Thursday, January 22, 2009

Belajar daripada Vietnam

Artikel dibawah adalah tulisan asal bagi versi yang telah disunting dan terpilih untuk disiarkan di dalam Berita Harian, 26 Januari 2009.

Penulis bukannya seorang yang ahli dalam sukan, inikan pula bola sepak. Main bola tendang tonjol; main badminton pun suka-suka sahaja (smash angin !). Main boling masuk longkang. Namun penulis ikuti juga perkembangan sukan negara, lebih-lebih lagi bola sepak; sukan nombor satu negara. Keruduman prestasi skuad bola sepak negara tidak perlu diperkenalkan lagi. Negara kita kemarau kejuaraan dalam bola sepak setelah skuad 1989 menjuarai pingat emas Sukan SEA.

Ya, kita pernah berjaya pada Pesta Bola Merdeka beberapa tahun lepas namun kejohanan yang tidak disertai penuh oleh rakan serantau seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam tidak boleh menjadi ukuran kepada kedudukan bola sepak negara di rantau Asia Tenggara. Baru-baru ini, sasaran ke separuh akhir kejohanan bola sepak ASEAN pun tidak mampu dipenuhi. Terkini, dibelasah oleh UAE 5-0 untuk kelayakan Piala Asia. Betapa rendahnya reputasi bola sepak negara sehingga akhbar Harian Metro pada ruangan sukan utama meletakkan gambar LIMA biji telur![1] Apakah sebenar-benarnya berlaku dalam bola sepak Malaysia?

Malah, jurulatih kebangsaan menuntut peminat bersikap realistik kerana pemain dalam Liga Malaysia tidak dapat memenuhi tuntutan antarabangsa! [2] Menurut beliau lagi, pemain negara kurang cergas dan tidak mampu menyaingi lawan bagi perlawanan tersebut.[3] Satu pernyataan yang agak pelik memandangkan Liga Malaysia merupakan sebuah liga profesional dan daripada sejumlah pemain yang bermain di liga tempatan (kini, kesemuanya adalah pemain tempatan), kita tidak mampu mencari 22 orang pemain yang cergas? Liga apakah yang berada di muka bumi Malaysia ini?

Kalau dikatakan kerani bank atau pak guard bermain bola sepak liga tempatan tidak mempunyai kecergasan; boleh diterima akal sebab beliau terpaksa bekerja pada waktu siang. Namun, kalau dikatakan seorang pemain bola sepak yang secara dasarnya bermain bola sepak sebagai pekerjaan, pakar bermain bola sepak dan mendapat gaji daripada pemainan bola sepak (pemain profesional), sesuatu yang aneh lagi pelik kalau beliau tidak cergas. Selain bermain bola sepak, apakah beliau sebenarnya bekerja tugasan lain bagi menyara hidup? Ataupun beliau mempunyai masalah gajikah? Atau tidak mendapat elaunkah?

Satu perkara yang menarik perhatian penulis tentang bola sepak adalah peningkatan Vietnam. Sepuluh tahun dahulu, Vietnam bukan lawan untuk Malaysia. Namun, kini skuad Vietnam telah meningkat untuk menjadi juara bagi kejohanan Bola Sepak ASEAN yang lalu dengan menundukkan lawan yang jauh “lebih berpengalaman” dalam arena bola sepak antarabangsa. Mereka telah menewaskan Singapura untuk ke perlawanan akhir di tempat lawan dan berjaya menewaskan Thailand di arena sendiri bagi merangkul Piala Suzuki. Penulis sempat menonton perlawanan kedua bagi separuh akhir dan akhir dan satu frasa yang dapat menyimpulkan cara mereka bermain adalah “jangan berputus asa.”

Semasa skuad Vietnam bertamu di Singapura untuk separuh akhir kedua, mereka diserang habis-habisan oleh Singapura. Singapura menggunakan sepenuh kelebihan mereka sebagai tuan rumah untuk menguasai perlawanan tersebut terutamanya pada separuh masa kedua. Vietnam hanya mempunyai satu peluang; dan satu peluang itulah yang digunakan sepenuhnya untuk menyumbatkan gol. Gol counter attack itulah yang membawa mereka ke final. Lain hal pula semasa perlawanan kedua final di tempat sendiri. Walaupun Thailand berjaya menyamakan aggreget pada separuh masa pertama, mereka tidak berputus asa dan membuat asakan demi asakan. Hasilnya, gol melalui sepakan percuma pada minit-minit akhir perlawanan yang memberikan mereka kejuaraan pertama Asia Tenggara.

Mungkin ada dua perkara yang wujud pada skuad Vietnam yang perlu digilap habis-habisan oleh skuad Malaysia:

Kecergasan total. Amat aneh skuad negara (yang profesional) tidak mampu mempunyai kecergasan maksimum untuk satu perlawanan penuh bola sepak selama 90 minit. Namun, berbanding atribut lain, kecergasan sebenarnya boleh digilap dari semasa ke semasa. Hal inilah yang menjadi tugasan badan-badan sukan yang bertanggung jawab untuk meningkatkannya Tidak ada makna kalau mempunyai liga profesional andai pemain-pemain di dalamnya tidak pula secara profesional mempunyai kecergasan yang diperlukan untuk bermain bola sepak. Cari punca mengapakah pemain tidak mampu mempunyai kecergasan untuk satu perlawanan 90 minit yang biasa. Kalau memang tidak cergas, perlulah ditingkatkan kecergasan pemain dengan menyeluruh.
Persediaan mental. Semangat enggan mengaku kalah bukannya mudah untuk dikekalkan. Malah, juara dunia pun belum tentu mampu mempunyai semangat yang sedemikian dalam satu kadar masa yang panjang. Hal inilah yang menjadi tugas pakar motivasi kita yang selama ini banyak memberikan sumbangan terhadap masalah kerja, atau rumah tangga, atau percintaan dan lain-lain masalah yang berkaitan motivasi. Pihak yang berkenaan (seperti FAM atau MSN atau ISN) mungkin boleh menggaji pakar motivasi untuk memberikan semangat kepada pemain agar tidak mudah menyerah kalah dan berjuang sehingga ke saat terakhir. Gunakan sepenuhnya tenaga motivasi yang banyak di Malaysia kini bagi membentuk minda positif kepada pemain negara. Alangkan pertandingan realiti nyanyian di televisyen pun ada pakar motivasi masing-masing, inikan pula bola sepak yang sememangnya semakin kurang bermotivasi!

Dapat dilihat, kedua-dua faktor ini merupakan faktor yang menjadi kekurangan (lacking factors) buat skuad negara. Sebaliknya, kedua-dua faktor itulah yang menjadi ramuan utama yang membawa kepada kejayaan buat Vietnam. Mereka bersungguh-sungguh sepanjang masa perlawanan dengan kedua-dua pasukan kompetetif dan kesungguhan itu menjelmakan sebuah pasukan yang mantap dan berjaya menjadi juara. Pastinya kesungguhan yang ditonjolkan oleh skuad juara Vietnam datang daripada kecergasan yang mantap dan mentality yang positif sepanjang perlawanan.

Kita sebetulnya mempunyai pemain yang berbakat; malah sekarang sudah ada beberapa rancangan realiti untuk mencari bakat dalam bola sepak. Skil pemain kita sebenarnya hebat-hebat. Ada yang "lebih Ronaldo daripada Cristiano Ronaldo." Namun, bakat dan skil semata-mata tidak boleh memberikan kejuaraan kepada negara. Penulis malas hendak mengulas tentang kepincangan pengurusan FAM, pemilihan pengurus atau jurulatatih, hal-hal birokrasi dan politik dalam FAM, atau pemain tak dapat gaji, atau tak dapat elaun – hal-hal ini pun sudah banyak diutarakan. Maklumlah, orang yang kaki bangku mana boleh ulas pasal bola! Namun ingat, bangku jugalah yang menjadi tempat duduk jurulatih kita dan pemain simpanan dalam satu-satu perlawanan !…

Nota hujung
[1] Harian Metro, 22 Januari 2009.
[2] Ahmad Khawari Isa dan Mohd Fadzrie Hazis, Bersikap realistiklah: Ligatidak penuhi tuntutan antarabangsa: Sathia, dlm. Berita Harian, 22 Januari 2009, p 46.
[3] Ibid.

No comments: