Monday, November 25, 2013

Cukai dan pengkhianatan

 

Semalam, PM Najib mengeluarkan satu perbandingan yang sangat keras terhadap mereka yang lari daripada membayar cukai iaitu sebagai pengkhianat kepada negara. Beliau turut mengaitkan patriotisme dengan membayar cukai kepada negara bagi mereka yang diwajibkan melaksanakan tanggungjawab demikian.

Barangkali beliau bercakap dengan emosi yang begitu membuak-buak dengan semangat patriotisme yang tinggi ketika itu. Dalam majlis yang sama iaitu Seminar Pemerkasaan Ekonomi, beliau turut mengulaskan isu pengundi Bangladesh dan GST. Sambil menyifatkan patriotisme bukan semata-mata menghunuskan senjata untuk mempertahankan negara, beliau turut mengaitkan pembangkang sebagai pakar pusing apabila menyifatkan sikap mereka yang sering menuduh melulu kemudian tidak mengaku pula tuduhan melulu yang mereka lakukan.

Penulis sangat bersetuju bahawa negara ini mempunyai pembangkang yang lemah kerana kebanyakkan kritikan mereka bersifat retorik seolah-olah mereka lebih mulia dan lebih betul dalam segenap perkara. Dengan sebuah pakatan yang rapuh dan berniat semata-mata untuk menumbangkan kerajaan BN dan ke Putrajaya, mereka tidak mempunyai dasar yang bersama yang lebih baik daripada BN; dengan ada yang bersifat sekular, ada yang bersifat asal boleh dan ada satu lagi yang ditepek dengan bedak Islami, namun kini bacul hendak mengaku ingin menegakkan negara Islam.

Bagaimanapun, hal-hal itu sama sekali tidak menafikan yang keadaan pimpinan Najib bukanlah lebih baik daripada pembangkang dalam serba-serbi. Malah, dalam beberapa keadaan, cara BN dan PM Najib lebih tidak masuk akal kerana beliau bermain dengan api.

Tatkala beliau memperkhianatkan golongan yang lari daripada membayar cukai, beliau turut perlu tahu bahawa hasil pulangan terbesar untuk negara ialah daripada pembayar cukai juga! Dan selepas perlaksanaan GST kelak, boleh kata semua orang di Malaysia secara tidak langsung akan menjadi pembayar cukai!

Maka apakah definisi beliau terhadap orang yang lari membayar cukai? Adakah mereka yang mengadakan potongan gaji namun meminta pelepasan itu dan ini sebagai lari daripada cukai? Atau kenapa tidak sahaja disebutkan penghisap rokok seludup juga pengkhianat negara kerana mereka tidak membayar harga cukai rokok? Atau adakah usahawan-usahawan internet yang kaya-raya yang sanggup berhenti kerja makan gaji lumayan kerana perniagaan atas talian tapi, entah bayar ke tidak cukai atau lebih parah lagi, entah ada SSM ke tidak untuk menjalankan perniagaan; sebagai pengkhianat negara yang tak bayar cukai?

Dalam memperihalkan patriotisme, PM Najib dan anggota kabinetnya sendiri perlulah bersikap sedemikian dan bukan hanya mengharapkan rakyat sahaja perlu patriotik. Misalnya, apakah langkah ahli kabinet untuk turut serta merasai kepayahan rakyat nun di bawah sana yang dihimpit kesukaran dalam keadaan kos sara hidup yang senantiasa meningkat? Sekiranya Seri Perdana itu milik rakyat, mengapakah tidak diberikan sahaja kebenaran percuma untuk rakyat menikmatinya? Duit manakah yang digunakan oleh kerajaan untuk membayar bil jutaan ringgit yang berjaya didedahkan oleh parti lawan?

Atau, lebih substansial lagi, berapa ramai anak menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat yang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan? Berapa ramai ahli keluarga menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat yang dikenakan perintah PLKN ketika berusia 18 tahun. Berapa ramai keluarga, suku-sakat, anak-beranak orang-orang besar yang menyertai pasukan keselamatan atau menyertai pasukan simpanan keselamatan negara atas dasar patriot?

Sedangkan begitu ramai di kalangan mereka (keluarga VVIP) yang menikmati segala kemudahan, kesenangan dan barangkali penghormatan atas nama anak atau keluarga orang besar; belum tentu menyumbang kepada 'angka patriotikometer' masing-masing kepada negara. Tatkala pak menteri 'menyusun semula subsidi' untuk kepentingan negara, mereka tidak pula bertindak menyusun semula gaji, elaun keraian dan segala berkaitan tuntutan perjalanan sebagai seorang menteri, domestik ataupun antarabangsa.

Namun, pada banyak keadaan, apabila dipersoalkan perkara-perkara sebegini, golongan orang-orang besar ini akan menjawab mereka memang layak mendapat segala kemudahan, kesenangan dan kelebihan tadi kerana mereka ialah orang-orang yang berjaya ke puncak. Takkanlah menteri nak tidur di hotel tiga bintang atau naik kereta api sahaja dalam lawatan kerja! Maka sedarlah pihak pak-pak menteri, wang yang digunakan untuk membayar kesemua itu sememangnya datang daripada cukai kerajaan terhadap rakyatnya.

Itu kita baru persoalkan sejauh mana patriotisme barisan kabinet negara. Kita belum lagi cerita pengkhianatan yang dilaksanakan oleh bapak-bapak menteri daripada kelompangan pentadbiran sampailah kepada pembaziran wang kutipan cukai daripada rakyat yang sering berlaku. Hal ini boleh dilihat daripada projek kerajaan yang tak jadi, projek kerajaan yang bertangguh, projek kerajaan yang melebihi kos asal, projek kerajaan yang kerugian, salah guna kuasa oleh ahli kabinet, timbalannya atau pegawai dan kakitangan, amalan nepotisme dan despotisme, urusan kerajaan yang terlalu bersifat birokrasi, kegagalan penyelenggaraan kemudahan asas seperti jalan raya, sampah-sarap, dan kemudahan awam yang lain. Kalau nak turap semula jalan pun perlukan berbulan, kemudian nak tepek garisan di jalan pula memerlukan berbulan, apakah sebenarnya yang kerajaan cuba sampaikan?

Juga termasuk dalam erti kata pengkhianatan kepada rakyat ialah apabila kerajaan tak mampu bertanggungjawab (atau tidak boleh dipertanggungjawabkan) apabila berlaku sesuatu kejadian bencana, mereka berlepas diri sedangkan di tangan merekalah kelulusan projek-projek yang menyebabkan bencana. Kalau hendak minta kelulusan daripada mereka, bukan main lagi ini dan itu, namun apabila berlaku kegagalan, mereka enggan pula bertanggungjawab atas bencana yang berlaku. Kalau sudah tidak selamat, mengapakah mereka mengeluarkan lesen dan menerima bayaran bagi segala prosedur berkaitan? Kemudian, setelah keadaan menjadi kritikal, mengapakah alasan ‘tak boleh berbuat apa-apa dah, kita berserah sahajalah,’ yang keluar daripada pembesar-pembesar negara?

Setelah itu, kita belum sentuh pengurusan kewangan kerajaan dan syarikat berkait kerajaan yang selalu mendapat perhatian pihak pembangkang. Ada sahaja lompang kiri dan kanan yang kadang-kala sebenarnya menimbulkan tanda tanya tentang keberkesanan orang-orang yang dilantik oleh pihak kerajaan untuk menerajui sektor korporat kerajaan.

Dan paling jelas ialah betapa tak patriotiknya PM Najib yang sentiasa menamakan projek-projeknya dalam akronim Inggeris daripada GTP, UTC, RTC, NKRA, NKEA, ETP, IM4U, UR4MI (hehe...)... Sepanjang pemerintahan Najib, akronim-akronim berasaskan Bahasa Inggeris yang diterbitkan daripada PM Najib melambak-lambak bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Bagaimanakah beliau hendak memproklamasikan dan mempromosikan dirinya sebagai jaguh patriotik negara? Sering berucap dalam bahasa campur hendak menunjukkan dirinya ‘urban’ tetapi hakikatnya, beliau telah melanggar satu peruntukan yang cukup besar dalam perlembagaan yang menjadi identiti kepatriotikan seseorang kepada Malaysia iaitu Bahasa Kebangsaan!

Tuntasnya, sekiranya PM Najib sanggup menggelar orang yang lari daripada membayar cukai sebagai pengkhianat negara, maka beliau, anggota kabinetnya dan mereka yang bekerja bawahnya turut perlu menerima gelaran pengkhianat negara sekiranya mereka sendiri tidak mempunyai prestasi yang terbaik dalam mengurus tadbir harta kekayaan negara melalui cukai yang telah dibayar oleh rakyat.

Sebarang kelompangan, ketirisan, salah guna kuasa, rasuah dan kegagalan anggota kerajaan untuk bertindak dengan cekap dan berkesan pada tahap yang sepatutnya dan diharapkan oleh rakyat juga harus dilabel sebagai pengkhianat negara. Malah, pengkhianatan mereka semua lebih besar lagi kerana telah menyalahgunakan wang rakyat dan tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya ketika rakyat mengharapkan mereka berbuat demikian.

Jelaslah di sini siapakah sebenarnya yang lebih besar khianatnya dan kurang patriotiknya kepada negara...

No comments: