Tuesday, May 11, 2010

Kebenaran/keadilan tidak berat sebelah

Isu berkaitan polis dan "orang yang ditembak polis" baru-baru ini berkisar tentang polis menembak pelajar cemerlang di Shah Alam sehingga menyebabkan kematian pelajar tersebut dan kejadian tembak di perut. Apa yang menarik adalah penglibatan pihak politik yang begitu mencanang "keterbelaan" mangsa seolah-olah tiada khilaf yang berlaku; polis tersebut seolah-olah memang menembak tanpa satu justifikasi (sama ada tepat atau tidak tepat). Seolah-olah manga tidak melakukan apa-apa ketika berhadapan dengan polis dan polis dengan segaja menembak mangsa tadi sesuka hatinya.

Dalam membicarakan keadaan sebegini, sering kali persoalan yang sama penting dilupakan begitu sahaja. Persoalan tentang si mangsa akan lebih diberatkan (kerana berlaku kecederaan/kematian) sedangkan kesan daripada salah faham/salah tembak/sengaja tembak (dan pelbagai istilah politik yang lain) adalah berasal dari tindak-tanduk mangsa sendiri. Perkara ini sangat perit untuk didengar, malah keluarga mangsa juga sangat menyampah kalau persoalan ini diajukan. Tetapi, kebenaran dan keadilan tidak pernah berat sebelah. Kita hendaklah melihat perspektif kedua-dua belah pihak, barulah kita tahu apa yang sebenar-benarnya berlaku.

Mengambil contoh hal polis menembak pelajar cemerlang di Shah Alam. Persoalan yang sering dilaung-laungkan oleh pihak berkepentingan (stakeholder – seperti media, parti politik dll) adalah mengapakah pelajar tersebut ditembak. Atas alasan apakah pelajar tersebut ditembak? Namun, perkara yang asal seharusnya turut ditanya adalah kenapa mangsa melarikan diri daripada sekatan jalan raya polis pada waktu tersebut? Kalau tidak melakukan kesalahan, masakan kita perlu melarikan diri dari sekatan jalan raya? Mangsa baru berumur 15 tahun dan memandu kereta, sudah pasti tidak ada lesen kenderaan. Memang bukan jenayah besar (seperti membunuh dan mengedar dadah) seandainya membawa kenderaan tanpa lesen, tetapi apakah kerana takut ditangkap maka mangsa panik dan bertindak untuk melarikan diri? Walhal, kejadian sedemikian sebenarnya boleh dielak seandainya mangsa bekerjasama dengan pihak polis untuk diperiksa.

Jargon popular yang akan dimainkan pihak tertentu adalah betapa "mangsa bukanlah orang yang sedang didakwa" (the victim is not on trail), tetapi, kalau nyawa boleh kita selamatkan dengan hanya melakukan satu perkara mudah (bekerjasama dengan polis) maka seharusnya peristiwa sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan boleh kita elakkan.

Namun, akhirnya, pihak polis juga yang dipersalahkan. Tatkala anggota polis yang menembak mangsa diperintah untuk dibicara, maka keluarga mangsa dengan lantang sekali mengatakan bahawa keadilan telahpun dicapai bagi membersihkan nama mangsa. Penulis pun tidak tahu siapa yang memburukkan mangsa sebagai penjenayah. Namun, kalau benarlah keadilan hendak dituntut, maka orang yang memburukkan nama mangsa itulah sebenarnya yang menjadi penjenayah dalam kisah ini.

Dalam masa yang sama, satu persoalan akan terus bermain di fikiran kita iaitu sama ada seandainya yang terdakwa itu tidak didapati bersalah, apakah keluarga dan masyarakat akan menerimanya dengan rela hati keputusan tersebut? Hanya masa menentukannya....


 

 

No comments: