Monday, October 14, 2013

Wukuf

 

Wukuf di Arafah ialah rukun haji terpenting kerana tanpanya, tidak sah haji seseorang yang berniat untuk menunaikannya di Makkah pada musim haji. Calon haji yang tidak sempat melaksanakannya pada masa dan tempat yang ditetapkan, tidak akan mendapat 'haji' walaupun beliau berjaya memenuhi rukun-rukun dan wajib-wajib haji yang lain sesempurnanya. Sungguhpun yang meninggalkan wukuf itu membayar dam yang ditetapkan kerana meninggalkan amalan itu, pembayaran dam itu tidak dapat menampung kekurangan rukun haji dan calon haji tetap perlu menunaikan hajinya sekali lagi pada tahun yang akan datang.

Sebab itulah kita sering mendengar laporan di televisyen yang menerangkan usaha yang akan dilakukan oleh Tabung Haji untuk sedaya-upaya membawa jemaah Malaysia yang sakit atau telantar tiada daya untuk ke padang Arafah sebelum atau pada 9 Zulhijjah untuk setidak-tidaknya dapat berwukuf kerana amalan ini ialah puncak amalan haji pada tahun tersebut. Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW riwayat Abu Daud dan yang lainnya daripada Abdul Rahman bin Ya'mur,

'bahawa Nabi SAW meminta seseorang untuk menyeru, "haji itu ialah Arafah. Barangsiapa yang datang pada malam sebelum terbitnya fajar (10 Zulhijjah), maka dia telah mendapat Arafah." '

Hadis ini sudah cukup menunjukkan pentingnya wukuf di Arafah sambil mengisyaratkan hanya mereka yang dapat wukuf pada tempoh dan tempat yang ditetapkan sahajalah yang akan mendapatkan haji. Masakan tidak, hanya ibadah wukuf sahaja satu rukun yang memerlukan seseorang itu menunaikannya pada waktu yang spesifik iaitu selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga waktu malamnya (i.e. malamm 10 Zulhijjah) dan sekiranya gagal, maka tak hajilah jawabnya calon haji itu!

Bagi mereka yang dipilih sebagai tetamu Allah, sudah tentulah ibadah wukuf ini akan dipenuhi dengan segala bentuk amalan memperingati-Nya dan berdoa kepada-Nya dengan harapan segala permintaan yang dimohon akan dimakbulkan oleh-Nya. Berpakaian serba putih, tanpa ada perbezaan antara yang berada atau yang miskin, yang berpangkat ataupun yang kuli, atau yang berkedudukan atau sekadar orang kebanyakkan, ibadah wukuf sering dianggap sebagai gambaran pada hari Mahsyar kelak semasa semua manusia dihimpunkan di hadapan Allah Taala selepas Hari Qiamat.

Bagi mereka yang masih belum terpilih untuk menunaikan haji, maka biasanya pada permulaan malam 10 Zulhijjah, akan bermulalah tempoh untuk dilafazkan takbir membesar dan memuji Yang Maha Kuasa sebagai simbol peribadatan dan kekerdilan diri. Mereka yang sempat berniat berpuasa sunat dan berpuasa pada siangnya (9 Zulhijjah), maka mereka telah menjalankan satu sunnah yang pernah disarankan oleh Nabi SAW. Namun, sekiranya tidak sempat/dapat berbuat itu, maka laksanakanlah yang masih boleh dibuat. Apatah lagi kesunnahan bertakbir Aidil Adha selepas sembahyang, berlangsung paling kurang selama empat hari selepas hari wukuf.

Dan esok, umat Islam akan menyambut Aidil Adha, salah satu daripada dua hari raya yang disyariatkan. Haiwan korban akan ditumbangkan dan gotong-royong akan dilaksanakan. Umat Islam yang memerlukan akan dicukupkan dengan daging korban yang akan diagihkan kepada mereka sebagai pengubat duka pada hari raya. Pengorban-pengorban pula mengharapkan penghampiran diri dan ketaqwaan kepada Rabbnya dengan harapan amalan mereka akan diterima.

Dalam konteks umat Islam Malaysia pula, hari wukuf tahun ini memberikan satu lagi sebab kepada kesyukuran kerana buat masa ini, kalimah Allah masih terpelihara untuk mereka dan tidak boleh diseleweng guna oleh agama lain untuk diertikan sebagai Tuhan bagi agama mereka. Mahkamah Rayuan melalui tiga orang hakimnya telah menetapkan bahawa kalimah Allah tidak dibenarkan untuk digunakan dalam terbitan Kristian Katholik di Malaysia. Sebelum ini, pelbagai usaha yang telah dibuat oleh bukan Islam untuk mengelirukan masyarakat terhadap penggunaan kalimah tersebut dalam terbitan akhbar mereka sedangkan tiadalah di dalam dunia ini, negara majoriti Kristian yang berkenan hendak menterjemahkan tuhan sebagai Allah. Maka apa ke halnya pihak gereja Malaysia berkeras mahu menggunakan Allah sebagai ganti nama bagi tuhan mereka?

Tampak sekali agenda pluralisme yang cuba disemai dalam masyarakat Malaysia dalam usaha menyamaratakan ehwal keagamaan di Malaysia sedang giat dilancarkan oleh golongan-golongan tertentu. Walhal, telah terpahat dalam perlembagaan persekutuan klausa agama Islam sebagai agama Persekutuan. Sepatutnya, asas itu mesti dihormati dan diakuri oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama kerana kewujudan negara bangsa adalah berpaksi kepada Perlembagaan Malaysia. Sebaliknya, perlembagaan itu sekadar diwar-warkan apabila sesuatu perkara yang hendak dituntut itu selari dengan matlamat sendiri sahaja.

Pihak tersebut mungkin tidak akan berhenti setakat di situ sahaja. Mereka mungkin akan merayu, dan akan terus merayu ke mahkamah yang lebih tinggi lagi (selagi ada mahkamah) dan berhelah dalam usaha menjayakan agenda mengelirukan rakyat Malaysia. Jelas mereka mempunyai pengaruh politik untuk cuba membawakan isu ini agar dijadikan sebagai kaedah memancing undi bukan Islam dan memperlihatkan kononnya kerajaan Malaysia jumud dan tidak adil. Itulah hakikatnya yang sedang dihadapi oleh umat Islam kini.

Justeru, pada hari wukuf ini, tatkala saudara-saudara Muslim seagama sedang menunaikan amalan terpenting dalam ibadah haji, ada eloknya kita yang tak pergi haji ini bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada ibada wukuf itu sendiri. Jutaan umat Islam tanpa mengira mazhab, keturunan, harta kekayaan, aliran politik, geografi kedudukan, sedang bersatu berhimpun di padang yang sama dalam rangka beribadah kepada Tuhan Yang Satu. Maka alangkah eloknya semangat dan roh sedemikian dapat ditanamkan ke hati sanubari umat Islam Malaysia; dalam mempertahankan akidah yang sama!

No comments: