Kerjaya yang paling mencabar di Malaysia buat masa kini adalah penulis blog politik. Mana tidaknya, hari keluar masuk parti lain, esok lusa ahli parti lain masuk parti lain dan terkini pada petang ini (4/2/2009) DUN Perak pula ada kemungkinan dibubarkan. Tidak terjangka apa yang akan berlaku. Tatkala Pakatan Rakyat mendapat suntikan baru melalui kemenangan mereka di KT dan kemasukan ADUN baru di Perak, tiba-tiba, dikhabarkan MB Perak mengadap Sultan untuk bubar DUN. Apakah sebenarnya yang berlaku ? Suasana ketaktentuan tidak pernah surut sejak 8 Mac 2008 dan kurang dari sebulan, 8 Mac akan hadir kembali menandakan sudah setahun pilihan raya umum telah diadakan.
Kekenduran ekonomi masih belum lagi menampakkan pemulihan dengan pemberhentian tenaga kerja dan penghantaran pulang pekerja asing beramai-ramai; namun andai situasi politik masih sebegini, kalaupun satu dunia tidak gawat pun Malaysia tetap akan menghadapi kegawatan ekonomi. Pelabur takut hendak melabur dan dikhabarkan antara negeri-negeri yang paling menerima kesan tersebut adalah Pulau Pinang dan Selangor. Bukan sebab mereka dikuasai Pakatan Rakyat; namun mungkin disebabkan sentimen ketaktentuan politik yang jauh lebih bertiup kencang di negeri-negeri terbabit.
Itu belum lagi bulan Mac nanti; Perhimpunan dan Pemilihan Agung UMNO. Kalau wujud situasi Team A dan Team B, mungkin benar kita sedang menghadapi ketaktentuan politik yang tidak mungkin akan reda dalam masa yang singkat. Tidak tahulah hala tuju politik negara namun diharapkan pemimpin kita insaf bahawa kerajaan yang dilantik oleh rakyat seharusnya berkhidmat untuk rakyat dan memenuhi aspirasi rakyat dan bukannya mereka pula (ahli politik; BN DAN PR) yang menyusahkan rakyat disebabkan ketaktentuan yang mereka sendiri ciptakan lalu mengucar-kacirkan masa hadapan negara.
P/s: Udah-udah lah tu lompat parti. Nampak sangat ada kepentingan individu; patutnya kalau tak puas hati, buat parti sendiri macam Anwar Ibrahim !
No comments:
Post a Comment