Sudah hampir lima tahun penulis berada dalam persekitaran kampus. Dalam tempoh tersebut, sudah beberapa kali juga pilihan raya kampus yang berlangsung di laman kampus penulis. Mungkin kontra dengan kepercayaan orang ramai, penulis sebenarnya sangat-sangat dorman dalam kampus; pilihan raya kampus sekadar satu hari yang kalau ada keinginan hendak buang undi, penulis pergi membuang undi. Malah, tahun terakhir di Universiti Malaya, penulis ambil kesempatan untuk tidak membuang undi. Seingat penulis, tatkala itu penulis tinggal di rumah sewa di Damansara. Hari mengundi tahun tersebut merupakan hari yang penuh dengan kuliah dan kerja amali menyebabkan penulis mengambil kesempatan untuk tidak membuang undi. (penulis mengambil 23 jam kredit pada semester tersebut).
Kini, "bahang" politik kampus kembali lagi di persekitaran penulis (tak adalah bahang sangat pun...) . Cuma bezanya, penulis sedang membuat pengajian siswazah dan universiti yang terlibat pula ialah Universiti Kebangsaan Malaysia. Poster di tampal di sana sini dengan kain rentang yang dipenuhi tulisan memancing undi.. Sebagaimana pilihan raya umum juga, pekerja-pekerja penyokong menampal dan memasang poster dan kain rentang menjelang malam hari, tatkala jam hampir menghampiri 1 pagi. Kebetulan pula pilihan raya kampus UKM tahun ini berhampiran pula tarikhnya dengan pilihan raya kecil Kuala Terengganu !
Penulis tidak tahu pula gelaran untuk pasukan pro-aspirasi kerajaan dan pembangkang di UKM. Kalau di UM, yang dikatakan aspirasi digelar "Gabungan" sementara pembangkang dipanggil "Gagasan". Pengalaman di UM, beberapa hari menjelang pilihan raya, pengetua kolej kediaman penulis memanggil kesemua warga kolej berkumpul dan memberikan "amanat" agar menyokong yang dipanggil "aspirasi" kononnya hal ini membuktikan kita setia pada negara, kita membalas jasa negara; malah ada juga kenyataan seakan-akan berbaur – andai pembangkang yang menang, maka perbelanjaan kerajaan terhadap universiti tersebut akan berkurang! Dahsyatnya!
Pada waktu tersebut, terdapat beberapa pensyarah (terutamanya pengetua kolej) dan pegawai universiti yang menjadi mangsa cacian dan makian; tidak kurang sanjungan dan pujian melangit. Kadang kala kasihan juga melihat nama mereka atau gambar mereka di jaja menjadi surat layang. Malah, kini dengan kemudahan laman blog, blog juga dijadikan wadah menyatakan hasrat calon, menghentam orang lain dan memburuk-burukkan pesaing mahupun pensyarah atau pegawai yang berkaitan.
Penulis secara peribadi tidak mengambil pusing langsung apa-apa berkaitan dengan politik kampus. Malah, penulis hairan mengapa ada dikalangan pelajar (kumpulan pelajar) yang begitu berani sekali sampai membuat tunjuk perasaan di bangunan parlimen tentang pilihan raya kampus? Adakah mereka-mereka ini yang akan mewarisi generasi "tak puas hati kita tunjuk perasaan !" di jalanan apabila mereka menjadi pemimpin kelak? Atau mereka jualah yang akan "keluar dewan" tanda protes apabila usulan mereka tidak diterima dalam satu-satu persidangan?
Memang diakui, pemimpin-pemimpin masa kini terutamanya pemimpin politik lahir dari keadaan demikian. Najib Tun Razak misalnya, pernah dikhabarkan antara pemuda zamannya yang paling lantang hendak "mendarahkan" jalanan pada satu operasi yang digelar "Ops Lalang." Anwar Ibrahim; lagilah tak payah cerita. Dari zaman Abim, sampai ke zaman "ketua umum PKR" demonstrasi jalanan adalah salah satu senjata protes yang menjadi ikutan ramai pihak. Namun, adakah perlakuan sebegini yang hendak dicontohi apabila pelajar belajar di universiti.
Usaha hendak mengulingkan pemerintah (Coup de tat)? Belajarlah daripada persekitaran kita. Dalam 6 bulan yang lepas, sudah berapa orang Perdana Menteri Thailand? Adakah negara mereka telah aman sepenuhnya? Adakah keadilan terpelihara semata-mata kerana berubahnya satu pemerintah kepada pemerintah yang lain?
Alam universiti merupakan alam untuk menuntut ilmu dan menambahkan pengetahuan. Boleh sebenarnya kita untuk berpesatuan, hatta mungkin untuk berpolitik pun; kalau tepat umurnya. Harus pemilihan wakil pelajar adalah untuk berkhidmat untuk pelajar. Harus pemilihan tersebut tiada pro apa-apa. Bukankah yang hendak dilantik adalah wakil pelajar? Adakah wakil pelajar perlu menjadi pro kepada sesuatu ideologi untuk menjadi wakil pelajar? Penulis dengan ini mencadangkan dua perkara yang menjadi hasrat bagi seorang kutu belajar sebagaimana penulis:
- Mansukhkan gelaran pro apa-apa. Pemilihan wakil pelajar haruslah neutral kerana matlamat akhir pemilihan wakil adalah bagi memenuhi hasrat pelajar; bukannya hasrat kerajaan, atau hasrat pembangkang, atau hatta hasrat universiti pun!
- Kalau tak mahu dimansukhkan juga gelaran atau pendekatan pilihan raya tersebut; tak payah buat pilihan raya! Buat sahaja temuduga terbuka untuk melantik wakil pelajar yang memenuhi hasrat universiti!
Penulis seorang pelajar biasa... Sepanjang yang penulis alami sebagai pelajar UM, penulis tak tahupun/tak sedarpun apakah sumbangan wakil pelajar kepada penulis secara terus dan penulis tak pun mengharapkan sumbangan tersebut. Kalau setakat nak janji buat susur gajah pergi ke fakulti, atau tambahkan kipas di kafe, penulis tak berapa mengharap sangat pun. Tetapi kalau diusahakan untuk tabung penyelidikan pra-siswazah bagi melahirkan graduan yang berkualiti dari segi penyelidikannya, penulis alu-alukan.
Sedar atau tidak, tahap/keraian terhadap kajian ilmiah pra-siswazah kini seakan-akan suram. Kajian pra-siswazah kini seakan-akan sekadar memenuhi syarat dan untuk menambah pengalaman sahaja. Mungkin ini dikaitkan dengan sekadar "memberikan pengalaman penyelidikan" agar pelajar boleh dipasarkan selepas tamat pembelajaran. Namun, seharusnya kajian ilmiah pra-siswazah dijadikan sebagai kajian pendahuluan/pengantar untuk kajian lanjutan yang lebih bermanfaat kepada penambahan ilmu pengetahuan. Pelajar seharusnya telah arif tentang metodologi kajian semasa pra siswazah lagi lalu mendorongnya untuk melanjutkan kajian yang dibuatnya pada masa akan datang.
Mungkin hal yang demikian boleh kita fikirkan bersama. Jangan asyik jadikan universiti sebagai kampus politik namun kembalikan kegemilangan sebenar universiti sebagai taraf universiti....Sekadar pandangan dan tidak lebih dari itu. Wassalam.
No comments:
Post a Comment