Friday, October 4, 2013

Bantuan kewangan kepada yang mati

 

Apabila seseorang insan itu telah meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan tiga, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh. Begitulah yang sering kita dengar berkenaan amalan seseorang yang telah meninggal dunia. Biasanya, amalan-amalan lain yang turut serta dimasukkan sekali sebagai 'bekalan pahala' buat si mati ialah bacaan Al-Quran, tahlil dan sedekah yang dibuat atas nama si mati. Soal sama ada amalan-amalan tadi diterima oleh si mati dan manfaatnya dinikmati oleh si mati di dalam alam sana, tiadalah penulis mahu bahaskan kerana huraian tentangnya cukup panjang, dan melibatkan sudut kefahaman yang berbeza-beza.

Tetapi, semua orang pasti setuju bahawa apa sahaja harta yang diperoleh oleh yang masih hidup tidak akan memberikan sebarang faedah material kepada si mati walaupun pemberian itu dibuat atas nama si mati. Si mati tidak akan dapat menikmati walau satu sen pun duit pencen terbitan misalnya, yang diberikan kepada balu si mati; sungguhpun akan ada yang cuba mengaitkan bahawa disebabkan si matilah si balu mendapat pencen terbitan, sekali gus menjamin nafkah balu si mati. Lebih-lebih lagi, soal kebertanggungjawaban waris si mati terhadap memaklumkan kematian boleh dipersoalkan, apabila bantuan yang diberikan oleh kerajaan kekal diberikan kepada orang yang telah meninggal dunia.

Hal yang demikianlah yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2012 yang dibentangkan minggu ini dan laporan ini merupakan antara tajuk utama akhbar utama hari ini. Puluhan ribu ringgit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang disalurkan atas nama penerima, walaupun penerimanya sudah meningga dunia. Lalu, siapakah sebenarnya yang menikmati wang bantuan itu kalau bukan waris si mati? Perlulah diketahui bahawa bantuan JKM ini bukanlah sebagaimana pencen kerajaan yang mempunyai klausa pencen terbitan sekiranya si mati meninggalkan isteri.

Oleh sebab itu, soal kebertanggungjawaban waris terhadap urusan si mati dengan jabatan tersebut sudah tentulah boleh dipertikai. Atas apa alasan pun, waris seharusnya menyelesaikan pengemaskinian maklumat agar penyalahgunaan dana kerajaan tidak berlaku. Apatah lagi dana tersebut hadir daripada wang rakyat yang diamanahkan untuk kegunaan bantuan kepada yang memerlukan (si mati ketika masih hidup) dan bukannya kepada warisnya (sesudah penerimanya meninggal dunia).

Selain itu, urusan penyelarasan maklumat berkenaan kematian juga turut dapat dipersoalkan. Alangkah elok sekiranya selepas pendaftaran kematian dan pengeluaran sijil kematian, maka segala urusan berkait dengan si mati turut secara automatik terlaksana juga, lebih-lebih lagi urusan yang mempunyai kepentingan waris si mati. Misalnya, selepas pendaftaran kematian berlaku, nama si mati akan terus dikemaskinikan di jabatan berkaitan agar urusan pemotongan terus bantuan dibuat tanpa perlu laporan daripada waris. Perkara ini boleh dibuat dengan sistem maklumat berpusat Jabatan Pendaftaran Negara yang boleh diperluaskan penggunaan dan capaiannya ke jabatan-jabatan lain yang berkaitan. Barulah sebarang penyalahgunaan wang bantuan dapat dielakkan dan puluhan ribu wang tadi diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja.

Soal-soal penambahbaikan sebegini bukanlah bersifat teorikal sahaja, sebaliknya memang boleh dibuat lantaran kewujudan teknologi maklumat yang begitu hebat sekarang ini. Kita harapkan kerajaan pun menggunakan kepakaran sedia ada terutamanya berkaitan ICT dengan benar-benar memudahkan urusan rakyat dan bukan sekadar mengoptimumkan penggunaan Twitter, Facebook, Instagram dalam kerja seharian mereka. Takkanlah hari-hari, kemas kini posting masuk kerja pukul berapa, tapi urusan yang sebegitu mudah seperti kemas kini maklumat penting pun tak mampu dibuat. Apa gunanya semua jabatan ada capaian internet dan wifi kalau penggunaannya setakat di tahap laman sosial?

Tuntasnya, kaedah pemberian dan pengemaskinian data berkaitan penerima bantuan wang JKM merupakan satu lompong kelemahan di antara pelbagai lagi kelemahan yang mampu dicerap oleh Jabatan Audit Negara. Tiap-tiap tahun pun kita sering mendengar kes-kes yang pelik-pelik, yang berjaya ditemui dan dilaporkan oleh jabatan terbabit. Kesemua itu pun, sebenarnya merupakan apa yang ditemui oleh audit kerajaan terhadap jabatan kerajaan dan bukannya laporan juruaudit luar terhadap jabatan kerajaan. Kalaulah terdapat prosedur audit luaran yang digunakan dalam kerajaan Malaysia, maunya penemuan-penemuan aneh yang lebih besar lagi yang mampu dicerap daripada urusan dalaman kerajaan. Malah, mungkin ada yang sinis dengan pendedahan Jabatan Audit Negara yang diperbesarkan oleh berita utama yang hanya membabitkan puluhan ribu ringgit sahaja, sedangkan lebih banyak lagi penyelewengan dan pembaziran yang bernilai jutaan ringgit duit rakyat disebabkan pelbagai jenis ketirisan yang berlaku dalam jabatan kerajaan dan syarikat berkait/milik kerajaan. Sudah tentu perkara ini menuntut kepada penjelasan dibuat oleh pihak-pihak berkepentingan yang menguruskan segala hasil mahsul negara.

Dalam memperkasakan soal integriti dan akauntibiliti sebagaimana yang diwar-warkan oleh PM Najib, mampukah kerajaan benar-benar mencapai tahap sedemikian? Ataupun kerajaan terpaksa akur dalam slogan kesederhanaan/moderat yang diperkenalkan sendiri oleh PM Najib dalam konteks akauntibiliti dan integriti?

Apa yang pasti, rakyat memerhatikannya dan daripada semasa ke semasa juga, mereka menilai bukan sahaja kepimpinan negara, sebaliknya mereka yang menjadi pelaksananya daripada kakitangan awam.

No comments: