Tuesday, October 22, 2013

‘Saf’ kepimpinan UMNO: Transformasi hapakabenda?

 

Pemilihan UMNO 2013-2016 telah melabuhkan tirainya awal Ahad lalu dan keputusan jawatan ketiga terpenting selepas Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah pun diketahui. Sebelum ini, kerusi Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri telah pun dipertandingkan dan melainkan jawatan Ketua Puteri yang memerlukan ketua yang baharu, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda mengekalkan orang yang sama bagi tempoh tiga tahun lagi. Dan hari ini, senarai saf kepimpinan UMNO telah pun lengkap terutamanya jawatan-jawatan tertinggi parti keramat Melayu itu.

Memperlihatkan senarai yang sedia ada, hanya satu kerusi sahaja yang sebenarnya beralih arah kepada orang lain iaitu Ketua Puteri iaitu kepada Mas Ermieyati, Ahli Parlimen Masjid Tanah. Itu pun disebabkan penjawatan tersebut mempunyai had umur tertentu yang perlu dipenuhi oleh sesiapa yang berkeinginan untuk menjawatnya. Kalau tidak, mahu gamaknya kesemua pemimpin atasan dalam tempoh terdahulu dikekalkan sebijik-sebijik; meskipun UMNO berproklamasi bahawa mereka telah melaksanakan satu transformasi politik yang cukup besar dalam pemilihan kali ini dan akan datang.

Hakikatnya, apabila orang melihat kepada senarai kepimpinan UMNO, mereka sebenarnya kurang memberatkan jawatan lain seperti Ahli Majlis Tertinggi, Pemeriksa Kira-kira dan seumpananya. Mereka akan melihat kepada tiga hierarki tertinggi dalam UMNO kerana ketiga-tiga jawatan inilah yang sebenarnya mempunyai kesan besar dalam politik dan kepimpinan di peringkat eksekutif. Presiden parti biasanya ialah PM, sementara Timbalan Presiden ialah TPM, dan tiga Naib Presiden biasanya akan memegang portfolio berprofil tinggi. Walaupun terma 'profil tinggi' itu bersifat relatif (satu ketika dahulu Kementerian Luar Bandar dan Wilayah bukanlah kementerian berprofil tinggi) namun, pendek katanya, kedudukan Naib Presiden sangat penting apabila berlaku sebarang kejadian besar pada Presiden dan Timbalan Presiden (baca: kematian, letak jawatan dan penggulingan kuasa).

Hal ini diperkuatkan lagi dengan fakta bahawa dalam kebanyakkan pemilihan, dua jawatan tertinggi UMNO akan diseru supaya tidak diadakan pertandingan; lebih-lebih lagi jawatan Presiden. Maka tumpuan terbesar dalam pemilihan UMNO ialah jawatan Naib Presiden. Jawatan Naib Presiden merupakan jawatan terkanan bagi parti selepas Presiden dan Timbalan Presiden, maka bolehlah dikatakan sebagai sesiapa yang mendudukinya berpeluang untuk mendaki ke puncak hierarki kepimpinan parti sebagai orang nombor dua, atau kalau kena nasib, gaya dan masanya, menjadi orang nombor satu parti!

Kita tidak mahulah membandingkan peristiwa-peristiwa yang barangkali telah berumur tiga puluh atau empat puluh tahun yang lepas apabila ada di kalangan PM Malaysia tidak menduduki jawatan Naib Presiden UMNO pun. Namun yang jelasnya, PM daripada Dr Mahathir dan ke atas kesemuanya pernah menjawat jawatan Naib Presiden. Memang benar untuk UMNO era moden ini, Naib Presiden tidak semestinya akan menikmati jawatan yang lebih tinggi dalam UMNO, akan tetapi ketiga-tiga PM daripada Dr Mahathir, Pak Lah dan terkini PM Najib kesemuanya pernah menjawat jawatan Naib Presiden.

