Tuesday, November 8, 2011

Merealisasikan bahasa jiwa bangsa

(Sempena tercapainya angka 200 terbitan di lappanblablabla.blogspot.com.)

Terbitan dalam blog ini sudah mencecah dua ratus dan mempunyai kepelbagaian dalam isu dan topik perbincangan yang disentuh. Barangkali bagi yang pernah membaca blog ini berpendapat walaupun blog ini menggunakan frasa polymath, tampak sungguh perbincangan politik yang lebih diraikan oleh penulis. Seolah-olah politik tidak boleh lari daripada blog ini.


Akan tetapi, statistik menunjukkan bahawa terbitan dengan label 'ekonomi' merupakan terbitan yang paling banyak dibaca pengunjung berbanding yang lain. Terbitan Krisis Kewangan 2007-20?? merupakan terbitan yang paling ramai diraikan oleh pengunjung blog ini. Untuk rekod, sampai sekarang pun tanda soal pada tajuk tersebut masih kekal menjadi 'tanda soal' kerana dunia masih lagi bergelumang dengan krisis ekonomi/kewangan ciptaan Barat dan kapitalisme walaupun ada yang mungkin berhujah, apa yang berlaku sekarang sebenarnya berbeza konteksnya dengan apa yang terjadi pada tiga tahun lepas. Namun, tidak siapa pun boleh menafikan rantaian kejadian yang berlaku antara kedua-dua krisis sebenarnya berkaitan sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung.


Tiga tahun lepas orang bercakap mengenai 'krisis hutang subprima,' sekarang pun orang bercakap tentang hutang juga iaitu 'krisis hutang US' dan 'krisis hutang Eropah.' Pendek katanya, 'hutang' itu sendiri telah menjadi komoditi pasaran dunia apabila negara yang mempunyai hutang terbesar di dalam dunia ini (baca: US) ialah negara yang 'mengawal' ekonomi dunia. Ungkapan tersebut kekal menjadi sesuatu yang paradoks disebabkan kebergantungan ekonomi dunia terhadap penanda aras yang ditetapkan oleh Wall Street (sekali lagi, baca: US).


Justeru gagasan model ekonomi baru (secara literal, bukannya MBE/MEB semata-mata) yang lebih dinamik dan bersifat kemanusiaan adalah sangat-sangat penting bagi mengelakkan masyarakat secara keseluruhannya diheret sekali bersama-sama masalah dan kesilapan yang dicetuskan oleh pedagang-pedagang besar dan pembuat dasar. Hal itu jugalah yang cuba dibawa oleh gerakan seperti Occupy Wall Street yang nyata mempunyai penyokong dan pengikut mereka sendiri yang sanggup membuat piket, tunjuk perasaan berterusan bagi mempersoalkan peranan syarikat-syarikat korporat mega yang dilihat oleh peserta Occupy sebagai 'pemerintah' sebenar US kerana merekalah (syarikat mega) sebenarnya yang menentukan hala tuju ekonomi Washington.


Memang kedengaran seperti teori konspirasi ekonomi persis judul 'Confession of an Economic Hitman' namun kenyataannya kita tidak boleh sama sekali menafikan pengaruh syarikat korporat mega dan multibilion dolar ini terhadap kelangsungan ekonomi sesebuah negara. Masakan tidak, penyenaraian mereka di bursa pun menyumbang kepada angka-angka ajaib indeks itu dan ini, buat apa orang (kerajaan/bursa) hendak senaraikan sangat syarikat-syarikat ini kalau tak beri manfaat kepada mereka? (boleh dikaitkan dengan isu semasa domestik seperti Felda...).


Soal ekonomi juga mempunyai asosiasi dengan bahasa Inggeris. Kontra dengan pemikiran orang ramai mengenai Bahasa Melayu dianak tirikan dalam bidang Sains, penulis cenderung melihat perspektif bahawa bidang ekonomi dan perniagaan korporatlah yang paling menganak tirikan Bahasa Melayu. Terlalu sedikit rancangan televisyen yang memaparkan hal-hal berkaitan ekonomi dan korporat, apatah lagi dalam Bahasa Melayu. Akhbar atau majalah Bahasa Melayu yang membincangkan isu ekonomi teras sangatlah kurang berbanding genre keIslaman, mistik dan hiburan. Pendek katanya, Bahasa Melayu dan ekonomi di bibir-bibir pak menteri jaga korporat dan majlis korporat sangat-sangatlah perlahan.


Oleh sebab itulah sungguhpun beberan dalam blog ini berkenaan isu bahasa tidak sebanyak yang berlabel 'politik,' dan 'Islam,' terbitan berkaitannya diulas dengan panjang sekali. Kalau dikadarkan dengan helaian di perisian Microsoft Word, biasanya dalam lima atau enam muka surat. Hal ini bagi menzahirkan peri pentingnya agenda Bahasa Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya dipandang mudah atau rendah. Isu bahasa terlalu penting untuk dibincangkan pada perspektif politik semata-mata kerana ahli politik yang menentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam pendidikan bukan bermaksud yang mereka menyokong Bahasa Melayu. Perkara-perkara sebeginilah juga yang perlu disedari oleh 'pejuang-pejuang Bahasa Melayu.' Kegagalan dasar kerajaan seperti PPSMI dan huru-hara dalam implementasi MBMMBI merupakan bukti yang cukup kuat bahawa ahli politik sebenarnya cuma suka mengambil kesempatan dalam sesuatu isu berkaitan Bahasa Melayu tanpa memperjuangkan sebenar-benarnya keperluan bahasa itu sendiri.


Tuntasnya, andai dilihat daripada perspektif sejarah, bukanlah secara kebetulan sahaja Bahasa Melayu menjadi lingua franca pada zaman kegemilangannya. Penglibatan keseluruhan masyarakat pada ketika itu daripada institusi kesultanan, kegiatan perniagaan dan perdagangan, pengunaannya dalam kaedah pembelajaran terutamanya keagamaan dan keakuran masyarakat menggunakannya di dalam kehidupan seharian. Bahasa Melayu bukan sekadar hanya dijadikan isu retorik, petuturan peringkat bawahan semata-mata; malah turut diamalkan oleh kerabat diraja dan pedagang.


Melainkan untuk agama Islam, Bahasa Melayu sebenarnya sudah semakin dilupakan dalam segenap bidang keilmuan. Oleh sebab itu, masyarakat kita perlu mencontohi apa yang berlaku pada zaman kegemilangan Islam. Bukan sahaja karya-karya ilmiah bahasa asing sahaja yang diterjemah dan kitab-kitab keilmuan ditulis dalam Bahasa Arab, perkembangan kesusasteraan dan bahasa itu sendiri diperkukuhkan dalam segenap aspek kehidupan rakyat. Hal yang demikianlah yang menyebabkan kejayaan ketamadunan Islam-Arab pada ketika itu menjadi sumber kepada kebangkitan Tamadun Barat-Moden yang kini menuju ke fasa ‘pascamoden’ dan/atau transmoden yang kesemuanya tidak dapat tidak boleh dikaitkan dengan kelemahan umat Islam pada zaman kejatuhannya.


Sebab itulah isu bahasa terlalu penting untuk sekadar dipolitikkan

Mengurangkan kakitangan awam.

Umum mengetahui bahawa kakitangan awam merupakan sektor pekerjaan yang paling banyak menikmati imbuhan semasa Belanjawan 2011. Malah, dalam banyak keadaan pun kakitangan awam dan badan berkanun jugalah yang menikmati pelbagai kelebihan tatkala berada dalam perkhidmatan dan selepas bersara kelak.


Pinjaman kerajaan, pinjaman koperasi dan skim pinjaman tertentu semuanya lebih memihak kepada penjawat awam berbanding yang 'bukan-penjawat awam.' Begitu juga dengan pencen yang dinikmati oleh penjawat awam selepas mereka bersara daripada perkhidmatan.


Berbanding perkhidmatan swasta yang selalunya dikaitkan dengan buat duit untuk diri sendiri, keluarga, syarikat dan kerajaan. Keringat yang diperah tidak semestinya berasaskan waktu standard 9-5 dan limpahan cuti yang merata-rata. Ada yang bekerja pada Sabtu dan Ahad namun atas keadaan tertentu tidak pula boleh dicaj gaji 'overtime' (persis kategori 'pegawai' dalam sektor awam).


Walaupun imej mereka yang selalu dicemburui penjawat awam ialah 'bonus berbulan-bulan,' barangkali perlu diingat yang bukan semua syarikat menyediakan bonus tahunan dan bukannya tiap-tiap tahun pun akan dapat 'bonus berbulan-bulan.'


Justeru, perkara sebegini mengundang rasa tidak puas hati Setiausaha Publisiti Kebangsaan Tony Pua yang menjanjikan andai DAP berjaya memenangi PRU, maka kerajaan mereka akan mengurangkan sama sekali penjawat awam bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam. Hal ini juga didorong oleh keperluan kerajaan menyediakan insentif tambahan kepada mereka yang semestinya 'menambahkan kos kerajaan.'


Sekali lagi, frasa 'we as the government tax payer' akan dijadikan sebagai kata-kata merasionalkan tuntutan agar kerajaan menambahkan kecekapan khidmat kerajaan kerana mereka sebenarnya sebagai pemudah cara dan bukannya sebagai penguatkuasa semata-mata. Kakitangan kerajaan dimanjakan dengan pelbagai insentif kerajaan yang tidak mungkin akan dinikmati pekerja lain. Kalau pun kerajaan memberikan insentif umum seperti bantuan khas RM500 kepada yang berpendapatan rendah, penjawat awang yang berpendapatan rendah pun layak juga menerima insentif tersebut.


Akan tetapi, ada juga dikalangan pemerhati yang menyarankan tindakan 'janji' DAP melalui Tony Pua itu berbaur perkauman lantaran majoriti pekerja sektor awam ialah orang Melayu dan Bumiputera. Misalnya Berita Harian (8/11/11, m.s. 4) memetik Pengerusi Majlis Perundingan Melayu Malaysia Prof Datuk Dr Kamarudin Kachar menyatakan tindakan DAP itu sebagai 'bermatlamatkan mengurangkan orang Melayu dan Bumiputera dalam perkhidmatan awam.' Presiden NUTP, Hashim Adnan pula menyatakan ketidakcukupan jumlah kakitangan awam khususnya guru sedangkan jumlah murid yang memasuki alam persekolahan saban tahun bertambah.


Isu berkaitan bilangan kakitangan awam di Malaysia sebenarnya lebih berbentuk abstrak berbanding sesuatu yang tampak, jelas dan mudah difahami oleh segenap masyarakat Malaysia. Hal ini mungkin disebabkan sebaran maklumat mengenainya tidak meluas atau memang tiada kajian terperinci secara rasmi pun yang dibentangkan untuk isu sebegini. Yang paling mudah untuk dikaitkan dengan isu sebegini ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana merekalah yang mengawal selia, mengurus jawatan, penggajian, pencen dan pelbagai hal berkaitan penjawat awam sama ada guru, tentera, polis, PAR atau pegawai-pegawainya.


Cuma daripada satu segi, maklumat mengenai produktiviti penjawat awam merupakan sesuatu yang kekal menjadi enigma kerana wujudkah sebenar-benarnya kajian yang bersifat sedemikian? Selama ini, ramai yang sekadar memberikan pandangan dogmatik yang masih belum dibuktikan secara konstruktif. Bagaimanakah kita hendak menentukan sama ada produktif atau tidak untuk perkhidmatan awam? Sebab hanya dengan cara begitu barulah kita boleh bercakap soal kecekapan dan keberkesanan.


Merumitkan lagi keadaan, kualiti perkhidmatan tidak semestinya berkait rapat dengan produktiviti walaupun kedua-duanya sering diungkapkan bersama-sama. Maknanya, kalau Pak Abu berpuas hati dengan perkhidmatan jabatan A, berbanding jabatan B, belum tentu jabatan A itu lebih produktif berbanding jabatan B. Pak Abu cuma suka jabatan A lebih, tapi jabatan A tak semesti menyumbang lebih kepada kerajaan!


Oleh sebab itu, apabila kita mengatakan hal-hal berkaitan 'efisyen' dan 'produktif,' tidak dapat tidak kita perlu meletakkan parameter tertentu bagi membolehkan pengukurannya. Barangkali perlu diingat bahawa kedua-dua istilah itu sebenarnya sangat berkaitan dengan 'ekonomi' yang tidak dapat tidak, perlu menggunakan nombor juga dalam bual bicaranya.


Maka, apakah data-data itu sudah tersedia? Bagaimanakah kita hendak mengukur produktiviti guru misalnya, atau pekerja kaunter Jabatan Tanah dan Galian? Semua itu perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum kita membuat praanggapan kakitangan kerajaan tidak produktif atau tidak cekap.


Tetapi andai sudah wujud data-data tersebut, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membuat hebahan kerana perkara tersebut merupakan kepentingan awam. Penerangan perlu dibuat kepada rakyat tentang penjawatan, sasaran numerikal dan kecekapan dan produktiviti kakitangan mereka. Hal ini demikian kerana penjawat awam diberi kuasa tertentu yang dipelihara oleh undang-undang sehingga seandainya 'menghalang kerja penjawat awam' pun boleh dikira sebagai satu kesalahan. Jadi, kalau sebegitulah hebatnya penetapan klausa tersebut dalam undang-undang, sudah semestinya rakyat biasa pun mahu mengetahui sama ada penjawat awam benar-benar melakukan tugas mereka dengan adil bagi memenuhi fungsi mereka sebagai 'pemudah cara' rakyat Malaysia.


Kalau setakat kata 'bandingkan dengan negara sekian-sekian, ada kakitangan awam seramai sekian-sekian yang lagi ramai jumlahnya daripada kakitangan awam Malaysia' tidak memadai. Bukan semua perkara yang negara sekian-sekian itu perlu disamakan dengan Malaysia kerana struktur masyarakat yang berbeza, keperluan yang berbeza, struktur pekerjaan juga berbeza dan struktur negara yang juga berbeza.


Oleh sebab itu, secara objektifnya janji Tony Pua dan DAP sebenarnya telah berjaya membuka mata kepada pihak kerajaan supaya merasionalkan pengambilan kakitangan awam, penjawatan dan hebahan berkenaan kecekapan dan produktiviti penjawat awam. Sudah semestinya janji sedemikian ialah janji yang berbaur politik tetapi, menjadi tanggungjawab kerajaan juga untuk menjawab kenapa jumlah kakitangan awam adalah sebagaimana sekarang ini. Dan sudah semestinya dengan istilah-istilah muluk seperti KPI, NKRA, NKEA, GTP, harus sekali mereka menzahirkan 'kejayaan-kejayaan' mereka.


Malah, kerajaan DAP Pulau Pinang pun perlulah kini mengurangkan kakitangan peringkat negeri mereka selaras dengan idealisme untuk mengurangkan kakitangan awam bagi memastikan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam negeri tersebut meningkat. Hal ini demikian kerana sekaranglah masanya bagi membuktikan cadangan mereka bernas kerana terbukti apabila kakitangan dikurangkan, kecekapan dan produktiviti meningkat. Barulah mereka boleh mengatakan yang cadangan mereka untuk kepentingan awam dan bukannya berunsur politik semata-mata.


Tambahan pula andai politiklah yang menjadi pemberat pengurangan kakitangan awam, pandangan sedemikian juga amat-amat kurang munasabah. Penulis secara peribadi bersahabat dengan penjawat awam, selalu berbual dengan mereka dan tidak menunjukkan pula tanda-tanda yang mereka lebih meyokong kerajaan BN/UMNO. Berapa ramai polis yang pernah berbual dengan penulis yang sebenarnya sering menzahirkan rasa tidak puas hati dan sinis dengan kerajaan sedangkan golongan inilah yang paling banyak dihentam oleh pembangkang terutamanya ketika berlakunya tunjuk perasaan.

Ada juga di kalangan kakitangan kerajaan yang secara terbuka mengisytiharkan mereka tidak menyokong BN pada PRU 2008 hanya kerana kerajaan tidak beri bonus. Ungkapan zaman Pak Lah yang lalu, 'cemerlang, gemilang, terbilang' sering diajuk dengan 'cemerlang gemilang temberang' oleh kakitangan awam sendiri. Ramai kakitangan kerajaan daripada kumpulan profesional lebih kritikal kepada pihak kerajaan berbanding menzahirkan sokongan tak berbelah bagi. Oleh sebab itu, apa yang hendak dirisaukan kerana sememangnya terbukti, penjawat kerajaanlah juga yang menyumbang kepada kemenangan monumental pembangkang tempoh hari!?


Dari hal itu, DAP kini perlulah ‘walk the talk’ dan bukannya kekal dalam kepompong lama sekadar talk the talk!

Friday, November 4, 2011

Janji senang; tunai janji lain pula ceritanya!





  • Ramai pemimpin dunia yang semasa pilihan raya berjanji yang muluk-muluk; sedap didengar di telinga dan menjadikan rakyat begitu teruja dengannya.
  • Lalu rakyat yang mengundi memilih mereka sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung.
  • Obama misalnya mengeluarkan kata-kata 'Change: We Belief It.'
  • PM pertama daripada DPJ, Yukio Hatoyama juga menjanjikan perkara yang sama sewaktu kemenangan monumental parti yang secara relatifnya baru di Jepun tatkala menumbangkan parti atuk (bekas partinya sendiri) LDP, namun tidak sampai setahun, beliau meletak jawatan kerana gagal dalam menunaikan janjinya menutup pangkalan tentera US di Jepun.
  • Pengganti beliau, Naoto Kan juga turut meletak jawatan setelah beberapa bulan wilayah Fukushima di Jepun mengalami gempa dan tsunami hanya setahun lebih di tampuk pemerintahan.
  • Susilo Bambang Yudhoyono juga turut menjanjikan 15 perkara yang akan dilaksanakan andai beliau dan regunya memenangi pemilihan presiden Indonesia pada 2009.
  • Dan terbaru, Yingluck Shinawarta dengan senyumannya yang menawan, aura keluarga Shinawatra (disebut 'shinawat') dan namanya yang seandai ditulis huruf roman, mempunyai suku kata yang kedengaran sebagai 'tuah' dalam Bahasa Inggeris (luck) turut menebarkan seribu janji untuk rakyat Thailand.
  • Antara janjinya yang paling mudah diingati ialah satu murid satu komputernya; persis zaman kebangkitan IT di Malaysia apabila PM ketika itu, Tun Dr. Mahathir melancarkan motto 'satu rumah satu komputer.'
  • Zahir janji Shinawatra sebenarnya lebih hebat daripada motto Dr. M kerana kalau satu rumah itu ada tiga orang murid, maka rumah tersebut ada tiga komputer!
  • Soal kaedah perlaksanaan manifesto Shinawatra itu terserahlah kepadanya kerana yang kita beratkan ialah janji dan tertunainya janji.
  • Akan tetapi, saban hari, untuk melihat kesemua janji-janji pemimpin-pemimpin tadi untuk ditunaikan semakin lama semakin samar.
  • Andai dilihat kepada peratusan pula, (melainkan Shinawatra yang baharu di tampuk pemerintahan) hanya kurang 50 peratus sahaja janji-janji mereka yang ditunaikan atau ditepati.
  • Obama begitu beria-ia menyatakan yang penglibatan US di kempen demokrasi Iraq akan ditamatkan serta-merta sejurus beliau memegang jawatan Presiden.
  • Sebaliknya, sehingga sekarang pun bukan semua askar-askar demokrasi US di Iraq pulang ke tanah airnya sedangkan masa pemerintahan Obama tinggal setahun sahaja lagi.
  • Malah, US membabitkan diri lagi dengan perang di tempat orang apabila melobi untuk NATO turut serta dalam menggulingkan 'pemimpin kuku besi' Libya Muammar Gaddafi.
  • Setelah Gaddafi dibunuh, 'pasukan pejuang demokrasi' NTC bukannya mahu NATO berundur sebaliknya digesa kekal untuk beberapa seketika bagi membantu mereka 'menjaga keamanan' Libya takut-takut pembela Gaddafi membuat serangan balas.
  • Sudah pasti andai seruan ini dipenuhi,  kos peperangan NATO akan bertambah dan secara tidak langsung menambahkan juga kos peperangan US.
  • Oleh sebab itu, perkara sebegini menjadikan US sebagai negara yang paling banyak melabur untuk 'mempertahankan tanah airnya' dengan berbuat perang di negara orang lantaran tiada satu pun peperangan yang mereka sertai pasca-Perang  Dunia Ke-2 yang melibatkan tempat dan lokasinya sendiri di Amerika!
  • Itu cerita Obama dan US. Cerita Hatoyama dan karier politiknya di Jepun lebih tragis lagi kerana di bawah kepimpinan beliaulah parti LDP digulingkan daripada tampuk pemerintahan yang cukup-cukup lama (sedari 1955; melainkan sela masa 1993-1994)
  • Beliau menjadi PM Jepun selama tak sampai setahun pun  kerana mengambil tanggungjawab dalam kegagalan usaha kerajaan menutup operasi pasukan marine US di Okinawa.
  • Pengganti beliau iaitu Naoto Kan juga mengalami nasib yang sama apabila melepaskan jawatan kerana kegagalan dalam menguruskan kawasan terjejas di Fukushima setelah daerah itu dilanda tsunami.
  • Kematian rakyat, kemusnahan infrastruktur, pemaparan kesan negatif radioaktif yang dibandingkan dengan bencana Chernobyl, kekurangan makanan, minuman bersih dan bantuan perubatan menjadi sebab kepada perletakan jawatan beliau atas rasa tanggungjawab.
  • Sedangkan daripada satu sudut, beliau sendiri tidak boleh mengelak amukan alam dan takdir Tuhan yang menyebabkan bencana tersebut berlaku.
  • Kedua-dua kejadian ini ditambah pula dengan fakta bahawa sudah ada lapan PM Jepun semenjak tahun 2000, memperlihatkan sisi kebudayaan kepimpinan Jepun yang cukup-cukup berbeza berbanding negara-negara lain di seluruh dunia.
  • Mereka nampaknya benar-benar mengambil kira semangat kebertanggungjawaban atas setiap permasalah rakyatnya sehingga bertindak untuk melepaskan jawatan andai berlaku sebarang kegagalan yang memperlihatkan keaiban kepimpinan mereka walaupun masalahnya dicetuskan oleh bencana seperti gempa bumi dan tsunami.
  • Sehinggakan satu ketika dahulu, menteri kewangannya Soichi Nakagawa terpaksa meletak jawatan hanya kerana kelihatan mengantuk ketika menghadiri persidangan G7 di Rome. 
  • Kembali ke rantau Asia Tenggara, SBY mencatat sejarah sebagai presiden Indonesia pertama yang dipilih terus oleh rakyat Indonesia.
  • Juga beliau sebagai presiden pertama yang berjaya mempertahankan jawatan tersebut dengan kaedah pemilihan terus itu.
  • Namun, tahun pertama pemerintahan beliau yang pertama, Indonesia dilanda tsunami sehingga mengakibatkan bumi Acheh bagaikan padang jarak padang tekukur.
  • Pun begitu, nasib beliau lebih baik jika dibandingkan dengan rakan sejawatnya daripada Jepun kerana bukan sahaja beliau berjaya 'mengharungi' bencana tsunami, malah beliau turut dipilih sekali lagi dalam pemilihan presiden (dengan regu barunya).
  • Menjelang masa, kemenangan beliau tidak juga dirai selama-lamanya apabila sudah ada kajian persepsi yang dilakukan terhadap janji-janjinya (15 kesemuanya) yang menunjukkan setelah dua tahun dipilih semula, beliau hanya berjaya melunaskan tiga janji pilihan raya sahaja (iaitu sekitar 20 peratus).
  • Sekali lagi, beliau merupakan contoh betapa keadaan dan nasib menyebelahi seseorang pemimpin kerana sebagaimana US, presiden hanya boleh memegang itu tersebut sebanyak dua penggal sahaja dan kelihatan tiada sebab mengapa kegagalan memenuhi janji itu mendorong beliau meletak jawatan.
  • Paling tidak pun, wakil parti beliau tidak dipilih lagi dan beliau pun tidak mendapat kesan apa-apa seperti 'kalah' misalnya kerana presiden yang akan datang secara teknikalnya adalah 'hal dia orang sendiri.'
  • Kini, kita ke utara Semenanjung pula dengan Thailand menghadapi banjir terburuk dalam sejarah lima dasawarsa.
  • Kerajaan dan pimpinan Yingluck Shinawatra dikritik hebat oleh rakyatnya kerana pengurusan banjir yang kurang berkesan.
  • Pertelingkahan selatan tanah air mereka juga tidak pernah kerana acap kali akan kedengaran serangan-serangan tertentu yang melibatkan puak-puak yang bertelagah. Ramai juga menjadi korban.
  • Nampaknya, Shinawatra yang ini tidak sempat untuk melakukan sesuatu pun bagi memenuhi janji-janjinya kerana kini sibuk menguruskan bencana banjir di negaranya.
  • Sudah tentu banjir ini akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara, menambahkan kos pengurusan negara, mengganggu kehidupan rakyat seharian dan sekali gus menyebabkan kesemua 'janji-janji manis' yang telah dibuat oleh pemimpin negara Gajah Putih itu semakin tak tertunai.
  • Apa lagi janji popular seperti satu murid satu komputer.
  • Hanya masa sahaja yang akan menentukan sama ada nasibnya seperti PM-PM Jepun atau SBY.
  • Cuma daripada satu seginya, kejadian-kejadian yang dibeberkan tadi menunjukkan betapa sukarnya janji manis seorang pemimpin untuk dilaksana.
  • Lantaran pelbagai tekanan yang pemimpin itu perlu hadapi, baik daripada kroninya, baik daripada sekutunya, baik daripada rakyatnya dan tidak kurang penting daripada kejadian-kejadian alami.
  • Juga sebagai teladan kepada pemimpin-pemimpin yang sedia ada, sama ada pemimpin baru yang menggulingkan orang lain melalui cara jalanan atau ketenteraan, juga kepada yang masih kekal di tampuk kuasa.
  • Bahawa ada dikalangan mereka yang mungkin menjanjikan bulan dan bintang, menggunakan frasa seperti 'Change' atau 'Ubah' namun kesan akhirnya, bukan sahaja tiada perubahan, malah bertambah teruk pula.
  • Mungkin orang boleh kata, bukannya kehendak pemimpin itu untuk tidak memenuhi janji yang ditagih oleh rakyatnya; malah dia sudah mencuba.
  • Namun tak siapa pun boleh menafikan apabila intervensi Yang Maha Esa berlaku, mereka sebenarnya lebih kerdil daripada penonjolan keagungan diri mereka di mata khalayak ramai.
  • Jadi, apabila kepentingan pihak tertentu yang lebih perlu dipenuhi dan apabila bencana alam datang melanda;
  • Tidak siapa pun di antara mereka mampu mengelaknya.
  • Dan mungkin mereka tidak pernah terfikir pun bahawa selain daripada pihak lawan di dalam dunia politik mereka yang boleh merencatkan cita-cita mereka, terdapat kuasa yang di atas sana yang lebih tahu untung nasib manusia!