Thursday, May 20, 2010

Isyarat dari Sibu

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu yang lepas kembali meletakkan Barisan Nasional (BN) ke alam yang nyata setelah beberapa minggu hanyut dengan euphoria bahawa dasar-dasar mereka diterima oleh segenap lapisan rakyat. Setelah berminggu-minggu selepas PRK Parlimen Hulu Selangor, BN begitu ghairah mencanang isu kerelevenan pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dan BN sekali lagi mendapat tamparan yang sangat hebat setelah tewas kepada DAP walaupun pada awalnya, DAP bermain kata bahawa sokongan orang Sibu terhadap mereka sekadar 40 peratus. Walaupun majoritinya kecil, menang tetap menang dan tidak kiralah sama ada DAP sekadar bermain kata, atau BN ter"over confident" kekalahan BN sebenarnya meletakkan kembali lanskap politik kepada status quo pasca Mac 2008.

Jelas sekali bahawa BN tidak mampu menambat hati pengundi cina dalam PRK Sibu. Mungkin terdapat pelbagai alasan, namun dari segi kesan BN sebenarnya masih jauh daripada menyelesaikan isu dan keinginan pengundi cina tatkala dari masa ke masa, pengundi cina semakin menyokong Pakatan Rakyat (PR). Lebih malang lagi, dalam kes Sibu, hipotesis awal tentang sebab kekalahan BN di parlimen kubu kuatnya itu masih menjadi pertikaman lidah antara pihak BN pusat dan BN negeri.

BN pusat melalui PM Najib dan TPM Muhyddin misalnya ada menyenaraikan beberapa sebab seperti kempen yang tidak kreatif, tidak berbaloi, kurang semangat dan pepecahan di kalangan SUPP Bahagian Sibu sendiri. Tidak kurang juga melalui perbualan Datuk Manja Ismail dengan rakyat Sibu (yang disertakan dalam rencana beliau di Berita Harian, 18 Mei 2010) menyatakan bahawa terdapat sentimen anti-Taib Mahmud dan mahukan pembaharuan menyebabkan penyokong tradisional BN di Sibu memilih untuk memangkah DAP. Hal ini dijelaskan lagi oleh rakan penulis yang merupakan penduduk Sibu dengan menyatakan bahawa masyarakat cina di Sibu tidak lagi menyukai Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri dan cara meluahkan ketidakpuasan hati adalah dengan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

Lain halnya pula dengan Taib Mahmud sendiri. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa bukan salah calon yang menyebabkan BN kalah. Malah, bukan masalah yang melanda SUPP juga yang menyebabkan BN kalah. Tidak ada kena-mengena antara Parlimen dan Dewan Negeri. Malah beliau menafikan sekeras-kerasnya kebarangkalian bahawa kekalahan BN di Sibu dikaitkan dengan undi protes orang cina terhadap beliau. Beliau menegaskan bahawa orang di Sibu "lebih tahu" tentang jasa BN kepada penduduk bandar Sibu. Justeru, beliau menyeru kepada media supaya tidak menggunakan sumber DAP yang menyatakan bahawa beliau adalah penyebab kepada kekalahan BN di parlimen tersebut.

Sebab kekalahan BN di Sibu dan kemenangan DAP (Pakatan Rakyat) di Sibu merupakan multi-faktor. Kemenangan DAP sebenarnya merupakan booster yang begitu didambakan PR lebih-lebih lagi mereka menghadapi situasi tak menentu di dalam rakan pakatan mereka, PKR. Kemenangan ini membuktikan bahawa rakyat masih percaya kepada mereka dan inginkan mereka menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat, seterusnya cuba membentuk kerajaan alternatif menjelang pilihan raya umum yang akan datang. Kemenangan menunjukkan bahawa walaupun PR dilanda masalah seperti ahli PKR yang saban hari keluar parti dan pelbagai lagi skandal yang terlondeh di sini-sana, rakyat masih mengharapkan mereka menjadi wakil mereka membela nasib bangsa sambil memberi "tunjuk ajar" kepada BN. Malah, andai berlaku pengeluaran beramai-ramai ahli PR pun daripada PR, belum tentu hal tersebut memberi kesan kepada PR kerana sokongan rakyat (terutamanya masyarakat cina) tidak berasaskan kepada berapa banyak tembelang yang (bekas) ahli PR sendiri dedahkan atau berapa banyak tembelang yang BN dedahkan.

Lebih dari itu, kemenangan DAP di Sibu menguatkan lagi postulat pasca Mac 2008 bahawa pengundi cina masih tidak menyokong BN. Masyarakat cina sekarang rela menyokong PAS bagi tidak memberikan undi kepada BN kerana mereka tidak lagi menyokong BN! Dalam setiap PRK pasca-Mac 2008, mana-mana kawasan yang mempunyai penduduk cina yang substansi (walaupun bukan majoriti), lebih 60 peratus masyarakat cina di kawasan tersebut akan menyokong PR (tak kira siapa calonnya) berbanding BN!

Walaupun pilihan raya di Sarawak dikatakan "istimewa" dan lain dari Semenanjung, sentimen yang dimainkan tetap sama. Malah, pengundi cina di Sarawak telah terlebih dahulu melakukan "tsunami politik" apabila memberi kemenangan yang begitu signifikan kepada calon DAP/PKR/PR dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang berlangsung sebelum PRU-12.

Oleh yang demikian, selagi BN masih diulit mimpi bahawa sini lain dan sana lain dan terus-menerus menggunakan alasan tersebut dalam menghadapi apa-apa pilihan raya di Sarawak/Sabah, maka BN bolehlah dikatakan masih terperangkap dalam cermin "suka ria" ciptaan mereka sendiri yang mana imej cermin tersebut hanya memantulkan yang indah-indah sahaja sedangkan objek yang diletakkan di hadapan cermin adalah buruk, hancur dan tidak molek sama sekali. Tidak menjadi mustahil seandainya negeri kubu kuat BN pun boleh tumbang pada pilihan raya pada masa akan datang.

Bersediakah BN menjadi pembangkang parlimen Malaysia?

No comments: