Sekali lagi, rokok menjadi perhatian penulis. Isu kesihatan dan rokok bukanlah sesuatu yang asing dalam perbincangan media massa. Penulis pernah menulis sebuah surat untuk siaran akhbar; surat tersebut terpilih. Walau bagaimanapun, perenggan tentang rokok telah dibuang habis dalam terbitan siaran akhbar tersebut. Mungkin surat tersebut terlalu panjang sehingga pihak penyunting membuang sama sekali idea yang penulis lontarkan. Namun, surat yang ditulis sudah terpilih untuk disiarkan pun sudah kira bagus!
Setelah beberapa buah negeri memfatwakan rokok sebagai haram (seperti Selangor dan Perak), Pahang juga bercanang-canang untuk mengeluarkan fatwa yang sama tentang pengharaman rokok. Kini, sudah terdapat pelbagai cara yang dibuat oleh pihak kerajaan dan pihak berwajib bagi membendung gejala rokok di kalangan rakyat Malaysia. Daripada gambar yang mengerikan di kotak rokok, kempen Tak Nak! sehinggalah pihak agama pun turut serta dalam menyeru orang ramai untuk tidak merokok.
Masalah yang timbul adalah mengapakah fatwa itu berbentuk fatwa negeri sahaja dan tidak di bawa ke peringkat kebangsaan? Atau lebih tepat lagi, apakah yang sebenarnya membuatkan pihak autoriti beragama tidak terus menghukumkan rokok sebagai haram terus pada peringkat keseluruhan rakyat muslim Malaysia?
Persoalan betapa rokok itu tidak seharusnya dibolehkan telah menjangkaui sempadan politik. Tuan Guru yang sangat alim lagi dihormati, Mursyidul Am Pas, Al-Ustaz Datuk Nik Aziz Nik Mat pun pernah menggelar perokok sebagai lebih hina berbanding lembu; maka apakah sebenarnya yang menyebabkan pihak jabatan agama atau Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengharamkan terus rokok? Bukankah rokok mempunyai manfaat, namum dalam masa yang sama juga mempunyai mudharat dan mudharat itu lebih besar daripada manfaatnya?
Kajian mendapati secondhand smoker (penghidu asap rokok yang dihisap oleh perokok) lebih berpotensi mendapat jangkitan kanser seperti kanser peparu berbanding perokok sendiri. Hal ini disebabkan perokok hanya menyedut 30 hingga 40 peratus asap rokok ke dalam peparu, dan kuantiti berlebihan asap rokok itu dilepaskan ke udara dan boleh disedut oleh orang sekitar! Maka, orang yang merokok sudahlah memudharatkan diri sendiri, dalam masa yang sama menyusahkan orang lain dengan menyajikan potensi penyakit kepada mereka.
Double standard rokok ini bukan hanya berlaku di negara Malaysia. Negara barat misalnya dengan bersungguh-sungguh menyeru rakyat mereka berhenti merokok. Malah, dalam sukan F1 pun, pengiklanan rokok diharamkan sama sekali (sebab itu beberapa pasukan yang penajanya syarikat tembakau bertukar penaja seperti BAR yang telah terkubur dan West McLaren Mercedes) walaupun membolehkan arak sebagai penaja. Begitulah hal yang berlaku di dalam dunia ini. Arak yang memang mempunyai banyak mudharat termasuklah membawa potensi kanser hati dan tabrak-mabuk tidak diharamkan/ditidakbolehkan daripada pengiklanan sebagaimana rokok.
Justeru, sekali lagi, apakah sebenarnya yang menyebabkan rokok yang bolehlah kita samakan dengan arak itu tidak diharamkan secara terus, tegas dan berpenguatkuasaan ke atas umat Islam Malaysia sebagaimana arak?
Prof Dr Ahmad Shalaby misalnya mempersoalkan mengapakah ulama tidak umumkan pengharaman rokok sebagaimana pengharaman madat (candu)? Lalu bertanya kembali tentang siapakah yang seharusnya mengumumkan pengharamannya atau siapakah yang sanggup mengumumkannya? Sedangkan terdapat ramai sekali ahli agama dan ulama yang turut merokok. Sudah pasti mereka tidak dapat melarang sesuatu yang mereka ketagih terhadapnya[1].
Seterusnya beliau memetik Mufti Mesir, Hasanain Makhluf dengan menyatakan bahawa ulama fiqh pada asalnya tidak mengharamkan rokok tatkala awal kemunculannya kerana menurut kaedah "asal segala benda itu adalah harus." Tambahan pada masa ketika itu tiada lagi kelihatan tanda-tanda yang membolehkan rokok dihukum makruh ataupun haram dan harganya juga sangat murah. Namun, menurut kaedah hukum, seandainya terdapat bahaya sama ada banyak atau sedikit daripada penghisapan sahaja, maka hukumnya berpindah daripada halal kepada makruh atau haram menurut kadar bahaya atau tempohnya. Disebabkan sarjana barat telah membuktikan bahawa rokok menyebabkan kanser (peparu dan lain-lain) juga perbelanjaan mendapatkannya merupakan bebanan orang ramai, maka rokok itu adalah haram hukumnya[2].
Dalam pada itu, pembaziran yang disebabkan oleh pembelian rokok juga merupakan sesuatu yang patut mendapat perhatian ramai. Pembaziran sebagaimana menurut firman Allah merupakan rakan kepada syaitan. Mengulas isu pembaziran wang dan rokok, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa seandainya sarjana sains tidak dapat membuktikan secara saintifik bahawa rokok memudharatkan kesihatan manusia, hukumnya tetap haram kerana perbuatan tersebut boros dan membazir[3].
Perokok semakin bertambah. Kalau suatu masa ketika dahulu, kaum lelaki sahaja yang banyak merokok. Masa kini, selaras dengan anggapan bahawa "apa yang lelaki buat, perempuan pun boleh buat," maka kaum hawa pun tidak ketinggalan, berlumba-lumba untuk menghisap rokok. Mudah sekali kita lihat wanita merokok di mana-mana, di kompleks membeli-belah, di restoran dan tempat-tempat awam. Kaum bapa pula tidak sempat-sempat untuk mengunggu berbuka puasa, terus berbuka dengan air suam, kurma sebiji dan sebatang rokok tatkala bulan puasa. Di masjid, surau dan musolla tidak kira tok imam, tok bilal, tok siak/noja, mudah sekali kita lihat mereka ini merokok sambil berbual-bual selepas sembahyang (biasanya di kawasan kampung).
Tatkala kita menghadapi kenaikan tahunan yang pasti untuk harga rokok, maka apakah dengan ketagihan sebegitu rupa mudah untuk kita isytiharkan terhadap rokok? Pada hemat penulis, sebagaimana pengharaman arak, begitulah haramnya rokok dan perlu dilakukan secara berperingkat. Isu yang lebih penting bukanlah semata-mata hukum rokok. Namun implementasi hukum tersebut, penguatkuasaan dan aspek pencegahan terhadap rokok. Lebih penting lagi, kita hendaklah mewujudkan cetusan dan percikan kepada perokok untuk berhenti rokok. Ada dorongan yang kuat bagi mereka berhenti merokok.
Sehingga ke tahap itu, janganlah kita hairan seandainya harga rokok naik lagi tahun ini!
_______________________________________
Nota hujung
1.Ahmad Shalaby, Kehidupan Sosial Dalam Pemikiran Islam, cetakan ke-3, alih bahasa Muhammad Labib,
Pustaka Nasional Ptd Ltd, Singapura, 2001, p. 241.
2. Ibid, p. 241-242
3. Abdullah Al-Qari b. Hj. Salleh, Rokok dan Keharamannya, Darul Nu'man, K. Lumpur, 1995, p. 83