Saturday, November 2, 2013

GST: Antara BN dan PR

 

Melainkan  berlaku sesuatu yang luar biasa dalam masa 17 bulan yang akan datang, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan mula dikuatkuasakan pada April 2015. Sebagaimana yang pernah penulis utarakan sebelum ini, perlaksanaan GST ialah satu 'kegilaan' pada pihak 'ahli ekonomi' dan 'ahli audit/cukai.' Maka, ada kemungkinan yang sangat-sangat besar, kumpulan-kumpulan inilah yang sebenarnya mendapat manfaat daripada perlaksanaan cukai tersebut kerana mereka yang beria-ia benar agar dasar itu dilaksanakan.

Lebih menyeramkan ialah ada di kalangan pakar-pakar ini yang menyarankan penurunan cukai persendirian dan korporat tidak perlu dilaksanakan bagi membolehkan GST itu lebih 'stabil' di dalam iklim ekonomi Malaysia. Lalu, selepas mencapai 'kestabilan,' barulah kerajaan boleh menurunkan kadar cukai persendirian dan korporat secara gradual sehingga mencapai 20 peratus. Persoalan yang boleh dibangkitkan ialah, bagaimana kalau sekiranya kalau keadaan cukai 'tak stabil?'


Bagaimanapun, setidak-tidaknya kita boleh menjangkakan tiada satu gelombang besar tunjuk perasaan jalanan yang akan diwujudkan oleh pihak pembangkang di Malaysia untuk menentang sekeras-kerasnya GST sebagaimana mereka pernah lakukan untuk menuntut pilihan raya yang lebih bersih. Atau dalam erti kata lain, mungkin tidak ada himpunan seumpama 'Himpunan Hijau' atau 'Himpunan Blackout 505' yang pernah dilakukan untuk menuntut itu dan ini.

Masakan tidak, Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) yang juga Perdana Menteri Bayangan Malaysia sendiri mengakui bahawa sistem GST yang akan dilaksanakan itu lebih baik daripada sistem sedia ada. GST dikatakan sebagai sistem percukaian yang cekap dan telus yang mampu memberikan kebaikan kepada negara. Walaupun mempunyai perincian tertentu, ternyata di peringkat kepimpinan tertinggi untuk PKR telah mengakui 'kebaikan' sistem GST.

Hal ini cukup berbeza dengan PAS yang kini dipaksa untuk menghadapi PRK Sungai Limau apabila mereka telah mula memainkan persepsi bahawa perlaksanaan GST akan membebankan rakyat. Malah, Presiden PAS, Al-Allamah Sohibul Fadhilah Al-Ustaz Datuk Seri Hadi Awang turut menegaskan yang 'pandangan Ketua Umum Pakatan Rakyat bukannya pandangan ijmak Pakatan Rakyat.' Masih belum jelas apakah pandangan sebenar dan rasmi darripada pihak PR berkaitan perlaksanaan GSTdan masa sahaja yang akan menentukannya.

Justeru, dasar PR terhadap GST hanya akan diketahui dalam tempoh 'peralihan' ini. Apa yang jelas ialah PM Bayangan Anwar Ibrahim mengakui akan terus melaksanakan GST seandainya PR berjaya mengungguli tampuk pemerintahan negara. Dalam maksud frasa yang berbeza, sekiranya PRU 13 memihak kepada PR, ada kemungkinan yang cukup besar bahawa mereka akan turut melaksanakan GST; tapi dengan nada yang lebih lunak dan indah. Malah mungkin akan menyalahkan pihak kerajaan BN kerana tidak melaksanakan kaedah cukai sebaik, secekap dan setelus GST semasa pemerintahan mereka yang berpuluh tahun!

Pendek kata, ruang untuk penentang-penentang GST semakin sempit kerana di peringkat politik pun, sudah wujud dua pandangan berlainan kutub yang agak ekstream. Hal ini tidak seperti BERSIH yang mendapat sokongan sepenuhnya PR dan bantahan Projek Lynas yang mendapat sokongan seluruh pimpinan PR; melainkan seorang. Dalam isu GST ini, dua orang pemimpin agung PR melalui PKR sudah mengaku secara prinsipnya, cukai jenis ini lebih baik daripada sistem sebelumnya.

Dan kalau ditanya kepada penulis pandangan tentang GST, penulis tetap dengan pendirian tempoh hari iaitu sekiranya kutipan cukai kerajaan sudah semakin cekap, telus dan memberikan pulangan yang baik, apakah pula jaminan kerajaan bahawa mereka semakin cekap, telus dan tidak sekadar memberikan gula-gula kepada kumpulan tertentu sahaja....

No comments: