Syarahan umum salah seorang wakil pemenang Anugerah Merdeka 2008 di UKM sangat menarik. Beliau yang dimaksudkan ialah YBhg. Datuk Seri Dr. Salleh Mohd Nor, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia yang memenangi kategori Alam Sekitar bagi anugerah berprestij itu. Syarahan berkisar tentang masa hadapan dari kaca mata seorang environmentalis. Dalam majlis yang berlangsung lebih dua jam itu, banyak sekali penekanan yang dibuat oleh beliau terhadap usaha untuk menjaga alam sekitar, penambahbaikan pengangkutan awam supaya mengurangkanpelepasan karbon, penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui, membasmi pembalakan hutan simpan dan satu perkara yang sama ada secara sedar atau tidak yang menjadi masalah pemeliharaan alam sekitar di Malaysia – birokrasi. Beliau tanpa berselindung menegaskan bahawa birokrasi negara ini sedang membunuh negara ini!
Antara contoh yang dikemukakan adalah kesukaran untuk "menjual" pokok rambutan, durian miliknya yang ditebang kepada mereka yang berkenaan sedangkan kerajaan negeri dengan mudahnya memberi permit untuk penebangan hutan untuk pembalakan dan penjualan balak. Pelik tetapi benar. Banyak surat yang beliau kemukanan kepada pihak kerajaan untuk sama ada memberi cadangan, membuat aduan tidak langsung dilayan dan dibiarkan begitu sahaja. Banyak prosedur yang seharusnya boleh diselesaikan tidak dapat diselesaikan akibat karenah birokrasi yang melanda kerajaan. Bagaimanakah Malaysia hendak mencapai negara maju pada tahun 2020 kelak?
Perkara ini perlu diambil perhatian. Walaupun bukan seorang environmentalis, namun kita boleh bertindak dengan melakukannya secara saksama. Jangan menjadi telalu tidak mengambil kisah sehingga akhirnya kita juga yang akan merana pada hari hadapan. Sudah tiba masanya kerajaan memberi penekanan terhadap alam sekitar dengan serius demi menjamin kelangsungan generasi akan datang. Dari sudut alam sekitar, politik negara masih JAUH KETINGGALAN berbanding negara lain kerana ternyata TIADA SATUPUN pihak politik yang mengemukakan tentang menjaga alam sekitar di dalam manifestonya. Sedangkan di Australia, menteri yang menjaga hal ehwal alam sekitar (yang dikatakan "kelahiran Malaysia") adalah menteri paling kanan setelah Perdana Menteri.
Ahli politik hanya mengambil isu alam sekitar tatkala berlaku bencana (sebagaimana kebanyakkan media). Mereka sibuk memperkatakan tentang kehilangan nyawa dan harta, kebertanggungjawaban pihak yang sepatutnya. Sedangkan tiada pula satu resolusi konkrit yang dibangkitkan dalam memelihara alam sekitar. Adakah kita hanya perlu membincangkan isu alam sekitar hanya tatkala berlakunya runtuhan bukit yang mengorbankan nyawa? Bagaimanakah pula dengan kepupusan spesies nadir? Kenaikan air sungai/laut yang berterusan? (sehingga menyebabkan banjir kilat). Peningkatan jumlah karbon dioksida? Tiada seorang menteri pun (termasuk Menteri Alam Sekitar ) yang benar-benar mengeluarkan satu cadangan praktis untuk dilaksanakan oleh kerajaan dan rakyat! Adakah isu pemanasan global hanya perlu dilihat secara global? Kenapa pula kita tidak jadikan isu ini sebagai isu GLOKAL?
Kita boleh berusaha secara individu dan menjadikan usaha individu itu satu usaha berterusan yang kolektif di dalam masyarakat kita. Bagaimanapun, adalah amat penting juga untuk mendapat sokongan kuasa pemerintah (political will) untuk menjadikan usaha ini lebih berkesan. Malaysia sesungguhnya kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna yang begitu unik di hutan hujannya. Janganlah kita hiasi kekayaan itu dengan kemiskinan akal fikiran kita untuk menyeimbangkan pembangunan negara dengan keperluan alam sekitar. Lebih penting lagi, janganlah karenah birokrasi negara benar-benar menjadi penyebab kepada keruntuhan ketamadunan dan kehancuran alam sekitar negara Malaysia.
2 comments:
Saya telah letakkan URL blog saudara pada blog saya. Sila lawatinya di:
http://aliasmohdyusof.blogspot.com/
moga kehadiran blog saudara dapat menambah memeriahkan amalan demokrasi negara kita.
sometimes saya terlalu keliru dengan birokrasi ni. Apa yang saya baca lebih kepada keburukan birokrasi. Ada tak yang lebih kepada kebaikan birokrasi? boleh tak tolong beri komen tentang amalan birokrasi di malaysia? dengan jelas dan mudah untuk difahami.
Post a Comment