibawah, bagaimanakah kerajaan boleh meyakinkan kepada rakyat bahawa apa yang dilihat adalah pasu (vase) dan bukannya dua muka yang bersetentang? Itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh kerajaan sekarang - Membina persepsi yang baik kepada rakyat
 


 

Nota kaki

Gambar yang digunakan dikenali sebagai "Rubin vase" yang menjadi contoh popular dalam membincangkan topik psikologi kognitif (cognitive psychology) seperti persepsi.

Monday, June 15, 2009

Statistik bombastik

"Apa maksud P value ni?" tanya penulis kepada salah seorang rakan penulis. Beliau membuat kajian tentang aktiviti antimikrob di dalam sireh.

"Maksudnya nilai tu significant," jawabnya ringkas.

"Apa yang significant?" penulis bertanya lagi.

"Oh, maksudnya ujian ini significant la. Ujian ini significant secara statistik."

"Ujian ini significant secara statistik?" penulis melanjutkan soalan. Penulis sebetulnya tidak faham apa yang singnificantnya P value itu terhadap ujian yang beliau jalankan.

"Haah, maksudnya ujian ini significant berbanding dengan control," jawabnya dengan yakin.

Begitulah antara jawapan yang penulis peroleh apabila bertanya kepada rakan penulis yang membuat kajian bioaktiviti di dalam ekstrak tumbuhan. Perkataan significant merupakan antara perkataan yang popular apabila menerangkan hasil kajian mereka yang mereka katakan dilakukan "secara statistik" itu. Ujian apa yang significant, penulis tak tahu. Namun, pada penulis, kita sebetulnya harus tahu apa yang kita buat sebelum melabel sesuatu itu significant atau tidak.

Hal inilah yang mendorong penulis tidak membuat ujian statistik yang canggih-canggih semasa membuat projek tahun akhir di UM dahulu. Penulis guna peratus dan graf bar; cukup. Sebab pada ketika itu, penulis berpendapat keputusan penulis yang lebih perlu dititikberatkan adalah sama ada ekstrak kunyit mempunyai aktiviti antioksidan atau tidak. Period. Tak ada kaedah significant atau tidak. Lagipun, hendak buat ujian statistik apa kalau ekstrak kunyit TIDAK mempunyai aktiviti antioksidan? Sebab itu penulis tumpu kepada bagaimana hendak membuat ujian-ujian bioassay bagi aktiviti antioksidan. Dapatkan bacaan absorban dari spektrofotometer. Tolak itu dan ini, jadikan peratus. Cukup.

Ada juga rakan penulis yang membuat ujian t – puaslah beliau hendak menerangkan "significant" tersebut kepada penilai. Tetapi, nak buat macam mana? Penyelia yang suruh buat ujian statistik, jadi, kena buatlah juga! Bila beliau tanya penyelia, apa yang kena buat? Penyelia jawab, "Eh, awakkan dah belajar?! Buat sahajalah yang patut!"

Ujian statistik menjadikan sesuatu kajian itu gah. Seakan-akan ada satu nilai tambah sekiranya ujian statistik disertakan bersama-sama dengan kajian bioaktiviti yang dilakukan oleh pelajar. Soalnya bukan ujian statistik itu gah atau tidak – yang lebih penting ujian tersebut sesuai atau tidak. Lepas itu, pelajar tersebut FAHAM atau tidak dengan ujian statistik yang beliau laksanakan? Kalau tidak, buat apa buat?

Sebab itu, selepas penulis mengambil master penulis yang banyak bergelumang dengan statistik, penulis semakin sedar – banyak yang penulis tak tahu pasal statistik ini. Namun, dapat tahu itu dan ini juga memberikan penulis kefahaman yang lebih tentang bila nak guna ujian itu dan ini. Bukan semua boleh taram buat ujian t sahaja!!! Bukan semua main belasah buat ANOVA saja.... Kalau nilai P itu 0.00 – significant ke tidak? Kalau significant, apa yang significantnya???? Bukannya main belasah sahaja cakap significant tak significant!!!!! How random is random?????

Itupun, ditambah lagi dengan kemudahan perisian komputer, lebih mudahlah orang untuk membuat ujian statistik. Kalau tidak, nak mengira pakai kalkulator, alamatnya banyak yang salah tekan nombor berbanding dari salah jalan kira/kerja!

Ada organisasi yang beria-ia hendakkan laporan mereka dibuat secara statistik dengan menggunakan perisian seperti SPSS, tapi dalam laporan itu cuma hendak mod, min, median. Kalau setakat nak yang itu, tak payah SPSS pun tak apa! Hendak diikutkan, Excel sebenarnya sudah mampu membuat pelbagai ujian statistik – jadi kenapa nak menyusahkan diri hendakkan SPSS juga? Sebabnya, SPSS lebih "gah" daripada Excel agaknya....

Penulis kira trend-trend sebegini seharusnya diambil perhatian. Jangan sebabkan hendak gah, nak gempak, cara interpretasi keputusan menjadi salah. Sebab itu kita kena tanya kepada mereka yang faham. Penulis banyak tak faham tentang statistik, jadi kena tanya orang yang faham. Tak ada pun, baca sampai faham.

Jadi, kepada sahabat-sahabat penulis yang membuat penyelidikan, kalau nak buat ujian statistik tu, kenalah faham apa yang hendak dibuat. Kalau penyelia yang suruh buat, tanya beliau betul-betul apa yang beliau nak. Kalau beliau pun macam tak faham, kena belajar dari yang faham... Dan kalau dah tak faham-faham – JANGAN BUAT!


 


 

Friday, June 5, 2009

Krisis Kewangan 2007-20??: Perhatian kepada Subprima

Pendahuluan: Tumbangnya Gergasi Dunia

Lingkupnya General Motor, salah sebuah syarikat automotif terbesar dunia memperlihatkan kepada kita bahawa krisis kewangan/ekonomi tidak mengenal status syarikat itu kecil ataupun besar – semua disapunya. Penulis cuba untuk menulis perkara berkaitan subprima ini sejak September 2007 lagi, namun disebabkan pemahaman penulis yang masih samar, penulis merasakan adalah lebih baik untuk penulis mengaji dahulu isu ini sebelum cuba menerokainya dalam bentuk tulisan. Tatkala Julai 2007, tidak siapa yang menyangka syarikat kewangan seperti Lehman Brother boleh lingkup. Namun, pada Mei 2009, siapa pula yang boleh terfikir bahawa gergasi automotif seperti GM pun boleh lingkup!

Isu subprima adalah sekadar sebahagian penyebab kepada krisis kewangan sekarang ini. Ada penganalisis yang berpendapat bahawa isu ini adalah faktor utama kepada krisis ini, ada juga yang berpendapat bahawa isu ini adalah sebahagian sahaja faktor yang berkait dengan krisis kewangan ini. Bagaimanapun, daripada pemahaman penulis, hendak atau tidak, subprima merupakan penyebab kepada krisis kewangan global yang sedang berlaku – persoalan sama ada penyebab utama (main cause) atau penyebab sampingan (additional causes) itu terpulang kepada perspektif masing-masing.

Pada mulanya, Kerajaan Malaysia dengan bangganya mengisytiharkan bahawa Malaysia tidak akan sama sekali terjejas oleh sebab krisis subprima ini. Akan tetapi, keadaan sebaliknya berlaku apabila banyak juga kilang di Malaysia yang turut sekali gulung tikar dek kerana krisis kewangan ini. Sebenarnya, amat mudah untuk kita tentukan sama ada Malaysia akan terjejas atau tidak. Amerika Syarikat (AS) adalah rakan dagang terbesar Malaysia – mana mungkin kalau rakan dagang terjejas, satu lagi rakan dagang tak terjejas? Pendapatan kita yang sememangnya banyak bergantung kepada eksport menyebabkan walau apa sahaja iklim ekonomi dunia, Malaysia nak tak nak akan turut terjejas seandainya kesukaran berlaku kepada rakan dagang besar kita!

Apa sebab, apa kes?

Jadi, apa yang berlaku di AS yang menyebabkan kesan dahsyat yang berlaku pada masa sekarang ini? Ada pelbagai faktor yang menyebabkan kejadian ini berlaku. Sekadar menyebut beberapa; kebangkitan kuasa ekonomi baru iaitu negara China, peristiwa 11 September, serangan Amerika terhadap Afghanistan dan Iraq, fluktuasi harga minyak dan komoditi dunia, krisis makanan, peningkatan harga hartanah dan penurunan harga hartanah. Serangan 11 September menimbulkan pelbagai persoalan kepada pelabur-pelabur yang ingin melabur di pasaran Wall Street. Ada yang sangsi dan ada yang tidak keberatan untuk terus melabur. Namun, kesannya nyata adalah pelabur takut melabur. Dalam pada masa yang sama, peminjam takut juga meminjam.

Hal ini mendorong Simpanan Persekutuan AS untuk merendahkan kadar faedah mereka serendah 1 peratus. Ada yang berpendapat kadar faedah serendah inilah yang menyebabkan masalah berlaku. Namun pada asasnya kadar faedah serendah inilah yang mampu mengekalkan kelangsungan ekonomi AS pada ketika itu yang sememangnya sedang lemah (akibat rasa takut terhadap peristiwa 9/11). Oleh sebab itu, pengusaha-pengusaha bank juga dapat meminjam dari Simpanan Persekutuan juga dengan faedah yang rendah juga.

Dalam keadaan biasa, penjual hartanah akan menjual hartanah kepada pembeli, dengan menjadikan hartanah yang dibeli oleh pembeli sebagai cagaran kepada pinjaman bank. Masuk akal bukan? Begitulah yang berlaku di mana-mana termasuk Malaysia. Rumah yang dibeli oleh pembeli secara teknikalnya adalah milik bank sehingga kita menyelesaikan hutang pinjaman bank. Kita pada asalnya akan disuruh membayar bayaran pendahuluan (down payment) sebanyak beberapa peratus sebelum boleh berurusan membeli rumah. Dan pihak bank juga akan mengenakan pelbagai syarat tertentu bagi memberikan pinjaman kepada pembelian rumah tersebut; kadang kala dapat penuh, kadang kala tidak. Dan kita sebagai pemilik rumah juga mendapat faedahnya kerana secara teorinya harga hartanah akan sentiasa meningkat (real estate 101). Andai kita menjual hartanah kita, kita pasti akan mendapat keuntungan.

Semua berkehendakkan keuntungan

Dalam konteks krisis subprima AS, cagaran itu tadilah yang dijadikan sebagai "produk" oleh pihak penjual rumah untuk dijual kepada pihak bank pelaburan. Bank pelaburan, demi untuk membeli gadaian itu tadi telah membuat pinjaman pula daripada institusi lain (contohnya Simpanan Persekutuan). Seterusnya, bank akan mengumpulkan segala cagaran-cagaran tersebut dalam satu "bungkusan" dan akan meminta satu agensi untuk membahagikan cagaran-cagaran tersebut kepada beberapa kategori/gred yang tertentu. Ada yang gred baik iaitu selamat pulangan baik; gred sederhana iaitu selamat, pulangan lebih baik tetapi berisiko dan gred berisiko tinggi dan pulangan pun... diharapkan tinggi jugalah!

Kemudian, mereka pula akan menjual semula cagaran-cagaran yang telah digred ini kepada pelabur-pelabur lain; seperti syarikat kewangan yang lain atau pelabur asing lain dengan harga yang lebih tinggi bagi mengaut keuntungan. Sehingga ke tahap ini, seandainya pembeli rumah tidak mampu untuk membayar bayaran bulanan, rumah itu akan ditarik oleh pihak bank dan akan dilelong – bagi mengkayakan lagi pihak bank yang sudah sememangnya telah kaya. Setakat ini, urusan belian-pinjaman-cagaran ini digelar sebagai urusan prima. Keuntungan sebegini (yang digelar sebagai jual beli leverage) menyebabkan pihak bank dan pelabur merasakan bahawa mereka masih boleh mendapat lebih daripada apa yang telah disediakan.

Dasar prima kepada subprima

Oleh sebab itu, permintaan terhadap cagaran meningkat. Maka, bagi penjual pula, mereka juga terdesak untuk mendapatkan pembeli rumah yang baru kerana mereka juga akan mendapat manfaat daripada yuran, komisen etc. Oleh sebab itu, disebalik mencari pelanggan yang benar-benar layak untuk membeli rumah, meminjam wang dan sebagainya, mereka memperkenalkan pula syarat zero down payment, tanpa mengira sebarang sejarah pinjaman, tanpa itu dan ini – menyebabkan orang yang sepatutnya tidak boleh meminjam kini boleh meminjam untuk membeli rumah (dari satu segi, menambahkan risiko). Tambahan pula, disebabkan peristiwa 9/11 juga, pihak hartanah AS sangat-sangat takut akan kejatuhan harga hartanah kerana kemungkinan tidak ada pembeli; maka hal-hal sebeginilah yang menyebabkan mereka sanggup untuk membuat urusan yang digelar sebagai subprima – pemberian hutang kepada yang mereka tahu tidak mampu.

Sebagaimana biasa kitar di atas berlaku semula. Cagaran ===> Bank pelaburan ==> "bungkusan" cagaran ==> Pengredan ===> Penjualan kepada pihak ketiga dan sebagainya; demi untuk mengaut keuntungan. Namun, mungkin mereka tidak sedar/tidak tahu/ buat-buat tak sedar/buat-buat tak tahu bahawa pembeli mereka (yang sebetulnya tidak layak membeli rumah) tidak akan mampu membayar harga ansuran yang telah mereka tetapkan. Tambahan pula, kadar faedah yang makin meningkat menyebabkan pembeli rumah itu tadi tidak mampu untuk membayar harga rumah dan hartanah mereka akan dirampas. Pihak bank pun tidaklah berasa tertekan sangat pada mulanya. Namun, bayangkan seandainya berlaku beribu-ribu kes yang sama melanda satu institusi kewangan yang sama. Sudah pasti mereka tidak akan mendapat wang tunai untuk dijadikan modal pusingan kepada kegiatan perbankan mereka. Akhirnya, pihak bank tidak mendapat sebarang wang tunai sebaliknya hanya mempunyai hartanah yang kononnya mempunyai nilai masa hadapan (future value) yang tinggi.

Kesan kitaran

Pun begitu, dalam masa yang sama, siapakah pula yang boleh membeli rumah dalam harga yang terlalu tinggi? Masalah timbul apabila orang kebanyakan tidak lagi dapat/hendak membeli hartanah yang mereka tawarkan dan akhirnya daripada harga hartanah yang tinggi akan menjadi rendah. Pihak bank pelaburan sekali lagi dalam hal ini tidak mendapat sebarang faedah kerana mereka ketiadaan wang tunai bagi digunakan untuk kitaran perniagaan mereka. Kejatuhan harga juga akan menyebabkan nilai "bungkusan" cagaran mereka menjadi rendah dan tidak akan dapat menarik pelabur lain untuk membeli "bungkusan" tersebut! Bayangkan dengan ketiadaan wang masuk daripada pembeli rumah, kejatuhan harga rumah yang mereka "rampas semula," kejatuhan nilai "bungkusan" cagaran dan keengganan pembeli baru membeli rumah (atau sebenarnya tak siapa yang hendak membeli rumah) – segala-galanya berkait dengan isu subprima sahaja. Hal ini menyebabkan bank akan kehilangan modal kitaran, seterusnya menyebabkan mereka lumpuh – menyebabkan juga rakan niaga bank tadi pun turut serta lumpuh dek terkena kesan daripada keadaan semasa.

Oleh kerana itulah kes yang berlaku di AS memberi kesan kepada Britain dan Jepun; disebabkan mereka merupakan rakan niaga terbesar AS. Dan pastilah Malaysia yang selama inipun bergantung kepada pengeksportan produk ke AS turut akan terkena kesan. Kesemua inilah yang digelar oleh sebahagian penganalisis sebagai kesan kitaran (cyclic effect) atau kesan domino (domino effect). Dicampur dengan kesan-kesan lain seperti perang Iraq, krisis buatan AS sendiri, kemunculan kuasa ekonomi baru seperti China dan India, itu dan ini menyebabkan masalah yang dahulunya adalah masalah AS semata-mata kini merebak menjadi masalah dunia. Mungkin betul, isu subprima bukanlah satu-satunya penyebab (the cause) kepada masalah kewangan sekarang namun tidak dapat dinafikan bahawa isu ini telah menjadi satu penyebab (a cause) keadaan sekarang.


Penutup: Hala tuju dan cabaran

Pelbagai pandangan timbul tentang mengapakah krisis subprima ini berlaku. Ada yang berpendapat disebabkan 9/11, ada yang menyalahkan sistem pasaran terbuka/kapitalisme, ada yang menyalahkan penurunan kadar faedah Simpanan Persekutuan, tidak kurang ada yang menyalahkan ketamakan pihak-pihak berkepentingan (stakeholder) dalam kitaran tersebut. Namun, untuk memilih satu sahaja pesalah hal ini memang sukar. Dan selalunya, bagi umat Islam dan mereka yang beretika, pastilah sistem kapitalisme yang menjadi penyebab utama kepada masalah sekarang ini.

Pada pendapat penulis, memang benar bahawa sistem kapitalisme memberi kesan buruk; bukan sahaja tatkala kewujudan masalah kewangan global sebegini, tetapi kalaupun tidak ada masalah global pun, kapitalisme tetap mempunyai kesan buruk yang sangat-sangat dahsyat. Yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin tertindas.

Namun, cabaran yang lebih besar daripada menyalahkan kapitasime semata-mata adalah untuk mewujudkan satu paradigma/weltenschauung/program/rangka kerja baru bagi menggantikan kapitalisme itu sendiri. Sejauh manakah bank-bank Islam kita berfungsi sebagai bank Islam? Bagaimanakah sistem kewangan Islam kita hendak dijadikan daripada sekadar subset kepada sistem kewangan kepada satu sistem kewangan yang menyeluruh? Sampai bilakah akan wujud dikotomi yang dikatakan sebagai "syariah compliance" dengan yang "non-syariah compliance?" Apabila kita hendak membuat perubahan, tidak dapat tidak perubahan menyeluruh perlu kita laksanakan. Walaupun metodologinya sama ada beransur-ansur atau peringkat mikro kepada makro, namun perubahan keseluruhan tetap perlu dibuat. Sama ada evolusi atau revolusi, rangka kerja tersebut perlu kita sediakan untuk dipraktikkan pada masa akan datang. Dan penulis yakin dan berharap agar kita benar-benar menuju ke arah itu.

Dalam pada masa yang sama, kita juga mendapati kebergantungan kepada rakan niaga asing semata-mata tidak dapat tidak pasti mengheret kita bersama di dalam kancah masalah mereka. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kita mesti bergantung juga kepada orang lain untuk hidup, namun kita juga perlu memikirkan alternatif untuk berdiri dengan sendiri apabila keadaan kesukaran mendatang. Salah satu daripada pendapat penganalisis yang penulis sempat kutip adalah kita hendaklah memperkasakan kuasa beli rakyat pada keseluruhannya. Memang menyimpan merupakan amalan yang baik, namun kalau terlalu kedekut pun tidak memberi faedah yang banyak kepada negara.

Oleh sebab itu, tidak dapat tidak, taraf kehidupan rakyat Malaysia itu sendiri perlu ditingkatkan. Pengangguran perlu dibanteras sama sekali. Jurang pendapatan harus dikecilkan agar semua orang mampu. Kempen Belilah Barang Buatan Malaysia adalah langkah satu langkah permulaan yang baik. Kita perlu mengurangkan kebergantungan kepada sumber import; maka kita sendiri perlu mewujudkan sumber domestik. Ambil contoh daging – daging import lebih murah dari daging tempatan. Jadi, keperluan daging boleh kita penuhi dengan membanyakkan ternakan lembu, kambing untuk kegunaan domestik. Sudahlah karipap yang sebiji itupun sebenarnya bukan "buatan Malaysia" tulen – tepung gandum dari luar, kentang dari India/Indonesia, kari dari India, bawang dari India; inti daging pun dari India!

Oleh sebab itu, peningkatan kualiti hidup rakyat perlu diutamakan. Diharapkan cerdik pandai ekonomi dan kewangan kita akan dapat mewujudkan satu mekanisme yang terbaik bagi tujuan ini. Dan diharapkan agar kita akan benar-benar dapat bermandiri dengan segala cabaran ekonomi yang akan datang. Bersediakah kita pada ketika itu?

Nota hujung

Penulis mendapat banyak maklumat tentang isu subprima di dalam internet dan antara yang paling berguna dan paling mudah difahami adalah daripada satu video oleh Jonathan Jarvis yang disiarkan dalam laman web http://cashmoneylife.com/2008/09/29/economic-financial-crisis-2008-causes/ yang pada penulis sangat-sangat memudahkan pemahaman kita. Artikel di atas banyak mengambil idea daripada video tersebut. Selain itu, satu satira yang boleh dijumpai dalam You tube yang dilakonkan oleh John Bird & John Fortune yang mana kedua-duanya berbincang tentang apakah yang dimaksudkan dengan kesan subprima. Sebagaimana biasa, sumber Bahasa Melayu tentang isu sebegini adalah sangat-sangat terhad dan antara tujuan penulisan artikel ini adalah bagi menambahkan sumber tersebut.

Tuesday, June 2, 2009

Individualistik atau mutualistik

Berita lewat malam di TV1 31/05/2009 berkaitan dengan peristiwa kemalangan dan samun di Bangsar menggamit hati penulis. Sudahlah mangsa parah dan tidak ada yang boleh membantunya, barangan mangsa turut dirompak oleh penjenayah oppurtunistik. Kemudian, isu ambulans lambat tiba juga dibangkitkan oleh saksi yang menyatakan bahawa mangsa masih hidup dan seandainya mangsa diberi rawatan, terdapat kebarangkalian mangsa masih boleh diselamatkan. Saksi memberitahu bahawa sudah beberapa hospital yang telah beliau hubungi, antara lain HU (PPUM), Assunta (PJ) dan GH (HKL). Namun jawapan yang diterima adalah menghampakan – Ambulan akan sampai; sehingga kelewatan 40 minit gamaknya...

Kemalangan yang sudah berlaku pasti tidak dapat kita elak lagi. Perkara dah berlaku. Namun, peristiwa orang yang dalam keadaan nazak dirompak merupakan satu peristiwa yang sangat-sangat menyedihkan. Kononnya datang nak beri bantuan, sebaliknya pula yang berlaku. Hal ini sangat-sangat mendukacitakan, menghibakan dan sungguh-sungguh mengaibkan kehidupan manusiawi. Sudahlah berpura-pura hendak buat baik, ditambah susah pula pada mangsa! Penjenayah sebegini adalah lebih binatang daripada binatang. Lebih hina dina daripada haiwan. Sememangnya kelakuan sebegini tidak boleh diterima sama sekali dalam norma kehidupan manusia normal. Apakah kelak andai mereka dalam keadaan nazak, mereka rela dirompak pula oleh orang lain?

Satu lagi perkara yang menarik perhatian penulis adalah betapa saksi mengatakan bahawa ambulan datang lambat – menyebabkan mangsa tidak dapat diberi rawatan kecemasan yang memungkinkan kematian mangsa. Nampaknya, dilemma berkaitan bantuan kecemasan di Malaysia mungkin sudah berlaku. Atau sebenarnya dilemma ini sudahpun melanda dunia membangun sebagaimana dunia maju.. Andai seseorang yang jatuh dari sebuah bangunan, apakah tindakan yang boleh kita lakukan sebagai saksi kalau mangsa kelihatan masih dalam keadaan nyawa-nyawa ikan? Penulis pun terfikir perkara yang sama...

Langkah yang paling munasabah dan paling logik adalah kita sendiri menghantar mangsa ke hospital/pusat perubatan kerana sudah pastilah masa juga diperlukan untuk menunggu ambulans. Namun, mengapakah tidak pula berlaku sedemikian? Ambulans masih perlu ditunggu juga oleh saksi-saksi sementara saksi-saksi kuat-kuat pun hanya mampu mengalihkan mangsa ke tempat yang lebih selamat. Tidak pula mereka mengangkat mangsa dan menghantar mangsa ke hospital? Atau memberi bantuan kecemasan kepada mangsa..?

Hal inilah yang ditanya oleh Ustaz Andy, rakan penulis yang berasal dari Acheh. "Kenapa tidak langsung sahaja di hantar ke rumah sakit? Kalau di sana (di Indonesia) kejadian begini, pantas sahaja di bawa ke rumah sakit...!" Betul juga persoalan tersebut. Adakah rakyat Malaysia sayangkan kusyen kereta mereka kerana tidak mahu dipenuhi darah mangsa? Atau sememangnya masyarakat kita lebih individualistik berbanding di Indonesia? Masyarakat kita hanya mampu menunggu sehingga ambulans datang baru hendak di bawa ke wad kecemasan?

Individualistik atau tidak itu bergantung pada perspektif. Yang nyata, terdapat juga risiko tertentu yang mungkin akan ditanggung oleh "the good Samaritan" seandainya mereka-mereka ini benar-benar berniat baik untuk membantu. Mengalihkan mangsa dengan keterlaluan mungkin akan menyebabkan perubahan struktur tulang tertentu (dislocation) yang mungkin pula mengakibatkan tulang patah – kalau berlaku di leher alamatnya itulah yang menjadi penyebab kematian! Tambahan pula, tidak semua kereta mampu untuk menempatkan seseorang yang dalam keadaan baring tegak di dalamnya – kalau kereta kancil, sudah pasti terlalu sempit untuk seseorang baring di tempat duduk belakang. Hal ini juga memungkinkan peralihan tadi; atau masalah-masalah lain pula yang akan timbul disebabkan situasi tersebut.

Oleh sebab itu, dalam keadaan tersebut sebab itulah "agaknya" masyarakat di Malaysia – terutamanya di bandar mungkin tidak membawa mangsa ke hospital – terutamanya mangsa yang memang parah, nazak, yang sudah tidak dapat bersuara. Hal ini disebabkan seandainya tersalah langkah, tersilap cara, si penolong pula yang boleh disabitkan sebagai penyebab kepada kematian mangsa. Sememangnya masyarakat yang lebih "maju" akan memikirkan keadaan tersebut. Saman- menyaman boleh berlaku walaupun seseorang itu berniat baik. Tambahan pula dengan drama bersiri seperti CSI, Bones, yang membawa penonton kepada satu perspektif untuk mengetahui sebab kematian (post-mortem, forensic science) maka seandainya sebab kematian itu adalah disebabkan oleh yang membantu, bukankah akan berlaku satu paradoks – si penolong itulah yang sebenarnya menyebabkan kematian!

Bayangkan seseorang budak umur kurang tujuh tahun tiba-tiba pengsan. Tidak bernafas. Dan dewasa lain datang membantu, membuat CPR. Kaedah yang digunakan adalah sebagaimana CPR biasa (dewasa). Seandainya budak itu mati juga, ada kemungkinan budak tersebut mati disebabkan sternum (tulang tengah bahagian rusuk) budak itu patah disebabkan tekanan kuat di bahagian toraks. Dalam hal ini, teknik yang salah mungkin akan menyebabkan maut kepada seseorang mangsa atas perbuatan si pembantu! Andai keluarga mangsa boleh menerima dengan hati yang terbuka, redha dengan pemergian anaknya, tidak mengapalah. Namun, seandainya keluarga mangsa merasakan sebaliknya, maka saman-menyaman boleh berlaku. Si penolong tadi boleh didakwa oleh keluarga.

Pendidikan kecemasan perlu diperkasakan. Hal ini bagi membolehkan bantuan kecemasan dan segera diberikan – seandainya diperlukan. Kita selalunya mengambil mudah hal-hal ini. Sehinggakan pernah berlaku kejadian di satu persidangan antara doktor-doktor perubatan, ada salah seorang doktor yang tumbang pengsan, tiada seorang pun peserta persidangan itu (yang semuanya adalah doktor, MD!) yang tahu melakukan CPR. Bunyi macam kelakar seram tetapi itulah yang pernah berlaku di Malaysia! Apabila berlaku kemalangan yang fatal, selagi boleh dibantu patut dibantu. Namun, mungkin kita juga akan berada dalam dilemma, bantu salah; salah bantu pun salah. Jadi yang terbaik, berilah pendidikan sebaiknya kepada orang ramai agar niat bantu tersebut dapat dizahirkan oleh semua orang – dan bukannya kita sekadar menjadi saksi yang hanya termenung melihat mangsa sama ada hidup atau mati.