Tuesday, September 30, 2008

Raya Dahulu Raya Sekarang

Assalamualaikum semua dan Salam Aidil Fitri

Alhamdulillah, kita dapat jua menyambut Aidil Fitri - kembali kepada fitrah. Daripada berpuasa kepada tak berpuasa (bukan bermakna sehari lepas Aidil Fitri tak boleh puasa !)

Daripada hati yang penuh tompok kepada hati yang bersih dan daripada keadaan yang kurang takwa kepada keadaan yang lebih bertakwa (mudah-mudahan). Sebab itulah kita memberi ucapkan Minal A'idin wal Faizin iaitu "kepada mereka-mereka yang kembali (kepada fitrah) dan kepada mereka-mereka yang berjaya"

Moga-moga kita tergolong dalam golongan-golongan tersebut...

Kalau hendak kita bandingkan raya dahulu dan sekarang, pastilah perbezaannya ketara... Dahulu orang bakar lemang, sekarang orang banyak yang beli lemang. Dahulu orang melawat saudara mara dan jiran tetangga, sekarang orang terpacak di hadapan televisyen tonton filem mahupun telemovie (atau rancangan raya bersama artis...)

Dahulu lagu-lagu raya sangat senang nak dihafal sebab senikatanya mudah-mudah (sebab itu lagu raya dahulu masih bermandiri sehingga sekarang) tetapi sekarang lagu raya dah macam puisi sastera yang satupun tak boleh dihafal (pasal ayat berbunga-bunga dan canggih sangat)

Dahulu kuih baulu, kerepek pisang, kerepek bawang, tempeyek, batang burok. Sekarang Almond london pun orang tak pandang. Ha, lagi satu dulu kuih dibuat, sekarang kuih tunjuk!

Penulis sempat juga merasa kedua-dua zaman walaupun tak pernah merasa zaman klasik tulen; tapi pernah juga merasa bakar lemang, kacau dodol kacau serunding...(aktiviti sebegini sebenarnya masih wujud lagi pada masa kini)

Pada penulis, apa yang lebih penting ialah kita hargai peluang yang kita ada. Keamanan yang kita kecapi semasa kita beraya, kesenangan yang kita rasai semasa kita raikan bersama keluarga (walaupun kos sara hidup meningkat). Jadi, besarlah harapan penulis sebagai generasi baru ini untuk sama-sama berjuang bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan sedia ada.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada mereka-mereka yang kembali (kepada fitrah) dan kepada mereka-mereka yang berjaya...

Wassalam

Monday, September 29, 2008

Kelam semakin kabut

Sebagaimana yang telah penulis jelaskan sebelum ini, walau apapun keputusan MT pada "mesyuarat khas" lalu, hal ini tidak akan mendatangkan kesan signifikan andainya UMNO dan BN tidak benar-benar berubah. Penangguhan Mesyuarat Agung sebenarnya memperlihat betapa keadaan yang kelam kabut semakin kelam kabut.

Mungkin Pak Lah masih menaruh harapan untuk mengekalkan jawatan Presiden (walaupun terdapat info-info mengatakan bahawa pencalonan presiden langsung tidak memihak kepada beliau). Atau mungkin terdapat "sebab-sebab" yang hanya Pak Lah dan Najib (dan mungkin MT)sahaja yang tahu. Apa yang pasti, penangguhan sebenarnya menambahkan lagi "ketaktentuan" politik tanah air dan bukan satu gejala yang sihat.Pak Lah dilihat sebagai mencetuskan teka-teki sama ada mempertahan atau melepaskan jawatan. Penulis kira jawapannya sebenarnya jelas....

Walau apapun, penulis masih menaruh harapan agar ketaktentuan ini dapat diselesaikan dengan baik agar tidak memberikan dampak yang lebih buruk kepada ekonomi, kewangan dan kehidupan masyarakat Malaysia. Sepatutnya, pemimpin-pemimpin Malaysia (tak kira pencadang atau pembangkang) tidak menambahterukkan situasi semasa dengan pengumuman pelik-pelik lebih-lebih lagi tatkala kebanyakkan rakyat sedang dalam mood untuk beraya....Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan maaf zahir dan batin kepada pembahas-pembahas semua.

Wassalam.

Friday, September 26, 2008

Perubahan mesti diteruskan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Terdapat pelbagai ura-ura mengenai "mesyuarat MT" yang dilangsungkan. Bagaimanapun, tanpa mengira apa pun yang berlaku, penulis kira perubahan yang benar-benar tulen perlu dilakukan bagi menjamin kelangsungan UMNO dan BN.

Hari ini, yang dipanggil "pembangkang" sudah menjadi "kerajaan" di beberapa buah negeri. Kontra dengan kepercayaan umum, penulis lebih melihat bahawa pembangkang di Malaysia sudah semakin hari semakin kuat (dan bukan semata-mata BN semakin hari semakin lemah). Hal ini disebabkan keputusan yang cuba dibuat oleh pembangkang adalah keputusan yang popular di mata rakyat.

Ditambah pula dengan x-faktor pakatan rakyat (baca : Anwar Ibrahim) yang sentiasa berjaya menunjukkan imej bahawa beliau dianiaya, ada pihak yang cuba nak bunuh beliau ada pihak yang berkonspirasi memusnahkan masa depan politik beliau; beliau adalah PM menunggu, beliau gunakan dan mengksploitasi setiap sudut kelebihan yang telah Tuhan berikan kepadanya bagi meraih sokongan; maka tidak mustahil BN akan tumbang tidak lama lagi.

Peluang mentadbir beberapa negeri adalah peluang keemasan yang perlu diperguna untuk meyakinkan rakyat bahawa agenda perjuangan mereka benar-benar ke arah pembaharuan (walaupun tak banyak benda yang barupun setakat yang penulis alami...) Tambahan pula dengan mengaplikasikan ilmu psikologi dan teori motivasi, kemenangan moral sudahpun menjadi milik mereka apabila mereka menamakan kumpulan mereka atas nama rakyat (Pakatan Rakyat) walaupun perjuangan mereka tak semestinya untuk rakyat (kalau nak dibandingkan dengan Barisan Nasional yang bergambar dacing seimbang tapi pada realitinya dacing senget sebelah!)

Tindakan pihak kerajaan yang nampak begitu "kasar" terhadap mereka (seperti ISA, membicarakan kes Anwar) menambat lagi hati rakyat atas perjuangan Pakatan Rakyat walaupun tidak dinafikan bahawa tindak tanduk mereka ini ada kala sangat-sangat memualkan dan menjijikkan.

Paradoks yang berlaku adalah apabila apa sahaja "kesalahan" yang dilakukan oleh kerajaan BN sekarang akan diamplifikasikan sebagai kesalahan yang maha besar. Apa jua "kebaikan" yang dibuat oleh kerajaan BN sekarang akan diperkecil sebagai memberi "gula-gula" kepada rakyat.

Begitu halnya dengan pihak Pakatan Rakyat. Apa sahaja "tindakan kerajaan" terhadap mereka akan dilihat oleh rakyat sebagai penganiayaan. Dan apa sahaja hujahan yang boleh diterima dek akal akan didengar oleh rakyat sebagai "alternatif yang lebih baik untuk rakyat."

Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk UMNO dan BN memikirkan masalah rakyat; cuba memenangi semula hati rakyat dan mengurangkan politiking dalam diri mereka. Penulis kira, walaupun ada perubahan peringkat organisasi seperti peralihan kuasa, atau pemecatan, hal yang demikian tidak akan memberi kesan positif dan kebaikan jangka masa panjang andai paradigma UMNO tidak diubah.

Seharusnya, pak menteri-pak menteri tidak boleh mengeluarkan kata-kata yang bercanggah antara satu dengan yang lain kerana hal ini hanya menunjukkan kelemahan UMNO dan BN sahaja. Dan kelemahan inilah yang akan dieksploitasi sepenuhnya oleh pihak Anwar yang terkenal sebagai opportunis yang sentiasa menggunakan kelemahan orang sebagai "advantage" kepada diri sendiri. Sekian, wassalam.

Thursday, September 25, 2008

Penantian Terus Menanti...

Tatkala penulis menulis, tarikh adalah 25 September 2008 i.e. sudah sembilan (9) hari selepas 16 September; hari yang dicanang-canang sebagai penggulingan kuasa. Pun begitu, Anwar masih lagi menaruh harapan bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri jua dengan menggunakan "lompat parti" sebagai jalan menghalalkan cara beliau. Tiap kali bersua dengan media, pasti akan terpancul dari mulut beliau yang penuh karisma betapa beliau telah mendapat cukup ahli parlimen BN yang akan melompat parti.

Anwar menasihatkan rakyat supaya bersabar sebab peralihan kuasa akan dibuat juga. Sampaikan Najib pun tak senang nak ke AS dek karenah Anwar ini. Penulis sebagai rakyat juga sudah tak faham apa nak jadi dengan politik tanah air. Atas nama rakyat, Anwar menegaskan bahawa beliau perlu menjadi PM untuk memacu negara ke arah situasi yang lebih baik; katanya.

Penulis sendiri pelik, rakyat semakin bosan dengan sikap Pak Lah atau rakyat semakin muak dengan politik Anwar. Kalau penulis diberi pilihan, sejujurnya penulis tak dapat nak pilih yang mana satu yang paling kurang mendatangkan keburukkan.

Tuan Guru Nik Aziz; Mursyidul Am Pas ada mengatakan bahawa lompat parti bukanlah satu perkara yang baik. Malah beliau sendiri seakan tidak merestuinya. Tapi apakan daya, tatkala matlamat menghalalkan cara? Tak gitu caranya. Kalau tak sabar-sabar nak gunakan pintu depan secara pilihan raya baik gunakan jalan belakang lompat parti Pakatan Rakyat pula!

Maklumlah, pilihan raya Malaysia tak pernah bersih! Penuh dengan kekotoran yang busuk lagi membusukkan. Keputusan Permatang Pauh tempoh hari adalah keputusan yang tidak tepat! Sepatutnya, yang mengundi calon BN seorang pun tak dapat! Sebenarnya, Anwarlah yang selayaknya menang besar. Menghilangkan wang pertaruhan. Sepatutnya Anwar sapu bersih semua undi di situ. Mesti ada kesilapan yang menyebabkan majoriti sekadar 15000.

Jadi, cara yang paling senang ialah ikut belakang. Pancing MP-MP yang dah menang supaya terjun ke Pakatan Rakyat lalu gulingkan kerajan. Cara ini lebih suci lagi lebih cepat; untuk mendapatkan MANDAT RAKYAT.

Semua orang dah menyampah dengan Pak Lah. Apa sahaja yang Pak Lah buat tak pernah betul ! Hatta turun 10 sen pun harga minyak sebenarnya tak patut. Patutnya turun sampai 50 sen seliter! Pak Lah buta ekonomi ! Terlalu ikut kehendak Anak Bini Menantunya !

Haruslah semua rakyat Malaysia menanti pertabalan Anwar sebagai Perdana Menteri. Haruslah juga semua rakyat Malaysia mengharapkan keajaiban yang dibawa oleh Anwar nanti. Anwar merupakan bakal PM yang paling disayangi oleh rakyat. Seluruh rakyat Malaysia menantikan detik waktunya. Seluruh rakyat sabar menanti masa tempoh peralihannya. Seluruh dunia menantikannya.

Anwar akan membawa Malaysia ke mata dunia. Anwar akan memacu ekonomi negara ke arah yang lebih sempurna. Anwar akan menghapuskan jurang kemiskinan rakyat Malaysia. Anwar menyemai kedamaian sejagat idaman semua!

Atau.... sekadar satu penantian bagi memenuhi satu penantian. Bak kata Almarhum guru penulis,
Lanjutkan masa untuk mengharap,
Walaupun harapan sekadar sarapan,
Dan akan pahit pada makan malam...

Selamat Menanti dan terus menanti
Moga impian Anwar Jadi PM menjadi realiti....
(Atau kekal jadi fantasi ?...)
Wassalam

Tuesday, September 23, 2008

Tak Ada Astro Tak Boleh Hidup ?

Tahun, 2003. Tatkala semua sepupu di kampung membincangkan Vince, Khai, dan nama-nama yang penulis tidak pernah dengar, penulis termangu melopong sambil membuatkan reaksi tak faham. Siapakah gerangan mereka-mereka dan beliau-beliau yang sedang diperkatakan ini? Ahli politik kah? Atau wakil rakyat kah? Atau pelakon baru kah? Lalu salah seorang sepupu penulis menjawab bahawa mereka adalah keluaran Akademi Fantasia. Lalu terkeluarlah soalan yang sememangnya penulis akan ungkapkan tatkala tidak mengetahui apakah yang sedang dimaksudkan oleh penyampai iaitu, “Akademi Fantasia benatang?”

Almarhum guru penulis, yang memperkenalkan frasa “benatang” atau “menatang” dalam percakapan seharian penulis. Tahun itu ialah tahun 1999 apabila almarhum tak kenal siapakah yang dimaksudkan dengan Bill Gates? Frasa itu terus memasuki jirim kelabu penulis lantas diproses oleh sel-sel di lobus-lobus otak dan disimpan sebagai memori. Kini, almarhum tinggal menjadi kenangan sahaja tatkala penulis masih lagi mengingati beberapa kali di“cangkul” oleh almarhum kerana tak hafal skrip drama pementasan teater, “Lambaian Sukma Ujung Tanah”. Moga roh almarhum dicucuri rahmat dan tergolong dalam golongan solehin...

Berbalik kepada persoalan Akademi Fantasia, memang sejujurnya penulis agak lembap sikit mengenai rancangan televisyen kesukaan ramai terbitan Astro. Kalau tak kerana meletupnya nama Mawi, agaknya sampai sekarang pun penulis tak hirau mengenai Akademi Fantasia. Diburukkan lagi dengan rumah penulis yang tidak memasang satu cakera bulat dan satu alat petak yang berbentuk seperti VCR dipanggil decoder; manakala kombinasi kedua-duanya dipanggil Astro!
Dulu Astro sangat mahal. Nak memasangnya mungkin beribu kena perhabis duit. Sekarang ini sudah terlalu banyak promosi “murah” Astro tetapi tidak pula penulis ada kemahuan untuk memilikinya. Kenapa eh? Dalam sebaris rumah di perumahan penulis di Kulai, hanya dua rumah sahaja yang tidak ada cakera bulat bewarna kelabu di luar rumahnya (dan dah tentulah rumah penulis adalah salah satu daripadanya) Di perumahan flat SEDC di tempat penulis membantu ibu bapa berniaga runcit, cakera kelabu itu dipasang saling bersilang untuk setiap tingkat menyebabkan penulis terasa macam di stesen satelit bumi pula.

Hal inilah yang menyebabkan penulis terasa lembap sedikit bab-bab rancangan yang ada di Astro. Sudah terlalu banyak sangat talent show sampai penulis dah imun dengan patogen-patogen talent show ini; keimunan berantarakan sel penulis begitu cekap sekali memusnahkan patogen-patogen yang menyerang penulis.

Kadang kala terasa “panas” juga di telinga penulis sebab ada antara rakan penulis yang pernah berkata, “Buat apa TV kalau tak ada Astro.” Penulis sedar, bukanlah kemampuan yang menjadikan penulis tidak mahu pasang Astro. Tapi kalau dibeli pun menatang Astro tu, bukannya ada orang nak tengok pun di rumah. Walaupun penulis minat bola, tapi bukanlah penulis ini seorang yang avid sampai setiap match yang ada di EPL hendak ditonton! (sedangkan Euro yang lepas, satu match pun tak pernah habis tengok sampai tamat). Penulis pun tak ada lah selalu ke maplac untuk tengok Astro pun semasa di U.

Sebab yang biasa penulis tengok di TV ialah siaran pukul 8.00 malam dan 12.00 malam. Tu pun selalunya terlepas... Tambahan pula atas beberapa prinsip penting yang menyebabkan penulis enggan membeli Astro itu. Prinsip tu tak boleh pula nak ditulis di sini sebab mengaitkan Astro sendiri.

Tetapi, sepanjang hayat penulis, penulis masih belum kena sakit jantung pasal tak tengok Astro. Rasanya penulis akan bermandiri jua tanpa Astro. Dan mungkin itulah cabaran yang bakal penulis hadapi apabila hampir kesemua rumah di Malaysia telah memasang cakera kelabu yang tertulis Astro.
Wassalam.

Sarcastic dalam Aku

Banyak tulisan yang telah penulis bahaskan dalam weblog A Kadir Jasin (dengan pseudonym –WADAH-) sedikit sebanyak memperlihatkan bagaimana penulis menyusun hujah-hujah yang kadang kala berterabur dan kadang kala tersusun. Sudah pastilah penulis perlu mengetahui latar belakang sesuatu isu yang dibawa oleh moderator agar dapat menulis ulasan-ulasan dengan lebih baik. Gaya penulis menulis selalunya bergantung kepada sejauh mana penulis mendalami sesuatu isu yang dibangkitkan.

Bagaimanapun penulis mengaku bahawa banyak lagi perkara yang perlu penulis pelajari bagi menulis ulasan/penghujahan yang lebih baik. Jadi, kewujudan blog adalah sebagai platform untuk penulis melatih diri untuk menyusun ayat dan membahaskan hujah-hujah. Paling penting, penulis sedar bahawa penulis merupakan seorang yang sarcastic sehinggakan sindiran yang diberikan terlalu melampau. Kadang kala penulis terikut gaya percakapan yang menyebabkan apabila penulis (atau pembaca) membaca tulisan penulis, ada terasa janggal dalam ayat-ayat yang ditulis; sebab mungkin ayat-ayat tersebut perlu dibaca dengan intonasi? Atau ayat tersebut ditulis dengan emosi?

Memang penulis mengaku bahawa penulis merupakan seorang yang masih mentah dalam bidang penulisan sehinggakan penulis terikut-ikut nada percakapan semasa menulis. Hal ini mungkin diburukkan lagi dengan sikap sarcastic penulis terhadap beberapa isu sehinggakan dapat dilihat hujah-hujah penulis kurang objektif (i.e. rooting for someone). Tetapi, penulis bukanlah seorang yang percaya kepada “objectivity of knowledge” kerana penulis lebih terdedah sebagai seorang yang “constructive”. (Nanti akan penulis bahaskan mengenai objectivity of knowledge dan constructive knowledge) Penulis akui gaya penulisan penulis boleh diperbaiki dan sedaya upaya cuba menjadikan penulisan penulis lebih bersifat objektif (walaupun hal ini akan mengundang dikotomi pemikiran; tetapi penulis akui bahawa penulis sudah terbiasa dengan pemikiran dikotomi).

Bagi pembaca yang dapat membantu penulis, sudi-sudikanlah membantu penulis sebab adalah menjadi impian penulis menjadi seorang yang prolifik dalam bidang penulisan dan seorang polymath yang dapat membahaskan pelbagai isu dan perkara. Wassalam.