Vernon: ...I've been teaching for 22 years and each year, these kids get more and more arrogant.
Carl: Bulls**t man! Come on Vern, kids haven't change. You have. You took a teaching position, caused you thought it will fun, right? You thought you can have summer vacation off. And then you found out that it was actually work and that really bumped you out.
Begitulah dialog antara seorang pengetua sekolah menengah dan seorang pekerja am (pembersih/janitor) dalam filem, The Breakfast Club (1985). Filem tersebut merupakan sebuah filem remaja tentang lima orang pelajar yang mempunyai latar belakang sosial yang berbeza dipaksa untuk berada di sekolah pada hari Sabtu kerana menghadiri tahanan (detention) atas kesalahan masing-masing.
Satu babak perbualan antara seorang pengetua yang berungut tentang betapa kerjanya bertambah sukar kerana perubahan anak murid mereka yang saban tahun saban berubah perangai mereka menjadi teruk. Pengetua membayangkan bahawa generasi inilah yang akan menjadi pemimpin negara pada masa akan datang dan pemikiran demikianlah yang menyebabkan beliau "terjaga" tiap-tiap malam. Namun secara sinis, rakannya yang merupakan "tukang sapu" berkata bahawa ada kemungkinan bahawa pengetua tersebut pada asalnya membayangkan tugas guru sekadar mengajar dan akan menikmati banyak masa terluang namun akhirnya, "guru" sebenarnya adalah satu profesion.
Banyak yang boleh kita rungkaikan dan kaitkan dalam satu babak pendek perbualan antara seorang pengetua dan seorang tukang sapu dalam filem ini. Pertama apakah generasi sekarang sudah semakin berubah? Satu dakwaan cliché dan bias tentang generasi sekarang adalah generasi ini sudah keruntuhan moral dan akhlak berbanding yang dahulu. Dakwaan ini disokong dengan generasi sekarang yang dikatakan kurang ajar, kadar jenayah, buang bayi, seks luar nikah (kes maksiat), kes buli dan pukul, yang saban tahun dikatakan meningkat. Namun, apakah itu menjustifikasikan bahawa generasi sekarang ini lebih teruk berbanding yang terdahulu?
Lebih penting lagi, perbualan tersebut merungkai persoalan kedua iaitu mengapakah seorang guru menjadi guru? Apakah persepsi seorang guru terhadap anak-anak muridnya yang dikatakan "semakin sombong dan bongkak" dan apakah pula persepsi pihak ketiga terhadap persepsi guru tersebut. Apakah seorang guru itu tidak sedar bahawa menjadi seorang guru juga merupakan "kerja" yang perlu dilangsaikan bagi memenuhi kehendak pembayar cukai?
Penulis mempunyai ramai rakan-rakan yang menjadi guru; ada yang berkhidmat sebagai guru sandaran, ada yang telah menghabiskan KPLI-nya dan ada juga memang sedari awal lagi mengambil Ijazah Sarjana Muda dengan Pendidikan. Ada seorang yang berkhidmat di peringkat kementerian di Putrajaya. Beliau pun mempersoalkan bagaimanakah sistem yang sekadar beberapa bulan (seperti KPLI dan DPLI) boleh melahirkan guru yang baik kerana mereka sebenarnya bukannya terlatih spesifik sebagai seorang guru. Menurut beliau lagi, cara mengajar pelajar sekolah rendah jauh berbeza dengan cara mengajar sekolah menengah.
Maka dengan permintaan agar guru sekolah rendah pun mempunyai ijazah sarjana muda, apakah dari segi kenaikan pangkat, faedah perkhidmatan maka akan sama dengan sekolah menengah? Itulah persoalan yang harus dijawab oleh pembuat dasar tatkala sedang begitu menggalakkan bakal guru (atau guru yang telah berkhidmat) untuk mempunyai kelulusan tinggi sedangkan kini, taraf guru sekolah menengah dan sekolah rendah masih kekal dikotomi. Guru sekolah menengah sudah ada "guru pakar" maka apakah guru sekolah rendah tidak dapat peluang yang sama?
Bebanan kerja guru berbanding gaji yang diterima juga menjadi persoalan yang saban kali berkumandang di dalam ruangan surat di dalam akhbar-akhbar utama. Baru-baru ini, di Utusan Malaysia, terdapat seorang pembaca yang "irihati" dengan gaji seorang guru "fresh graduate" yang didakwa beliau sebagai jauh lebih tinggi hatta hendak dibandingkan dengan perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) permulaan sekalipun. Hal ini benar lebih-lebih lagi bagi guru yang berkhidmat di pedalaman apabila disediakan pelbagai insentif oleh kerajaan untuk berkhidmat di kawasan terpencil. Ada khabar angin bahawa mengajar di pedalaman sebenarnya jauh lebih "mudah" berbanding di bandar-bandar besar kerana tuntutan kecemerlangan "straight A" yang begitu didambakan bagi sekolah-sekolah elit. Justeru, ada eloknya guru-guru yang rasa tertekan dengan tuntutan tersebut memohon untuk mengajar di pedalaman kerana manfaatnya lebih, stres dan tekanan hidup pun kurang (kata orang putih, you have nothing to loose), dan jadilah guru contoh bagi meningkatkan serba-sedikit pencapaian sekolah pedalaman untuk manfaat bersama!
Tekanan jiwa dan kerja amat berkait rapat dengan bebanan kerja guru. Ada guru yang mendakwa dirinya begitu terbeban dengan tugasan itu dan ini, tugasan luar "spesifikasi" kerja sehingga meluahkan ketidakpuasan hati mereka di dalam akhbar. Guru kena tulis kad laporan pelajar, guru kena sediakan laporan mengajar, guru kena ambil kedatangan, guru kena rizo kertas untuk peperiksaan, guru juga yang kena stapler kertas peperiksaan, guru kena tanda kertas peperiksaan, guru kena rekod markah peperiksaan, guru kena buat kelas tambahan, guru kena datang kursus semasa cuti, guru kena sedia di sekolah sebelum tahun baru persekolahan bagi persediaan, guru kena tinggal di sekolah selepas waktu persekolahan pagi untuk aktiviti ko-kurikulum waktu petang, guru kena menjadi "guru rumah sukan" guru kena jadi guru pengiring bagi aktiviti ko-kurikulum. Belum lagi kalau guru yang mendapat tugasan "tak rasmi" yang rasmi seperti kena jaga disiplin, kena uruskan SPBT, kena buat kertas kerja dan lain-lain. Begitulah berat dan bebannya tugas guru. Oleh yang demikian, dengan hujah-hujah yang begitu panjang lebar yang telah dikemukakan oleh guru, mungkin ada benarnya beban kerja guru itu dikaji sedalam-dalamnya. Apakah guru benar-benar terbeban dengan tugasan yang sebegitu rupa sehingga merasa tekanan yang teramat sangat?
Seeloknya, jawapan janitor tadilah yang wajar direnung oleh kesemua guru dan bakal guru yang hendak menjadi guru. Apakah anda terperanjat bahawa itu semuanya adalah tugas seorang guru? Ataupun anda baru tahu bahawa "guru" itu merupakan satu "kerja"? Dalam hadis Nabi SAW ada menyebut, segala amalan adalah dengan niat, maka untuk seseorang itu berasaskan apa yang diniatkan. Kalau niat nak dapat kerja, maka dapatlah kerja, kalau niat untuk mencari rezeki, maka dapatlah rezeki. Begitulah seadanya. Pada hemat penulis, apa tugas pun pasti menghadapi kesukaran dan kesusahan kerana realitinya, "tugas" atau "kerja" itu tertakluk dengan tekanan: sama ada dari dalaman, dari orang atasan, atau menjaga orang bawahan. Orang berniaga pun ada tekanan; nak bayar gaji pekerja, nak kumpul wang pusingan, nak bayar hutang. Justeru, seharusnya seseorang itu bersedia fizikal dan mental dengan bakal pekerjaan yang akan dihadapi. Janganlah dalam temu duga, "usahkan lautan pasifik terpaksa ku renangi, gunung berapi pun akan ku daki" namun apabila dapat kerja, SONGEH lebih daripada sirih. ANDA SEBENARNYA SEDANG MENUTUP PELUANG ORANG LAIN UNTUK BEKERJA!!!
Tuntasnya, penulis tidak sekali-sekali merendahkan martabat guru. Malah, guru merupakan kerja yang sangat mulia kerana mereka ini merupakan pembuka mata ilmu bagi anak-anak muridnya. Namun, dalam pada kita sedang berjuang itu dan ini, seharusnya kita renungi dan insafi bahawa setiap sistem itu pasti ada kekurangannya. Kita belum lagi menyentuh tentang sekolah menuntut itu dan ini, guru dan SJK menuntut itu dan ini, PIBG menuntut itu dan ini. Semua orang mungkin mempunyai tuntutan masing-masing. Oleh sebab itu, apabila terdapat cadangan untuk kajian tentang beban kerja guru, maka kajian itu sangat-sangat bertepatan pada masanya. Akan tetapi, alangkah baiknya seandainya bukan perkhidmatan guru sahaja yang mendapat satu perhatian untuk dikaji beban kerjanya. Bukankah lebih baik kesemua perkhidmatan awam menjalani kajian yang sama? Seandainya kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam kita begitu baik, apakah yang menyebabkan PM Najib perlu mengeluarkan janji seandainya terdapat peningkatan produktiviti, barulah dinaikkan gaji? Kesemua ini memerlukan kajian menyeluruh bagi mengekalkan rasa puas hati mereka terhadap pekerjaan mereka. Tetapi, kalau tidaklah berpuas hati langsung dengan kerja dan gaji yang diperoleh, insafilah bahawa banyak lagi orang yang tidak dapat bekerja/ tidak mendapat kerja sebagaimana yang diharapkan.......
1 comment:
Saya juga seorang guru dan sangat menyetujui pandangan di atas. Guru adalah satu pekerjaan, maka bekerjalah.
Saya telah melalui masa-masa cemerlang, masa-masa sukar mengajar di pedalaman. Waktu itu gaji kami sangat kecik, hanya RM575 sebulan!
Saya pernah dilantik sebagai penyelaras UPSR, berada d isekolah setiap hujung minggu dan malamnya menaip di komputer untuk tugas-tugas yang tak pernah selesai. Waktu itu saya masih muda dan kecemerlangan diukur dari segi senioriti. Saya muda lagi, saya tidak diberi anugerah apa-apa walaupun jelas sayalah yang paling kuat bekerja di sekolah itu!
Kini saya pindah ke bandar, memohon mengajar sesi petang. Alangkah indahnya mengajar sesi petang. Saya tidak lagi perlu menunggu lebih lama di sekolah selepas kelas dan tidak perlu menghadiri kelas tambahan jam 2.15 petang. Hidup sangat sentosa dan gaji pun dah sampai angka RM4000!
Bagi saya, saya telah mendapat ganjaran dari apa yang saya kerjakan dulu walaupun tidak pernah menikmati anugerah pencapaian cemerlang. Saya tidak menyesal dibebani tugas yang berat di pedalaman satu ketika dulu kerana Allah telah membalasnya dengan menganugerahkan saya kenaikan gaji yang tidak pernah tersekat. Ya..saya sentiasa lulus ujian PTK!
Alhamdulillah, saya redha. Amin!
Post a Comment