Saturday, October 5, 2013

Ayam masak tiga rasa

 

Dalam seminggu dua ini, kes berkaitan keracunan makanan melanda utara tanah air sehingga menyebabkan kematian kepada mangsa yang terkena. Disebabkan berlaku kematian akibat keracunan makanan, graviti berita tersebut bertambah, kerana melibatkan nyawa manusia. Hendak dijadikan cerita pula, kejadian-kejadian yang berlaku itu dikaitkan pula dengan hidangan ayam yang disediakan kepada mangsa yang memakannya.

Daripada sudut mikrobiologinya pula, bakteria yang biasanya dikaitkan dengan keracunan makanan untuk masakan ayam ialah Samonella. Bakteria Gram-negatif berbentuk rod ini biasanya akan memasuki sistem penghadaman manusia melalui makanan dan mereka akan menjangkiti saluran pemakanan yang dipanggil ‘usus.’ Di dalam usus ini pula, mereka terperangkap di dalam bendalir yang dikenali sebagai ‘mukos’ dan berkoloni dengan cepatnya sebagaimana kebanyakan organisma unisel yang lain. Keadaan inilah yang bertanggungjawab menyebabkan gangguan dalam usus yang mengakibatkan usus seolah-olah ‘berpintal,’ menyebabkan ‘sakit perut.’ Selain itu, mangsa akan mengalami cirit-birit dan muntah-muntah kesan serangan keracunan tersebut. Sebagaimana biasa, apabila cirit-birit berlaku, si mangsa akan kehilangan banyak air dan mineral akibat apa yang masuk banyak dikeluarkan semula melalui tinja. Mangsa akan menjadi lemah, sementelah ditambah pula dengan kelemahan sistem pertahanan badan dan sebarang kompilasi penyakit yang lain sama ada sebelum terkena jangkitan (contohnya HIV/AIDS) ataupun akibat daripada terkena jangkitan (kejutan dan kegagalan organ seperti jantung dan ginjal) memungkinkan kematian mangsa.

 

Contoh gambar SEM Salmonella. Kredit gambar:  http://www.foodpoisonjournal.com/foodborne-illness-outbreaks/tricities-salmonella-outbreak-or-isolated-case/#.Uk557UZXjIV

 

 

Kalau hendak diikutkan, bukanlah kali pertama kejadian keracunan makanan sebegini diwar-warkan dalam media. Boleh dikatakan acap kali juga laporan tentang keracunan makanan dijadikan bahan berita. Jadi, mengapakah kejadian yang sama berulang lagi seolah-olah tiada sesiapa yang mengambil pengajaran daripadanya?

Salah satu sebab yang mungkin boleh diutarakan ialah kegagalan penguatkuasaan terutamanya dalam rangka penjagaan kualiti kebersihan dan keselamatan dalam pengurusan makanan. Kita pun faham, apabila sebuah majlis terbesar keluarga seperti kenduri kahwin, penganjurnya (keluarga yang kahwin) mahu memastikan bahawa tiada sebarang kecacatan dalam majlis yang telah dirancang barangkali berbulan-bulan. Maka sebarang kekurangan dalam bekalan bahan mentah yang disediakan boleh menyebabkan kekecohan akan berlaku sekali gus mencacatkan majlis. Takkanlah ada sanak-saudara yang datang dari jauh terpaksa hampa dengan alasan lauk dah habis? Akan tetapi, penganjur juga perlu memahami bahawa kesan kepada pemakanan yang tercemar adalah buruk dan boleh jadi, membawa maut!.

Kes empat kematian orang jemputan menunjukkan kes keracunan makanan bukanlah satu kes yang boleh dipandang sebelah mata. Kadang-kala orang akan berseloroh mengenainya sambil mengatakan bahawa yang terkena itu mempunyai ‘perut yang manja,’ ‘perut tak cukup power’ dan seumpamanya. Namun, apabila kejadian menyebabkan nyawa, barulah kes ini hendak diambil berat. Insiden berlakunya kejadian keracunan makanan biasanya melibatkan mangsa yang ramai, justeru akan menambahkan lagi tekanan kepada pihak hospital untuk menerima pesakit. Sudahlah pesakit yang sedia ada pun masih tidak menang tangan untuk dilayan, inikan pula penambahan mendadak pesakit-pesakit baru yang keracunan makanan.

Dari hal itu, kesemua orang yang terlibat hendaklah mengambil pengajaran daripada sebarang insiden yang berlaku yang melibatkan keracunan makanan. Penyedia makanan kini perlu lebih tulus dan telus dalam menyediakan makanan dan mendahului kepentingan pelanggan yang memakannya melebihi majlis yang berlangsung. Selain daripada itu, pembekal ayam juga perlulah menjalankan tanggungjawab sebagai peniaga yang berhemah ketika membekalkan ayam untuk kegunaan yang banyak. Janganlah disebabkan keuntungan, ada pihak dalam rantaian pembekal-pengguna yang memandang ringan soal keselamatan makanan sehingga mengakibatkan kesusahan kepada pihak yang lain. Disinilah sebenarnya peranan penguatkuasaan undang-undang berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan kerana secara spesifik, pihak berkuasa boleh bertindak kepada setiap pihak yang terlibat dalam rantaian tersebut.

Namun, janganlah pula kita hendak harapkan semata-mata penguatkuasaan daripada pihak Jabatan Kesihatan kerana perkara tersebut hanya akan merumitkan lagi keadaan untuk pihak berkepentingan. Mahukah untuk kesemua majlis perkahwinan didaftarkan dahulu kepada pihak Jabatan Kesihatan? Mahukah kesemua tukang masak menjalani kursus keselamatan masakan walaupun hanya masak mungkin satu-dua hidangan besar sahaja? Mahukah kesemua kerja kahwin dan kenduri-kendara perlu dihadiri oleh wakil Jabatan Kesihatan untuk memastikan aspek keselamatan makanan?

Kita pun ada membaca berita sebelum ini bahawa ada pegawai Jabatan Kesihatan yang tak boleh diharapan. Dia yang kita harapkan untuk penguatkuasaan undang-undang, dia pula yang bertindak mencari mangsa duit kopi dengan menyeleweng, salah guna kuasa dan rasuah. Jadi, kepada diri sendirilah untuk menjaga bab-bab makanan ini, kerana pada akhirnya, yang kenyang pun diri sendiri, yang sakit pun diri sendiri.

Tak kira ayam masak jenis apa pun, apabila sudah tercemar, risiko untuk keracunan tetap ada!

No comments: