Ramai dikalangan manusia tidak menggemari kewujudan penguatkuasa. Dalam konteks Malaysia, antara penguatkuasa yang paling menonjol dan dikenali ramai adalah Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Ada yang berpendapat PDRM bertindak secara partial, memihak hanya kepada kerajaan pemerintah sekarang iaitu BN. Malah, ada juga pihak-pihak berkepentingan yang menuduh polis bertindak secara racist; menembak bangsa-bangsa tertentu sahaja semasa melakukan operasi penangkapan/pencegahan jenayah.
Mulut dan emosi memang sangat mudah melontar kata. Apa pun yang polis dan agensi pengautkuasa buat yang tidak memihak kepada pihak tertentu akan dituduh sebagai barua kerajaan, agen kerajaan dan sebagainya. Ada yang memaki hamun pihak polis seolah-olah anggota tersebut tidak mempunyai maruah. Begitulah adanya ahli politik Malaysia. Tidak berpuas hati, maka mudah sahaja menuduh itu dan ini.
Dan apabila kadar jenayah meningkat, maka polis juga yang menjadi mangsa. Pihak polis tidak menjalankan tugas itu dan ini. Polis Malaysia dikatakan tidak profesional kerana jenayah tidak berkurang. Orang ramai dalam ketakutan kerana penjenayah kononnya merata-rata. Seolah-olah, apabila dikaitkan dengan jenayah, maka polislah yang menjadi sebab utama. Kenapa bank kena rompak? Sebab polis tidak jaga bank. Kenapa ada orang kena tembak? Sebab polis tak jaga keselamatan. Kenapa ramai peragut? Sebab polis tak bertanggung jawab. Begitulah mudahnya orang menuduh polis sebagai penyebab jenayah yang berleluasa.
Namun, nyawa yang dipertaruhkan bagi membanteras jenayah, tidak siapa yang peduli.
Kalau ada tunjuk perasaan tidak terkawal, tiada siapa yang hendak menyuraikan, berlaku ketegangan yang tidak diinginkan, apakah polis juga yang hendak dipersalahkan? Memang mudah untuk kita kumpul ramai-ramai, bawa sepanduk itu dan ini, ada tukang teriak itu dan ini, berarak beramai-ramai meluahkan isi yang terbuku di hati dengan penuh emosi, lalu apabila datang FRU, cuba mereka suraikan, ditembak dengan air, dihalau dengan gas pemedih mata. Namun, apakah yang menyebabkan kita tidak terfikir bahawa kumpulan tunjuk perasaan itu tidak akan bertindak liar? Tidak mungkinkah perarak-perarak tadi membuat huru-hara, merosakkan harta benda walaupun tanpa kehadiran polis sekalipun? Pada ketika itu, apakah polis juga yang hendak dipersalahkan kerana tidak menjaga ketenteraman awam?
Tatkala penjenayah bersenjata melarikan diri, maka mereka membahayakan orang lain. Andai terlepas begitu sahaja, ada kebarangkalian bahawa penjenayah akan melakukan jenayah lagi atau akan mencederakan orang. Maka seandainya dibiarkan sahaja begitu, apakah polis juga yang hendak disalahkan andai berlaku jenayah lagi. Kalau tembak-menembak berlaku, yang tertembak adalah polis sehingga anggota tersebut mungkin cacat atau maut, maka siapakah yang hendak menjamin nasib mangsa selepas itu? Apakah si peneriak-peneriak yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan polis itu yang ingin membela nasib mereka?
Ada sebahagian politikus kita yang dengan mudah "menembak" dengan mulut bahawa polis kita "main tembak" sahaja. Apakah mulutnya yang dengan mudah menuduh orang itu dan ini itu tidak dikira sebagai "menembak sebarangan?"
Mereka menyemai rasa benci kepada polis; tatkala berlaku sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada mereka, kepada polis juga mereka minta tolong; minta ditangkap pesalahnya. Hati orang sebegini diselubungi oleh emosi berpaksi politik yang dangkal dan akhirnya menyusahkan orang ramai....!
No comments:
Post a Comment