Saturday, October 19, 2013

Jangan kata PAS, UMNO pun tak de

 

Sehari sebelum umat Islam negara ini ingin menyambut Aidil Adha tahun ini, mereka diberitakan dengan satu keputusan mahkamah yang masih bersifat sementara iaitu larangan penggunaan kalimah Allah dalam terbitan Kristian yang kononnya khusus untuk edaran di Sabah dan Sarawak. Barangkali yang di Semenanjung kurang peka dengan permasalahan di sana yang telah ditimbulkan oleh mubaligh Kristian 'zaman tok kaduk' kerana mereka telah mendakyahkan agama Kristian di komuniti setempat dengan mengisyaratkan gelaran tuhan bagi orang Kristian ialah Allah.

Kita pun tidak mahu memperpanjangkan persoalan tentang asas kepada mengapakah pendakyah Kristian ketika itu sanggup menggunakan satu kalimah yang sudah cocok dengan agama Islam. Sedangkan, tiada satu pun negara majoriti Kristian dan yang mempunyai ketua negaranya sebagai ketua agama Kristian negara terbabit yang menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan dalam perbincangan keagamaan mereka. Dalam konteks Bahasa Inggeris misalnya, tiada pernah mereka menggunakan frasa, 'Allah, the Son and the Holy Spirit.'

Kembali kita ke Malaysia, dikhabarkan sebenarnya tiada ijmak pun yang tercapai antara pemimpin Kristian di negara ini yang membolehkan penggunaan kalimah Allah secara mutlak. Di kalangan pemimpin politik, orang yang begitu lantang menyuarakan tuntutan agar penganut Kristian dibenarkan menggunakan perkataan Allah bukannya beragama Kristian pun! Begitulah adatnya sebuah negara berbilang bangsa dan agama terpaksa mendepani cabaran seperti ini kerana ketidaksempurnaan sistem pemerintahan dan pelbagai tekanan luaran mahupun dalaman terhadap pembuat dasar dan pemerintah. Sehinggakan ada pemimpin di dalam parti politik Islam pun menyampaikan sokongan penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian!

Tambahan pula, keputusan yang dibuat oleh tiga orang hakim Mahkamah Rayuan kelmarin telah mendapat reaksi pihak tertentu yang memperkecilkan kredibiliti hakim-hakim yang terlibat. Misalnya, reaksi peguam politik terkenal, Zaid Ibrahim, yang juga terkenal sebagai seorang ahli politik terjun sana terjun sini. Di dalam twitternya, beliau menyifatkan hakim-hakim tersebut seolah-olah telah menjadi pakar teologi Kristian pula untuk menentukan mana yang penting dan mana yang tidak dalam agama terbabit. Bagaimanapun, pandangan Zaid sememangnya satu pandangan yang boleh diramal kerana beliau ialah antara tokoh politik yang agak lebih ‘terbuka’ dalam soal-soal berkaitan agama Islam.

Pada masa yang sama, media arus perdana tempatan turut serta menghangatkan lagi suhu politik tempatan dengan menghentam PAS kerana kurang vokal dalam isu kalimah Allah. Hal ini seolah-olah bagi mengakuri tuntutan tahaluf siyasi yang menjadi tunjang kepada hubungan parti Islam terbabit dengan dua parti tunjang Pakatan Rakyat dalam rangka untuk mengalahkan kerajaan yang ditunjangi BN. Ramai yang mempersoalkan ke manakah perginya taring PAS dalam menghadapi isu yang sangat-sangat kritikal membabitkan kesucian Islam. Sedangkan, asal kewujudan parti Islam terbabit yang mempunyai matlamat menjadikan negara Malaysia sebagai negara Islam (baca: Berkebajikan), tetapi kini sering memperlihatkan sisi lain yang tidak menggambarkan matlamat asal iaitu ke arah pembentukkan daulah Islamiyah.

Tiada sebarang tunjuk perasaan yang dibuat bagi menunjukkan sokongan kepada langkah Menteri Dalam Negeri pada ketika itu yang menghalang penerbitan akhbar Kristian menggunakan kalimah Allah. PAS tidak pula bersungguh-sungguh membuat rapat raksasa untuk mengecam tindakan penerbitan Kristian terbabit daripada menggunakan kalimah Allah persis parti terbabit menyertai himpunan BERSIH yang menuntut pembersihan dalam pilihan raya Malaysia atau pelbagai lagi himpunan pembangkang dan antikerajaan yang lain. Malah, kita pun sebenarnya tak nampak akan sebarang himpunan raksasa yang menuntut kepada mempertahankan kesucian Islam sebagaimana yang pernah di lakukan satu ketika dahulu. Adakah matlamat, awlawiyat dan kawaid parti Islam terbabit sudah berubah?

