Thursday, November 10, 2011

Ketelusan tahi kucing.

 

PKR sentiasa menggagaskan betapa pemerintahan mereka lebih telus dan lebih bertanggungjawab berbanding BN. BN penuh dengan korupsi, kongkongan, rasis, ketirisan, konspirasi yang kesemuanya memberikan kesan buruk kepada rakyat. Buktinya, PKFZ, konspirasi menjatuhkan Anwar Ibrahim, cincin Rosmah, kapal selam dan pelbagai lagi bukti-bukti yang mereka telah dan sedang keluarkan. Maklumlah, sudah nak pilihan raya...Menghentam UMNO memang merupakan ‘makanan ruji mereka.’

Namun, setelah mereka berjaya memerintah Selangor, lain pula ceritanya. Banyak juga ketirisan, korupsi, ketakterbukaan di pihak mereka. Orang tunjuk perasaan, lantas dituduhnya UMNO (peristiwa kepala lembu...), pegawai sendiri jatuh bangunan, beria-ia dipersalahkan Hishamuddin/SPRM/BN, arak gambar mangsa satu negara. Arak dirampas, ada YB dengan bangganya suruh ‘bebaskan’ semula arak-arak itu, rumah urut dan hotel murah sudah berlambak-lambak, gejala murtad wujud, mampus-mampus tak nak mengaku, tuduh kerajaan persekutuan tidak ingat kebajikan rakyat waktu belanjawan hendak naikkan elaun YB Parlimen, YB DUN sendiri sudah naik elaunnya awal-awal (kononnya prestasi baguihlah sangat!!!). Dulu kata hendak amalkan tender tanpa gangguan politik, tapi la ni wujud juga tangan-tangan ghaib ‘memaksa.’

Bukankah kesemua ini kerja UMNO/BN pada zaman pemerintahan mereka. Mengapakah mereka melakukan budaya jahiliah sebegini sedangkan merekalah yang memperjuangkan ketelusan dan keterbukaan. Janganlah beri hujah, ‘Oh, sebab dulu BN pun buat, jadi tak salah kita buat benda yang sama, kita lebih telus’ sedangkan kalau masa pilihan raya, bukan main canang lagi mereka akan membuat segini-segini yang berbeza dengan BN. Soal politik idealisme mereka yang begitu ideal menyebabkan rakyat menaruh harapan kepada mereka. Mereka dikatakan akan membawa ke arah Malaysia yang baru dan makmur, jadi sewajarnya segala perkara yang mereka utarakan dan rancangkan melalui manifesto berapi-api patut dipenuhi.

Kalau setakat cakap berapi-api di pilihan raya, Tok Kaduk pun boleh cakap berapi-api. Namun, kata-kata tetap murah. Lebih penting untuk melaksana berbanding sekadar berceramah. Sebelum menang pun sentiasa berceramah, selepas menang pun kerap berceramah. Oleh sebab itu, amat elok sekali ceramah-ceramah mereka diterjemahkan dengan kemakmuran, ketelusan dan perlaksanaan sebenar-benarnya dan bukan sekadar berceramah sahaja. Seronok sebenarnya mengutuk orang; rasanya macam makan keropok ikan segar daripada Losong. Tapi, kalau hendak berbuat, tidak semudah mengunyah keropok.

Oleh yang demikian, dengan kelebihan yang ada, wajarlah mereka mengelakkan daripada dikantoikan oleh pihak BN akan kelakuan mereka yang sama jijik dengan BN. Kalau betul hendak kekalkan Selangor bawah pemerintahan mereka, hanya ada tiga cara iaitu melaksanakan segala janji-janji yang diceramahkan, membeli undi dalam PRU atau mencari seorang Mullah yang setaraf dengan Nik Aziz yang mempunyai pengaruh besar terhadap negeri. Cara kedua nampaknya tidak demokratik langsung sedangkan mereka jualah yang menuduh BN membeli undi. Atau sebenarnya mereka mengamalkan kalau BN beli undi salah, tetapi kalau mereka beli undi, tidak salah sama sekali (persis kalau orang lompat parti ke mereka tidak salah kerana lompat daripada batil kepada haq). Tetapi tetap tidak demorkatik. Cara ketiga memerlukan pemimpin karisma tinggi diperkenalkan dan merekia memerlukannya dengan secepat mungkin kerana MB sekarang sudah ada ura-ura hendak digulingkan sempena PRU akan datang.

Itu kita tidak sentuh lagi rakan negeri mereka di Pulau Pinang yang asyik salahkan UMNO sahaja apabila berlaku tunjuk perasaan sedangkan mereka jugalah yang suka mengiakan, menyokong dan mengikuti tunjuk perasaan terhadap kerajaan pusat. Nampak sangat yang mereka sebenarnya mengamalkan UMNOisme yang takut dengan tunjuk perasaan. Orang dok tunjuk perasaan kepada mereka pun hendak salahkan UMNO. Awak tu dok tunjuk perasaan di KL itu hendak salahkan UMNO juga! Nampak sangat piagam politik mereka ‘apa-apa pun salah UMNO!’

Kalaulah sepuluh tahun mereka pegang negara ini, namun kalau negara ini lingkup, lantas UMNO juga yang akan dipersalahkan! Elok tukar sahaja nama jadi Pakatan Anti-UMNO – PA!

Takut sangat dengan hantu UMNO. Tetapi sendiri amalkan amalan UMNOisme. Nyatalah, mereka telah diUMNOkan oleh UMNO!

Tiadanya hak kebebasan bersuara...?

 

Tengku Razaleigh dalam sidang medianya dalam penubuhan AMANAH telah mengeluarkan kenyataan mengenai ruang bercakap dalam UMNO dan menyifatkannya sebagai tidak wujud lagi di dalam parti tersebut. Kalau hendak bercakap di Perhimpunan Agung mesti melalui 'tapisan daripada pucuk pimpinan terlebih dahulu.' Dan beliau sendiri menjamin bahawa penubuhan AMANAH bukanlah sama sekali untuk mengganggu gugat UMNO dan BN pada PRU akan datang.

Kita baru lagi dihidangkan dengan penubuhan PERKASA sebagai satu persatuan NGO yang memperjuangkan hal ehwal orang Melayu yang bukan kesemuanya yang dapat dikemukakan oleh UMNO. Kita juga dihidangkan dengan parti politik baru yang merupakan serpihan kepada parti politik sedia ada. Oleh sebab itu, PRU 13 akan dilengkapi dengan pelbagai parti politik yang cuba memenangi hati rakyat disamping BN dan PR. Jadi, rakyat berkemungkinan 'pening' dok fikir siapa yang mereka hendak pilih.

Sedangkan daripada satu segi, kepartian politik itu sendiri sudah menjadi satu 'pagar' yang menghalang seseorang itu 'berucap berlawanan dengan hasrat parti.' Jadi, bolehkan seseorang itu mengkritik dengan lantang pemimpin tertingginya secara terus dalam mana-mana Persidangan Agung mereka. Pernah kita dengar ahli PAS mengkritik Mursyidul Am mereka secara terus sekiranya wujud ketidakpuashatian kepadanya? Atau mungkin ada dikalangan ahli PKR yang secara lantang bersuara mengkritik Presiden PKR 'tidak wujud' dan hanya bersandarkan kepada Anugerah Tuhan Anwar Ibrahim. Khalifah Agung Umar Abdul Aziz Lim Guan Eng pun tidak pernah dikritik oleh PAS secara langsung; dan kalau pun ada, pasti selepas seketika dua dipersalahkan terus kepada UMNO. Apatah lagi ahli DAP hendak mengkritik beliau. Kalau kritik pun bukannya berkudis pun, gatal lagilah tidak! Yang sekarang ini kedengaran ahlinya dok kritik dengan jelas supaya Presidennya berundur cuma Gerakan.

Nampak jelas kalau pimpinan partinya huru-hara, barulah orang boleh menghentam pemimpin atasan mereka. Kalau tidak, jangan haraplah orang hendak menentang mereka kerana 'sokongan rakyat' atau ahli parti. Memanglah sukar untuk seseorang seperti Ku Li yang sudah ada pengaruh satu ketika dahulu untuk menyuarakan apa yang terbuku di hati melalui UMNO. Maka bersuaralah melalui media!

Media pula kini senang memanipulasi!

Justeru, memang sukarlah orang untuk bersuara. Hak itu dan ini mahu ditegakkan tetapi kerajaan tidak membenarkannya. Jangankan hak untuk bersuara, hak untuk berhomoseksual pun sekarang ini tidak dibenarkan? Justeru, bagi membolehkan hak homoseksual ini diperdengar dan diperjelaskan, sewajarnya pemimpin homoseksual ini masuk politik, dan cubalah untuk memenangi hati rakyat mengapa homoseksual itu penting. Bak kata Anwar Ibrahim, isu homoseksual telah 'dimanipulasi' oleh media, jadi golongan ini perlu menyokong Anwar supaya pandangan, tuntutan dan hak mereka dirai.

Belum cerita hak beragama. Kini orang bukan Islam pun sudah geti mengucapkan 'La ikro ha fiddin' - tiada paksaan dalam beragama. Hak inilah yang sering dipertikaikan oleh mereka yang merasakan kerajaan menindas agama mereka. Tak boleh ini dan tak boleh itu. Tidak boleh buat korban sebab dia menjejaskan keharmonian agama. Sudah itu, bagaimana pula dengan kegiatan keagamaan yang lain? Tak maulah kita tulis panjang sebabnya pasti akan menimbulkan sentimen kurang senang kepada penganut agama lain.

Sebab itulah, penulis cenderung dengan frasa 'setiap hak ada had.' Hak itu boleh sahaja kita tuntut sebab barangkali hak itu betul, lantaran etimologinya, perkataaan 'hak' itu sendiri bermaksud benar. Tetapi setiap hak itu ada hadnya. Dan perkataan had inilah yang menjadi akar kepada kata 'hudud.' Secara awamnya, satu ketetapan yang tidak boleh dilewati. Macam filem wayang had umur 18 tahun ke atas, jadi filem itu hanya boleh ditonton oleh mereka yang telah mencapai umur tersebut.

Had inilah yang sebenarnya menjadikan manusia sebagai 'manusia' dan bukannya sejenis hidupan seperti ‘binatang.’ Had memerlukan kepakaran dalam pelbagai unsur insaniah yang mesti diterapkan daripada nilai kemanusiaan, nilai keagamaan dan nilai ketamadunan. Nilai-nilai ini boleh jadi tetap atau boleh jadi relatif. Justeru yang menetapkan had merupakan mereka yang mempunyai kebijaksanaan dan daya fikir hikmah. Dalam kontes negara, mereka inilah penggubal undang-undang yang dilantik iaitu 'wakil rakyat.'

Kembali kepada Ku Li, disebabkan beliau sendiri merupakan seorang ahli parlimen, jadi beliau sebenarnya bolehlah bersuara sebagai 'ahli parlimen.' Tak perlulah tunggu majlis UMNO yang pada hemat beliau terlalu sempit sebab beliau ada hak beliau sebagai 'wakil rakyat.' Suarakanlah di saluran yang disukai olehnya sama ada di parlimen ka, melalui NGO barunya ke, pentas awam ke, pentas politik lain ke, kerana beliau ada hak tersebut. Apa yang hendak dirisaukan?

Sama ada NGO itu akan memihak atau menetang UMNO pun menjadi haknya juga sebagai Presiden menentukan hala tuju NGO tersebut. Sebab kadang-kala timbulnya pelbagai pertubuhan politik dan NGO yang baru-baru ini bukanlah lantaran tidak berpuas hati dengan yang sedia ada melainkan tidak berpuas hati yang 'presiden' itu bukan dirinya. Maka tubuhlah berapa banyak pun NGO supaya 'presidennya' boleh menjadi miliknya.

Pokoknya, diharapkan benar-benarlah kewujudan pelbagai parti baru dan NGO itu sememangnya untuk memperjuangkan hak-hak tertentu, bukannya sebab kemaruk hak jadi pemimpin!

Wednesday, November 9, 2011

Korban-mengorban siapa terkorban


Korban atau Al-Udhiyyah (disebut al-ud-hi-yah) merupakan satu ibadah sunat muakad bagi umat Islam dan seandainya seseorang itu bernazar, hukumnya jatuh kepada wajib pula. Falsafah korban ialah untuk sanggup memberikan apa sahaja ke jalan Allah walaupun sesuatu itu sangat-sangat kita sayangi. Asal-usul ibadah ini mestilah dikaitkan dengan peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang menerima titah oleh Allah Taala untuk mengorbankan anaknya Ismail a.s dan baginda menerima seadanya perintah tersebut walaupun dengan hati yang berat. Namun, kerana sokongan yang diberikan oleh anaknya sendiri maka diteruskan juga akan perintah Allah itu dan tatkala anaknya hampir di sembelih, Allah menggantikan Ismail a.s dengan seekor kibas; justeru Ismail tidaklah secara fizikal atau literal dikorbankan melainkan digantikan dengan haiwan kibas itu.

Selain konotasi peribadatan, ibadah korban juga membawa kepada tuntutan perkongsian dan membantu mereka yang memerlukan apabila sebahagian besar hasil daging korban diagihkan kepada umat Islam lain. Bagi korban nazar, wajiblah kesemua bahagian daging korban penazar disedekahkan kepada orang lain. Malah, ada juga pendapat ulama yang menyatakan daging tersebut boleh diberikan kepada kalangan miskin yang bukan Islam.

Ibadah korban ialah ibadah ritual yang dilaksanakan oleh umat Islam sebagaimana ritual-ritual lain yang dilaksanakan di dalam Islam. Tegasnya, ibadah korban dibuat atas dasar perintah Allah dan bukannya disebabkan oleh yang lain. Sejarah keagamaan samawi membuktikan bahawa unsur pengorbanan itu telah wujud seawal zaman Adam dan Hawa iaitu apabila anak-anak Adam iaitu Habil dan Qabil diperintahkan oleh Allah untuk berkorban hasil kegiatan pertanian atau ternakan mereka. Pada masa sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW pun berlaku peristiwa korban apabila Abdul Muthalib bernazar untuk mengorbankan anak lelakinya Abdullah, akan tetapi Allah telah bertitah agar anaknya itu digantikan dengan seratus ekor unta. Jelas sekali dalam sejarah samawi, ibadah korban itu benar-benar wujud dan kehadiran Islam menzahirkannya dengan korban haiwan ternakan tertentu (seperti kambing, lembu dan unta).

Malah, agama-agama lain pun mempunyai ritual korban dengan cara mereka tersendiri sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Tuhan. Disebabkan agama-agama lain diiktiraf kewujudannya oleh Perlembagaan Persekutuan, tiadalah sama sekali halangan untuk mengamalkan ritual korban menurut agama masing-masing. Jadi, apakah sebenarnya isu yang ditimbulkan oleh MCCBCHST? (satu akronim yang begitu panjang yang menghimpunkan Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao). Amat menghairankan apabila mereka secara sekoyong-koyong mempertikai ibadah korban di kawasan 'terbuka.' Kalau tidak terbuka, di mana? Di kawasan tertutup? Berbumbung? Rumah penyembelihan sahaja? Sedangkan hendak melalukan penyembelihan di luar kawasan rumah penyembelihan sendiri memerlukan permit (nak buat korban, kena ada permit), jadi apakah isu sampai tidak boleh dilakukan di hadapan 'penduduk dan pelajar berbilang kaum' sedangkan korban itu tidak dilakukan di hadapan rumah orang, di sekolah jenis kebangsaan; di depan kuil, tokong atau gereja. Apakah sebenarnya yang cuba disampaikan oleh majlis pelbagai agama seperti ini?

Gejala mempertikaikan sesuatu yang sudah termaktub sebagai tuntutan keagamaan merupakan satu gejala yang kurang sihat dalam kehidupan beragama di Malaysia. Seolah-olah umat Islam telah menceroboh hak mereka yang bukan Islam dan melakukan kezaliman kepada mereka. Selama ini, umat Islam tidak pernah secara terbuka mempertikaikan ritual-ritual yang bukan Islam, maka apakah sebenarnya motif mereka ini mencetuskan pertikaian tersebut?

Pembaratan menyebabkan amalan sedemikian dipertikaikan. Tidaklah mengejutkan kalau pada Hari Raya Haji yang akan datang tiba-tiba ada pula tunjuk perasaan yang menuntut agar kelakuan penyembelihan binatang tidak dilakukan kerana yang demikian melanggar hak asasi manusia/binatang. Tidak syak lagi kebenaran pendapat oleh Mufti Perak Sahibus Samahah wal Fadhilah Tan Sri Dr Harussani Zakaria bahawa terdapat pihak tertentu yant cuba mengambil kesempatan mengutuk amalan korban dengan tujuan menghina (petikan rencana Razak Ghows, 'Kebiadapan pertikai ibadah korban cabar orang Melayu,' Berita Harian 9/9/11 m.s. 23).

Oleh yang demikian, pertikaian sedemikian menampakkan lagi unsur-unsur untuk menggugat pengiktirafan Islam sebagai agama rasmi negara. Ada semacam unsur 'mereka' melawan 'Islam' dan seandainya wujud sudut tertentu yang boleh dieksploitasi untuk dijadikan isu tuntutan, pastilah akan dilaksanakan sehingga kadang-kala pun, mendapat sokongan daripada golongan muslim sendiri. Andai kegiatan sebegini tidak dibendung, nescaya 'negara multi-budaya ideal' yang begitu lama didukung oleh Malaysia akan ranap sekelip masa. Kesemua pihak termasuklah pertubuhan politik perlulah memainkan peranan penting bagi menggemblen usaha menanamkan pemahaman segenap rakyat Malaysia beuntuk mencapai modus vivendi sekali gua dapat menjamin keharmonian negara. Ketepikanlah sentimen politik sebaliknya pupuklah semangat kesatuan di kalangan rakyat kerana merekalah pertubuhan yang paling popular dan dirai di kalangan persatuan-persatuan yang ada.

Malangnya, tatkala usaha kumpulan mereka ini sangat-sangat diperlukan, tatkala itulah juga agenda politik diutamakan. Cabaran utama negara kita kini sebenarnya adalah untuk merasionalkan kepelbagaian budaya sebagai satu sumber kekuatan dan bukannya kelemahan dan permasalahan.