Tuesday, January 6, 2009

Apa yang kita boleh buat?

Assalamualaikum...

Sebenarnya, tidak dapat penulis simpulkan lagi apa yang sedang berlaku di dalam dunia Islam masa kini. Tatkala negara kita (yang diakui oleh pemimpinya sebagai negara Islam) sedang memerah otak untuk menyelesaikan masalah dalaman yang melanda umatnya – pepecahan disebabkan fahaman politik, keruntuhan akhlak dan moral yang dahsyat,budaya hedonisme yang menular, kehilangan harga diri dan maruah peribadi, gejala keruntuhan rumah tangga yang menjadi-jadi, gejala murtad, gejala ajaran sesat dan pelbagai lagi; saudara seagama kita sedang berjuang dengan roket yang tak seberapa dan batu batan untuk menjamin kelangsungan bangsa dan agama mereka di bumi sendiri di Semenanjung Gaza. Apakah umat Islam terlalu penuh dilemma sehingga tidak dapat menyelesaikannya satu persatu?

Kita membaca akhbar tentang keganasan yang pihak Zionis lakukan kepada mereka yang berada di Palestine. Regim Zionis tidak segan silu pengebom masjid tatkala umat Islam sedang bersembahyang di dalamnya. Apakah mereka tidak berfikir panjang dan melakukan penyembelihan manusia beramai-ramai (man-slaughter) tanpa langsung melihat sasaran mereka? Atau radar mereka yang cukup canggih itu hanya boleh mengesan pergerakan manusia dan pergerakan manusia yang rukuk dan sujud itu adalah pergerakan yang mengancam nyawa pihak Yahudi?Sudahlah mereka dengan tidak segan silu menyerang Lubnan atas alasan "orang Lubnan akan menyerang mereka; maka sebelum mereka menyerang kita, kita seharusnya menyerang Lubnan dahulu!"

Dan Uncle Smith hanya memandang sebelah mata sahaja menghalalkan tindakan Zionis ini dengan mengatakan "mereka patut buat apa yang mereka patut buat!" Sudahlah senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang didakwa pihak Amerika tidak wujud di Iraq, bagi menghalalkan tindakan mereka menyerang negara tersebut, mereka dakwa tindakan mereka adalah untuk "menggulingkan diktator Sadam Hussein" dan "mengembalikan demokrasi!" Demokrasi apakah ini menyerang negara orang tanpa restu sebarang negara dunia lain (melainkan allied of Britain dan Australia) Tidak sedarkan pemimpin-pemimpin negara yang terlibat bahawa disebabkan tindakan mereka yang tak tahu hujung pangkalnya, seluruh negara mereka dilabel sebagai pengganas baru unilateral yang menyusahkan orang ramai dan menjadi penyebab kepada kejatuhan ekonomi dunia masa kini?

Kini, segala-galanya nampak dengan jelas sekali. Kedua-dua Britain dan Australia telah mendapat PM yang baru. Tiba masanya, presiden di Rumah Putih Amerika juga akan bertukar parti. Apakah mereka-mereka yang baru ini akan mampu membawa perubahan kelak? Atau masih kekal dengan mentaliti mengejar paksi kejahatan (axis of evil) yang dipopularkan oleh pentadbiran Bush? Kalau dilihat dari penggunaan istilah, memang tak ubah macam perang dunia kedua, allied dan axis. Adakah ini hasil pemodenan zaman dan revolusi pemikiran sejak zaman renaissance yang hendak dibanggakan oleh barat lalu kita pula nak merenaissancekan Asia?

Dua perkara masih kekal sama. Bangsa-bangsa bersatu masih kekal dengan sikap UN nya (dibaca un/an). UN ini dan UN itu. UN – tidak. Tidak boleh buat apa-apa. Hanya melongo dan bertegang dalam meja bulat dengan peraturan zaman batu kuasa veto yang sememangnya tidak boleh mendatangkan hasil yang objektif. Sudahnya, semakin banyak krisis kemanusiaan yang berlaku, semakin ramai manusia di muka bumi ini yang mati dek kerana kerakusan manusia, semakin menjadi-jadi sikap UN dalam bangsa-bangsa bersatu. Sebab itulah masih ramai lagi orang Afrika yang mati sebab kebuluran dan malaria, sebab UNprofitable untuk membantu mereka-mereka itu!

Satu lagi yang kekal ialah Oh I See. Memang itu sahaja yang boleh pertubuhan ini buat. Malah, dalah bahasa rasmipun, OIC hanyalah "Persidangan." Negara Islam. Mereka hanya boleh/reti bersidang. Keterwujudan mereka sememangnya semata-mata untuk bersidang. Setelah mereka bersusah payah mengwujudkan "persidangan" ini di Rabbat tahun 1971 dengan alasan mengutuk serangan dan rampasan Zionis terhadap Jerusalem, kini selepas lebih 30 tahun, nasib muslim di Palestine masih lagi tak terbela. Perkara yang paling efektif yang dilakukan oleh persidangan ini adalah bersidang! Sentiasa bersidang tanpa tindakan yang konkrit yang boleh dibuat oleh negara serantau yang berhampiran dengan Palestine. Negara-negara Islam terutamanya di kawasan timur tengah yang kaya dengan pengeluaran petroleum hanya dapat mengutuk (kalaupun kutuk) serangan Zionis terhadap Gaza. Bantuan ketenteraan? Tak dapatlah... sebab OIC hanya bersidang!

Apa yang kita boleh buat?

  • Boikot barangan Amerika/Israel? –alamat tak makan/minum/berpakaian/berkenderaan/silap-silap tak tidurlah kita! Rokok untuk kaum lelaki/sebahagian wanita tu syarikat mana?! Apakebenda dalam dunia ni yang tiada unsur dari negara US? (Namun, bagi mereka yang hendak/berusaha untuk memboikot, sila teruskan usaha anda andai mahu.)


     

  • Buat tunjuk perasaan – tak kena gaya, masuk ISA pulak. Dengar ke PM Israel dengan teriakan pilu kita ni? Jangan tunjuk perasaan tu sampai menyusahkan orang lain sudah!


     

  • Buat petisyen bantahan – bukan kita saja yang dah buat, serata dunia Islam dan non-Islam pun dah buat. Penduduk Israel yang tidak suka kepada peperangan pun ada membuat bantahan. Ada ke Zionis tergerak hati nak hentikan serangan?

Kita umat Islam sebenarnya dalam keadaan lemah; secara ekonomi, spriritual dan intelektual. Sebab itu kita perlu bersatu, elakkan segala pepecahan titik bengit yang melanda kita. Sudah-sudahlah tu mengkafirkan orang. Sudah-sudah la tu berbincang tentang cara sembelih yang betul. Sudah-sudah dah tu debat pasal qunut subuh. Sudah-sudah lah tu berbincang tentang undi parti mana dapat pahala, undi parti mana dapat dosa. Undi ini masuk syurga, undi itu masuk neraka. Kita seharusnya bangkit dan buka mata, selain doa yang selalu kita panjatkan kepada Ilahi, usaha juga kita perlu laksanakan. Bak kata Dr. Nasir Saludin, (penulis dengar dari mulut beliau dahulu) pensyarah penulis, kita perlukan DUITS – Doa, Usaha, Istiqamah, Tawakal dan Sabar. Kembalikan tamadun Islam yang suatu ketika menjadi pendulu kepada ketamadunan manusia. Tamadun yang tiada didalamnya pembunuhan beramai-ramai. Tamadun yang cukup-cukup maju ilmunya. Tamadun yang menjadikan kesejahteraan umat sejagat sebagai kunci kepada kemajuannya. Tamadun yang menjadikan elemen tauhid, ibadah, khalifah, ilmu, adil dan istislah sebagai penggerak ke arah memartabatkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Ya Allah ya rabbana....

Bantulah Islam dan muslimin sekalian, mujahidin sekalian disetiap ceruk tempat di bumi Mu ini; terutamanya mereka yang berada di Palestine, di Semenanjung Gaza, moga beroleh kemenangan.... Amin.

 

No comments: