Satu ketika dahulu, penulis pernah bercita-cita untuk merangka, meneroka dan menghujahkan satu tajuk yang sangat pada penulis begitu penting utuk dibincangkan iaitu "PengIndonesiaan Malaysia: Kajian Terhadap Ekonomi, Hiburan dan Sosial Tempatan dan Kesannya kepada Rakyat Malaysia." Objektif utama tajuk tersebut adalah bagi mengenalpasti bagaimanakah kesan kemasukan pekerja asing dari Indonesia kepada sosioekonomi, hiburan dan budaya masyarakat tempatan. Sudah pastilah kita cuba kupas agar kajian tersebut benar-benar objektif dengan membincangkan aspek positif dan negatif kesan daripada "PengIndonesiaan" tersebut.
Pun begitu, tajuk tersebut tidak pernah "basi" untuk kita bincangkan. Terbaru, apabila akhbar Berita Harian menyiarkan menurut statistik, hampir setiap hari seorang lelaki di Malaysia memperisterikan wanita daripada Indonesia atas pelbagai alasan yang dikemukan. Alasan lelaki memilih mereka adalah kerana terpikat dengan keayuan, kecantikan, kesetiaan dan kesopansantunan wanita Indonesia (terutama daripada Sumatera) yang kini "dikatakan" sebagai jauh berbeza berbanding wanita di Malaysia yang semakin sofistikated. Wanita dari seberang pula memilih untuk bersuami dan/bermadu dengan orang tempatan antara lain disebabkan faktor security bahawa dia percaya nasibnya dan keluarganya akan bertambah baik selepas dia mendapat taraf penduduk tetap kelak.
Hal ini mengundang reaksi yang kebanyakkannya negatif terutamanya daripada pihak berkepentingan yang memperjuangkan tuntutan hak dan kepentingan kaum hawa di negara ini (lebih-lebih lagi daripada Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil, menteri bertanggung jawab). Mereka mempersoalkan bagaimanakah perkara tersebut boleh sewenang-wenangnya berlaku dan apakah orang-orang yang melakukan perkara tersebut (si lelaki terbabit) tidak memikirkan tentang nasib keluarga, isteri dan anak-anak mereka di tanah air?
Penulis perlu jelaskan di sini, adalah sesuatu yang sangat-sangat berbeza antara lelaki yang berkahwin dengan wanita luar negara dan SUAMI yang berkahwin lagi dengan wanita luar negara walaupun kesan-kesannya mungkin hampir sama (seperti taraf kewarganegaraan dan status anak). Contohnya, kalau seorang lelaki bujang berkahwin dengan wanita Indonesia dan hidup bahagia, maka tidak akan timbul isu tentang "penjagaan anak-anak isteri pertama." Dalam konteks yang satu lagi, seandainya lelaki yang beristeri berkahwin satu lagi dengan wanita Indonesia, maka isu berkait "penjagaan anak-anak" hanya akan berlaku kalau si suami tidak berlaku adil.
Namun, sebab-musabab kepada kelakuan "kahwin orang Indonesia" bagi kedua-dua kategori tersebut mungkin sama juga. Laporan tersebut tidak pula menjelaskan secara terperinci sama ada bilangan lelaki BUJANG yang kahwin dengan wanita Indonesia itu kurang/sama/lebih ramai daripada yang sudah BERISTERI. Motif kelakuan dua kategori ini mungkin berbeza namun pokok pangkalnya alasan yang mungkin dikemukakan adalah sama i.e. berkaitan dengan "wanita/lelaki Malaysia"
Justeru, kenyataan tentang "wanita Malaysia semakin sofistikated dan mementingkan kerjaya" perlu dijawab terlebih dahulu sebelum kita dengan mudah menghentam keromo kelakuan lelaki-lelaki terbabit. Apakah benar kenyataan tersebut? Apakah pula kesan daripada kenyataan tersebut?
Kita kadang-kala hairan membaca akhbar, sudah ada gadis bawah 20-an yang sanggup lari mengikut teman lelakinya sama ada dalam atau luar negara kerana cinta. Kita pun masih membincangkan penangan cinta Lombok baru-baru ini. Justeru, sewajarnya kita mengambil kira semua faktor bagi merasionalkan sebab apa kelakuan tersebut berlaku.
Ringkasnya, pertama adalah berkaitan dengan faktor pekerja/pendatang asing itu sendiri. Mereka sebenarnya begitu ramai di Malaysia sehingga menimbulkan pelbagai isu berkaitan mereka. Dari isu pekerja asing menutup peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan pekerja tempatan sehinggalah tuntutan "gaji minimum" pembantu rumah. Isu pekerja asing sebenarnya sangat luas dan sangat-sangat penting untuk dilihat secara holistik dan bukannya secara berkluster-kluster semata-mata. Isu Lombok, permit niaga, pembantu rumah, lambakan pekerja semuanya ada kena-mengena dengan kehadiran pekerja asing itu sendiri. Bukan kita hendak melihat dari sudut negatif semata-mata, namun akar kepada permasalahan tersebut adalah berkait kebergantungan kita dengan pekerja asing. Bagaimana urus tadbir mereka? Siapakah yang membuat inventori pekerja sama ada mereka diperlukan atau tidak. Kesemua itu sebenarnya perlu kita jawab kerana kehadiran mereka tidak dapat tidak akan memberi kesan kepada masyarakat kita. Maka, janganlah kita hairan seandainya ada rakyat Malaysia yang berkahwin dengan pembantu rumah bukan warganegara; sedangkan negara sendiri memberikan kebenaran kewujudan pembantu rumah asing itu sendiri!
Kedua mungkin disebabkan status wanita di negara kita sendiri yang antara lain sudah semakin maju malah lebih baik andai dibandingkan dengan lelaki pada sektor-sektor tertentu. Mungkin ada yang berpendapat bahawa wanita masih tidak menguasai kedudukan atas dalam pentadbiran, namun kita sebenarnya boleh membuat anggaran terhadap apa yang akan berlaku pada masa hadapan dengan apa yang berlaku sekarang. Kalau sudah menjadi fakta bahawa wanita lebih ramai yang "lepasan universiti" berbanding lelaki, maka apakah mustahil wanita akan memimpin negara sepuluh tahun akan datang? Faktor inilah yang mungkin menjadi penyumbang perkahwinan dengan wanita asing terutamanya bagi lelaki yang merasakan dirinya "inferiority complex" berbanding wanita. Kita pun pernah mendengar, "anak perempuan sudah ada ijazah, maka kahwinnya pun mestilah 'taraf' ijazah juga!" Dalam hal ini, sememangnya kita tidak boleh salahkan wanita seratus peratus , namun dorongan demikian mungkin yang menyebabkan lelaki Malaysia lebih memilih wanita Indonesia. Tambahan pula, adalah amat sukar bagi wanita yang bekerjaya mengimbangi peranannya sebagai seorang pekerja dan sebagai suri rumah tangga. Lalu hal yang demikian mungkin menyebabkan lelaki cenderung memilih wanita yang "tidak bekerjaya," atau kerjayanya memang di "rumah" – justeru pembantu rumahlah yang menjadi pilihan....atau sanggup dia terbang sampai ke Medan bagi mengisi suri di hati......
Mungkin banyak sebab yang akan bias ke arah sama ada lelaki ataupun perempuan dalam hal kahwin wanita asing ini. Kita tidak boleh hendak nafikan kewujudan lelaki miang dan gatal nak kahwin lagi walaupun diri tidak mampu. Namun, kita juga tidak boleh menidakkan faktor si isteri sibuk sangat di pejabat sampai tiada masa hendak di luang bersama suami. Sudah pasti hal-hal sedemikian boleh menjadi faktor kenapa lelaki pilih wanita seberang; sedangkan dalam masa yang sama, wanita juga turut ada yang memilih lelaki seberang.
Sekali lagi, ingin dipertegaskan bahawa isu masyarakat sebegini harus kita lihat dari sudut yang holistik. Janganlah ada pihak yang terlalu menyalahkan sebelah pihak sedangkan isu sebenar lebih besar daripada "salah satu pihak" Kenapa kita perlukan pembantu rumah pada awalnya? Persoalan itupun memberikan kita satu gambaran menyeluruh apa sebenarnya yang berlaku dalam masyarakat kita. Mungkin sebab kebanyakkan wanita kita bekerjaya maka mereka memerlukan bantuan dalam menguruskan hal-ehwal rumah tangga. Namun, bukankah perkahwinan yang ideal itu adalah apabila si isteri sendiri yang melayan suami, memasak untuk suami dan menjaga anak-anak? Soalnya kini mungkin lebih tertumpu kepada bagaimanakah hendak mengurus apabilah berkerjaya? Maka, hal yang sedemikian mungkin belum diajar, belum dikursus dan mungkin jarang dikupaskan sekalipun hatta dalam kursus perkahwinan yang perlu diambil oleh bakal pengantin.
Tuntasnya, sama ada lelaki mencari wanita asing atau perempuan berkahwin lelaki asing mungkin terletak kepada kehendak kendiri. Walaubagaimanapun, mungkin faktor-faktor pemangkin dan perencat yang diutarakan tadi yang mejadi alasan mereka memilih bukan warganegara. Dalam keadaan dunia yang semakin sofistikated, pegangan budaya dan adat yang semakin luntur, ada baiknya kita melihat kepada mengapa perkara itu terjadi pada asalnya dan bagaimanakah cara membetulkannya. Tak perlulah terlaku teruja menyalahkan pihak lelaki ataupun pihak wanita sahaja kerana kedua-duanya mempunyai peluang untuk berkahwin orang seberang.....
2 comments:
Saya rasa perlu diperbetulkan tanggapan isteri di malaysia terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk suami.kebanyakan lelaki malaysia memang berkahwin dengan isteri yang telah berkerjaya sblm berkahwin lagi.tak kurang juga memang ramai yang mencari wanita berkerjaya untuk menjamin kesenangan dan kemewahan hidup bersama.namun setelah berkahwin,ramai suami yang 'perfectionist'.nak isteri berkerjaya dalam satu masa juga cantik dalam satu masa juga pandai melayan suami dalam satu masa menjaga anak dengan baik dalam satu masa pandai memasak dan mengurus rumahtangga.kalau diterbalikkan tugas tu kpd suami saya percaya sang suami takkan mampu lakukan semuanya.lantaran itu tanggapan mengatakan isteri di malaysia tak pandai layan suami seharusnya di 'delete' dalam membuat kenyataan.itu kenyataan memburukkan wanita malaysia berkerjaya.saya sebagai isteri berkerjaya juga pernah minta untuk berhenti kerja seandainya suami mahu layanan terbaik dan layanan penuh isteri namun suami tidak membenarkan.bukan sang isteri yang tak pandai layan suami tetapi suami yang yidak bersyukur atau membuat alasan atas dasar nafsu untuk berkahwin lain.harap perbetulkan komen negatif terhaap wanita malaysia yang berkerjaya.
Saya mencadangkan agar lelaki malaysia yang perlukan layanan 100% daripada isteri supaya tidak memilih isteri berkerjaya sebelum berkahwin tetapi pilihlah wanita tak educated yang duduk di rumah sahaja sebagai suri hati dan hidup seadanya dengan gaji suami sahaja.jangan nanti selepas kahwin terasa nak cari isteri berkerjaya pula setelah melihat kesenangan hidup rakan yang sama2 suami isteri mencari rezeki untuk kesenangan keluarga.fikir2kan .jangan nanti jadi manusia yang tidak tahu nak bersyukur.pilihan di tangan sendiri.tiada kesempurnaan yang total dalam kehidupan duniawi.pasti di mana2 ada cacat celanya.
Post a Comment