Friday, January 29, 2010

Macam-macam sekolah ada.....

Selasa lalu (26 Januari 2010) akhbar melaporkan pengumuman senarai awal "sekolah berprestasi tinggi" (SBT) yang antara lain memberikan pentadbir sekolah autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan. Berita Harian misalnya memberikan informasi kilat (m.s 4) tentang apakah yang dimaksudkan dengan tambahan autonomi bagi sekolah yang terpilih dan ciri-ciri sekolah yang layak dijadikan sebagai SBT. Senarai sekolah juga akan bertambah pada masa akan datang sehingga sejumlah 50 buah sekolah menjelang 2012. Antara keistimewaan yang diberikan kepada SBT adalah kebolehannya untuk "melompatkan" pelajar yang cemerlang awal setahun.

Setelah meneliti senarai sekolah yang terpilih, penulis tidaklah terlalu terperanjat dengan betapa beberapa sekolah yang tersenarai dikatakan sebagai berprestasi tinggi. Daripada 20 buah sekolah, enam adalah sekolah rendah. Hanya empat sekolah harian biasa dan selebihnya adalah sekolah berasrama penuh (SBP). Melainkan SK Zainab (2), tiada satupun SBT yang berada di negeri pantai timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan. Malah, tiada satu pun sekolah dari Malaysia Timur yang terpilih. Itulah senarai awal SBT.

Aneh lagi memelikkan keadaan adalah betapa apabila hampir setiap kali diumumkan pencapaian peperiksaan awam, sekolah terbaik di Malaysia biasanya diwar-warkan sama ada di Kelantan, Terengganu. Apakah tiada satu sekolah pun di kawasan pantai timur itu layak dijadikan senarai awal? Bukankah kita mendukung gagasan 1Malaysia – maka seharusnya mengikut wilayah yang berada dalam kawasan Malaysia, sewajarnya terdapat wakil daripada setiap wilayah – pantai timur, pantai barat, Malaysia Timur. Namun, mungkin ada kreteria yang tidak dipenuhi oleh sekolah-sekolah yang berada di kawasan tersebut. Mungkinlah...

Senarai yang terpilih juga menunjukkan terdapat sekolah asrama satu gender yang terpilih sebagai SBT. Hal ini juga sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya yang sangat besar. Apakah sekolah satu gender (yang sememangnya lebih sedikit berbanding lelaki-perempuan) lebih baik berbanding sekolah biasa lelaki-perempuan? Bagaimanakah "personaliti unggul" sebagaimana dalam kreteria SBT itu hendak dipenuhi seandainya masyarakat dalam sekolah tersebut cenderung kepada gender tertentu? Hal sebegini memungkinkan diskriminasi gender pula pada masa akan datang apabila pelajar-pelajar unggul ini bakal menjadi pemimpin – mungkin terlalu bergender? Masih belum ada kajian yang konkrit tentang buruk baik sekolah satu gender dan diharapkan pihak Kementerian Pelajaran mengambil kira dalam kajian-kajian akan datang.

Pada hemat penulis, sekolah-sekolah seperti STF, MCKK, KISAS kesemuanya adalah sekolah yang telahpun mencapai taraf yang tinggi – kalau pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam sebelum SPM biasanya dikaitkan dengan sekolah-sekolah tersebut. Sekolah-sekolah tersebut mempunyai sejarah mereka tersendiri – banyak sekali pemimpin masa sekarang ini berasal daripada sekolah tersebut. Ibu bapa pun berebut-rebut hendak menghantar anak-anak ke sekolah tersebut – kalau boleh pakai kabel pun, pakailah...Dengan penaiktarafan kepada SBT, maka lebih bertaraflah sekolah tersebut.

Persoalannya, tidak adakah sekolah lain yang berada di bumi bertuah Malaysia ini yang akan setanding dengan sekolah tersebut apabila nyata sekali kerajaan pun memilih sekolah tersebut untuk diangkat ke taraf yang lebih berbanding sekolah lain? Apakah lulusan SMK A misalnya yang mendapat 11A1 SPM itu sama dengan lulusan MCKK atau MCKK disebabkan tarafnya lebih mulia disisi kerajaan, maka hal ehwal berkaitan biasiswa, lanjutan belajar luar negara pun hendak didahulukan yang MCKK? (Contoh sahaja MCKK... SBT lain pun sama juga...!)

Sepuluh buah sekolah SBP telah terpilih untuk menyertai senarai creme de la creme ini. Dan salah satu "autonomi" yang diberikan adalah memanjangkan waktu persekolahan – yang merupakan satu "autonomi" yang tidak valid untuk sekolah berasrama penuh. Aktiviti sekolah berasrama penuh terutamanya pada tahun peperiksaan penuh dengan belajar dan belajar. Ada sistem persekolahan mereka yang tamat silibus tingkatan 5 seawal bulan Ogos; berbulan-bulan sebelum SPM. Lagipun, pelajar berada dalam asrama penuh – maka apa pentingnya hendak "memanjangkan" tempoh persekolahan? Pagi belajar, petang belajar/ko kurikulum, malam pun belajar. Mereka memangpun datang ke SBP pun untuk "belajar."

Pengambilan staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukannya kekananan juga menimbulkan persoalan besar. Bukankah itu selayaknya amalan di sektor perkhidmatan kerajaan? Malah, "kelebihan" sebegini akan mendorong guru-guru untuk berkhidmat bersungguh-sungguh bukan atas dasar kerana hendak mendidik anak bangsa, (walau di mana mereka berada) sebaliknya untuk menceburi kelas elit yang pernah berkhidmat di SBT bagi menaiktarafkan resume mereka. Seharusnya kumpulan guru yang cemerlang diagihkan ke sekolah yang kurang cemerlang – bagi meningkatkan keupayaan sekolah yang kurang cemerlang menjadi lebih cemerlang. Bukankah pernah membaca beberapa cerita berkenaan guru sekian-sekian yang menjadi inspirasi agar sekolah yang kurang baik menjadi lebih baik. Pada hemat penulis, guru sebegini lebih tinggi prestasinya berbanding yang lain!

Sebagai kerajaan yang mementingkan unsur perpaduan dan 1Malaysia, selayaknya autonomi "Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain" dikaji dengan teliti agar konotasinya tidak menyimpang daripada hasrat asal. Bahasa Melayu baru sahaja di"martabatkan" kembali dalam pengajian Sains dan Matematik. Seharusnya, di SBT inilah kita martabatkan bahasa kebangsaan. Kalau yang berprestasi tinggi pun tidak mahu memartabatkan bahasa kebangsaan, janganlah kita harapkan yang "kurang" berprestasi tinggi! Wajar sekali pelajar SBT ini dijadikan contoh sebagai pelajar yang berjaya beradaptasi dengan pelbagai bahasa. Tidak mengapa seandainya hendak mengajar pelbagai bahasa. Namun, bahasa kebangsaan patut dimartabatkan terlebih dahulu.

Kita dapat merasakan sendiri betapa kerajaan kini, disebalik kempen memartabatkan bahasa dan mengembalikan bahasa kebangsaan dalam media harian, mereka cenderung menggunakan istilah Inggeris berbanding istilah Melayu. Bidang Keberhasikan Utama lebih kita kenali dengan kependekkan NKRA (alangkah baiknya kalau dikenali sebagai BAKU!). Hari ini (29/1/2010) dilancarkan Program Transformasi Kerajaan yang dikenali dengan akronim GTP. Alangkah lebih baik namanya bertukar kepada program perubahan kerajaan, PPK. Sudahlah "Program" dipinjam daripada Inggeris, Transformasi juga dari Inggeris. Kependekan program tersebut jadi GTP – lebih lagi inggeris! Maka apakah kelak SBT akan menjadi HPS?

Satu lagi keistimewaan SBT adalah membenarkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang ditamatkan setahun lebih awal. Perkara sebegini pernah kita dengar sedikit masa dahulu dengan kewujudan PTS – penilaian tahap satu untuk pelajar tahun 3. Namun, akhirnya PTS tersebut dimansukhkan jua. Pada pendapat penulis, kalau pelajar tersebut sudah pun mencapai tahap genius yang mengalahkan profesor (otaknya engin Ferrari...) maka bukan lompat kelas yang perlu dilakukan. Sebaliknya pelajar sebegini disekolahkan di sekolah prestasi tinggi yang lebih tinggi – untuk pelajar genius. Malah, Kementerian Pelajaran juga belum mempunyai mekanisme khusus bagi membolehkan pelajar lompat kelas. Justeru pada hemat penulis, eloklah autonomi tersebut digantung sementara waktu atau tidak diperlukan langsung. Melainkan otak pelajar tersebut luar biasa bijaknya, seharusnya pelajar secemerlang manapun sepatutnya mengikut pembelajaran sebagaimana biasa. Kalau cemerlang tapi dorman, maka eloklah disuruh masuk persatuan... Bukan begitu?

Kecemerlangan pelajar itu sebenarnya dibina. Mungkin memang benar ada yang mempunyai genetik yang amat bagus, cerdik – namun tidak semua manusia dilahirkan cemerlang akademik dan sebagainya. Ada pelajar yang mungkin berasal dari sekolah harian biasa, belajar sebagaimana biasa, dapat keputusan biasa, namun akhirnya sampai jua ke universiti – melalui STPM, melalui Matrikulasi; mungkin mendapat tempat di universiti tempatan, mungkin luar negara. Mungkin sambung Master. Mungkin sampai buat PhD. Ada pelajar yang berasal dari SBP, atau MRSM, atau sekolah premier yang juga berjaya sehingga ke tahap itu. Apakah pada peringkat ini, kejayaan mereka daripada sekolah biasa ini tidak sama dengan sekolah yang lebih sedikit tinggi tarafnya? Dikotomi inilah yang wajar diperjelas oleh pembuat dasar. Sebab, sekolah – tidak kira apa taraf sekalipun diwujudkan bagi melahirkan insan yang berpengetahuan dan berperadaban tanpa mengenal dari mana orang itu berasal!


 


 

Thursday, January 28, 2010

Lebih UMNO daripada UMNO?

Isu laporan polis oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Noordin terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad merupakan isu yang tidak kurang hangatnya pada minggu yang lalu. Ahli PKR tersebut membuat laporan polis kerana tidak sebulu dengan pendirian Khalid Samad berhubung penggunaan kalimah Allah dan beberapa kalimah arab yang membawa konotasi Islam sebagaimana yang disenaraikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Khalid Samad dilaporkan menyokong keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penulisan kristian dan menyifatkan halangan penggunaan kalimah tersebut dan kalimah-kalimah arab yang lain sebagai undang-undang lapuk sedangkan rakyat Malaysia telah sepatutnya mencapai kematangan mereka tersendiri.

Sehubungan dengan itu, pemimpin tertinggi PKR telah mengarahkan Zulkifli supaya menutup mulut dan menarik semula laporan tersebut. Ada pemimpin pakatan yang menyifatkan tindakan beliau sebagai membelakangkan prinsip parti; malah menggunakan undang-undang yang cuba dihapuskan oleh pakatan sendiri (i.e. akta hasutan). Ada yang menyifatkan pendirian Zulkifli sebagai sama dengan UMNO dalam hal ehwal agama mempertahankan agama Islam dan orang-orang Melayu. Malah, Zaid Ibrahim sendiri merasakan bahawa PKR nampaknya "gagal" dalam mengatasi masalah berkaitan dengan Zulkifli kerana membiarkan sahaja ahli parlimen tersebut tanpa sebarang tindakan (namun, dikhabarkan sebenarnya PKR sedang dan akan mengambil tindakan...)

Pada hemat penulis, seandainya tindakan Zulkifli dikatakan sebagai lebih UMNO daripada UMNO, maka eloklah kiranya beliau tinggalkan keahlian sebagai ahli PKR. Masuk sahajalah UMNO. Tetapi, sudah pastilah ada sebab tertentu yang menyebabkan beliau setia bersama PKR; mungkin hal perjuangan, atau pembaharuan, atau prinsip-prinsip yang beliau dukung – pastilah berbeza dengan UMNO. UMNO masih mengamalkan cara sama berasaskan perlembangaan, kontrak sosial bagi memelihara agama dan orang Melayu. Sudah pasti PKR mempunyai cara tersendiri untuk memelihara agama dan orang Melayu dan agenda keadilan yang diwar-warkan dengan sepenuh hati. Dan PAS pun pastilah ada rangka kerja untuk menegakkan daulah Islamiyyah. Manakala DAP pun pastilah ada sistem tersendiri bagi menyuburkan demokrasi di kalangan rakyat Malaysia.

Kegagalan pihak PR dalam mencapai kata sepakat sesama sendiri tentang penggunaan kalimah Allah sebenarnya merupakan titik tolak kepada permasalahan yang ditimbulkan oleh kedua-dua Khalid dan Zulkifli. Berbeza dengan UMNO (yang menjadi peneraju BN) yang begitu lantang dalam pendirian mereka untuk menidakkan penggunaan kalimah Allah dalam penulisan agama lain (i.e.ekslusif untuk Islam sahaja) pembangkang sebenarnya gagal dalam mencapai kata sepakat antara sesama sendiri. Mungkin DAP dan pemimpin tertinggi PKR setuju 100% bagi membolehkan agama kristian menggunakan kalimah Allah, tetapi, jelas sekali apabila ada dikalangan ahli PKR dan PAS yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. PKR sendiri, disebalik seharusnya menyatakan pendirian mereka secara saksama mewakili kesemua ahli, pemimpin tertinggi mereka sibuk sekali cuba mengaitkan UMNO dengan kejadian bakar gereja. Perkara sebeinilah yang menyebabkan PKR dilihat sebagai belum lagi matang untuk memerintah negara.

Cuba bayangkan seandainya satu isu itu menjadi pertelingkahan sesama orang atau agama atau bangsa; disebalik sepatutnya cuba bermuafakat bagi mencari penyelesaian dan mengeluarkan kenyataan yang konkrit, mereka sibuk menjatuhkan parti lain dan menuduh parti tersebut dalang itu dan ini. Seandainya perkara sebegini berlaku, maka mudah sahaja kita membaca tindakan dan respon mereka apabila berlaku masalah. "Aku tak salah. Orang lain yang salah. Macam manapun yang berlaku, walaupun orang dalam kumpulan aku tak setuju dengan aku. Aku tetap tidak salah. Orang lain yang salah." Mungkin itulah sikap mereka sebenarnya.

Seharusnya pihak pakatan membuat satu stand atau resolusi tentang isu tersebut bagi menunjukkan bahawa seandainya mereka yang memerintah, perkara sebegini akan diselesaikan dengan cara sebegini, sebegitu. Namun, dengan peluang yang tersedia, atau dalam bahasa badmintonnya – bola tanggung yang terhidang, bukannya mereka hendak terus mencuri mata (i.e. mencuri hati pengundi) dengan libasan maut, sebaliknya mereka kekal untuk terus bermain rally yang panjang yang belum tentu menyebelahi pihak mereka. Sepatutnya mereka membuat satu kenyataan sepakat tentang isu tersebut sebagai mewakili idealisme PR keseluruhanya.

Hal ini cukup berbeza dengan UMNO sebagai peneraju BN. Kesemua berita/respon mereka tentang kalimah Allah menuju ke arah yang sama. Mungkin ada ahli komponen BN lain (atau mungkin ahli UMNO sendiri) yang tidak bersetuju dengan UMNO dalam hal kalimah tersebut. Akan tetapi, seandainya tidak bersetuju pun, mereka tidak menzahirkan ketidaksetujuan mereka sewenang-wenangnya. Jadi, walaupun terdapat kemungkinan ahli BN yang menyokong keputusan mahkamah, mereka tidak pula mewar-warkan perkara tersebut bagi menjaga "keharmonian" dalam parti. Justeru, BN dilihat sebagai "saksama" terhadap isu tersebut. Itulah yang gagal ditonjolkan oleh PR yang seharusnya lebih matang dalam permainan politik.

Tuntasnya, pihak PR perlu lebih matang dan cuba memberi respon, atau mengusulkan cara penyelesaian atau membuat kenyataan yang bersifat apolitical. Cukup-cukuplah mengaitkan UMNO itu dan ini. Kalau betul hendak berjaya, janganlah apabila UMNO kaitkan Anwar dengan itu dan ini, maka PR pun hendak kaitkan UMNO dengan itu dan ini. Kalau ahli dalam PR sendiri berbalah tentang penggunaan kalima Allah untuk bukan Islam, jangan pula nak tukar topik lain dengan cuba membuktikan yang orang UMNOlah kononnya yang membakar gereja. Selesaikan masalah dalaman dulu baru nak tuding jari kepada orang lain!

Kalau korang bertekak sesama sendiri sebab pendirian sesama sendiri, jangan sibuk-sibuk salahkan orang lain pulak....!

Monday, January 25, 2010

Engkau pun mampos jugak satu hari nanti!

Manusia memang pelik. Ada sahaja perkara yang hendak diperisukan sampaikan tidak munasabah menurut norma kehidupan manusia. Kalau tidak ada pasal, cari pasal lah pulak!

Tatkala kesedihan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar dirasai segenap rakyat jelata, ada juga rakyat, spesifikya blogger yang dengan bongkak tak ingat dunia menggunakan kata-kata kesat dan hinaan terhadap peristiwa tersebut. Menghina kemangkatan Sultan itu sudah satu hal, menghina orang yang telah meninggal dunia pun satu hal lagi.

Wajarkah orang sebegini dibiarkan berleluasa mengekspresi perasaan beliau terhadap sesuatu? Kalau sultan mangkat pun dihina sedemikian rupa, bagaimanakah pula orang biasa yang meninggal dunia? Tidak cukup dengan itu, lemparan tomahan terhadap kakitangan kerajaan negeri juga dilakukan – semuanya dibuat sempena kemangkatan sultan. Maka wajarkah orang sebegini mengaku rakyat Malaysia yang mengamalkan "kesopanan dan kesusilaan?"

Tatkala banyak pihak yang kononnya hendak membawa sesuatu yang "baru" untuk Malaysia, merevolusikan negara kononnya, adab kesopanan ketimuran jelas semakin terjejas. Banyak sekali blog dan komen blog yang menggunakan kata-kata kesat – jelas menggambarkan keruntuhan akhlak masyarakat secara umum. Tak payahlah kita asyik nak menuding jari kejatuhan akhlak itu hanya tertakluk kepada orang yang pergi pub, melepak, merempit, bersosial semata-mata. Kalau penulisan dipenuhi carut-marut – apakah orang sebegini merupakan orang yang berakhlak?

Andai gejala sosial, jenayah dan kemungkaran berlaku, orang sering menyalahkan kerajaan dan penguatkuasa kononnya tidak tegas, atau tidak efektif, atau mengamalkan dasar sekular, atau mengamal rasuah, atau kronisme dan nepotisme, maka apakah pula penyebabnya kepada keceluparan dalam berkarya dalam internet? Nak salahkan siapa? Kerajaan juga? Orang yang celupar dalam penulisan internet nyata sekali bukanlah orang yang mempunyai akhlak yang baik; adab yang baik – maka apakah yang menyebabkan keceluparan tersebut dihalalkan pula oleh komuniti internet? Atau ada double standard – celupar internet lain, celupar bercakap lain?

Tindakan harus diambil. Sebagaimana penulis tegaskan pada awal tadi, menghina sultan sudah satu hal, menghina kematian juga satu hal. Orang sebegini sepatutnya dijadikan sebagai peserta kem pembinaan akhlak kerana merasakan dirinya sahaja yang paling mulia di dalam dunia ini. Dia sahajalah agaknya yang selayaknya hidup. Lalu, kalau dia atau keluarganya, atau sanak saudaranya, atau bininya, atau ibu bapanya, atau anak-anaknya juga meninggal dunia, selayaknya dia juga pasrah andai orang memaki hamun pergi mampos sama dia dan keluarga dia. Selayaknya orang sebegini dimaki hamun mampos, sebab dirinya sendiri telah mendoakan orang lain supaya mampos.

Semua orang akan mati juga, wahai blogger-blogger!

P/s: Bahasa kasar di atas penulis dahului dengan permohonan ampun dan maaf. Sekadar menyatakan sebab dan akibat dan bukannya berniat mencaci dan mencerca. Dikhabarkan penulis blog tersebut telah memohon maaf; khabarnya juga ada yang membuat laporan polis. Telajak perahu boleh go stand, brader....!

Moga rohnya dicucuri rahmat daripada-Nya

Almutawakkil A'laAllah, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Johor dan jajahan takluknya telah mangkat pada Jumaat 22 Januari 2010. Pemergian baginda dirasai oleh segenap lapisan rakyat Johor khususnya dan Malaysia secara umumnya. Almarhum disifatkan sebagai seorang sultan yang unik dan mungkin tiada galang-gantinya. Meletakkan diri sebagai hamba-Nya merupakan sesuatu yang sentiasa kedengaran tatkala doa khutbah kedua Jumaat di negeri Johor. Moga roh Almarhum ditempatkan bersama-sama solehin dan dirahmati Allah. Al-Fatihah.....

Sehubungan dengan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, anakanda baginda yang juga Tunku Mahkota Johor dimahsyurkan sebagai Sultan Johor era moden ke-5. Moga pemerintahan baginda Sultan Ibrahim Ismail mendapat pertolongan daripada Allah dan dimudahkan segala kesukaran hendaknya. Amin.

Thursday, January 21, 2010

Gempa tak kenal bangsa

Kejadian gempa bumi di Haiti memberi lembaran baru kepada media antarabangsa dan masyarakat Malaysia tentang satu perkara – gempa bumi tidak mengenal manakah kita berada. Buat kali pertama dalam media, nama negara kepulauan tersebut dihebohkan sehingga ada kalangan kenalan penulis yang bertanya, "Kat mana tu Haiti?" Sebuah negara yang selama ini mungkin tidak dipandang apa-apa pun sudut komersialnya berita yang hendak diutarakan oleh CNN, AFP, AP, BBC, Reuters dan lain-lain tiba-tiba mempunyai nilai tersebut. Setelah sekian lama kita dihamparkan dengan cerita dan berita tentang Iraq, Iran, Palastin, Indonesia, Lubnan – tiba-tiba nama Haiti muncul. Pelbagai berita dari kesedihan dan kesengsaraan (plight) orang-orang yang berada di sana sehinggalah keajaiban menyelamatkan budak ajaib atau orang ajaib yang telah tertimbus di dalam runtuhan binaan sekitar ibu kota negara tersebut.

Kejadian gempa seakan mengiakan ramalan cerdik pandai tentang betapa kemusnahan dunia semakin hampir. Sudah ada filem Hollywood yang menzahirkan kemusnahan dunia menurut kepercayaan kuno Mexico i.e. 2012 – seolah-olah masyarakat tersebut merupakan satu-satunya yang telah meramal dengan tepat (dalam kisah tersebut) akan bilakah akan terjadinya kiamat. Pun begitu, dalam akhir cerita tersebut dunia tidaklah musnah lagi – cuma mereka yang bermandiri yang kononnya daripada kalangan orang yang mepunyai genetik yang terbaik sahaja mungkin terpaksa bersaing dengan orang Afrika pula untuk mendapat tanah di Cape of Good Hope di Afrika Selatan. Akhir cerita tersebut menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan...

Walau apa pun yang hendak dikatakan oleh pengkritik, baik pengkritik media, pengkritik agama, pengkritik budaya sama ada cerita itu memenangkan golongan kapitalis berkepentingan, atau cerita tersebut merupakan cerita yang mengagungkan sains, atau cerita tersebut melupai konsep ketuhanan, atau lebih kompleks lagi, cerita tersebut merupakan satu lagi idealisme pasca-moden – satu perkara yang penting yang seharusnya kita akui – bencana tidak mengenal siapa....

Sebagai orang Islam yang berpegang kepada Rukun Islam dan Rukun Iman serta dasar Ihsan pastilah umat Islam akan mempercayai bahawa sam'iyaat itu akan berlaku. Apa yang dikhabarkan oleh Nabi SAW dan diperdengarkan olehnya kepada para sahabat dan umatnya melalui Hadis pasti akan berlaku. Pelbagai tafsiran tentang dajjal, al-Mahdi, turunnya Nabi Isa AS, sangkakala telah banyak diperdebat di dalam buku-buku terbitan Islamik yang berada di pasaran. Maka, seharusnya, kejadian sebagaimana gempa di Haiti itu memperkuatkan lagi keimanan kita bahawa Kiamat itu pasti berlaku – dan apabila kiamat itu belaku, kiamat itu tidak mengenal bangsa atau agama atau warna kulit, atau parti politik, atau sempadan geografi dan sebagainya.

Dengan berbekalkan usia bumi yang tersisa, semua umat Islam di atas muka bumi ini perlulah menjadikan peristiwa gempa tersebut sebagai peringatan – untuk renungan ulul albab. Bumi bertuah Malaysia masih belum mengalami kehancuran catastrophic sehingga mengorbankan ribuan nyawa dan kita masih megah menyatakan bahawa kitalah yang membantu bangsa itu dan ini tatkala mereka dilanda bencana. Apakah kita telah bersedia untuk nasib kita?

Bencana tak kenal bangsa!!!!!

Wednesday, January 20, 2010

Tak padan dengan nama

Pihak berkuasa tempatan di Malaysia mempunyai keistimewaannya tersendiri. Organisasi-organisasi tersebut mempunyai autonomi dalam pentadbiran hal-hal berkaitan dengan perlesenan perniagaan, kesihatan persekitaran, CF, kebersihan, hartanah, lanskap dan pelbagai lagi. Mereka juga memiliki "ahli majlis" mereka tersendiri. Penulis akui bahawa penulis sememangnya kurang arif tentang apakah tugas-tugas ahli majlis tersebut; ala-ala ahli Parlimen kot.... (sebab keahlian mengikut zon sesuatu majlis tempatan).

Terdapat beberapa kategori majlis tempatan – majlis daerah, majlis perbandaran dan majlis bandaraya. Taraf majlis tempatan tersebut berkait rapat dengan pembandaran sesuatu kawasan bandar – kalau ibu negeri dan mempunyai kapasiti penduduk yang mencukupi kuota, maka selayaknya bandar tersebut menjadi bandar raya – justeru majlis tempatan biasanya akan bernama Majlis Bandaraya Bla bla. Kalau bandar yang serdahana pesat – majlis perbandaran dan seterusnya tahap majlis daerah.

Cukai ini dan itu dan harga lesen ini dan itu bagi setiap majlis tempatan pun pastilah berbeza sama ada mengikut tempat ataupun mengikut "taraf" majlis tempatan tersebut. Selalunya (tetapi tidak diketahui sama ada semestinya) dah namanya majlis bandaraya, harga itu dan ininya pastilah lebih mahal daripada majlis perbandaran dan majlis daerah. Maka, sudah semestinya jangkaan pelanggan terhadap perkhidmatan dan kemudahan fasiliti dan urusan juga bertaraf bandaraya! Bukan begitu?... Tidak semestinya......

Pengalaman peribadi penulis menghadapi sendiri menghadapi satu lagi karenah lembab-basi sebuah majlis tempatan bertaraf bandaraya untuk memperbaharui lesen perniagaan. Tatkala tiba di bangunan yang menjadi pejabat kepada perlesenan perniagaan (dan lesen bela anjing) penulis parking kereta di tingkat empat. Masuk sahaja ke ruang menunggu lift, penulis masih blur kerana tiada papan tanda pun tingkat berapakah pejabat pelesenan tersebut. Pada awalnya, penulis terpaksa try and error untuk mencari tingkat kaunter majlis berkenaan - tekan semua nombor dalam lift tersebut. Namun, apabila merasakan cara tersebut kurang berkesan dan kebetulan pula ada seseorang yang memasuki lift penulis, Maka penulis bertanyalah kepada beliau – katanya tingkat sekian-sekian.

Tiba di kaunter, penulis mengambil nombor giliran. Giliran penulis sekadar selang lima orang daripada orang yang sedang berurusan di kaunter. Apabila tiba untuk membayar, penulis dimaklumkan harga lesen perniagaan telah meningkat sebanyak 16 %. Harga asal pun sudah lebih RM300. Kemudian, penulis dimaklumkan pula dengan kompoun RM50 yang diterima kedai penulis kerana lambat memperbaharui lesen (seminggu selepas tahun baru). Dengan lesen yang semahal itu, apakah pihak majlis tersebut tidak membuat timbangan untuk memberikan kelonggaran kepada peniaga untuk tidak mengenakan kompoun. Alangkan cukai jalan (road tax) JPJ pun masih ada sela masa tertentu selepas tamat tempohnya sebagaimana yang tertera di "lesen kenderaan persendirian" untuk diperbaharui - kalau kereta kancil pun cuma RM20 untuk road tax; takkanlah dengan harga yang semahal itu pihak majlis bertaraf bandaraya tidak boleh bertolak ansur...? Tak apalah, mungkin itu salah penulis sendiri terlewat sedikit membayar lesen. Beza harga kompoun lewat 7 hari dengan lewat sehari ataupun lewat berbulan-bulan tidak pula penulis ketahui....


 

Akan tetapi, renungkan fakta berikut pula untuk bahagian perkhidmatan lesen majlis tersebut:

Kaunter yang disediakan: 8

Kaunter yang mempunyai pegawai: 3

Kaunter yang benar-benar berurusan dengan pelanggan: 2

Bilangan orang sebelum no giliran penulis: 5

Masa menunggu: 1 jam 15 minit

Purata masa untuk seorang pelanggan: 15 minit

Taraf majlis tempatan: MAJLIS BANDARAYA

Pastinya statistik di atas menimbulkan kemusykilan yang maha besar dengan taraf sebuah majlis tempatan yang bergelar BANDARAYA. Dengan tepekkan dasar perkhidmatan pelanggan di sana sini, apakah seseorang itu perlu menunggu sebegitu lama untuk berurusan dengan majlis tersebut; sedangkan kehadiran pelanggan semata-mata untuk membayar kepada majlis tersebut. Orang nak bagi duit pun nak diterima dengan lambat; kalau bayar lambat kena saman pula. Apakah sebenarnya yang berlaku dalam dunia ini?

Penulis yakin, dengan kaunter sebanyak itu, seeloknya majlis tersebut mengisi ruang yang terongak bagi menampung pelanggan yang begitu "ramai." Mungkin urusan untuk memperbaharui lesen memerlukan masa yang lama – kemas kini data itu dan ini. Siasatan itu dan ini (penulis pun tidak ketahui apakah yang menyebabkan masa yang diperlukan terlalu lama...) tetapi mungkin kita boleh memperbanyakkan kaunter seandainya memang prosedur untuk sesuatu urusan itu memerlukan masa yang lama.

Ataupun mungkin kita boleh pendekkan prosedur yang melambatkan proses dalam sesuatu sistem (dalam hal ini: sistem pembaharuan lesen). Banyak jalan penyelesaian berbanding halangan. Atau mungkin kita boleh KPI kan perkhidmatan pelanggan dengan membuat sasaran beberapa orang pelanggan dalam masa beberapa minit. Mungkin boleh buat lima (5) orang dalam 25 minit.

Itulah kerja yang perlu dilakukan oleh kumpulan mutu kerja (KMK) atau quality team yang diwujudkan dalam jabatan kerajaan. Selaras dengan betapa hypenya orang ramai dan kerajaan tentang jargon-jargon kuaiti – alangkah baiknya kita laksanakan dahulu daripada berbuih-buih bercakap tentangnya!

Jangan jadikan nama bandaraya tak padan dengan kualiti perkhidmatannya!


 


 

 

Thursday, January 14, 2010

Ada apa dengan gula?

Mungkin ramai yang tidak terfikir. Tetapi barangkali, itulah hakikatnya dinamakan barang kawalan. Tiada siapa yang akan mendapat untung besar sebagaimana yang digembar-gemburkan dalam media.

Untuk membeli gula (dalam bentuk pukal; atau peket pukal), pemborong akan menempah ke kilang/pemborong gula. Bayaran yang dibuat hendaklah secara tunai. Akan tetapi, mereka (pemborong) tidak akan dapat terus gula yang dipesan. Hanya seminggu selepas itu, mereka akan dihubungi oleh pengilang gula untuk mengambil dengan sendiri gula yang telah mereka tempah. Bayangkan, bayar hari ini, seminggu selepas itu baru boleh dapat. Dah macam nak beli kereta pun ada!

Selepas itu, pemborong pula akan agihkan gula yang mereka ada kepada peruncit. Ingat, harga gula adalah HARGA KAWALAN jadi tak boleh nak jual kepada peruncit tinggi mana pun. Bayangkan harga datang gula sepeket satu (1) kilogram adalah RM1.62 yang terpaksa peruncit tanggung. Dan peruncit mestilah secara "undang-undangnya" menjual gula sepeket RM 1.65 – apa yang peruncit dapat? Kalau jual RM 1.70 pun dah kecoh masuk dalam Metro/Kosmo dan seangkatan dengannya.....macam dah kenaikan 200%. Kenapa tidak cegah dan siasat bagaimanakah orang yang seludup gula ke luar negara (baca: Thailand) dan jual di sana dengan harga RM2.50?

Kos menjual gula sebenarnya tidak sepadan pun dengan apa yang peruncit perlu hadapi. Hendak menyimpan sebutir/dua butir karung gula pun sebenarnya memerlukan kos (ingat, kos sewa stor atau kedai yang perlu ditanggung). Maka, apakah sebenarnya yang mereka dapat pun dengan menyorokkan gula? Itulah yang sentiasa dimomokkan dalam warta berita apabila gula tiada – seolah-olah peniagalah pesalah terbesar dalam hal ketiadaan gula. Peniaga sorok barang untuk mendapatkan keuntungan luar biasa, sedangkan nak dapat gula daripada pembekal/pemborong pun sedikit punya susah.

Lalu pihak kerajaan dengan cerdiknya melancarkan kempen kurangkan penggunaan gula. Harga gula yang naik haruslah dijadikan sebagai motivasi dalam diri untuk kurangkan pengambilan gula. Insiden diabetes dan penyakit kronik banyak berkait rapat dengan pengambilan gula yang berlebihan. Itulah cara untuk merasionalkan kenaikan gula. Sedangkan, siapakah (atau apakah) sebenarnya yang menyumbang kandungan gula yang tinggi dalam makanan kita seharian? Adalah teh tarik kaw-kaw atau kopi hitam pekat yang selalu rakyat Malaysia minum?

Tidak dapat dinafikan, teh tarik, milo, kopi (dan pelbagai minuman lain yang manis) merupakan penyumbang gula dalam badan (i.e. dalam bentuk glukosa). Namun, pesalah terbesar yang jarang sekali orang nampak adalah nasi kita, mi, bihun, kwe tiau yang selalu kita lantak berpinggan-pinggan. Pernah penulis utarakan dalam akhbar, tak guna kita minum teh tarik "kurang manis" tetapi kita melantak nasi lemak sambal sotong/kerang dua pinggan, roti canai dua keping. Lepas itu, hari Jumaat biasanya hari spesial, tengah hari sebelum Jumaat biasanya dilantakkan nasi baryani kambing. (itu yang semasa mendengar khutbah Jumaat, semuanya tawadho' tunduk saja; mengiakan apa sahaja yang si khatib baca) Hujung minggu, banyak kenduri kahwin, kita lantakkan lagi nasi minyak dengan dalca.... Kalau tak sakit pun susah.....!

Malang bagi rakyat Malaysia, pembangkang negara ini (baca: Pakatan) pun tidak efisyen dan tidak efektif langsung untuk menjadi check and balance demi menjaga kepentingan rakyat. Disebalik rakusnya mencari isu politik untuk menjatuhkan pihak kerajaan (baca: BN), mereka tidak pula menyediakan mekanisma alternatif untuk menjaga kesihatan rakyat kita dan dalam masa yang sama menjaga kebajikan rakyat. Malah, dengan negeri termaju yang mereka telah tawan, mereka tidak dapat berbuat apa-apa apabila peniaga pasar malam dan pasar Ramadhan sewenang-wenangnya mengcaj pembeli kuih dengan kadar 5 untuk RM 2. Apa kejadahnya harga kuih sebegitu sekali?

Pembangkang semuanya buat bodoh sahaja (agaknya tak merasa kot kenaikan harga) sedangkan mereka dengan terang lagi nyata memiliki pengaruh terhadap Majlis Tempatan yang mengeluarkan lesen peniagaan. Mereka sepatutnya memberi syarat harga makanan untuk pihak peniaga sebelum berniaga. Janganlah harga makanan naik melampau-lampau. Air secawan RM 1.50 – apa kejadahnya? Berilah maklumat kepada pengguna untuk memboikot harga peniaga yang mahal. Tahanlah lesen peniaga yang jual harga melampau-lampau. Ini tidak. Tak habis-habis cari isu itu dan ini nak jatuhkan orang lain sedangkan tiadapun cadangan konklusif untuk membantu rakyat. Apakah ini harapan baru rakyat Malaysia?

Apakah pembangkang/ kerajaaan kita sekarang ini buta atau buat-buat buta dengan kepelikkan yang berlaku dalam industri makanan kita? Harga makanan yang diproses lebih banyak peringkat lebih murah daripada yang tidak dibuat begitu. Bayangkan situasi begini. Beras perang. Beras jenis ini dikatakan lebih sihat dimakan berbanding beras biasa. Beras perang merupakan beras yang tidak mengalami proses pemutihan sebagaimana beras komersial yang putih. Logiknya, kalau sesuatu produk itu perlu menjalani proses yang lebih, pastilah produk tersebut lebih mahal. Akan tetapi, keadaan terbalik berlaku dalam industri makanan Malaysia. Beras yang "tidak mengalami proses" tambahan (i.e. beras perang) lebih mahal melampau-lampau berbanding beras putih yang dijual secara komersial. Bagaimanakah ini akan menggalakkan rakyat Malaysia untuk makan lebih sihat. Begitu juga dengan roti "wholemeal" dibuat daripada tepung yang tidak diputihkan. Apa kejadahnya roti yang tidak perlu mengalami proses tambahan itu lebih mahal daripada roti putih biasa yang perlu mengalami proses tambahan untuk diputihkan?

Ringkasnya, isu kenaikan harga makanan/ketiadaan makanan sebenarnya pokok pangkalnya terpulang kepada kerajaan. Selagi kerajaan hendak mengadakan kawalan harga, pastilah akan timbul keadaan tiba-tiba tiada bekalan. Sebaliknya, seharusnya kerajaan membuka pasaran bekalan makanan agar syarikat lebih kompetetif untuk membekalkan harga dengan lebih baik. Mungkin kenaikan harga makanan akan berlaku, namun kerajaan perlu mendidik pengguna dengan cara yang betul untuk menggalakkan pengguna untuk makan dengan sihat. Jangan jadikan kenaikan harga makanan semata-mata sebagai kambing hitam untuk mempromosi makanan dengan sihat. Apa cerita harga susu dalam tin? Mi segera. Semua itu makanan kurang sihat; harga dah melambung dah dari biasa tetapi orang beli juga! Apa kata buat galakan dengan insentif ekonomi agar rakyat makan dengan sihat. Misalnya roti whole meal yang lebih murah, beras perang lebih murah – barulah rakyat makan dengan sihat.

Mungkin cadangan ini meletakkan kerajaan kurang popular – namun kalau tagline rakyat didahulukan itu lebih kita utamakan, maka seeloknya langkah ini perlu dicuba. Maksud rakyat didahulukan seharusnya tidak sempit kepada memenuhi kehendak dan kemahuan rakyat semata-mata, namun sebenarnya mendahulukan rakyat dalam pelbagai perkara dalam erti kata mewujudkan masyarakat yang lebih sihat, proaktif dan dinamik untuk masa akan datang. Janganlah kita biarkan statistik orang yang kena kencing manis, darah tinggi, sakit jantung melambung memanjang.....

Sunday, January 10, 2010

Jangan kita politikkan Kalimah itu

Jujur penulis ingin akui bahawa penulis masih terkesima dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat atas isu penggunaan kalima Allah dalam terbitan mingguan agama Kristian di Malaysia. Bukan dek risau bahawa perkara tersebut betul atau salah (sebab ada absolutisme dan relativitisme dalam kebenaran), namun lebih risau apabila ada golongan yang bertindak sehingga membuat kemusnahan terhadap rumah ibadat. Lebih risau lagi, isu sebegini telah berjaya dimasukkan dengan unsur-unsur politik dan diputaralamkan lebih berputar daripada putaran varimax rotation semasa membuat analisis faktor dalam ujian statistik (siapa tau statistik dia paham la....)

Sudah mula ayat-ayat tertentu bahawa parti sekian-sekianlah yang membuat angkara sekian-sekian. Apabila isu sebegini dikaitkan dengan parti, memang semuanya telah menjadi relatif. Dosa pahala syurga neraka pun boleh disebabkan sokong parti sekian-sekian, inikan pula lafz Jalallah yang Maha Esa!

Dalam penulisan sebelum ini, penulis telahpun ulas berkait kalimah Allah dalam tajuk "Kata Permainan Bicara" (entri 4 Mac 2009). Isu kalimah Allah seharusnya dilihat dari sudut sejarah dan budaya dan bukannya semata-mata "Allah sebenarnya terjemahan kepada Tuhan" semata-mata. Budaya Malaysia jangan hendak disamakan 100 peratus dengan yang lain – contohnya Indonesia; hatta negara Arab sekalipun! Orang Melayu Malaysia gemar makan kari bukan bermaksud orang Melayu di Indonesia boleh menerima kari! Pak Arab makan roti tak bermaksud kita pun kena tukar menu harian kita kepada roti kalau kita nak lebih "Islam." Memang mungkin Allah dalam Bible Arab dan Kristian Indonesia boleh bermaksud Tuhan dalam agama Kristian – tetapi bukan bermaksud umat Kristian lain di dunia ini pun menggunakan perkataan Allah.

Isu ini juga telah menimbulkan satu lagi aliran pemikiran bahawa Allah itu sebenarnya Tuhan yang disembah oleh semua orang – tanpa mengira agama. Maka kononnya orang Kristian sebenarnya menyembah Allah yang sama dengan orang Islam. Mereka berhujah bahawa melalui sejarah kenabian pun, wujudnya golongan Ahl Kitab dan penganut agama Samawi. Sudah pastilah nabi-nabi dalam tradisi sejarah Islam itu sama dengan nabi-nabi agama Samawi.

Perlu dipertekankan di sini bahawa memang Allah itu pencipta sekalian makhluk dalam sekalian alam namun bukan bermaksud semua makhluk dalam sekalian alam itu menyembah Allah dalam erti kata sebenar. Setelah turunnya Islam, maka umat manusia perlu menyerah diri (taslim) kepada Allah menurut syariat melalui utusan-Nya Nabi Muhammad SAW. Maka, seharusnya kita bezakan dengan jelas bahawa Ahl-Kitab yang dimaksudkan itu hanya berlaku pada zaman Nabi SAW. Kristian sekarang ini bukan Ahl-Kitab sebab telah mengubah kitab mereka terutamanya dalam hal 3 in 1 dan 1 in 3. Ahl-Kitab tidak MINUM ARAK, MAKAN BABI, AMBIL RASUAH, AMAL SEKS BEBAS, MAIN JUDI sebab itulah larangan bawaan Nabi-nabi sebelum Muhammad SAW – maka apakah yang menyebabkan hukum-hukum tersebut termansukh untuk Ahl-Kitab setelah kehadiran Islam?

Walaupun orang UMNO terlibat dalam tunjuk perasaan bantahan isu kalimah Allah, bukan bermaksud orang bukan UMNO pun tidak terlibat sama. Pendirian Mursyidul Am PAS dan Timbalan Mursyidul AM PAS pun jelas. Maka walaupun mereka berdua tidak datang untuk buat tujuk perasaan, bukan bermaksud mereka meyokong penggunaan kalimah Allah digunakan dalam tulisan Kristian. Isu sebegini bukannya satu isu yang perlu kita politikkan.

Jadi, kepada mereka yang menjadikan isu sebegini sebagai isu politik, cubalah ubah menu harian anda kepada "makan politik" berbanding "makan nasi". Boleh juga agaknya mengurangkan kandungan glukosa dalam darah dan mengaktifkan sel-sel beta dalam Isle of Langerhans di pankreas untuk lebih merembeskan insulin bagi mengurangkan risiko kencing manis dan sakit jantung!