Tuesday, March 17, 2009

Rangsangan perangsang

Pengenalan: Apabila harga tinggi jatuh ke rendah !

Minggu lepas, satu berita yang mungkin kedengaran aneh telah diwar-warkan dalam media iaitu nilai saham BCB adalah lebih besar berbanding nilai saham CitiBank di US. Penulis katakan aneh kerana siapa sangka keadaan sedemikian boleh berlaku pada tahun lepas?

Begitu juga dengan harga minyak sawit mentah (CPO) dan getah. Saat penulis mengenali frasa CPO tahun lepas, harga CPO adalah empat ribu setan dan kini, segala-galanya turun secara mendadak. Pun begitu, harga makanan terutamanya kuih muih di ibu kota masih lagi kekal lima RM2. Masalah demi masalah yang berlaku dalam ekonomi mendorong kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dengan dengan harapan ekonomi negara dapat ditampan dan mengelakkannya daripada bertambah parah.

Pakej rangsangan: Masalah penyampaian

Pelbagai insentif telah diumumkan; daripada insentif pembelian rumah sampailah ke insentif pembelian kereta; segala-galanya adalah dengan harapan rakyat tidak terbeban dengan keadaan kemelesetan semasa. Bank juga disyorkan agar memudahkan pinjaman kepada pelanggan yang memerlukan. Negeri-negeri tertentu mendapat tambahan peruntukan bagi menampung projek-projek untuk kepentingan rakyat.

Walaubagaimanapun, sebagaimana keputusan kerajaan yang lain, rangsangan yang bergelar "belanjawan mini" ini tidak sunyi daripada kritikan. Insentif penjualan kereta lama kepada baru misalnya, dikatakan hanya memberikan kesan seandainya harga kereta lama yang hendak ditukar itu kurang daripada RM5000. Begitu juga pinjaman perumahan yang dikatakan diberi "diskaun", hanya pinjaman bermula 10 Mac sahaja yang melayakkan pelanggan menikmati diskaun tersebut; sedangkan mereka yang membelinya sebelum itu tidak akan mendapat faedah yang sama; walhal sama ada mereka yang membeli sebelum, semasa dan selepas 10 Mac tetap merasai impak kemerosotan ekonomi bersama-sama.

Lebih mendapat perhatian lagi adalah keupayaan (capability) kerajaan melalui pegawai-pegawainya di bawah kementerian-kementeriannya itu untuk menyampaikan (to deliver) apa yang sepatutnya disampaikan kepada rakyat. Dengan karenah birokrasi yang menjajat setiap kementerian, adakah sistem penyampaian (delivery system) di perkhidmatan awam mampu memenuhi hasrat pakej rangsangan yang telah diumumkan oleh kerajaan?

Hal ini mengundang komen menarik Tan Sri Ramon V. Navaratnam dalam satu temubual di televisyen yang mengatakn bahawa "bukan Malaysia sahaja yang menghadapi masalah (ketidakcekapan) perkhidmatan awam. Masalah tersebut berlaku di kebanyakkan negara di dalam dunia ini." Menurut beliau lagi hal ini mungkin berlaku atas dorongan oleh fakta bahawa penjawat awam dikategorikan sebagai pekerjaan yang selamat; sangat sedikit kebarangkalian untuk dipecat atau diberhentikan, dan andai bersara dapat pencen! Oleh sebab itu, masa hadapan mereka yang bekerja adalah terjamin.

Pembaca boleh menyokong mahupun menyanggah kata-kata beliau namun, kita juga perlu faham bahawa beliau pernah menjadi seorang pegawai tinggi dalam perkhidmatan kerajaan (sebagai timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan). Mungkin apa yang beliau katakan itu adalah melalui pengalaman beliau sebagai penjawat awam mahupun sebagai orang yang berurusan dengan penjawat awam selepas bersara daripada jawatan awam. Sebab itulah beliau berani berkata "kalau nak marah (dengan kenyataan saya), marahlah" kepada penjawat awam.

Latihan siswazah atau tiada jawatan kosong?

Satu lagi perkara yang menarik yang Tan Sri Ramon bangkitkan adalah hal berkaitan dengan "latihan siswazah" Mengapakah seorang yang telah mendapat ijazah perlu dilatih lagi untuk beberapa bulan/tahun dan bukannya terus kerja? Adakah graduan universiti di Malaysia begitu kurang berkualiti dan kurang "soft skill" sehinggakan program sebegini perlu dilaksanakan?

Penulis secara peribadi MENYANGGAH sama sekali frasa bahawa siswazah sekarang ini kurang berkualiti atas sebab:

Mereka yang telah lama bekerja dan sudah lama di dalam perkhidmatan kerajaan mahupun swasta yang dengan mudahnya berkata demikian biasanya berasa daripada keadaan di mana jumlah universiti di Malaysia pun kurang daripada dua, tiga buah. Sekarang ini, sudah ada 20 universiti awam tempatan dan tidak lagi dicampur dengan universiti swasta yang lebih banyak. Bilangan graduan yang dikeluarkan saban tahun meningkat; namun peluang pekerjaan graduan MENGIKUT KURSUS YANG DIAMBIL DAN MENGIKUT TARAF PENDIDIKAN sama ada tidak bertambah atau berkurang.

Oleh sebab itu, graduan sekarang terpaksa bersaing bukan sahaja sesama sendiri bagi lepasan ijazah di Malaysia; malahan terpaksa jua bersaing dengan mereka-mereka yang mempunyai kelulusan luar negara yang biasanya mendapat persepsi yang lebih baik dikalangan majikan berbanding lulusan tempatan. Berbanding dengan graduan dahulu (yang kononnya lebih "berkualiti" berbanding sekarang) yang mempunyai zaman "keluar U, kerja mencari anda" disebabkan permintaan tinggi terhadap mereka. Bukankan kita telah mempelajari teori permintaan dan pengeluaran? Hal itulah yang sebenarnya sedang berlaku di Malaysia! Permintaan untuk jawatan taraf ijazah kini lebih rendah berbanding dengan pengeluaran graduan lepasan universiti. Apa sebab? Tak mampu menggaji? Atau sudah cukup pegawai? Atau graduan tidak pandai cari peluang? Atau graduan tiada kabel dalaman?

Insaflah; suasana "keluar U terus dapat kerja" tidak lagi berlaku pada masa sekarang. Lambakan graduan akan terus berlaku lebih-lebih lagi dengan langkah kerajaan untuk menaiktarafkan maktab kepada kolej, kolej kepada kolej universiti dan KU kepada universiti penuh. Cabaran graduan sekarang lebih besar berbanding sepuluh dua puluh tahun dahulu disebabkan persaingan.

Memanglah banyak kerja kosong, namun adakah kerja tersebut sekufu dengan taraf pendidikan graduan? Andai seorang graduan ijazah bekerja jawatan untuk taraf STPM dan mempunyai rakan yang selepas STPM terus bekerja jawatan yang sama; adakah beliau akan menerima jawatan tersebut. Sudah tentu rakannya sudah menjadi "senior" dalam perkhidmatan/pekerjaan tersebut sedangkan beliau baru sahaja berada di "entry level" sahaja.

Penulis berpendapat mahu tidak mahu, gaji perlu juga memainkan peranan dalam hal ini. Kita boleh berteriak bahawa jangan memilih sangat gaji namun, untuk berapa lama kita sanggup bergaji yang lebih rendah berbanding taraf pendidikan kita? Mahu tidak mahu, perkembangan kerjaya perlu juga diambil kira. Kalau tidak; tak payah belajar tinggi-tinggi; bukan begitu? Hal ini bukanlah bermaksud penulis mengatakan bahawa graduan perlu memilih dalam hal pekerjaan; namun, daripada satu perspektif, memang kita boleh kerja jadi office boy, atau pembantu ini dan pembantu itu, atau salesman, namun berapa lama?

Penutup: Cabaran human capital
Rakyat semakin pandai atau diperpandaikan. Hal ini terbukti dengan bilangan belasan A dalam SPM sudah semakin meningkat. Trend sebegini sebenarnya secara tidak langsung mendatangkan pelbagai masalah pada masa akan datang (masa sekarang pun dah bermasalah !) Lulusan U pun saban tahun mencecah puluhan ribu. Pada pendapat penulis pacal yang hina ini, sudah tiba masanya satu rangka kerja yang diperbaharui dilaksanakan bagi menangani permasalahan sumber manusia di Malaysia. Sesuatu harus dilakukan. Mungkin perubahan mekanisma dalam penjawatan pekerjaan, atau perubahan fundemental dalam struktur penjawatan; atau mungkin perubahan besar-besaran dalam sistem pendidikan. Sedar atau tidak, ijazah yang dahulunya mempunyai prestij dan dibangga-banggakan sehinggakan kembang hidung apabila menulis nama lalu disertai dengan nama ijazah (contohnya; Ali bin Abu, BSc, BA) kini sudah semakin bertimbun. Mungkin, anak cucu generasi penulis, ijazah mungkin akan setaraf dengan SPM, sementara SPM akan jatuh kepada taraf SRP.... Sesuatu perlu dilakukan!

Lebih daripada itu, diharap semua akan dapat memanfaatkan pakej rangsangan yang telah diumumkan oleh kerajaan. Kita juga perlu sedar bahawa sudah tiba masanya keseluruhan jentera kerajaan membuat revolusi agar apa-apa sahaja manfaat yang diumumkan oleh kerajaan akan sampai juga kepada rakyat. Frontliner perlu tahu bahawa mereka adalah pemberi impresi kepada rakyat yang berurusan. Andai penambahbaikkan tidak dilaksanakan oleh kakitangan awam, mungkin benar juga ura-ura bahawa kerajaan kita sekarang ini boleh tumbang pada pilihan raya umum akan datang!

No comments: