Tuesday, March 3, 2009

Kita ini nak ke mana eh?

Dua buah syarikat bas bersaing untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan seterusnya akan membawa pelanggan tersebut ke destinasi mereka. Dalam hebahan dan pengiklanan kedua-dua buah syarikat, masing-masing mengatakan bahawa mereka lebih baik daripada syarikat yang satu lagi. Setelah puas pengiklanan dibuat dan janji ditaburkan; ternyata syarikat yang lebih lama establish (katakan Syarikat A) berjaya memenangi hati rakyat, namun dengan majoriti yang kecil. Syarikat yang satu lagi (katakan syarikat B) walaupun tewas, namun masih berjaya menguasai pasaran tersebut di sebahagian kawasan.

Maka, pelanggan pun naiklah ke dalam bas masing-masing mengikut tiket masing-masing. Namun, ketua syarikat bas B dengan yakin bahawa beliau akan berjaya memancing beberapa orang drebar syarikat bas A bagi menguasai pasaran tersebut dengan mutlak. Lama sungguh beliau mencanang-canang perkara tersebut sehingga beliau berani mengeluarkan sasaran bilakah syarikat bas B akan menguasai pasaran tersebut. Kata beliau, syarikat bas A telah menggunakan taktik kotor semasa promosi dan telah menggunakan mahkamah, menggunakan pihak-pihak tertentu bagi menguasai pasaran. Oleh sebab itu, beliau yakin bahawa syarikat bas B akan menguasai pasaran dalam jangka masa yang telah ditetapkan.

Ketua syarikat bas A pula tidak kurang dikecam. Beliau telah diserang oleh pelbagai penembak curi; sama ada kawan (within syarikat bas A) dan lawan (syarikat bas B). Akhirnya beliau bersetuju untuk meletak jawatan beliau sebagai ketua syarikat bas B dan menyerahkan tugasan beliau kepada penolong ketua.

Hujan tak da, ribut tak da, tiba-tiba sahaja beberapa orang drebar di beberapa kawasan yang dikuasai syarikat bas B tiba-tiba berhenti kerja dan menjadi drebar bas persendirian. Dalam masa yang sama, mereka ini dikatakan akan turut membantu syarikat bas A ! Syarikat bas B apa lagi, melenting tak tentu pasal lah. Macam-macam mereka lakukan untuk mendapatkan kembali kawasan mereka yang telah mereka kuasai dulu. Buat tunjuk perasaan, cuba saman di mahkamah. Malah, dalam pada masa yang sama, pelbagai lagi isu sampingan melingkari syarikat bas B; dan tidak kurang juga belambak-lambak isu dalam syarikat bas A. Mereka saling bercakaran dan saling bergaduh sesama sendiri sampai mereka melupakan PELANGGAN MEREKA yang sebelum ini ditaburi janji daripada kedua-dua syarikat. Pelangan-pelangan yang naik bas tersebut bertanya sesama mereka, eh, nak ke mana kita ni?

No comments: