Monday, October 7, 2013

Risalah Tauhid

 

Selain daripada Idaman Penuntut, nama Abdul Ghani Yahya turut muncul dalam sebuah lagi kitab bertajuk Risalah At-Tauhid yang digunakan sebagai salah satu daripada teks rujukan untuk sistem persekolahan agama Kerajaan Johor bersama-sama seorang lagi nama penyusun iaitu Omar Yusof. Kitab ini merupakan suntingan kepada terjemahan asal oleh Yang Dipertua Jabatan Agama Johor Dato' Abdullah Abdul Rahman daripada sebuah kitab tauhid dari Mesir. Matlamat asal penyuntingan semula kitab ini oleh kedua-dua penyunting/penyusun ialah untuk menambahbaikkan aspek bahasa Melayu dalam naskhah terjemahan asal yang telah digunakan sebagai silibus pengajaran dan pembelajaran tauhid sejak tahun 1907. Susunan/suntingan baru telah diterbitkan pada 1953 sebagai membaiki jalan bahasa yang digunakan agar lebih mirip kepada lenggok bahasa Melayu dalam tulisan jawi.

Kini, kitab ini telah diterbitkan oleh Al-Hidayah Publications dengan alih tulisan daripada jawi ke rumi dan setidak-tidaknya telah diulang cetak semula pada 2012. Dalam konteks makalah ini juga, penulis merujuk kepada edisi rumi Al-Hidayah terbabit dalam mengulas isi kandungannya.

 

Gambar Muka Hadapan Kitab Risalah At-Tauhid Al-Hidayah Publication

 

 

Secara umumnya, Risalah At-Tauhid ialah sebuah kitab yang membincangkan akidah Asya’riyah dan Al-Maturidiyah yang lebih mudah dicirikan sebagai iktikad sifat 20. Sesuai dengan doktrin Asya’riyah dan Al-Maturidiyah, hampir separuh daripada kandungan di dalam kitab ini membahaskan tentang sifat wajib, pembahagian sifat-sifat tersebut dan selebihnya berkaitan rukun-rukun iman yang lain. Topik-topik berkaitan sifat Allah meliputi sifat 20 yang wajib dan mustahil, sifat harus, sifat nafsiyah, salbiyah, maa'ni dan maknawiyah, sifat taa'luk dan dua kategori sifat istighna dan sifat iftiqar.

Kesemua topik-topik berkaitan sifat Allah dan rukun-rukun iman yang lain akan disimpulkan sebagai akaidul iman yang terkandung dalam kalimah 'la ilahaillallah Muhammad ar-rasulullah' dengan paling sedikit iaitu 50 dan paling banyak iaitu 68. Sebab itulah juga antara gelaran yang diberikan kepada iktikad ini ialah Tauhid 50 atau Tauhid 68. Dan sebagai maklumat tambahan, kesemua pelajaran yang wujud dalam Risalah At-Tauhid masih lagi menjadi topik-topik pengajaran dalam silibus baru sepanjang pembelajaran penulis dalam sistem sekolah agama Kerajaan Johor daripada tahun 1994 hingga tahun 2000.

Kebanyakan topik-topik awal di dalam perbahasan sifat 20 sebenarnya masih mudah dihadam sehinggalah pelajar berhadapan dengan persoalan taaluk sifat Allah. Perbincangan topik ini memerlukan seseorang itu benar-benar memahami konsep taaluk sifat Allah yang agak samar. Penulis harus akui cabaran aqliah untuk memahami konsep taaluk ini semasa belajar dan sehingga kini pun penulis masih kurang jelas tentang natijahnya.

Kewujudan konsep Al-Uluhiyah dalam perbincangan Risalah At-Tauhid meletakkannya sebagai iktikad hibrid dengan jalur Salafi/Wahabi. Kumpulan Salafi/Wahabi mempunyai tiga konsep tauhid yang dianuti dan salah satunya ialah Tauhid Al-Uluhiyah. Dua lagi konsep tauhid ialah Tauhid Ar-Rububiyah dan Tauhid Al-Asma wa Al-Saffat. Seingat penulis, ketiga-tiga pembahagian tauhid itu turut disentuh dalam pembelajaran subjek Tauhid semasa penulis masih bersekolah di sekolah agama, namun apa yang penulis faham ialah konsep Al-Asma Wa Al-Saffat Al-Asya’riyah/Al-Maturidiyah berbeza dengan Salafiyah/Wahabiyah.

Apa yang difahami tentang Al-Asma wa Al-Saffat dalam konteks Al-Asya’riyah/Al-Maturidiyah ialah persoalan-persoalan sifat 20 dan huraian panjang lebar tentangnya (sifat salbiyah, taaluk dsb), dan nama-nama Allah yang 99 sebagaimana tersenarai dalam hadis riwayat Tirmizi. Sementara itu, kumpulan Salafiyah/Wahabiyah tidak dapat menerima bahawa sifat yang wajib bagi Allah itu hanya 20, mendakwa bahawa sifat wajib 20 walaupun mempunyai asas pendalilan daripada Al-Quran, namun konsepnya lebih kepada mantik/akal, dan enggan memuktamadkan senarai 99 nama Allah menurut apa yang disebutkan dalam riwayat At-Tirmizi; kerana mendakwa hadis berkenaannya ialah hadis dhaif.

Kitab Risalah At-Tauhid turut mengemukakan pendapat yang agak bertentangan dengan iktikad masyhur bagi Asya’riyah/Maturidiyah pada sifat Allah yang disebut dalam Al-Quran yang mempunyai maksud yang sama dengan anggota manusia, misalnya tangan dan muka. Khusus bagi kedua-dua anggota tadi, kitab ini menyatakan terdapat dua pendapat berkenaannya dalam topik perbahasan mukhalafatuhu taala lilhawadis (m.s. 31-32). Pertama ialah pendapat ulama mutaqaddimin (sahabat, tabiin dan tabi at-tabiin) yang beriktikad bahawa kedua-duanya sabit secara yang layak kepada Allah, mensucikan Allah daripada sifat yang baharu dan menyerahkannya kepada pengetahuan Allah jua tentang bagaimanakah ia. Pendapat kedua ialah pendapat ulama mutaakhirin dengan mentakwilkan sifat tersebut kepada maksud lain, misalnya tangan ditakwilkan sebagai kuasa Allah. Kitab ini menyatakan bahawa pandangan mutaqaddiminlah yang lebih selamat (i.e. sentosa).

Pandangan yang mengisyaratkan bahawa kaedah mutaqaddimin lebih baik, jelas bertentangan dengan pendapat masyhur pendukung Asya’riyah/Maturidiyah yang sering menggunakan kaedah mentakwil sifat-sifat anggota bagi Allah kepada maksud yang lain. Dalam pendapat yang masyhur di kalangan mereka yang mengaku berpegang kepada Asya’riyah/Maturidiyah, mengatakan 'tangan Allah' sebagai tangan Allah telah menjisimkan dan menyamakan Allah dengan makhluk, sekali gus bersalahan dengan sifat mukhalafatuhu taala lil hawadis (bersalahan Allah dengan makhluk). Sebab itulah mereka lebih gemar mentakwilkan tangan Allah dengan 'kuasa Allah' supaya penyamaan sifat Allah dengan makhluk-Nya tidak berlaku.

Oleh hal yang demikian, bolehkah dikatakan walaupun isi kitab Risalah Tauhid ialah cenderung kepada pandangan Asya’riyah/Maturidiyah dalam soal sifat Allah, pengaruh fahaman lain yang mengunggulkan pemikiran Salaf tetap ada, kalaupun tidak semua. Penulis kurang arif tentang pembelajaran subjek Tauhid sebelum silibus baharu diperkenalkan pada 1994. Tetapi pada hemat penulis, sekiranya hanya isi kitab ini sahaja yang digunakan sepenuhnya dalam pembelajaran ilmu tauhid sehingga Darjah Khas, nescaya silibus yang penulis gunakan itu lebih lengkap kerana ditambahi dengan topik-topik tentang sejarah dan ciri-ciri ajaran sesat dan mengelirukan seperti Syiah, Khawarij dan Muktazilah, ajaran Bahaiyah, Ahmadaniyah dan lain-lain. Topik Syiah misalnya diajar dua kali pada darjah lima dan enam. Selain itu, soal-soal berkenaan takdir As-sami'yat, Rasul, Kitab, akhirat, juga mempunyai ulasan yang lebih panjang.

Bagaimanapun, hal ini sama sekali tidak mengurangkan kelebihan Risalah At-Tauhid sebagai rujukan penting dalam ilmu berkaitan dengan akidah. Pembaikan bahasa yang dijadikan sebagai matlamat utama tampak tercapai, walaupun perlu diakui juga, mungkin boleh diperbaik lagi. Potensi menjadikannya sebuah kitab yang lebih baik boleh dibuat dengan menambahkan syarah atau penerangan yang releven pada topik-topik yang mencabar pemikiran dan pemahaman. Paling istimewa ialah dengan teks sedia ada, perkaitan antara akaid 50 dan 68 sebenarnya tampak jelas pada penutup kitab bagi menjelaskan kalimah la ilaha illallah dan Muhammad Rasulullah sebagai senarai yang perlu diimani oleh seseorang yang mengaku sebagai pendukung fahaman Asya’riyah dan Abu Mansur Al-Maturidi.

No comments: