Monday, April 12, 2010

PRK petanda apa...?


 

Terbaru, Parlimen Sibu terpaksa menghadapi pilihan raya kecil kerana Ahli Parlimen mereka, Datuk Robert Lau telah meninggal dunia. Sebelum daripada itu, PRK juga terpaksa diadakan bagi parlimen Hulu Selangor kerana kematian penyandang dari PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. PRK kali ini dilihat kritikal bagi pemerhati kerana merupakan pilihan raya selepas terbukanya "pekung" 16 September mantan TPM Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelbagai "krisis dalaman" PKR di Parlimen sebagaimana yang didedahkan oleh bekas ahli parlimen Pakatan Rakyat sendiri.

Di sebelah pihak, pendedahan demi pendedahan yang dibuat merupakan bukti kukuh bahawa Pakatan Rakyat bukanlah pakatan yang berjuang untuk rakyat namun sebenarnya pakatan yang berjuang untuk Anwar. Namun, bagi pihak Anwar, pada dan tatkala 16 September itu, beliau sebenarnya sudahpun mempunyai cukup ahli untuk membentuk kerajaan dan kebaculan BNlah yang menjadi sebab galang-gantinya kenapa beliau bukan PM lagi. BN yang sebenarnya tidak mahu menerima kenyataan bahawa Anwar pada ketika itu sudah memiliki cukup korum bagi membentuk kerajaan baru. Hakikatnya, BN lah yang memusnahkan impian Anwar selama ini!

Penulis cukup setuju dengan hakikat tersebut. Sebagai seorang pejuang keadilan sejagat dan mendapat perhatian seluruh dunia, Anwar memang telah dikhianati oleh BN sedari dulu lagi. Kalau tidak, masakan beliau bukan PM pada masa sekarang ini? Sememangnya peristiwa "larinya" Ahli Parlimen BN sehingga ke Taiwan, Hong Kong pada ketika itu merencatkan peluang Anwar mendapat sokongan mereka. Anwar pandai mencari sokongan dari kawan dan lawan; maka sebab itulah beliau amat disayangi oleh penyokong setia beliau. Mungkin yang tak setia dengan beliau sebenarnya mengkhianati pejuangan beliau.

Maka tembelang 16 September bagi pengkritik yang pro-Anwar merupakan satu lagi kegagalan dalam demokrasi. Begitulah yang disifatkan oleh majalah seperti Aliran Monthly – sebuah majalah yang tidak terikat dengan mana-mana aliran politik (gambar muka hadapan PM Najib tersengeh dan wajah Zaharin dan Tan Tee Beng). Sebagai sebuah majalah yang bebas, maka menjadi kebebasan merekalah untuk merasionalkan apa yang dikatakan sebagai demokrasi ataupun tidak. Segala tindak tanduk kerajaan BN adalah bukti betapa tidak cekapnya kerajaan BN memerintah negara ini dan tidak demokratiknya pimpinan kerajaan sekarang. Pendedahan bekas sekutu kuat Anwar tentang pelan 16 September merupakan satu pengkhianatan kepada perjuangan suci Pakatan Rakyat. Implikasinya, bagi mereka pengundi-pengundi telah dikhianati kerana pada asalnya, undian pengundi adalah kepada Pakatan Rakyat.

Semua itulah yang akan tidak dapat tidak menjadi sentimen kepada dua PRK itu nanti. Sama ada BN bertambah kukuh ataupun PR mengekalkan momentum tsunami politik yang mereka laksanakan pada 2008. Bagi BN, kekalahan tatkala pelbagai tembelang ketua de facto Pakatan Rakyat merupakan petanda mereka masih lagi mengulangi kesilapan yang sama dan tidak sedar-sedar tentang isyarat yang telah rakyat berikan kepada mereka. Bagi pihak PR pula, kekalahan tatkala ini membuktikan bahawa mereka sebenarnya perlu menyusun semula strategi kerana rakyat telah muak dengan permainan politik mereka. Mereka juga boleh salahkan pelbagai faktor lain seperti undi pos, pengundi hantu dan pelbagai strategi "jahat" BN! Bukankah kalau PR kalah, maka semua itu salah BN?

Siapa yang menang dan siapa yang kalah; pengundilah yang menentukannya.

Pada mata penulis pula, PRK kali ini sebenarnya bukti betapa penggal parlimen kali ini penuh dengan tekanan. Begitu banyak tekanan sehingga begitu banyak PRK yang terpaksa dilakukan; ada yang disebabkan kematian penyandang, dan ada juga disebabkan letak jawatan. Itu belum lagi desakan pemimpin PR agar "ahli bebas" melepaskan jawatan sebagai ahli parlimen. Seandainya tuntutan itu dipenuhi, maka bertambah lagi PRK bagi penggal ini.

Semua perkara hendak dipolitikkan. Maka sebab itulah kita menghadapi apa yang dikatakan sebagai tekanan politik. Tiada siapa yang mahu menidakpolitikkan keadaan. Apa yang pihak BN buat dikatakan bermotif politik. Yang PR buat pun mempunyai niat politik. Maka janganlah kita harian seandainya ada lagi pilihan raya kecil nanti.

Kepada ahli politik, jagalah kesihatan kamu semua.....

No comments: