Wednesday, October 9, 2013

Demo terlebih demokrasi

 

Bukanlah kali pertama Amerika Syarikat (US) menghadapi kesan terpaksa menaikkan siling hutang mereka untuk membayar gaji pekerja perkhidmatan awam. Dan bukanlah kali pertama juga dalam sejarah pentadbiran kewangan, US terpaksa berhadapan dengan keadaan 'penutupan kerajaan' (government shutdown) yang menyebabkan penutupan berbagai-bagai agensi kerajaan lantaran tidak mempunyai dana untuk membayar gaji pekerja mereka. Oleh sebab itu, tidak hairanlah sekiranya kejadian yang sama berlaku lagi saban tahun kerana negara ekonomi terbesar dunia itu sebenarnya mempunyai tanggungan hutang yang sangat besar.

 

Kredit Kartun: Juragan,Harian Metro

 

Barangkali ramai yang tidak perasan keadaan politik di negara Uncle Sam itu sebenarnya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri berbanding di Malaysia. Jika Presiden berasal daripada satu parti, Kongres (istilah yang sama dengan Parlimen di sini) tidak semestinya dikuasai oleh proparti si Presiden. Pemilihan presiden dan Ahli Kongres (setara Ahli Parlimen) atau Senator ialah dua perkara yang berbeza. Setiap empat tahun, pemilihan presiden dan Ahli Kongres dan Senator akan diadakan secara bersama-sama, namun dalam pertandingan berasingan. Jadi, boleh sahaja berlaku (dan sering juga berlaku) presiden yang dilantik tidak mewakili suara majoriti di dalam Dewan Perwakilan dan/atau Senat kerana berbeza parti. Misalnya pada masa kini, presiden US ialah seorang ahli Demokrat namun Dewan Perwakilan dikuasai oleh golongan Republikan.

Tambahan pula, dalam satu penggal pemerintahan seseorang presiden (empat tahun), akan ada sebuah pilihan raya pertengahan penggal (midterm, biasanya pada tahun kedua) yang mempertandingkan seluruh kerusi Dewan Perwakilan dan sebahagian kerusi Senat. Keadaan ini menambahkan lagi dinamika perwakilan dalam dewan yang mungkin berubah setiap dua tahun sekali. Oleh sebab itu, kejadian keengganan Dewan Perwakilan untuk meluluskan sebarang rang undang-undang yang memerlukan sokongan majoriti ahli dewan sentiasa boleh berlaku sekiranya ketua kerajaannya tidak sekepala dengan majoriti ahli dewan. Ataupun disebabkan kuasa presiden yang paling tinggi yang berhak untuk meveto sebarang keputusan yang dibuat oleh Senat dan Dewan Perwakilan yang menyebabkan sebarang rang undang-undang perlu mengikut kehendak si presiden seandainya mahu diluluskan.

Keadaan yang berlaku di US sekarang ini banyak dipengaruhi oleh keadaan perbezaan pandangan politik yang bertentangan antara kumpulan prokonservatif daripada Republikan dan proliberal daripada Demokrat. Malah, nama timangan kaukus prokonservatif daripada puak Republikan turut dikaitkan daripada kejadian Jamuan Teh Boston, yang merupakan pencetus kepada Revolusi Amerika Utara sebelum kewujudan Amerika Syarikat. Maka, atas dasar itulah nama kaukus Parti Teh (Tea Party). Ada juga mengaitkannya dengan kata-kata Tax Enough Already yang merujuk kepada terlalu banyak cukai yang dikenakan oleh kerajaan US kepada penduduknya.

Untuk rekod, masalah presiden yang tidak sekepala dengan majoriti Ahli Kongres pernah berlaku sebelum ini. Misalnya janji Bekas Presiden George H. Bush yang satu ketika dahulu popular dengan frasa 'Read my lips,' yang membawa konotasi untuk tidak mengenakan sebarang cukai lagi kepada rakyat US semasa kempennya untuk menjadi calon presiden pada 1988. Pun begitu, beliau sendiri terpaksa tunduk untuk meningkatkan cukai dalam usaha mengurangkan defisit dalam suasana Dewan Perwakilan dikuasai Demokrat. Akhirnya, beliau gagal mempertahankan jawatan beliau untuk penggal kedua pada 1992 untuk memberikan kemenangan pertama kepada Bill Clinton.

Malah, Bill Clinton turut menghadapi masalah sokongan Ahli Kongres pada 1996 apabila majoriti ahli dewan pada ketika itu dimiliki oleh Republikan tidak sebulu dengan Presiden Clinton yang memperjuang aspirasi Demokrat. Secara dasarnya, kegagalan Kerajaan US dalam meluluskan belanjawan tahunan (nama sebenar rang undang-undang perbekalan) sebenarnya disebabkan oleh Presiden Clinton telah meveto belanjawan yang telah diluluskan oleh kongres. Hal ini berlaku kerana dewan yang dikuasai oleh Republikan enggan menambah perbelanjaan untuk menampung keperluan seperti dalam aspek pendidikan, alam sekitar dan kesihatan awam yang diperjuangkan oleh Clinton. Keadaan ketika itu turut menyebabkan penutupan kerajaan dan berlaku dalam dua fasa iaitu akhir tahun 1995 dan awal tahun 1996.

Kegagalan Kongres dan presiden untuk menyelesaikan masalah tersebut turut menyebabkan gangguan periuk nasi penjawat awam yang terpaksa untuk bercuti lantaran tidak dibayar gaji oleh kerajaan, masalah kebajikan veteran tentera, pemberhentian operasi Pusat Kawalan Penyakit, dan penutupan Taman Negara dan Pusat Perlancongan serta lain-lain lagi gangguan kepada jabatan kerajaan. Bagaimanapun, krisis tersebut berakhir apabila persetujuan dicapai antara Presiden Clinton dengan pemimpin Republikan ketika itu, Speaker Dewan Perwakilan Newt Gingrich untuk menamatkan ketaktentuan yang berlaku. Sungguhpun berlainan ideologi politik, kesediaan kedua-dua pemimpin untuk berbincang berjaya untuk menamatkan penutupan kerajaan yang jumlah harinya seperti bulan Februari. Akan tetapi, kesan politik yang diterima oleh Republikan tidak memberangsangkan apabila mereka gagal memenangi kerusi presiden pada pemilihan 1996 dengan persepsi sebagai pencetus masalah kepada negara, sementara Clinton pula dipilih semula sebagai Presiden US untuk penggal kedua kerana dianggap sebagai hero.

Kembali kepada keadaan sekarang, sebagai bandingan, menurut makalah CNN, situasi yang dihadapi oleh US kali ini berbeza dengan apa yang berlaku pada 1995-1996 dalam beberapa keadaan. Paling ketara ialah hubungan antara Presiden Obama dan Speaker Dewan Perwakilan, John Boehner yang dikatakan sebagai cukup berbeza dengan keadaan ketika Clinton dan Gingrich. Perbincangan antara Obama dan Boehner diibaratkan sangat dingin, tidak sebagaimana krisis terakhir sebelum ini. Oleh hal yang demikian, kesediaan Obama dan pihak Republikan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit diragui lantaran sikap pemimpin mereka yang berhati keras macam batu.

Tambahan pula, suasana ekonomi semasa bagi kedua-dua kejadian juga turut berbeza iaitu era Clinton ialah era yang jauh lebih stabil berbanding dengan keadaan sekarang yang memperlihatkan US dan dunia baru sahaja dalam usaha pemulihan ekonomi. Kesan yang bakal (atau sedang dirasai) pastilah jauh lebih besar berbanding dengan apa yang pernah US rasai satu ketika dahulu dan bertambah teruk sekiranya situasi semasa berlanjutan dalam jangka masa yang lama. Keengganan kerjasama politik antara pihak Demokrat dan Republikan akan menyebabkan kegagalan kerajaan secara total hanya kerana masing-masing merasakan bahawa mereka lebih betul untuk merancang masa depan rakyat mereka.

Kejadian kegagalan kerajaan US sekali lagi sebenarnya memberi tamparan hebat kepada sistem demokrasi secara umumnya dan sistem demokrasi US secara khususnya kerana keengganan ahli politiknya untuk menyelesaikan perbezaan pendapat sesama mereka. Pihak yang benar-benar terkesan bukanlah ahli-ahli politik yang menyebabkan masalah, sebaliknya rakyatlah yang menanggung derita. Betapa banyak urusan rakyat yang tergendala akibat sikap keras hati kedua-dua belah pihak Demokrat dan Republikan. Walaupun wakil US di luar negara mengisyaratkan penutupan kerajaan itu sebagai satu tanda positif terhadap 'kesuburan demokrasi,' tiada yang dapat menikmati suburnya demokrasi itu melainkan 'demokrasi' itu sendiri. Kesuburan demokrasi sebegini tidak dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan dalam konteks penutupan kerajaan, tiada siapa pun yang sebenarnya menikmati kelebihan melainkan musuh-musuh luar dan domestik.

Justeru, tiada satu pun jaminan bahawa demokrasi akan menyelesaikan segala masalah yang muncul dalam dunia ini. Malah, kejadian yang melanda US yang dikatakan sebagai negara bebas yang paling demokratik tidak langsung memperlihatkan sisi kebaikan demokrasi, sebaliknya memperlihatkan bahawa demokrasi ala-Barat membawa kepada persoalan yang tidak mampu diselesaikan walaupun seseorang itu mempunyai kuasa. Akhirnya, sudah pastilah persoalan apakah locus standi US untuk menyerang negara orang untuk menegakkan demokrasi?

Dalam keadaan presiden yang berhaluan lain sedangkan majoriti wakil rakyat berhaluan lain, tidak sukar untuk melihhat dan memahami keadaan ketaktentuan ini sering berlaku di US. Maka, pemenang sebenar negara yang terlebih demokrasi itu ialah perjalanan politik seseorang itu sendiri, sama ada semakin baik atau semakin buruk. Rakyat hanya boleh melihat sahaja gelagat-gelagat ahli demokrasi yang mereka pilih, sedang memperjudikan nasib rakyat dan negara.

 

Glosari terjemahan sistem perundangan US

Kongres - (US Congress) - Istilah untuk cabang legislatif US yang berbentuk dwidewan (bicameral) iaitu Dewan Perwakilan dan Dewan Senat yang setara dengan ‘Parlimen Malaysia.’

Dewan Perwakilan – (House of Representative/ the House) – Istilah untuk dewan rendah bagi sistem dwidewan Kongres US, yang setara dengan Dewan Rakyat.

Ahli Kongres - (Congressmen) – Istilah untuk ahli kepada Dewan Perwakilan yang setara sebagai Ahli Parlimen. Justeru, sungguhpun ahli bagi Dewan Senat juga ialah ahli kepada kongres, istilah Ahli Kongres (Congressmen) hanya ekslusif kepada ahli Dewan Perwakilan sahaja. Keadaan ini mirip di Malaysia apabila walaupun Ahli Dewan Negara ialah ahli kepada Parlimen Malaysia, istilah ‘Ahli Parlimen’ biasanya hanya cucuk untuk Ahli Dewan Rakyat sahaja.

Dewan Senat – (US Senate) – Istilah untuk dewan tinggi bagi sistem dwidewan Kongres US yang setara dengan Dewan Negara; bagaimanapun mempunyai kuasa tertentu yang secara relatifnya lebih istimewa/berkuasa berbanding Dewan Perwakilan dan berbanding Dewan Negara Malaysia.

Senator - (Senator) – Istilah untuk ahli kepada Dewan Senat.

No comments: