Kehangatan pilihan raya kecil (PRK) Hulu Selangor sudah pun reda. Kini, jentera BN dan PR akan bertumpu kepada PRK Parlimen Sibu pula bagi mengisi kerusi tersebut akibat kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew dari parti komponen BN, SUPP. Sama ada BN atau PR yang berjaya mengisi kekosongan tersebut, hanya pengundi sahaja yang akan menentukannya kelak.
Menyentuh kejayaan BN di Hulu Selangor, sebagaimana biasa, apabila parti PR tewas lebih-lebih lagi dari PKR, tiada alasan yang lebih layak untuk diberikan selain betapa BN berjaya membeli undi daripada penduduk di sana. Mungkin bagi PKR, "harapan baru untuk Malaysia" kini tinggal mengharap pilihan raya (kecil atau umum) akan datang agar harapan tersebut dapat dikecapi. Bagi pihak BN, kejayaan itu dikatakan sebagai "referendum" oleh rakyat yang mengiktiraf dasar pembaharuan yang dibawa oleh BN dan PM Najib. Ada pendapat yang menyarankan bahawa PRK Hulu Selangor seolah-olah pewakilan mikro komposisi masyarakat Malaysia, maka kejayaan BN di sana seolah-olah satu "sampel" kepada suara hati rakyat Malaysia terhadap parti yang bertanding.
Harus sekali seandainya demikian yang berlaku, pihak yang benar-benar dalam keadaan tertekan adalah pihak BN. Masakan tidak! Melalui undi yang diperoleh, nyata sekali masyarakat Cina di kawasan tersebut sangat cenderung kepada pihak PR sehingga menghadiahkan 75 peratus undi mereka kepada PKR. Masalah yang dihadapi BN adalah betapa keadaan "komposisi mikro" di Malaysia bukanlah sebagaimana di Hulu Selangor di kebanyakkan bandar-bandar besar. Kawasan tertentu mempunyai lebih ramai pengunci Cina berbanding Melayu dan India. Oleh sebab itu, seandainya pengundi Cina masih tegar memilih pembangkang walaupun segala usaha telah dibuat bagi menarik undi mereka, apakah strategi seterusnya bagi BN dan komponen MCA dalam memancing undi kaum kedua terbesar di Malaysia itu?
Corak pengundian masyarakat Cina kini semakin jelas. Mereka sebenarnya lebih gemar memilih PR berbanding BN sehinggakan ada kemungkinan seandainya MCA mahu mempunyai wakil, parti ini terpaksa mengharap kawasan majoriti Melayu yang secara tradisinya kerusi MCA untuk memenangi pilihan raya. Harus sekali MCA memikirkan strategi yang lebih ampuh bagi memancing semula undi masyarakat Cina kerana seandai tidak, parti tersebut seolah-olah terkubur begitu sahaja kerana masyarakat Cina sendiri tidak menyokong mereka!
Berasaskan perkembangan semasa, dari kemenangan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hingga PRK Hulu Selangor, sesuatu yang jelas ditonjolkan oleh masyarakat Cina bahawa betapa mereka sudah tidak lagi menganggap isu moral sebagai satu isu yang mencacatkan kredibiliti seseorang. Bolehlah dikatakan bahawa masyarakat Cina di Malaysia sudah semakin sekular dan tidak menganggap isu moral sebagai penghalang kepada kepercayaan (trust) mereka. Justeru, isu moral bukanlah satu modal politik untuk BN dan MCA bagi memancing undi masyarakat Cina kerana ahli MCA sendiri tidak menganggap moral sebagai satu kecacatan kepada kredibliti pemimpin.
Satu lagi perkara yang mungkin perlu disedari bahawa mungkin kecenderungan memangkah pihak PR atas dasar sebenarnya tidak ada apa yang hendak dirugikan (nothing to lose). Berasaskan sejarah dan perkembangan semasa, masyarakat Cina mungkin telah mempunyai mind set bahawa walau siapa pun yang dipilih, mereka sebenarnya inginkan wakil yang lebih lantang memperjuangkan hak-hak mereka walaupun yang terpilih bukan dari kalangan orang yang boleh memegang tampuk kerajaan. Oleh sebab itu, adalah lebih baik mereka mengundi pembangkang yang boleh menyuarakan hak mereka dan tuntutan mereka di parlimen berbanding memilih MCA yang terpaksa menjaga "hubungan" dengan komponen BN yang lain. Kini, PAS pun telah menjadi penyokong setia DAP bagi menumbangkan BN, malah mendapat undi yang memberangsangkan daripada masyarakat Cina, maka apatah lagi PKR dan DAP yang dikatakan lebih memihak kepada tuntutan mereka berbanding MCA!
Ringkasnya, seandainya kita melihat Hulu Selangor sebagai perwakilan kepada "suara hati rakyat Malaysia," pihak yang benar-benar kritikal adalah BN berbanding PR. BN perlu mengkaji dan meneliti apakah silapnya dan bagaimanakah mereka boleh merasionalkan sokongan pengundi Cina kepada mereka. Seandainya jawapan itu tidak dapat dicari, ada kemungkinan kelangsungan parti MCA akan terancam walaupun acap kali bertukar presiden. Dalam menghadapi cabaran politik yang semakin kritikal, BN sebenarnya semakin kesuntukan masa bagi memahami kehendak dan jangkaan masyarakat Cina dan hal ini boleh mendatangkan masalah besar kepada mereka pada pilihan raya akan datang.
No comments:
Post a Comment