Assalamualaikum dan salam sejahtera
Terdapat pelbagai ura-ura mengenai "mesyuarat MT" yang dilangsungkan. Bagaimanapun, tanpa mengira apa pun yang berlaku, penulis kira perubahan yang benar-benar tulen perlu dilakukan bagi menjamin kelangsungan UMNO dan BN.
Hari ini, yang dipanggil "pembangkang" sudah menjadi "kerajaan" di beberapa buah negeri. Kontra dengan kepercayaan umum, penulis lebih melihat bahawa pembangkang di Malaysia sudah semakin hari semakin kuat (dan bukan semata-mata BN semakin hari semakin lemah). Hal ini disebabkan keputusan yang cuba dibuat oleh pembangkang adalah keputusan yang popular di mata rakyat.
Ditambah pula dengan x-faktor pakatan rakyat (baca : Anwar Ibrahim) yang sentiasa berjaya menunjukkan imej bahawa beliau dianiaya, ada pihak yang cuba nak bunuh beliau ada pihak yang berkonspirasi memusnahkan masa depan politik beliau; beliau adalah PM menunggu, beliau gunakan dan mengksploitasi setiap sudut kelebihan yang telah Tuhan berikan kepadanya bagi meraih sokongan; maka tidak mustahil BN akan tumbang tidak lama lagi.
Peluang mentadbir beberapa negeri adalah peluang keemasan yang perlu diperguna untuk meyakinkan rakyat bahawa agenda perjuangan mereka benar-benar ke arah pembaharuan (walaupun tak banyak benda yang barupun setakat yang penulis alami...) Tambahan pula dengan mengaplikasikan ilmu psikologi dan teori motivasi, kemenangan moral sudahpun menjadi milik mereka apabila mereka menamakan kumpulan mereka atas nama rakyat (Pakatan Rakyat) walaupun perjuangan mereka tak semestinya untuk rakyat (kalau nak dibandingkan dengan Barisan Nasional yang bergambar dacing seimbang tapi pada realitinya dacing senget sebelah!)
Tindakan pihak kerajaan yang nampak begitu "kasar" terhadap mereka (seperti ISA, membicarakan kes Anwar) menambat lagi hati rakyat atas perjuangan Pakatan Rakyat walaupun tidak dinafikan bahawa tindak tanduk mereka ini ada kala sangat-sangat memualkan dan menjijikkan.
Paradoks yang berlaku adalah apabila apa sahaja "kesalahan" yang dilakukan oleh kerajaan BN sekarang akan diamplifikasikan sebagai kesalahan yang maha besar. Apa jua "kebaikan" yang dibuat oleh kerajaan BN sekarang akan diperkecil sebagai memberi "gula-gula" kepada rakyat.
Begitu halnya dengan pihak Pakatan Rakyat. Apa sahaja "tindakan kerajaan" terhadap mereka akan dilihat oleh rakyat sebagai penganiayaan. Dan apa sahaja hujahan yang boleh diterima dek akal akan didengar oleh rakyat sebagai "alternatif yang lebih baik untuk rakyat."
Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk UMNO dan BN memikirkan masalah rakyat; cuba memenangi semula hati rakyat dan mengurangkan politiking dalam diri mereka. Penulis kira, walaupun ada perubahan peringkat organisasi seperti peralihan kuasa, atau pemecatan, hal yang demikian tidak akan memberi kesan positif dan kebaikan jangka masa panjang andai paradigma UMNO tidak diubah.
Seharusnya, pak menteri-pak menteri tidak boleh mengeluarkan kata-kata yang bercanggah antara satu dengan yang lain kerana hal ini hanya menunjukkan kelemahan UMNO dan BN sahaja. Dan kelemahan inilah yang akan dieksploitasi sepenuhnya oleh pihak Anwar yang terkenal sebagai opportunis yang sentiasa menggunakan kelemahan orang sebagai "advantage" kepada diri sendiri. Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment