Tuesday, May 18, 2010

Hipotesis “ranking” disokong

Sekitar bulan Februari, penulis ada menulis tentang betapa ranking tidak semestinya penting dalam sesuatu sukan. Bukan tidak penting, tetapi tidak semestinya penting. Hujahan penulis meliputi beberapa sukan seperti tenis, badminton, bola sepak. Akan tetapi, ada juga sukan yang mana ranking adalah "sedikit sebanyak" segala-galanya. Contohnya sukan permotoran seperti F1 apabila juara dunia itu sendiri adalah orang yang paling banyak mengumpul mata dalam kesemua pusingan perlumbaan Grand Prix. Tidak kurang juga gelaran "orang paling laju di dunia untuk acara 100 meter atau 200 meter; nama orang yang mencatat rekod dunia dikatakan sebagai "pilihan utama" (secara tidak langsung seakan-akan ranking pertama untuk dirinya.)

Maka, pada minggu lepas, isu ini kembali bergema lagi dan kali ini daripada diri pemenang emas Olimpik, pemenang kejohanan dunia dan pemenang Piala Thomas 2010 untuk sukan badminton, Lin Dan. Beliau secara bersindir menyatakan bahawa beliau tidak terlalu hendak mengejar kedudukan Datuk Lee Chong Wei yang berada di ranking pertama dunia kerana pada pendapat beliau, apa yang beliau hendakkan dalam dunia badminton telah beliau kecapi. Sama ada itu merupakan isi hati beliau atau sekadar ingin mengalih perhatian, hanya masa menentukannya.

Kegagalan pasukan Malaysia untuk menewaskan China merupakan sesuatu yang telah banyak dibahaskan di dada-dada akhbar. Apa yang lebih memeranjatkan adalah BAM sendiri mengakui bahawa pasukan negara dibarisi oleh pemain-pemain tua yang terpaksa diambil bagi menghadapi saingan Piala Thomas kali ini. Apakah BAM baru sedar akan ketuaan permain Malaysia, ataupun tampil menggunakan alasan tua sebagai penyebab kepada kekalahan Malaysia, hanya BAM yang tahu. Namun, pada pendapat penulis, adalah sangat-sangat janggal kalau hanya selepas tamat kejohanan Piala Thomas barulah isu ketuaan itu dibangkitkan.

Akan tetapi, walaupun agak cliche, rata-rata orang akan menuding kepada betapa tiada pelapis muda yang boleh menanggung beban bagi menjulang Piala Thomas pada kali ini (atau untuk sekian kalinya). Justeru, bakat-bakat mereka yang veteran ini ditagih kerana yang muda masih belum bersedia menggalas cabaran Malaysia. Oleh yang demikan, walaupun post-mortem Piala Thomas belum disudahkan lagi, sudah ada suara-suara cadangan untuk pembangunan bakat muda diperkasakan.

Soalnya, apakah kita begitu lambat sekali menggilap bakat-bakat muda? Apakah dengan sistem sekarang ini bakat muda tidak dapat kita hasilkan dalam sela masa setahun? Apakah kita hendak tunggu berpuluh-puluh tahun barulah kita kembali menggenggam Piala Thomas? Berapa lamakah masa yang kita kena tunggu bagi membawa pulang pingat emas Olimpik? Kesemua ini, hanya pihak pentadbir dan pembuat dasar sahaja yang tahu jawapannya.

Dalam masa yang sama, perlulah kita insafi bahawa ranking bukan segala-galanya dalam badminton. Kita ada seorang pemain nombor satu dunia namun, ranking pemain seterusnya dari Malaysia untuk senarai pemain dunia berada jauh daripada nombor satu. Hal ini merupakan satu kepincangan yang sangat nyata. Lebih aneh lagi, pemain nombor satu dunia amat sukar sekali menewaskan pemain nombor dua dunia. Maka, sesuatu harus dilakukan bagi mengelakkan keanehan ini daripada terus berlaku dan mencatatkan sejarah badminton yang cukup aneh/pelik.

Penulis tidak mengatakan bahawa kesemuanya salah orang ini dan orang itu; pemain ini dan pemain itu. Apa yang penting sekarang adalah BAM dan pemain-pemainnya bangkit bagi menebus malu kekalahan Piala Thomas. Mungkin boleh dimulakan dengan kejohanan dunia, kemudian dari setapak ke setapak, binalah sebuah pasukan yang boleh menyengat pada Piala Thomas akan datang.

Jangan sasar 2012 sahaja, sasarkan untuk 2014 sekali. Barulah kita ada keazaman untuk mengekalkan prestasi tiga orang pemain perseorangan dan dua orang pemain beregu untuk satu jangka masa yang panjang. Barulah kita berusaha menampung kekurangan dari masa ke masa.

Pada masa tersebut, walaupun kita tiada pemain ranking nombor satu dunia pun, kita tidak betah untuk melawan gergasi seperti China.

P/s: Kalau takut sangat tekanan daripada penonton dan harapan jutaan rakyat Malaysia untuk menjuarai Piala Thomas, harap BAM dan Malaysia tidak usahlah membida untuk menganjurkan kejohanan tersebut. Kalau tekanan itupun menjadi alasan, buat apa kita nak anjurkan sedangkan kita tidak boleh menang? Masuk akal tak?


No comments: