Thursday, November 3, 2011

Homoseksual: Satu sudut pandangan pertembungan budaya

Terkini


  • Sebuah acara bernama Program Seksualiti Merdeka 2011 didakwa terbabit dengan Gerakan Homoseksual Malaysia yang disebut-subut akan dirasmikan oleh Pengerusi BERSIH; juga bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk S. Ambiga (Berita Harian 3/11/11 m.s. 4). Justeru Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) telah membuat satu laporan polis bagi mengecam program berkenaan yang bertentengan dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi. 
  • Sebuah rencana dalam Berita Harian pada tarikh yang sama (m.s. 23) memberikan perspektif kaitan gelombang tuntutan hak asasi manusia dengan perjuangan pengiktirafan homoseksual.
  • Jelas sekali golongan sebegini mengunakan frasa 'kebebasan' dan 'hak asasi' sebagai senjata mengiakan segala pendapat mereka dalam perjuangan 'kesaksamaan' homoseksual.

Artikel asal
  • Isu homoseksual bukanlah isu yang baru di Malaysia lebih-lebih lagi secara politikal[1].
  • Bagaimanapun, kali ini kita tidak bincangkan isu politik namun kita lihat pula kepada teras isu 'homoseksual' itu sendiri.
  • Masyarakat Barat daripada masa ke masa begitu memperjuangkan hak-hak untuk manusia melakukan hubungan 'luar tabii.'
  • Sebab menurut mereka, bercinta-cintaan secara seksual itu merupakan hak asasi manusia dan kita sebagai manusia seharusnya menerimanya seadanya.
  • Pada awalnya, gerakan penerimaan homoseksual ini sekadar dilakukan di wilayah-wilayah Barat sahaja.
  • Tetapi kini, terdapat wilayah Timur yang sudah mula menerima tempiasnya apabila sudah ada dikalangan rakyat yang menuntut bagi membolehkan kegiatan tersebut di sisi undang-undang - andai dilakukan secara rela.
  • Sebab kalau yang tidak rela sudah dikira 'rogol.'
  • Justeru artis-artis Barat pun kini berbangga menonjolkan kehomoseksualan mereka.
  • Sekadar menyebut beberapa, misalnya George Michael, Ellen DeGeneres dan Elton John[2].
  • Dengan bertambah kompleksnya masyarakat sedunia, sudah mula ada dikalangan masyarakat yang konservatif sudah mula 'menerima' gejala homoseksual.
  • Misalnya di terbitan akhbar berbahasa Inggeris tertentu di Malaysia, sudah ada dikalangan pembaca yang menyarankan supaya gejala luar tabii ini ditabiikan.
  • Maksudnya, kerajaan dan masyarakat harus terbuka dan menerima seadanya andai wujud dikalangan mereka yang berkasih-kasihan antara lelaki dan lelaki atau wanita sesama wanita; dengan mengatakan kasih-kasihan ialah secara seksualnya.
  • Sebagaimana sebahagian negara yang membenarkan secara undang-undang rakyatnya mengambil dadah untuk menghilangkan gian, memberikan penawar HIV/AIDS untuk penagih seks tegar dan menerima seadanya lelaki dan perempuan yang bukan mahram hidup bersama-sama tanpa ada hubungan yang sah (iaitu sebagai suami-isteri).
  • Kerana pada pendapat mereka, daripada kita menghalang dan menegah lalu menyebabkan stigma negatif dan masalah penguatkuaan, lebih baik kegiatan yang haram dihalalkan!
  • Soal agama pula menurut mereka iaiah soal kedua.
  • Bagi golongan sebegini, agama itu sendiri harus diubah agar kekal releven, tidak bertentangan dengan kehendak mereka.
  • Yang tidak dapat menerima mereka pun harus menghormati hak mereka untuk berkelakuan demikian. Bukannya jenayah ke apa? Cuma hisap dadah, seks bebas dan seks sesama jantina sahaja! Bukannya bunuh orang pun!
  • Pandangan sebeginilah yang semakin hari semakin menyelusuri benak masyarakat kita; sudah sayup-sayup kedenganran ada ahli politik kita yang bersuara untuk membenarkan aktiviti rela homoseksual.
  • Nilai-nilai keadilan, kesaksamaan dan kebebasan menjadi hujah puak-puak ini untuk merasionalkan kegiatan homoseksual.
  • Tuntutan untuk menerima amalan homoseksual juga sudah menjalar ke peringat kerajaan.
  • Contoh terdekat adalah di Persidangan Ketua-ketua Negara Komenwel yang sedang dalam perancangan pembentukan dan perlaksanaan piagam CHOGM[3].
  • Dalam cadangan tersebut, terdapat interpretasi tertentu agar tidak menjadikan homoseksual rela sebagai jenayah dibangkitkan dalam usaha 'menghapuskan diskriminasi' terhadap pengidap HIV/AIDS.
  • Sama ada benar atau tidak tafsiran tersebut bukanlah menjadi persoalan kerana secara realitinya, sudah ada negara di dunia ini yang telah mengiakan kegiatan homoseksual sebagai satu kegiatan yang sah di sisi undang-undang.
  • Kita tidak mahu menafikan bahawa pesalah pun mesti diberi peluang untuk berubat; namun kita juga tidak boleh menafikan kalau sesuatu perkara yang secara asalnya songsang, dibenarkan untuk dilakukan di sesebuah negara, maka negara tersebut secara langsung telah mempromosikan kelakuan tersebut.
  • Dengan struktur masyarakat Malaysia yang berkepelbagaian, hanya tinggal masa sahaja menentukan pertembungan idealisme antara mereka yang menerima gejala sebegini sebagai wajar dibolehkan dan yang tidak menerimanya kerana masih berpegang kepada tuntutan keagamaan dan tradisi kebudayaan.
  • Pada ketika pertembungan ini, amat sukar sekali mencapai modus vivendi lantaran kedua-duanya mempunyai kutub yang berbeza; satu yang akan ekstrem kepada agama, tradisi dan kebuayaan dan satu lagi akan cenderung kepada pengiktirafan hak-hak asasi manusia, keterbukaan dan dunia tanpa sempadan.
  • Pertembungan antara ketamadunan; begitulah teori yang dikemukakan oleh Huntington[4] bagi merasionalkan sebab kepada kewujudan perbezaan antara kebudayaan dan keagamaan pasca-Perang Dingin.
  • Idea inilah yang diadaptasikan oleh Inglehart dan Welzel[5] untuk membangunkan kajian nilai dunia bagi menguji konsep tradisional melawan sekular (traditional vs. rational/secular) dan kelangsungan kehidupan melawan penonjolan diri (survival vs. self-expression).
  • Yang sekular pula dikatakan lebih demokratik dan lebih cenderung ke ara menonjolkan hasrat diri sementara yang tradisional pula dikaitkan dengan kurang demokrasi.
  • Yang sekular dikatakan mempunyai kebebasan (pemikiran dll) sementara yang tradisional pula lebih jumud atau terkongkong.
  • Maka, salah satu daripada item yang digunakan untuk tujuan kajian nilai dunia ini ialah penerimaan kelakuan homoseksual di kalangan masyarakat[6]. Seandainya responden menerima kelakuan tersebut, maka responden dikira sebagai sekular dan lebih menonjolkan diri dan seandainya tidak, bermaksud seseorang itu berada dalam kelompok tradisional.
  • Hasilnya, sudah tentulah negara-negara Islam dan yang majoriti Islam memiliki kebudayaan ‘tradisional.’
  • Dan daripada hasil tadi, sudah tentulah negara-negara tersebut dikatakan sebagai kurang demokratik dan kehidupan rakyatnya sebagai terkongkong.
  • Seolah-olah memberi cerminan negatif seolah-olah Islam, negara Islam dan negara majoritinya orang Islam itu tidak demokratik – justeru Malaysia kurang demokratik?.
  • Daripada satu segi, homoseksual masih lagi dianggap salah di sisi undang-undang Malaysia.
  • Ringkasnya, soal homoseksualiti bukanlah satu isu baru namun kini dikaitkan dengan keterbukaan, demokrasi dan keadilan sosial. Seperti homoseksual perlu diterima oleh orang ramai tanpa mengira agama dan bangsa untuk membuktikan sesebuah masyarakat dan negara itu ‘demokratik’ dan mengamalkan keadilan sosial.
  • Keadilan sosial kini dilihat daripada kaca mata sama ada sesebuah masyarakat itu boleh menerima nilai-nilai seperti homoseksual atau pun tidak lantas dijadikan kayu ukur kepada keadilan dalam masyarakat.
  • Sebagaimana yang ditegaskan pada awal tulisan ini, hanya menunggu masa sahaja usaha pihak-pihak tertentu di dalam Malaysia untuk secara berani menuntut hak-hak untuk melakukan kegiatan homoseksual di dalam negara ini.
  • Golongan yang apologikal pastilah mengaitkan isu ini dengan ‘sistem pendidikan,’ ‘kefahaman mendalam tentang agama,’ ‘hal dia orang, hal dia orang, buat sahaja hal kita,’ atau ‘selagi dakwah Islamiyah dibenarkan apa salahnya mereka ini menuntut? Kita tidak perlu takut kalau kita punya iman yang kuat!’
  • Namun, secara sedar atau tidak, gerakan homoseksual tidak pula mengendahkan sikap menyalahkan diri sendiri (malah menjadikannya sebagai dalil mengapa kegiatan mereka perlu ‘dihalalkan’), tidak mempunyai sikap menyalahkan diri sendiri dan akan terus memperjuangkan hak mereka.
  • Sehinggalah satu masa dan ketika, ahli politik kita terpaksa juga tunduk dan menjadikan aktiviti homoseksual ini sebagai aktiviti yang sah di sisi undang-undang.
  • Dan pada ketika itu, bukankah benar ramalan Rasul junjungan yang Islam menjadi asing[7]?

  
Nota hujung














[1] Iaitu berkaitan pemimpin ulung pembangkang, Anugerah Tuhan yang sudah dua kali ‘dituduh’ dan ‘dizalimi’ dengan tuduhan liwat.


[2] Khabarnya Elton John hendak mengadakan konsertnya di Genting Highland yang mendorong cakap-cakap politik tentang penerimaan PAS, PKR dan DAP terhadap beliau.  Malah, cakap-cakap inilah yang mendorong penulisan blog ini kali ini.


[3] Rujuk Berita Minggu m.s. 2 dan Mingguan Malaysia 30 Oktober 2011,  m.s. 2.


[4] Huntington pada awalnya menulis The Clash of Civilization?, Foreign Affair, vol. 72 no.3, 1993 sebagai maklum balas kepada Fukuyama, The End of History and The Last Man (Free Press, 1992). Dalam tulisannya, Huntington secara langsung menyeru supaya Barat mengekalkan kuasa ekonomi dan kekuatan ketenteraan untuk ‘memelihara’ kepentingan hubungan dengan bukan-Barat.Tesis lengkap bagi perbincangan ini dibentangkan pula oleh beliau dalam The Clash of Civilization and The Remaking of World Order (Simon & Schuster, 1996).


[5] Inglehart, R dan Welzel, C. Modernization, Cultural Change and Democracy: The Human Development Sequence, (Cambridge University Press, 2005).


[6] Lihat Ibid. dan C. Welzel dan R. Inglehart, Political Culture, Mass Beliefs and Value Change dlm. Christian W. Haerpfer, P. Bernhagen, R. F. Inglehart dan C. Welzel, Democratization (Oxford University Press, 2009).


[7] Sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda, ‘Islam bermula sebagai sesuatu yang asing, dan akan kembali semula sebagai sesuatu yang asing. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.’ Jadi, adakah kita hendak menjadi yang terkenal atau yang asing menurut hadis ini?

Artikel berkaitan

Homoseksual: Kesan perspektif politik
Nik Aziz Tersekular?
Homoseksual: Antara pengiktirafan dan hukuman

Wednesday, November 2, 2011

Semua orang pun hendak pencen



  • Pertamanya, tulisan kali ini bukannya hendak memperkecilkan jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara sama ada polis ataupun tentera.
  • Namun apabila soal pencen askar yang dikemukakan di ruangan 'Surat' Berita Harian mendapat tempat dua kali dalam tempoh lima hari (Berita Minggu tiada Surat), penulis terpanggil untuk mengulasnya.
  • Tambahan pula kerjaya askar ialah kerjaya yang 'berpencen' dan 'bersagu hati;' serta dikaitkan secara erat dengan 'pengorbanan jiwa dan raga' dan 'jasa kepada negara' menentang anasir-anasir yang mengganggu gugat keselamatan negara.
  • Surat pertama ialah pada Jumaat (28/10/11) yang menyatakan dengan padat berkenaan permulaan masuk askar (sekitar penghujung 1970-an dan 1980-an) lawan komunis, berhenti askar sekitar 1990-an (umur sekitar 30-an), tak ada kerja lepas berhenti, jadi pak guard dan kini menagih simpati elaun daripada pihak kerajaan kerana kesempitan hidup, keperluan keluarga dan sebagainya.
  • Surat kedua pula pada Rabu (2/11/11) yang menerangkan 'jalan yang salah' oleh pengarang surat pertama kerana berhenti awal.
  • Pengarang surat kedua sendiri menyertai tentera pada 1965 dan tamat tempoh perkhidmatan dengan pangkat korporal pada 1988 (masa perkhidmatan ialah 23 tahun) yang sudah semestinya diberi pencen kerana sudah melepasi tempoh matang 21 tahun perkhidmatan. Lalu dipersoalkan mengapa pula kalau sudah niat asal masuk askar ialah untuk mempertahankan negara (daripada komunis dan ancaman asing misalnya) tetapi tidak pula meneruskan perkhidmatan sehingga 21 tahun?
  • Penulis kira, ini merupakan kemelut yang dihadapi oleh anggota keselamatan negara terutamanya tentera kerana mereka sudah boleh berhenti lebih awal daripada perkhidmatan dan memperoleh ganjaran 'lump sum' atau mereka boleh terus berkhidmat sehingga tempoh 'matang' bagi memperoleh bukan sahaja sedikit-sebanyak 'ganjaran segelepok,' malah diberi juga pencen bulanan.
  • Sebenarnya kes sebegini jelas; tidak kabur atau berunsur spekulatif kerana realitinya ada dikalangan anggota tentera kita mungkin inginkan kehidupan baru setelah lebih sepuluh tahun berkhidmat, lantas memilih untuk berhenti awal.
  • Ada juga yang sanggup berkhidmat sehingga waktu 'berhenti dapat pencen,' jadi selepas itu, setidak-tidaknya berasa selamat kerana walau apa pun berlaku selepas bersara, setidak-tidaknya ada juga sumber kewangan yang diberikan kerajaan pada hari tua.
  • Justeru, bagi mereka yang berkhidmat di dalam ketenteraan mahupun polis, andai berhenti awal, janganlah jadikan alasan 'lawan komunis' atau 'mempertahankan negara' bagi menuntut itu dan ini selepas terlebih dahulu bersara sebelum 'tempoh matang' pencen kerana kalaulah yang sedemikian berlaku dan dilayan juga oleh kerajaan, nescaya yang berkhidmat 10 tahun atau kurang pun menuntut pencen dengan menggunakan alasan yang sama!
  • Semua orang mempunyai peranan masing-masing sama ada semasa zaman komunis ataupun zaman kini dan sama ada dalam perkhidmatan keselamatan, penguatkuasaan, bidang perkhidmatan awam yang lain dan pekerja swasta.
  • Masakan tidak, pekerja swasta pun boleh kata yang mereka juga menyumbang kepada negara kerana syarikat mereka membayar cukai, mereka sendiri perlu membayar cukai dan cukai-cukai inilah yang digunakan untuk urus tadbir negara daripada menanggung kos-kos projek negara sehinggalah membayar gaji dan pencen perkhidmatan awam.
  • Sedangkan pekerja swasta sendiri tidak diberi pencen dan banyak yang hidup melarat selepas bersara walaupun tabungan di KWSP mencecah ratusan ribu kerana dengan jangka hayat yang bertambah dan kos sara hidup yang meningkat menyebabkan purata pendapatan bulanan perjangka hayat berada pada tahap kemiskinan (lihat tajuk Pekerja lama hendak lama; yang baru nak campak mana? dan Belanjawan Negara 2012 yang kurang memihak kepada sektor swasta ).
  • Oleh sebab itu, pihak pekerja sama ada sektor pertahanan, perkhidmatan awam dan juga swasta perlulah memahami bahawa hidup ini ialah berkenaan kemandirian dan duit tidak turun daripada langit hanya kerana kita 'berkhidmat untuk negara tercinta.'
  • Tambahan pula dengan 'Stratergi Lautan Biru' yang dipopularkan oleh PM Najib terhadap ATM dan PDRM maka sepatutnya pesara-pesara tentera menggunakan sepenuhnya insentif yang sedia ada supaya dapat menampung sebarang kekurangan selepas menamatkan perkhidmatan.
  • Semua orang ada peranan masing-masing, berhak untuk meminta hak itu dan ini namun bukan kesemua kemahuan kita boleh dipenuhi.
  • Kerana kalau semudah itulah manusia mendapat ganjaran dan keistimewaan keduniaan -
  • Pantasnya, semua pun tak payah kerja! 

AUKU terpaku kaku!





  • Laporan berita hari ini (1/11/11) bertumpu kepada keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati peruntukan seksyen 15(5)(a) dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ialah bercanggah dengan Perlembagaan Persekuan.
  • Sidang Mahkamah Rayuan membabitkan tiga orang hakim dengan keputusan 2-1 iaitu bermaksud walaupun secara majoriti, seksyen berkenaan dilihat bercanggah dengan Perlembagaan, ada juga hakim yang menyokong seksyen tersebut (iaitu ketua panel penghakiman tersebut sendiri).
  • Yang terlibat juga dalam keputusan itu ialah tiga orang pelajar UKM yang digantung pengajiannya kerana dituduh melanggar peruntukan tersebut.
  • Dalam hujah penghakiman, salah seorang hakim (iaitu Datuk Hishamuddin Mohd Yunus) mendapati adalah tidak munasabah untuk larangan berpolitik dibuat kepada pelajar kerana pelajar universiti yang sudah berumur 21 tahun, boleh menjadi pengarah syarikat, boleh memegang sebarang jawatan dalam pertubuhan, boleh menyaman dan disaman, boleh menyertai sebarang perjanjian dalam kontrak, boleh berkahwin dan seterusnya boleh juga menjalankan kewajipan berkeluarga.
  • Namun kewujudan seksyen berkenaan tidak pula membolehkan mereka (pelajar universiti) menzahirkan sebarang sokongan sama ada menyokong atau membangkang sesebuah parti politik.
  • Lalu hujah beliau dikaitkan pula dengan fakta bahawa parti politik ialah entiti yang sah dari segi undang-undang dan menteri, ahli parlimen, dan ADUN sendiri merupakan ahli kepada parti politik itu sendiri.
  • Tafsiran yang lebih mudah, sedangkan pak menteri sendiri pun sebenarnya ialah ahli parti sekian-sekian dan pelajar itu pun boleh mengundi (kalau berdaftar), mengapakah pula dia dilarang untuk menyatakan sokongan atau bangkangan kepada parti politik sepanjang pengajiannya di universiti?
  • Bukankah pelajar itu sendiri sudah boleh mengundi (dah tentulah dia sokong parti politik tertentu kalau dia pergi mengundi) dan kalau dia sokong kerajaan persekutuan kini pun, bukankah bermakna dia sokong 'kerajaan BN'?
  • Takkanlah hanya kerana pelajar itu sokong parti pembangkang maka dia telah masuk ke arena 'politik' sedangkan kalau dia di pentas 'kerajaan' maka dia sebenarnya tidak melanggar peruntukan AUKU?
  • Jadi, penghakiman sebegini memberikan tafsiran dan dimensi yang lebih jelas berkenaan 'politik' itu sendiri terutamanya berkaitan 'parti politik' dan 'kerajaan.'
  • Misalnya peraturan guru kini sudah boleh melibatkan diri secara aktif dalam berpolitik sedangkan pegawai kerajaan yang lain tidak; merupakan paradoks yang hanya akan melihatkan ketaktelusan perkara berkaitan politik itu sendiri.
  • Kembali kepada kes asal, kita pasti bahawa kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi akan melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah ini; mungkin membawanya ke mahkamah yang lebih tinggi (Mahkamah Persekutuan) atau melaksanakan penelitian dan pindaan semula terhadap AUKU secara spesifiknya, seksyen berkenaan.
  • Dan keputusan Mahkamah Rayuan ini mungkin menjadi titik-tolak pertama ke arah penambahbaikan undang-undang berkaitan universiti itu sendiri.
  • Kalau kena pada tempatnya!