Monday, January 19, 2009

Adakah rakyat sudah bersedia?

Sudah dua pilihan raya kecil yang di adakan pasca 8 Mac 2008. Kedua-duanya dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Terbaru, di Kuala Terengganu apabila calon Pas menewaskan calon BN dengan lebih daripada 2000 undi majoriti; satu pencapaian yang cukup bererti andai dikatakan bahawa kawasan tersebut adalah kawasan "panas". Kemenangan calon Pas cukup jelas; bukan samar-samar; tidak diwakili oleh sentimen salah kira atau majoriti kecil dan sebagainya. Malah, andai dibandingkan dengan pilihan raya umum dahulu, majoriti 2000 adalah majoriti yang cukup significant. Rakyat di Terengganu lebih menyukai Pas berbanding BN pada pilihan kali ini.

Bayangkan, dengan pelbagai cara kempen menggunakan media massa perdana; hatta media swasta juga secara tidak langsung membantu kempen mereka; PM dan TPM yang turun padang; malah TPM berkampung di Kuala Terengganu; lebih 2000 orang penggundi masih tidak tertarik untuk memilih BN. Pelbagai bantuan semasa kempen yang dicanang juga tidak mampu menarik minat lebih 2000 orang tadi untuk memilih BN. Sebaliknya, berbekalkan seorang orator yang paling mantap dalam sejarah politik tanah air, Pas berjaya meraih lebih 2000 undi majoriti tersebut. Hal inilah yang berlaku di Kuala Terengganu.

Sebagaimana biasa, apabila kekalahan yang significant berlaku, terdengarlah suara-suara pasca-pilihan raya daripada kem BN bahawa kekalahan sebenarnya sudah dijangka! [1] Malah, pengundi-pengundi bukan Melayu di Kualan Terengganu juga dikatakan memilih Pas kerana kempen agresif DAP berbanding komponen BN! [2] Hal ini seakan-akan membenarkan kata-kata Presiden Gerakan bahawa pengundi cina terutamanya yang muda lebih cenderung ke arah pembangkang, beberapa hari sebelum hari pengundian. Menurut satu sumber lagi, dari segi rating, calon Pas telah mendahului BN sekitar 3000 undi sejak awal lagi dan jentera kempen Barisan Nasional seakan-akan tidak belajar dari kesilapan yang lalu dan lemah dari segi perang saraf untuk memancing undi.[3]

Apa yang menarik adalah andaian/cadangan (assumption) bahawa kaum bukan Melayu di Kuala Terengganu mempunyai kecenderungan memilih pembangkang dan dalam kes kali ini ialah Pas. Walaupun BN menggunakan taktik tipikal membangkitkan isu hudud sehingga berlaku cabar-mencabar antara pemimpin komponen BN kepada DAP lalu membawa kepada kata dua oleh Karpal Singh kepada Pas, pengundi bukan Melayu nampaknya sudah dari awal-awal lagi dilihat tetap menyokong Pas. Jika benar andaian/cadangan ini, maka benarlah Malaysia telah memasuki fasa baru; buku baru dalam arena politik apabila "kesediaan orang bukan Melayu berkompromi dengan parti tradisional Islam yang sentiasa memperjuangkan hukum dan negara Islam."

Kenyataan ini penting. Pengundi kini sudah tidak tertarik dengan isu nasional yang dibawa oleh Barisan Nasional. 2000 orang di Kuala Terengganu tidak percaya bahawa isu nasional yang dibawa oleh Barisan Nasional menjadi dorongan kepada mereka menggundi BN. Ditambah pula dengan andaian tadi, bermaksud pengundi bukan Melayu akan sanggup berkompromi dengan Pas demi untuk tidak menyokong BN. Andai kecenderungan ini berterusan, hal ini memberi implikasi besar kepada pilihan raya yang akan datang dan ada kemungkinan besar BN akan tumbang walaupun pucuk pimpinan mereka telah ditukar.

Soal hudud atau tidak selepas terbentuknya kerajaan sudah tidak penting pada pengundi bukan Melayu. Mereka lebih yakin dan lebih mengkehendaki kerajaan alternatif yang diharapkan mampu mengubah senario politik serta kepimpinan negara yang sedikit sebanyak dapat membela kehendak dan kemahuan mereka. Mungkin mereka mengkehendaki kerajaan yang kurang birokrasi atau kurang pilih kasih dalam menjalankan tanggung jawab dan dasar di dalam negara. Itulah matlamat mereka andai benar andaian tersebut. Mereka mahukan perubahan.

Mereka tahu bahawa dengan memilih BN, sudah pasti terjamin isu hudud tidak akan dimainkan oleh komponen BN (terutamanya dalam UMNO) dan mereka tahu risiko mereka memilih Pas (yang memperjuangkan hudud). Namun mereka sanggup mengambil risiko tersebut semata-mata untuk menyuarakan isi hati mereka yang inginkan perubahan. Kesemua ini adalah interpretasi terhadap apa yang sedang berlaku sekarang ANDAI benar pngundi bukan Melayu sudah rela memilih Pas pada pilihan raya yang lepas.

Mungkin pilihan mereka ini terdorong dengan logiknya bahawa Pas tidak mungkin akan dapat mendirikan hudud yang dicanang-canang oleh mereka kerana mereka memerlukan DAP dan PKR untuk menjadi kerajaan. PKR melalui Anwar Ibrahim masih menjadi mediator kepada kedua-dua parti ekstream antara Pas dan DAP. DAP sudah pasti tidak akan menyokon istilah hudud dalam undang-undang, namun mereka dapat berkompromi kerana PKR menjadi orang tengah antara mereka dan Pas. Dan wajah keadilan dan keIslaman Anwar masih lagi menjadi tarikan Pas untuk bersekutu dengan PKR dan DAP kerana Anwar dilihat sebagai pemimpin Islami yang dinamik dan boleh menegakkan Islam [4]. Sekali lagi, andai benar pengundi bukan Melayu sudah bersedia memilih Pas, bermaksud mereka sudah bersedia berkompromi bagi mendapatkan kerajaan alternatif walau apa cara sekalipun. Hal ini juga membawa maksud, rakyat Malaysia sudah bersedia menerima alternatif kepada kerajaan BN sekarang ini pada masa hadapan.

Kini, pilihan raya kecil pun sudah tamat. Keputusan pun sudah diketahui. Maka diharapkan kesemua pihak yang terlibat dalam pilihan raya kali ini benar-benar insaf bahawa pilihan raya bukannya satu mesyuarat agung untuk mencar populariti antara calon. Pilihan raya adalah satu tempat untuk memilih calon untuk berkhidmat untuk rakyat. Kuala Terengganu telah memilih pemimpin mereka dan seharusnya kita hormati pilihan mereka-mereka.

Nota hujung

1 Awang Selamat, Mingguan Malaysia, 18 Januari 2009. Kononnya penduduk lebih mengenali calon Pas yang lebih popular.

2 Ibid.

3 Zulkiflee Bakar, Faktor kekalahan Barisan Nasional, dlm Minggua Malaysia, 18 Januari 2009.

4 Malah, Anwar Ibrahim sebelum memasuki UMNO dilihat sebagai calon yang paling layak untuk memimpin Pas. Namun, segala-galanya menjadi sejarah apabila Mahathir berjaya menarik beliau memasuki UMNO. Kini, yang menjadi tanda tanya adalah mengapakah Anwar yang terkenal dengan sifat keIslaman beliau sanggup menubuhkan parti yang multi-bangsa dan multi-agama berbanding memasuki terus Pas selepas beliau dipecat? Sudah pasti kerana beliau sendiri sedar bahawa untuk membentuk kerajaan, pastilah beliau memerlukan sokongan yang bukan Melayu sekali. Oleh itu, jalan selamat daripada memasuki DAP (yang pastinya menjatuhkan kepercayaan orang Melayu terhadapnya) dan Pas (yang pastinya menjauhkan beliau daripada sokongan bukan Melayu) beliau menubuhkan sebuah parti yang menyuarakan satu idea yang sama dan boleh digabungkan antara yang Melayu dan bukan Melayu iaitu keadilan.

No comments: