Tatkala penulis membaca salah sebuah akhbar minggu ini, penulis bertemu dengan sebuah berita yang menyatakan penduduk di kawasan pangsapuri Flora Damansara menghadapi masalah ketiadaan air disebabkan pemaju tidak menjelaskan hutang air tertunggak. Berita tersebut terus menggamit memori penulis tentang pengalaman penulis tinggal di pangsapuri tersebut pada pertengahan tahun 2006 sehingga pertengahan 2007 (i.e. selama setahun). Pelbagai kenangan ketika tinggal di pangsapuri tersebut menerjah ke minda penulis.
Flora Damansara mempunyai beberapa blok pangsapuri; dari kos rendah, sederhana dan mewah. Kesemua blok pangsapuri tersebut melebihi 20 tingkat. Penulis dan rakan penulis menyewa sebuah unit di tingkat 21; namun kami bertuah kerana mendapat unit tepi i.e two view yang biasanya lebih mahal berbanding lot-lot tengah. Daripada rumah kami, memang boleh dilihat pemadangan Bandar Utama; jadi kami bolehlah melihat One Utama, IKEA dan Mutiara Damansara. Tetapi, atas sebab kami pelajar dan suasana ketika itu masih lagi baru, maka kami mendapat sewa yang agak murah, RM500 sebulan daripada tuan rumah.
Kompleks membeli belah berhampiran sememangnya banyak; dari OU, The Curve, Tesco Mutiara Damansara, Ikano/IKEA dan kompleks terbaru yang penyewa utamanya Cathay Cineplex iaitu Cineleasure Damansara. Pada ketika itu, parking di Tesco adalah pecuma; di The Curve, seringgit sekali masuk tak kira hari, OU pun seringgit bagi enam jam pertama !
Selain itu, kawasan berhampiran yang penting juga adalah pinggiran TTDI yang menempatkan sebuah masjid kecil namun mewah (tidak ingat pula nama masjid tersebut). Masjid tersebut mempunyai perkhidmatan ala-ala motel untuk kemudahan orang bermalam. Penulis ingat semasa bulan puasa andai bertarawikh di masjid tersebut; juadah berbuka dan morehnya mewah-mewah. Masjid pun dilengkapi pendingin hawa; memberikan keselesaan kepada jemaah terutamanya ketika sembahyang Jumaat.
Berbalik kepada kawasan Flora Damansara, sewaktu penulis mula-mula masuk, masih ada lagi blok pangsapuri yang tidak siap di hadapan blok kami dan kerja-kerja pembinaan masih lagi dijalankan. Oleh yang demikian, kami sebenarnya ragu-ragu juga untuk parking kereta di bahagian bawah takut ada benda-benda jatuh dari atas; maklumlah, bangunan itupun tingginya lebih 20 tingkat juga. Namun, penulis yakin bahawa bangunan tersebut sudah siap. Kemudahan di Flora Damansara juga boleh dikatakan hampir lengkap; ada taman permainan kanak-kanak, ada telefon awam, kedai runcit, kedai makan, surau, lift pun berfungsi dengan baik.
Namun terdapat beberapa masalah yang menyebabkan keadaan kurang selesa apabila tinggal di situ (pada ketika itu). Pertamanya adalah isu air sebagaimana yang dibangkitkan dalam akhbar tadi, kami menghadapi masalah air kerana kami tinggal di unit yang tinggi, jadi ada masalah tekanan air. Maka, masalah tersebut kami hadapi hampir setiap minggu. Masalah tangki utama overflow juga selalu berlaku menyebabkan gangguan pada bekalan air. Sememangnya masalah air di kawasan tersebut merupakan masalah yang kritikal. Sehingga satu hari, kami tidak dapat mandi untuk ke kuliah di Universiti Malaya! Bayaran bil airnya juga luar biasa mahalnya(Ada pendapat sebab meter pukal) Bayangkan kami bertiga orang bujang, mesin basuh pun tiada, setakat guna air untuk mandi, basuh baju, masak air itupun bil air untuk setiap bulan RM30 ringgit dan ke atas. Banyak sangatkah air yang kami gunakan?! Namun, bayar tetap kena bayar. Lebih memusykilkan, bayaran bil air adalah kepada pihak pengurusan Flora Damansara dan bukannya kepada Syabas. Mungkin sebab pihak pengurusan tidak bayar ke Syabas yang menyebabkan Syabas memutuskan bekalan mereka pada masa ini.
Satu lagi masalah pada ketika kami menghuni pangsapuri tersebut adalah sampah. Pernah sekali hampir dua minggu sampah belonggok di hadapan lift. Apabila ditanya kepada pekerja, mereka ada mengatakan bahawa pihak pengurusan tidak membayar bayaran mengangkat sampah, sebab itu sampah tidak dapat diangkat. Pengurusan lagi!
Masalah lain semasa kami tinggal di situ adalah rakyat asing. Memang diakui bahawa ramai rakyat asing tak kira Indonesia, Bangladesh, Afrika memang ramai dan kadang kala ada kedengaran mereka mengganggu penduduk tempatan. Namun untuk mengatakan bahawa mereka sahaja yang menyebabkan jenayah di kawasan tersebut tidak tepat juga, ada juga penduduk tempatan yang melakukan jenayah tinggal di tempat itu.
Pernah satu malam, tatkala penulis ke kedai runcit di tingkat bawah, pekedai runcit tersebut bertanya, "You ada tengok itu worang ka, jatuh dari tingkat atas?" Penulis tergamam dan menjawab tidak. "You pergi tengok la. Saya pun sudah pergi, banyak ngeri or..saya pun mau pengsan." Lalu penulis pun mengajak rakan penulis melihat. Memang ada orang yang jatuh dari tingkat 23. Penulis malas hendak khabarkan bagaimana keadaannya. Malam tersebut penulis tidak dapat tidur. Mengenangkan kenapa orang tersebut boleh jatuh. Dia tertekan lalu bunuh diri kah? Atau sidai baju terjauh ke bawah kah? Atau nak ambil barang tergelincir ke bawah kah? Rupa-rupanya, besok malam keluar dalam berita yang orang tersebut merupakan pengedar dadah yang cuba lari apabila rumahnya diserbu polis. Cheh ! Nampaknya, ilmu hipotetiko-deduktif penulis masih belum sehebat watak komik Conan !
Banyak kali juga penulis membaca berita perihal tangkapan polis di pangsapuri tersebut selepas penulis tidak lagi tinggal di situ. Namun, kita seharusnya menerima bahawa jenayah dan penjenayah boleh berada di mana-mana. Lagipun, penulis perhatikan persatuan penduduk di kawasan Flora Damansara boleh dikatakan bergerak; dan mereka ahli-ahli surau pun kelihatan ramah dan bertegur sapa dengan penulis. Walaupun mesyuarat agung pesatuan hanya dilakukan di lobi blok sahaja, kehadiran penduduk tetap ada; memanglah tak ramai. Hal ini mungkin disebabkan sebilangan besar penduduk pun seperti penulis dan rakan-rakan; mereka terdiri daripada pelajar yang hanya tinggal untuk jangkamasa yang singkat. Atau mereka adalah pendatang asing yang mencari kerja di Malaysia, atau sememangnya orang Malaysia yang tidak mahu bermasyarakat!
Pengalaman tinggal di pangsapuri sebenarnya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Kini, penulis yakin bahawa harga sewa di Flora Damansara bukan lagi RM500 akan tetapi lebih. Sememangnya masalah setempat banyak berlaku di kawasan pangsapuri sebegini; bayangkan satu tingkat ada dua belas rumah; kalau dua puluh tingkat ? Sebab itu jugalah mereka yang tinggal di kawasan pangsapuri dan rumah pangsa selalu mengharapkan agar pihak pemaju, pengurusan dan pihak bertanggungjawab yang lain dapat membantu mereka andai berlaku kesukaran. Bayangkan kalau lift rosak dan tidak pula dibaiki, siapalah larat hendak naik sampai 20 tingkat dengan tangga kalau perkara tersebut berlaku. Oleh sebab itu, kita mengharapkan peranan YB-YB kita untuk turun padang dan cuba berunding, cari jalan penyelesaian untuk penduduk. Nak harap penduduk sahaja yang pergi, berapa kerat sahaja penduduk yang ada title Dato' atau tahu segala-gala tentang pihak yang sebenar bertanggungjawab? Lagipun, adakah mereka-mereka (yang sepatutnya bertanggungjawab) itu akan mendengar rintihan penduduk yang rata-ratanya orang kebanyakkan sahaja?
No comments:
Post a Comment