Monday, November 4, 2013

I Spy bersepai

 

Pendedahan media tentang operasi pengintipan komunikasi yang dilaksanakan oleh US dan agensi keselamatannya, NSA bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sebelum ini pun, Julian Assange dan WikiLeaks-nya telah mendedahkan intipan komunikasi antara perisikan Singapura ke atas Malaysia. Cuma dalam konteks WikiLeaks, risikan tersebut menjurus kepada nama ketua pembangkang Malaysia pada ketika itu (dan ketika ini pun), Anwar Ibrahim. Sebaliknya, intipan kali ini yang didedahkan oleh seorang lagi peniup wisel (whistle blower) yang lebih rapat dengan kerajaan Amerika iaitu kontraktor NSA, Edward Snowden.

Kes berprofil tinggi yang berjaya dicerap oleh media antarabangsa ialah intipan komunikasi persendirian Canselor Jerman (taraf Presiden), Angela Merkel. Di Asia Tenggara, proksi rasmi US dan agensinya NSA di rantau ini, Australia didakwa telah mendalangi risikan komunikasi di Indonesia. Hal ini telah membawa kepada pergeseran diplomatik antara negara republik itu dengan negara kanggaru yang sememangnya sebelum ini acap kali bergeser.

Malah, menurut pendedahan yang dibuat oleh media Australia turut mengaitkan pejabat Kedutaan US dan Persuruhjaya Tinggi Australia sebagai dalang risikan pihak US terhadap Malaysia. Hal ini mengundang persoalan sejauh mana pencerobohan maklumat yang berjaya membolosi oleh pihak yang dituduh di dalam Malaysia? Apakah maklumat sulit negara yang telah diperoleh pihak Australia dan US untuk kepentingan mereka?

Perkara ini sebenarnya menimbulkan kegusaran dikalangan rakyat tempatan kerana kegiatan intipan dan risikan melampau boleh menimbulkan syak-wasangka yang berlebih-lebihan. Misalnya, telah tersebar ke pengetahuan umum di bandar raya New York, umat Islam menjadi sasaran intipan dan risikan melampau oleh jabatan polis negeri itu. Kegiatan keterlaluan itu mengundang rasa marah penduduk Islam di Big Apple lantaran kelakuan yang sangat tidak bertanggungjawab dan berniat jahat seolah-olah memukul rata kesemua orang Islam sebagai pengganas.

Namun, itulah hakikatnya US. Mereka masih terperangkap dalam dunianya selepas Perang Dingin untuk berterusan menjadi polis dunia. Lebih buruk, mereka bertindak bagaikan samseng; menghalalkan tindakan diri sendiri kepada orang lain atas alasan keselamatan, tetapi menidakkan tindakan orang lain yang turut menggubakan alasan sama untuk mempertahankan diri.

Misalnya hal berkait persenjataan, US beria-ia sungguh untuk memaatikan negara lain di dunia untuk tidak memiliki senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Tetapi, US sendiri tidak pernah mengisytiharkan secara jelas sama ada mereka mempunyai WMD dan senjata nuklear. Tambahan pula, US-lah satu-satunya negara di dunia ini yang mengunakan senjata pemusnah besar semasa Perang Dunia ke-2.

Pihak keselamatan US dan agensinya, NSA mempertahankan tindakan mereka untuk mengintip dengan alasan memang termaktub dalam perundangannya untuk melaksanakan risikan-risikan tersebut. US turut menegaskan apa sahaja yang dilakukan oleh mereka ialah satu 'bantuan' keselamatan US kepada negara-negara sahabat. Pada masa yang sama, US turut akan dapat menjamin keselamatan 'kepentingan US'. Seolah-olah mereka berkata, 'Kamu seharusnya berterima kasih kepada kami kerana menjalankan kerja untuk kamu dengan percuma!'

Apa yang menyeramkan ialah betapa US sendiri gagal untuk mengawal rakyatnya sendiri daripada melakukan pembunuhan besar. Apabila terjadi pembunuhan beramai-ramai di negaranya sendiri akibat kegagalan dalam pengurusan pemilikan senjata, US dan pentadbirannya sendiri tidak mampu untuk menyelesaikan domestiknya itu. Setelah gagal mengawal tindak-tanduk penduduknya dalam kes pemilikan senjata, US hendak mengaburi pula kelemahan itu untuk mengawal pemilikan senjata negara lain. Apa cerita?

Kegiatan keji US dan sekutunya untuk melakukan intipan dan risikan peribadi kepada negara-negara yang dianggap bersahabat baik dengannya menggambarkan dogma superiority complex yang dipegang olehnya. Lebih malang lagi, antara perkara pertama yang perlu dihadapi oleh Duta Besar baharu US ialah isu intipan ini. Akhirnya, US akan selamanya terperangkap dalam permainan Perang Dingin untuk menguasai dunia dengan mengawal kegiatan negara lain kerana sangat risau dengan kelibat negara lain.

Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan pendedahan kegiatan intipan oleh US mungkin sekadar sepersepuluh daripada kegiatan sebenar yang telah US laksanakan. Negara Uncle Sam itu sememangnya mempunyai kapabiliti untuk melaksanakan bermacam jenis intipan dan risikan kerana mereka memang mempunyai teknologi komunikasi dan maklumat yang terkini. Maka, tindakan mereka bolehlah dikatakan sebagai masih berterusan dalam alam mempraktikkan hegemoni di kalangan negara dunia yang lain.

Sampai bila? Itulah persoalan yang barangkali amat sukar untuk dijawab. Selagi negara bernama US itu masih kekal dengan dogma penguasaannya, maka selagi itulah negara di dunia ini terpaksa tunduk kepada agenda hegemoninya. Yang pasti, US akan kekal sangat takut dengan bayangan paksi kejahatan yang memusuhi demokrasi ala-US dan akan berusaha untuk memastikan kesemua negara akan tunduk kepada demokrasi itu.

No comments: