Antara analisis pasaran dan pemasaran asas yang perlu dilakukan oleh sesebuah syarikat/firma perniagaan dan perdagangan adalah persekitaran makro. Dan salah satu akronim yang telah menjadi jargon bagi persekitaran makro adalah PESTEL (atau PESTLE) iaitu Politik (Politic), Ekonomi (Economic), Sosial (Social), Teknologi (Technology), Alam sekitar (Environment), dan Perundangan (Legislative). Dalam banyak keadaan, kadang-kala satu faktor lebih berat bagi sesuatu persekitaran berbanding yang lain.
Bagaimana pula dengan negara-negara Eropah? Berbanding negara-negara yang mempunyai masalah alam sekitar dan dilabel mempunyai masalah alam sekitar, apakah eropah bebas daripada ancaman alam sekitar dan bencana alam sekitar?
Walaupun sering melaung-laungkan mereka sebagai pembela alam sekitar, negara-negara maju jarang sekali bermuhasabah diri dan negara sendiri tatkala mereka biasa mengecam negara-negara membangun sebagai penyebab kepada kemerosotan alam sekitar. Sedang kita pun jarang mengatakan sesuatu kejadian itu merupakan bencana alam sekitar seandainya tidak menyebabkan kematian.
Hal inilah yang berlaku di Eropah. Kita tidak perlu menunggu bilangan mayat yang terhitung untuk apa yang berlaku di sana. Gunung berapi. Tidak semestinya lahar gunung berapi menyebabkan kematian barulah kita boleh kategorikan sebagai bencana alam. Di sebalik kepulan asap menutupi ruang udara di Eropah, lapangan terbang di Eropah diperintahkan oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk ditutup. Alasan yang diberikan adalah disebabkan kepulan asap dan habuk gunung berapi. Ada yang menganggap bahawa kepulan asap dan habuk tersebut berbahaya kepada kapal terbang. Ada yang mengatakan bahawa sememangnya peraturan EU bagi menutup lapangan terbang negara anggota seandainya berlaku letupan gunung berapi. Sehingga kinipun, masih tidak diketahui bahawa apakah sebab UTAMA sebenar penutupan lapangan terbang di Eropah. Lebih membingungkan, ada pesawat-pesawat pecubaan yang melakukan penerbangan melaporkan bahawa pesawat mereka tidak mendapat sebarang kerosakan walaupun terbang di kawasan ruang udara yang didakwa dicemari oleh asap gunung berapi.
Dalam masa yang sama, pihak kesatuan lapangan terbang mendakwa bahawa industri penerbangan di Eropah mengalami kerugian yang cukup besar disebabkan penutupan ruang udara dan lapangan terbang. Kerugian yang dialami adalah lebih besar berbanding kerugian ketika serangan 11 September. Justeru, kerugian yang ditanggung mungkin akan menyebabkan industri penerbangan Eropah akan menghadapi masalah pada masa yang mendatang. Trauma pelanggan, penerbangan pengganti, kos itu dan ini yang terpaksa ditanggung merupakan antara yang bermain di fikiran pemain industri penerbangan.
Nyata sekali di sebalik tidak begitu jelas sebab penutupan lapangan terbang di Eropah (dan mungkin sebab utama adalah faktor keselamatan), nampaknya negara-negara maju pun belum dapat membuat rancangan kontingensi terhadap sebarang keadaan yang boleh disebabkan oleh faktor E iaitu untuk alam sekitar (environment). Mungkin mereka mempunyai insuran yang besar bagi menampung segala kerugian yang ditanggung. Atau mungkin kejadian tersebut tidak disangka-sangka. Satu yang penting untuk kita renungi bersama adalah betapa yang dinamakan sebagai "bencana" itu tidak semestinya mengakibatkan kematian puluhan, ratusan, atau ribuan orang ramai. Cukuplah sebuah gunung berapi memuntahkan laharnya dan menyebabkan pencairan glasier dan pembebasan asap dan habuk tebal daripada gunung berapi tersebut.
Hal sebegitu pun sebenarnya bencana alam.....
No comments:
Post a Comment