Apabila memperkatakan denggi, pastilah nyamuk Aedes yang akan menjelma dalam pemikiran kita bersama-sama. Nyamuk tersebut dikatakan sebagai penyebab kepada berlakunya wabak denggi sehingga boleh membawa maut kepada seseorang mangsa. Namun, sejauh manakah fakta tersebut benar bagi kefahaman umum tentang nyamuk tersebut? Apakah nyamuk tersebut berada di mana-mana sahaja sehingga mudah sekali menyebarkan penyakit denggi tersebut kepada orang lain?
Sesuatu yang perlu dijelaskan adalah betapa nyamuk tersebut adalah pembawa penyakit dan bukan penyebab penyakit. Hanya beberapa jenis spesies nyamuk sahaja yang berupaya menjadi perumah definitif kepada virus denggi tersebut. Mari kita selami sedikit sebanyak penyakit yang berakar umbi di benua Afrika yang bernama denggi.
Secara etimologi, perkataan denggi dikatakan berasal dari bahasa Swahili iaitu "ka denga pepo" iaitu sakit secara tiba-tiba (menyerang sehingga ke tulang) yang dibuat oleh syaitan! Sekarang, unsur syaitan kita ketepikan dahulu. Denggi adalah penyakit yang disebabkan oleh virus denggi dalam genus Flavivirus. Apabila dikaitkan dengan virus, maka bolehlah kita simpulkan bahawa masih tiada "antibiotik" yang boleh merawat penyakit tersebut – kerana antibiotik adalah ubat merawat bakteria; bukannya virus.
Virus ini menyerang manusia dengan menyebabkan sakit kepala, sakit tulang, seram sejuk dan secara klinikalnya, jumlah platelet dalam darah juga akan merosot. Bintik-bintik merah juga mungkin akan muncul di kulit. Suhu badan pesakit juga lebih tinggi dari normal. Oleh sebab itu, adalah penting untuk pesakit meminum air dengan banyak bagi mengurangkan suhu dalam badan. Telah menjadi satu "amalan" yang disyorkan oleh orang ramai bahawa minum 100 Plus dapat membantu meringankan demam tersebut. Maka, bekalan 100 Plus di kedai-kedai runcit kadang-kala habis kerana ramai yang ingin mendapatkan penawar tersebut!
Apa yang turut penting adalah penyebar penyakit ini – Nyamuk Aedes. Spesies yang biasanya menjadi perumah untuk virus denggi terutamanya di kawasan pembandaran adalah Aedes aegypti. Satu fahaman yang agak "kurang tepat" bagi ramai orang dan pengiklan ubat nyamuk adalah betapa nyamuk jenis ini sering menyerang orang ketika tidur malam. Nyamuk Aedes aegypti merupakan nyamuk siang dan paling gemar mencari mangsa waktu antara subuh dan maghrib. Nyamuk yang menyerang waktu malam adalah nyamuk tiruk yang menyebarkan Malaria. Pun begitu, tidak dikenal pasti sama ada terang cahaya kalimantang dikira sebagai cerah oleh nyamuk Aedes tersebut?!?
Kefahaman orang tentang air bertakung juga sesuatu yang harus dibetulkan. Memang benar kolah, tayar buruk, tong simpanan air merupakan air bertakung. Lopak air di bilik air pun sebenarnya sudah cukup untuk nyamuk Aedes bertelur. Nyamuk tersebut suka bertelur di air yang jernih walaupun hanya lopak air di bilik air. Oleh sebab itu, adalah amat penting untuk bukan sahaja membasuh kolah air, malah membasuh bilik air sekali kerana hal ini akan mengurangkan kebarangkalian nyamuk di tempat tersebut.
Hanya nyamuk betina sahaja yang menghisap darah. Si betina menghisap darah adalah kerana untuk membekalkan nutrien (i.e. protein) untuk telur yang bakal ditelurkan kelak. Setelah mengawan, nyamuk betina dengan sifat keibuannya akan mencari makanan untuk bakal zuriatnya yang akan datang sebelum ditelurkan di kawasan berair. Tatkala selepas betelur, hayatnya sudah semakin suntuk (kitaran hayat seekor nyamuk sekitar 2 minggu sahaka) dan mengharapkan zuriatnya mendatang akan meneruskan kelangsungan spesies mereka. Hal ini sangat berbeza sekali dengan sesetengah manusia zaman kini. Ada yang sanggup bergadai nyawa melahirkan anak namun tidak pula sanggup menjaga anak tersebut dan dibiarkan sahaja mati di tong sampah atau di dalam sungai atau dibakar.
Nyamuk adalah serangga holometabola iaitu mengalami "metamorfosis lengkap." Oleh sebab itu, adalah lebih mudah bagi mengawalnya tatkala mereka belum boleh terbang berbanding ketika mereka terbang. Telur mereka boleh dormant sehingga sembilan bulan lamanya sehingga mendapat keperluan air dan makanan. Oleh sebab itu, adalah penting untuk mencegah nyamuk bertelur dengan mengawal kawasan yang boleh ditelurinya. Nyamuk merupakan serangga kecil yang boleh terbang beberapa kilometer bagi mencari tempat bertelur.
Dari itu, bagi yang gemar berkebun, teruskan minat anda namun pakailah penghalang gigitan nyamuk (mosquito repellent) tatkala berkebun pagi atau petang. Bagi yang gemar mandi, pastikan bilik air bersih dan hapuskan lopak air yang ada di dalam bilik air. Bagi penggemar hiasan taman yang memerlukan takungan air (ala kolam), tugas anda lebih berat bagi menjamin nyamuk tidak membiak. Gunakan ubat jentik-jentik bagi menghalang penularan nyamuk.
Akhir sekali, kita hendaklah insafi bahawa bukan seekor nyamuk sahaja yang wujud di dunia ini. Memang nyamuk adalah haiwan kecil yang membawa penyakit bersamanya (kalau darah tersebut dijangkiti). Namun, mereka memberikan contoh kepada kita bahawa kemandirian (survival) adalah segala-galanya. Maka, kita pun perlulah melakukan apa sahaja bagi menjamin kemandirian kita daripada penyakit bawaannya. Andai mereka sanggup mempertaruhkan nyawa bagi menjamin kemandirian mereka (dengan menggigit manusia dan haiwan bagi mendapatkan darah untuk telur kandungannya) maka apakah pula alasan kita sebagai manusia yang berakal?
No comments:
Post a Comment