Kembali kepada keadaan sekarang, pengekalan ketiga-tiga penyandang Naib Presiden sebenarnya memperlihatkan ahli akar umbi masih belum bersedia untuk melakukan sebarang transormasi yang menjadikannya parti lebih dinamik dalam kepimpinan tertinggi. Ditambah pula dengan keadaan bahawa Presiden dan Timbalan Presiden yang sama memegang tampuk kepimpinan dan ketua sayap yang sama yang menerajui kepimpinan Wanita dan Pemuda, apa yang boleh ditafsirkan ialah bahawa gaya yang sama jualah yang akan dibawa oleh orang-orang atasan UMNO. Tiada pembaharuan langsung! Saf kepimpinan inilah sebenarnya yang diamanahkan untuk menerajui parti untuk PRU ke-14 iaitu saf yang sangat hampir sama dengan PRU ke-13! (yeap, sekarang pun sudah bercakap pasal benda akan berlaku sedangkan baru sahaja lima bulan yang lepas kita ber-PRU!)

Adakah ahli akar umbi sebenarnya sudah berpuas hati dengan keputusan yang diperolehi oleh UMNO pada PRU ke-13? Adakah orang-orang yang digelar sebagai 'pucuk pimpinan' yang menentukan calon-calon UMNO yang bertanding pada PRU lepas sudah menjalankan tanggungjawab yang cemerlang pada pilihan raya yang lalu? Hal inilah yang sepatutnya dijawab oleh pemilih-pemilih pucuk pimpinan UMNO yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka pada Sabtu lepas. Mereka telah diberi peluang untuk menentukan saf kepimpinan UMNO. Merekalah sebenarnya yang bertanggungjawab dalam memilih pemimpin-pemimpin menjelang PRU ke-14 dan kepada pemimpin-pemimpin itulah letaknya harapan mereka agar keamanan, keharmonian dan penyelesaian masalah rakyat.

Namun, barangkali ahli-ahli UMNO sendiri perlu ingat dengan kata-kata yang disandarkan kepada Einstein, 'ketololan ialah melakukan sesuatu perkara yang sama berulang kali dengan harapan mendapat keputusan yang berbeza.' Diharapkan agar mereka sedar dan faham akan apa yang mereka telah buat kerana pada akhirnya, pemimpin-pemimpin inilah yang akan menentukan hala tuju parti dan hala tuju negara. Kalau UMNO/BN tidak mendapat keputusan yang baik ataupun lebih teruk lagi, kalah, perkara ini bukanlah susah untuk ditafsirkan kerana ahli akar umbilah yang 'secara langsung' memilih kepimpinan yang tertinggi.

Sekali lagi, secara zahir dan secara makronya dengan merujuk kepada hierarki kepimpinan tertinggi yang telah dipilih oleh ahli UMNO pada pemilihan yang lalu tidaklah menunjukkan sebarang transformasi yang dimomok-momokkan. Kaedah pemilihan mungkin berubah namun hasilnya yang sebiji sebentuk menunjukkan yang belum tentu pertukaran kaedah memberikan hasil yang berbeza. Apatah lagi dengan dikotomi baharu yang kaedah itu sendiri wujudkan iaitu undi popular vs undi bahagian merumitkan lagi sebenarnya tafsiran terhadap pemilihan yang telah dijalankan. Bagaimanakah kita hendak tafsirkan peringkat Bahagian berkehendakkan Hishamuddin sementara ahli akar umbi hendakkan Mukhriz Mahathir sebagai Naib Presiden? Apakah sebenar-benarnya yang ahli UMNO mahukan?

Pendek katanya, UMNO yang dikatakan menerajui perubahan dalam pemilihan parti, pun masih bermasalah dalam menentukan apa yang ahli parti sendiri mahu. Keputusan pengisian jawatan yang sama dengan yang terdahulu membuktikan transformasi yang dicanang oleh si Presiden parti tidak semestinya berlaku. Barangkali si Presiden dan ahli-ahli UMNO perlu tahu apabila kita maksudkan sebagai transformer di pusat-pusat pencawang besar untuk mengagihkan eletrik ialah pengubah yang akan menghasilkan voltan yang lebih besar atau lebih kecil daripada sebelum kemasukan arus eletrik ke dalam alatan itu. Maka, kalau magnitud yang dihasilkan sebelum dan selepasnya sama sahaja, tak perlulah pihak pembekal tenaga perhabis duit hendak pasang transformer!

Jadi, sekiranya hasil sebelum dan selepas pemilihan UMNO bagi penggal ini sama sahaja untuk parti UMNO, maka perhabis air liur dan kertas kerja sahajalah agenda transformasi politik yang dicanang oleh PM Najib!

No comments: