Tuesday, November 5, 2013

Madah dah kalah

 

Secara tiba-tiba, kekalahan BN di PRK Sungai Limau  sudah dijangka oleh media harian prokerajaan. Kini, hasil daripada PRK itu seolah-olah sudah diramal siap-siap sementelah sebelum ini, seolah-olah calon daripada BN mampu membuat kejutan. Kejutan hapakebenda? (Penulis pernah mengemukakan cadangan untuk BN tidak bertanding dalam terbitan sebelum ini untuk menjimatkan masa dan kos).

Menang tetap menang walau berapa pun majorotinya. Secara tidak langsung, kemenangan calon PAS, Azam Abd Samat membuktikan bukan semua pengundi luar bandar yang memihak kepada UMNO; tidak sebagaimana yang dicanang oleh orang-orang kuat UMNO sendiri. Jadi, UMNO pun berhelahlah dengan 'mengecilnya' majoriti undi, kononnya sokongan pengundi terhadap UMNO bertambah. Soalnya sekarang bukannya kecil atau besarnya majoriti. Soal sebenarnya ialah masih lebih seribu orang pengundi yang lebih memihak kepada PAS! Mereka meletakkan keyakinan yang lebih besar kepada calon PAS. Itu sahaja.

Malah, pengurangan peratusan keluar mengundi sebenarnya melemahkan lagi hujah pengurangan majoriti kerana belum tentu sekiranya peratusan keluar mengundi sama atau melebihi sebagaimana PRU ke-13, majoriti itu turut sama mengecil. Lainlah kalau peratusan mengundi semalam lebih besar berbanding PRU lepas, yang memungkinkan kesimpulan yang pengundi yang memilih BN sudah bertambah.

Kekalahan BN di Sungai Limau untuk sekian kalinya sekali gus menunjukkan walaupun BN mempunyai kelebihan capaian media utama untuk mendakyahkan propaganda mereka untuk menarik minat penduduk tempatan untuk mengundi BN. Takkanlah orang di Sungai Limau tak tengok tv? Kelebihan media massa tidak memberikan sebarang manfaat kepada BN di kawasan kubu kuat parti lawan. Malah segala insentif yang diberikan oleh pihak kerajaan gagal memberikan keputusan yang bererti dan diharapkan tatkala BN begitu teruja untuk melakukan upset di Sungai Limau.

Motto 'Berani Berhijrah' nampaknya tidak dapat diterjemahkan dalam keputusan PRK kali ini. Pengundi di Sungai Limau masih mahu mengekalkan tradisi di pimpin oleh PAS di DUN bekas Menteri Besar Kedah itu. Sekali lagi, Mukhriz terpaksa menerima kenyataan yang nasib tidak menyebelahinya  dalam memimpin UMNO untuk PRK terbabit setelah beliau turut gagal merebut kerusi Naib Presiden UMNO. Aura sebagai anak bekas Perdana Menteri sahaja nampaknya tidak mencukupi. Tak sempat jugalah pihak media massa prokerajaan hendak kaitkan sambutan Maal Hijrah hari ini dengan 'hijrahnya pola pengundian di Sungai Limau' kerana PAS masih mengekalkan kerusi. Kalau tidak, maunya dibuat satu dokumentari khas kerana kejayaan BN itu dan kaitannya dengan Awal Muharam gamaknya!

Pendek katanya, kekalahan di Sungai Limau membuktikan pengaruh tradisional PAS masih lagi likat di kalangan pengundi-pengundi di kawasan tertentu di luar bandar. Perkara ini turut membuktikan bahawa UMNO tidak boleh mendabik dada yang merekalah hero kepada penduduk luar bandar dan sokongan golongan itu kepada UMNO bertambah baik. Seandainya benarlah andaian itu, maka tiadalah masa dan tempat lain yang sangat cucuk untuk membuktikannya melainkan di PRK Sungai Limau.

Akan tetapi, Sungai Limau menidakkannya dengan cukup meyakinkan...

No comments: