Penulis mati idea nak ulas isu semasa. Agaknya sibuk sangat sampling, kerja sampingan lain dan sebagainya. Namun, media utama juga tidak pula memberikan isu yang membawa kelainan yang benar-benar boleh diulas. Mungkin paling menarik untuk penulis ulas ialah betapa kebakaran di Australia dikaitkan dengan perbuatan khianat atau sabotaj; dan kita boleh lihat betapa perbuatan yang nampak enteng itu sebenarnya menimbulkan krisis yang besar di negara tersebut. Mungkin yang hendak menyabotaj tak berniat pun untuk bakar seluruh hutan; tetapi dek cuaca yang panas serta angin yang bertiup, kebakaran tersebut tak dapat dikawal sehingga memusnahkan seluas-luas hutan dan mengorbankan banyak nyawa.
Namun, sepanas-panas kebakaran di Australia, panas lagi situasi politik di Malaysia. Setelah lompat-melompat dan guling-mengguling; kini timbul pula isu pilihan raya berbukit-bukit, skandal lembu MB Selangor (macam dah tak ada isu lain, isu lembu pun boleh masuk warta perdana; hebat tu....)skandal tanggap gambar bogel - begitulah panasnya suhu politik di Malaysia.
Disebabkan isu-isu sebegini datang dari pelbagai arah dan pada satu sela masa yang hampir sama maka penulis sekali lagi menggunakan kapasiti penulis untuk tidak langsung mengulas isu tersebut. Penulis kira sebenarnya kalau hendak diulas pun, tidak mendatangkan banyak faedah sebab hanya ahli politik sahaja yang makan tak kenyang, tidur tak lena dan mandi tak basah dalam hal-hal sebegini. Orang marhaen dan orang kebanyakkan peduli apa kalau lembu-lembu tersebut MB nak bagi kawasan. Atau peduli apa YB itu hendak tidur telanjang. Bukannya poket kita akan penuh kalau berfikir tentang perkara sebegini. Atau bukannya kita tiba-tiba diberi pekerjaan tetap (setelah dipecat akibat kegawatan ekonomi) apabila mengulas perkara sebegini.
Tatkala orang politik sedang rancak untuk kutuk-mengutuk lawan masing-masing dan mengheret pula institusi raja dalam kancah permainan politik mereka, berpuluh-puluh kilang sedang cuba memberhentikan pekerja-pekerja mereka. Syarikat multinasional seperti CitiGroup misalnya sudah mengambil langkah untuk menutup operasi mereka di sebahagian negara yang menjadi tempat mereka berlabur. Syarikat automotif Jepun seperti Toyota atau Nissan (yang sebenarnya milik Renult) telah mengurangkan penghasilan (production) kenderaan mereka. Contoh nyata di hadapan mata penulis sendiri, kilang Sumitomo di Tampoi telah mengurangkan pekerja mereka terutamanya rakyat asing secara mendadak dengan penghantaran mereka pulang beramai-ramai.
(Penulis sebenarnya hendak cadangkan, daripada membawa isu politik Perak sahaja di Majlis Raja-raja, apa salahnya isu kelembapan ekonomi, kadar pemberhentian dan pengangguran rakyat yang meningkat turut dibawa bersama dalam majlis tersebut. Hal ini bagi membolehkan baginda-baginda yang bijaksana dan penuh hikmah menyampaikan titah sesuai kepada mamanda-mamanda menteri bagi menyelesaikan masalah tersebut. Kepada rajalah rakyat berpayung!)
Daripada perspektif pengguna biasa, apalah sangat impaknya kembalinya pendatang asing tersebut di dalam konteks ekonomi negara. Namun, dari segi industri peruncitan, sedar atau tidak, mereka juga turut menyumbang dalam membeli barangan harian sekaligus menjadi penyumbang kepada industri tersebut. Jadi, dengan kelembapan yang berlaku, khabarnya, pasar raya besar (terutama berhampiran penempatan pekerja asing) pun menghadapi situasi "kosong" tanpa pelanggan disebabkan ketiadaan pembeli. Bukanlah penulis menyokong kehadiran pekerja asing, tetapi kalau hendak dilihat kepada kesan kelembapan ekonomi, ketiadaan mereka sedikit sebanyak menjejaskan jualan runcit barang harian. Itu sahaja. Kuasa membeli rakyat Malaysia pun sudahlah semakin kurang.
Kini, semua isu hendak dipolitikkan. Seolah-olah kalau isu tersebut tidak dipolitikkan, alamat isu tersebut tidak akan mendapat sambutan oleh pembaca/penonton media. Contohnya pemberhentiaan pekerja di Pulau Pinang dikaitkan dengan kerajaan Pakatan Rakyat (yang diterajui DAP) di Pulau Pinang. Namun, bagaimanakah pula isu tersebut di tempat lain misalnya di Johor, atau Melaka atau Pahang? Adakah pekerja-pekerja yang diberhentikan di negeri-negeri lain ini telah terbela oleh kerajaan negeri tersebut? Dalam konteks lain pula, apakah pula langkah kerajaan negeri, misalnya kerajaan Johor dalam menangani masalah kekurangan pelanggan bagi peniaga-peniaga runcit di Jalan Meludrum, Jalan Wong Ah Fook dan kawasan sekitarnya disebabkan pembukaan CIQ baru yang menyebabkan pengguna tidak perlu ke kawasan tersebut; seterusnya menyebabkan kawasan tersebut seolah-olah menjadi "Pekan Mati?"
Penulis sangat berharap perkara-perkara sebegini diutarakan dengan lebih kerap lagi. Lebih-lebih lagi, kadar pembuangan pekerja dan pengangguran yang benar-benar akan mendadak dan kuasa beli pengguna yang semakin mengecil. Industri automotif (melalui MITI) misalnya terpaksa membuat kempen penukaran kenderaan lama berusia 15 tahun bagi mengelakkan industri tersebut gulung tikar. Ramai sudah mengetahui (bagi mereka yang tahu) bahawa jualan kenderaan bagi syarikat automotif gergasi dunia merosot secara signifikan. Harga hartanah juga dilaporkan sedang merosot. Hal-hal sebegini menimbulkan satu tindak balas rantaian yang mungkin boleh membawa kepada kebankrupan bank - dan apabila bank pun sudah bankrup, apa lagi yang kita boleh kita katakan?
Sebab itulah, disebalik keghairahan kita berbincang tentang politik, apa kata kita luangkan masa berharga ini untuk bincangkan atau setidak-tidaknya fikirkan semula tentang perbelanjaan kita, simpanan kita, dan tidakan susulan yang bakal kita ambil; manalah tahu kita pula mungkin dibuang kerja, atau tak dapat-dapat kerja, atau majikan potong gaji, anak bini memerlukan wang. Cuba kita fikirkan sejenak urusan kredit kita, urusan hutang bank kita, simpanan hari tua kita, simpanan untuk anak-anak kita, fikirkan kita dan diri kita dalam 5 tahun akan datang andai situasi ekonomi masih lembap. Sebab, kitalah yang akan menanggung semua masalah tersebut andai tidak bersedia; BUKANNYA WAKIL RAKYAT YANG KITA BERIA-IA LANTIK DAN BERIA-IA SOKONG; YANG ASYIK GULING SANA GULING SINI, LOMPAT SANA LOMPAT SINI, LEMBU SANA LEMBU SINI, BOGEL SANA BOGEL SINI.
Moga setiap kesusahan TUHAN berikan kesenangan. Bagai Firman-Nya; Bagi setiap kesukaran itu pasti ada kemudahannya. Sekian.
No comments:
Post a Comment