Kalau dahulu, jangan sesekali ada pihak itu menghina Islam dan mereka sanggup menyertai tunjuk perasaan mengutuk, mencerca kebiadaban pihak tertentu yang mempermainkan Islam (contohnya isu karikatur Nabi SAW oleh NSTP), dan suatu ketika, mencerca, mengutuk meluahkan perasaan keinginan pihak Majlis Peguam dalam mewujudkan semacam suruhanjaya agama. Kini, dalam hal yang paling suci dalam agama Islam iaitu nama Tuhan Yang Maha Esa, Yang Satu-satunya Untuk Bergantung Harap, Yang tidak beranak, lagi tidak tidak diperanakkan, dan tiada satu pun yang setara dengan-Nya Yang Maha Esa, tak banyak yang kita dengar daripada mereka. Ironinya ada pimpinan PAS yang menyokong agar kalimah Allah digunakan oleh orang Kristian walaupun sayap ulama dalam PAS sudah menetapkan bahawa tiadalah boleh kalimah Allah sewenang-wenangnya digunakan oleh bukan Islam.

Begitulah antara persoalan demi persoalan yang diutarakan oleh media arus perdana berkaitan isu pendirian PAS terhadap kalimah Allah. PAS kini disifatkan sebagai sangat dingin, tidak sebagaimana respon PAS yang dahulu dalam isu-isu berkaitan Islam. NGO-NGO berkait Melayu/Islam menyelar tindakan PAS yang tidak menunjukkan sebarang respon yang signifikan dalam usaha mempertahankan penggunaan kalimah Allah dalam ruang lingkup Islam sahaja. Dalam himpunan prakeputusan Mahkamah Rayuan pada hari Isnin yang lalu, tiada pun kelihatan kumpulan yang mewakili suara PAS (Nasharuddin Mat Isa tak kira sebab beliau ialah ahli terbuang) untuk memberikan sokongan terhadap usaha kerajaan memastikan agar kalimah Allah tidak digunakan dalam terbitan Kristian Katholik Malaysia, sebagaimana misalnya sokongan terhadap Anwar Ibrahim dalam keputusan Liwat 2.0. Akan tetapi, seandainya kritikan ditujukan kepada PAS, bagaimana pula dengan UMNO yang sebenarnya turut tidak vokal dalam isu yang sama, malah dalam kebanyakkan isu berkaitan Islami?

Kebenarannya, UMNO juga turut tidak menzahirkan sebarang sokongan yang jelas terhadap usaha menidakkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam sebagaimana yang dilaksanakan oleh NGO-NGO Melayu/Islam yang ada. Malah, diteorikan bahawa kegagalan kedua-dua parti majoriti Melayu/Islam untuk memberikan respon yang bererti kepada isu-isu berkaitan Islam menjadi sebab kewujudan NGO berteras Melayu/Islam yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Daripada sudut sejarah, itulah sebenarnya kelakuan UMNO yang agak malu-malu dalam menampilkan diri sebagai pembela agama. Malah, kegagalan UMNO dalam bersikap vokal dalam mempertahankan Islam pada zaman tok kaduk dahululah yang membawa kepada pembentukkan PAS. Jadi, UMNO sebenarnya sejak dahulu lagi tidak lantang mempertahankan Islam secara terang-terangan dan hanya sekadar beretorika, paling pun hanya dalam majlis perhimpunan agungnya sahaja. Sangat jarang sekali UMNO sebagai sebuah parti ke hadapan dalam isu-isu berkaitan dengan Islam walaupun mengaku bahawa mereka berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

Kalau hendak diikutkan, 'himpunan sokongan' pada hari Isnin di Istana Kehakiman itu pun tidak menonjolkan parti UMNO sebagai salah satu daripada kumpulan pendesak, maka bagaimana mungkin boleh dikatakan UMNO sebagai pejuang Islam dan turut terlibat secara aktif dalam mempertahankan kalimah Allah? Barangkali UMNO perlu faham faktor pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan perjuangan marhaen menyebabkan usaha seorang menteri yang berasal daripada UMNO bukannya usaha parti UMNO secara langsung. Hal ini dikatakan demikian kerana seorang menteri akan dilihat akan bertindak atas kapasiti kerajaan dan bukannya parti. Walaupun pak menteri (daripada UMNO) yang mengusahakan halangan terhadap pihak Kristian Katholik untuk tidak menggunakan kalimah Allah dalam terbitan mereka, usaha itu sebenarnya hanya dapat dilihat atas kapasiti beliau sebagai seorang menteri dan anggota kerajaan, dan bukannya sebagai ahli parti UMNO.

Perkara ini nampak remeh namun itulah hakikatnya yang harus difahami oleh UMNO sendiri dan media-media arus perdana yang menyokongnya. Dalam menuju era politik yang lebih matang, tindakan seseorang menteri atau kerajaan tidak harus dilihat sebagai tindakan atas kapasiti parti walaupun menteri itu seorang ahli parti. Tambahan pula, hanya menteri-menteri sahaja yang diangkat sebagai satu-satunya yang berusaha dalam konteks isu kalimah Allah ini tanpa ditonjolkan iltizam yang berterusan daripada pihak kepimpinan dan ahli lain dalam UMNO hanya menunjukkan usaha itu ialah usaha sang menteri sahaja. Tindakan tuntutan UMNO dalam isu kalimah Allah langsung tidak tergambar dalam usaha mereka yang berterusan dan masih menyandarkan kepada situasi sebab menteri orang UMNO, dikira sebagai suara UMNO. Oleh sebab itu, tidak hairanlah sekiranya ada di kalangan ahli akar umbi yang mendakwa UMNO semakin kurang singnifikan dalam menjuarai isu-isu penting seperti agama Islam dan bangsa Melayu. Kedua-dua perkara ini banyak ditunjangi oleh usaha berpuluh-puluh NGO yang ditubuhkan untuk memperjuangkan isu-isu sebegini sedangkan pada masa 'kegemilangannya,' UMNOlah tunjang utama mempertahankan ketuanan Melayu.

Ke manakah perginya pemimpin UMNO yang lantang bersuara dalam isu berkaitan kalimah Allah ini. Di manakah suara-suara tegas yang bukan sahaja dizahirkan sekadar di media massa, namun dengan tindakan konkrit seperti menghantar memorandum, kenyataan resolusi yang tegas kepada pihak gereja dan badan-badan Kristian supaya jangan memanjangkan sama sekali isu ini dan membiarkan status quo dihormati dan dipatuhi demi keharmonian dan keamanan antara kesemua agama dan kaum? Manakah suara ketua pemuda dan pemuda, sebuah jawatan dan sayap parti yang secara tradisinya lantang mengemukakan tuntutan penting yang berkait agama Islam dan orang Melayu.

Bisu?

Pendek katanya, tak perlulah sesiapa pun yang mempersoalkan kenapa PAS tidak sebegitu vokal untuk memperjuangkan isu kalimah Allah kerana sememangnya ada di kalangan 'ulama' PAS (al-maklumlah kesemua ahli PAS ialah ulama, kata salah seorang pemimpin parti tersebut) yang berfatwa bahawa kalimah itu boleh sahaja digunakan oleh orang bukan Islam. Malah, yang perlu dibangkitkan ialah sejauh manakah istiqomahnya UMNO memperjuangkan isu-isu yang penting seperti agama Islam sebagai matlamat penting perjuangannya dan dipertonjolkan kepada umum. Kita perlu ingat, perjuangan itu bukan sekadar dipertontonkan apabila sesama sendiri sahaja, sebaliknya perlulah dizahirkan kepada yang bukan ahli sekali. Hal ini bolehlah dinisbahkan sebagaimana iman yang bukan sahaja setakat pengakuan di hati, dan ucapan di bibir, malah perlu dizahirkan dalam amal perbuatan. Sebaliknya, semakin hari, semakin jelas bahawa iltizam perjuangan berkait Melayu dan Islam hanya tampak diperjuangkan oleh NGO Melayu yang wujud jauh selepas kewujudan UMNO. Pastilah hal ini akan menimbulkan persoalan, sejauh manakah relevennya UMNO dalam memperjuangkan Islam?

Justeru, adakah suara UMNO tentang Islam sudah sepi selama-lamanya?

No comments: