Tuesday, September 23, 2008

Tak Ada Astro Tak Boleh Hidup ?

Tahun, 2003. Tatkala semua sepupu di kampung membincangkan Vince, Khai, dan nama-nama yang penulis tidak pernah dengar, penulis termangu melopong sambil membuatkan reaksi tak faham. Siapakah gerangan mereka-mereka dan beliau-beliau yang sedang diperkatakan ini? Ahli politik kah? Atau wakil rakyat kah? Atau pelakon baru kah? Lalu salah seorang sepupu penulis menjawab bahawa mereka adalah keluaran Akademi Fantasia. Lalu terkeluarlah soalan yang sememangnya penulis akan ungkapkan tatkala tidak mengetahui apakah yang sedang dimaksudkan oleh penyampai iaitu, “Akademi Fantasia benatang?”

Almarhum guru penulis, yang memperkenalkan frasa “benatang” atau “menatang” dalam percakapan seharian penulis. Tahun itu ialah tahun 1999 apabila almarhum tak kenal siapakah yang dimaksudkan dengan Bill Gates? Frasa itu terus memasuki jirim kelabu penulis lantas diproses oleh sel-sel di lobus-lobus otak dan disimpan sebagai memori. Kini, almarhum tinggal menjadi kenangan sahaja tatkala penulis masih lagi mengingati beberapa kali di“cangkul” oleh almarhum kerana tak hafal skrip drama pementasan teater, “Lambaian Sukma Ujung Tanah”. Moga roh almarhum dicucuri rahmat dan tergolong dalam golongan solehin...

Berbalik kepada persoalan Akademi Fantasia, memang sejujurnya penulis agak lembap sikit mengenai rancangan televisyen kesukaan ramai terbitan Astro. Kalau tak kerana meletupnya nama Mawi, agaknya sampai sekarang pun penulis tak hirau mengenai Akademi Fantasia. Diburukkan lagi dengan rumah penulis yang tidak memasang satu cakera bulat dan satu alat petak yang berbentuk seperti VCR dipanggil decoder; manakala kombinasi kedua-duanya dipanggil Astro!
Dulu Astro sangat mahal. Nak memasangnya mungkin beribu kena perhabis duit. Sekarang ini sudah terlalu banyak promosi “murah” Astro tetapi tidak pula penulis ada kemahuan untuk memilikinya. Kenapa eh? Dalam sebaris rumah di perumahan penulis di Kulai, hanya dua rumah sahaja yang tidak ada cakera bulat bewarna kelabu di luar rumahnya (dan dah tentulah rumah penulis adalah salah satu daripadanya) Di perumahan flat SEDC di tempat penulis membantu ibu bapa berniaga runcit, cakera kelabu itu dipasang saling bersilang untuk setiap tingkat menyebabkan penulis terasa macam di stesen satelit bumi pula.

Hal inilah yang menyebabkan penulis terasa lembap sedikit bab-bab rancangan yang ada di Astro. Sudah terlalu banyak sangat talent show sampai penulis dah imun dengan patogen-patogen talent show ini; keimunan berantarakan sel penulis begitu cekap sekali memusnahkan patogen-patogen yang menyerang penulis.

Kadang kala terasa “panas” juga di telinga penulis sebab ada antara rakan penulis yang pernah berkata, “Buat apa TV kalau tak ada Astro.” Penulis sedar, bukanlah kemampuan yang menjadikan penulis tidak mahu pasang Astro. Tapi kalau dibeli pun menatang Astro tu, bukannya ada orang nak tengok pun di rumah. Walaupun penulis minat bola, tapi bukanlah penulis ini seorang yang avid sampai setiap match yang ada di EPL hendak ditonton! (sedangkan Euro yang lepas, satu match pun tak pernah habis tengok sampai tamat). Penulis pun tak ada lah selalu ke maplac untuk tengok Astro pun semasa di U.

Sebab yang biasa penulis tengok di TV ialah siaran pukul 8.00 malam dan 12.00 malam. Tu pun selalunya terlepas... Tambahan pula atas beberapa prinsip penting yang menyebabkan penulis enggan membeli Astro itu. Prinsip tu tak boleh pula nak ditulis di sini sebab mengaitkan Astro sendiri.

Tetapi, sepanjang hayat penulis, penulis masih belum kena sakit jantung pasal tak tengok Astro. Rasanya penulis akan bermandiri jua tanpa Astro. Dan mungkin itulah cabaran yang bakal penulis hadapi apabila hampir kesemua rumah di Malaysia telah memasang cakera kelabu yang tertulis Astro.
Wassalam.

No comments: