Saturday, October 8, 2011

Input: Belanjawan. Proses: Rang Undang-undang perbekalan. Output: Bajet. Outcome: Bajek?

 
Belanjawan 2012 telah pun dibentangkan di parlimen oleh YAB PM Najib merangkap Menteri Kewangan. Belanjawan kali ini boleh disifatkan sebagai belanjawan pilihan raya disebabkan begitu banyak insentif diberikan kepada rakyat. Pendidikan teras negara yang dahulunya diteriak oleh kerajaan sebagai 'percuma' kini bertambah percuma. Umur pesaraan wajib kakitangan awam telah ditingkatkan kepada 60 tahun, sesuatu yang begitu dituntut saban tahun oleh Cuepecs. Struktur gaji dan sistem saraan pun akan ditukarkan. Bantuan kepada keluarga yang berpendapatan kurang RM3000 juga diberikan. Budak sekolah pun mendapat bantuan RM100! Pelajar pra-U dan IPT pun mendapat baucer buku RM200! Begitu banyak sekali bantuan-bantuan yang dicadangkan oleh kerajaan!

Sekadar sampingan, apa yang penulis kelakar seram adalah betapa mudahnya pihak media melencongkan pengistilahan 'belanjawan' kepada 'bajet' hanya dalam sekelip mata. Sebelum perbentangan oleh PM, puaslah dicanang istilah belanjawan dan menyebabkan penulis berasa kagum; kembalinya istilah tersebut ke tempatnya. Namun, sejam sebelum perbentangan, istilah bajet kembali bermain di mulut pengacara program perbincangan belanjawan dan akhirnya selepas dua jam PM berucap panjang, di warta berita segala-galanya telah menjadi bajet. Dan hari ini (8/10/2011) akhbar membuat pusingan-U bagi menggunakan istilah bajet semula.

Untuk rekod, nama rasmi kepada belanjawan/bajet adalah rang undang-undang perbekalan. Sama ada rakyat tahu atau tidak, sebenarnya belanjawan merupakan satu undang-undang yang diluluskan oleh parlimen dan perlu kepada kelulusan ahli YB. Maka seandainya YB yang tidak menyokong lebih ramai berbanding yang menyokong semasa proses kelulusan, maka tak terbekalah Malaysia untuk satu tahun! Semakin besar nilai perbelanjaan kerajaan boleh menggambarkan betapa besarnya kerajaan itu atau semakin banyak yang perlu ditanggung oleh kerajaan berbanding dengan perolehan kerajaan.

Belanjawan biasanya akan menjadi defesit berbanding seimbang ataupun berlebihan kerana kos perbelanjaan yang sentiasa bertambah dan perolehan pula tidak semestinya meningkat. Oleh sebab itu, belanjawan sebenarnya lebih kepada unjuran perbelanjaan kerajaan dengan perolehan yang juga 'diunjurkan.' 'Duit' yang dikatakan dibelanja belum tentu terhasil daripada pendapatan yang diharapkan. Sebab itu, dalam kebanyakan belanjawan sama ada daripada pihak kerajaan atau 'belanjawan bayangan' daripada pihak pembangkang, tidak akan dibuat perincian seinci-incinya daripada manakah hasil kerajaan yang hendak diperbelanjakan itu.

Soalnya, mampukah kerajaan mencapai pendapatan yang dikatakan untuk dibelanjakan kepada rakyat itu? Kalau tidak, dari manakah datangnya duit itu untuk diberikan kepada rakyat?

Perkara sebegini merupakan cabaran kepada pihak pembuat dasar dan pelaksana kerana dengan suasana negara yang kadang-kala terlalu politikal, ramai yang kononnya 'ahli ekonomi' dan 'pakar kewangan' yang mengkritik kenapa bonos tak dibagi kepada pekerja, kenapa cukai dinaikkan, kenapa kerajaan cekik darah; lalu mereka akan bentangkan belanjawan mereka dengan memberikan 1001 harapan kepada rakyat manfaat yang akan mereka berikan andai mereka menjadi kerajaan.

Sedangkan semakin banyak kerajaan berbelanja, sebenarnya semakin banyak jugalah sumber yang perlu dihirup oleh kerajaan daripada bagi membolehkannya berbelanja! Lalu akan dipersoalkan kembali, berbaloikah nilai kerajaan berbelanja? Kita bukan bercakap tentang perbelanjaan keluarga Pak Abu atau duit poket anak Pak Kassim; kita bercakap soal negara! Kalau Pak Abu dan Pak Kassim boleh kerja sampingan (part-time) bagi cuba memenuhi perbelanjaan mereka, maka apakah ada 'kerja sampingan' yang perlu dibuat bagi kerajaan?

Sebab itulah di sebahagian negara, ada dikalangan rakyat mereka yang membuat tunjuk perasaan bagi meminta kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan mengkaji 'projek-projek' besar yang melibatkan kerajaan kerana perbelanjaan tersebut bermaksud kerajaan akan menggunakan duit cukai rakyat. Berbeza dengan Malaysia yang mana gaji kakitangan awam yang lebih diperjuangkan sehingga soal bonus, soal kenaikan gaji dan elaun lebih diraikan. Sedangkan dalam ekonomi asas (economy 101), semakin banyak yang terpaksa dibelanjakan bermaksud semakin kurang cekap dan berkesan sesuatu sistem. Jadi, dengan kadar produktiviti yang ada pada masa sekarang ini, sesuaikah gaji yang dibayar oleh pembayar cukai dengan perkhidmatan yang dirasai oleh rakyat kebanyakan?

Suntikan semangat sektor swasta pada belanjawan kali ini jelas kurang memberangsangkan pada tahap pekerja. Masih belum ada cadangan yang konklusif di peringkat kerajaan bagi gaji minimun bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana melainkan bagi mereka yang bekerja sendiri, dan bantuan setengah ribu yang sebenarnya, sama ada pekerja awam mahu pun swasta pun boleh memintanya kelak. Namun perlu diakui bahawa belanjawan bukanlah satu-satunya tempat bagi membincangkan isu ini. Rangka yang lebih mantap perlulah diusulkan bagi menjamin kebajikan pekerja swasta yang daripada segala segi, lebih anjal, tinggi tekanan dan mencabar berbanding rakan mereka di sektor awam.

Sudah semestinya sebagai rakyat, kita mengharap bahawa belanjawan populis ini memberikan kesan positif kepada sara hidup kita dan dapat menampung sedikit sebanyak kesukaran yang dihadapi oleh golongan marhaen. Besar harapan rakyat bagi agensi pelaksana agar dapat benar-benar melaksanakan apa yang telah dirancang bagi membuahkan hasil yang diinginkan. Kepada penjawat kerajaan, selamat menikmati skim gaji yang baru dan diharapkan dengan insentif yang begitu mengujakan (seuja ulasan presiden kesatuan sekerja mereka) dapatlah mereka meningkatkan produktiviti mereka dan membuang sama sekali persepsi buruk ‘birokrasi’ yang sering melingkari sektor perkhidmatan mereka yang mencecah 2 juta orang pekerja. Lembaga Produktiviti Malaysia atau MAMPU, silalah kemukakan laporan produktiviti agar rakyat boleh menilai keberkesanan dan kecekapan sumber yang mereka sediakan kepada kerajaan (baca: cukai) digunakan bagi memudahcarakan segala kegiatan berkait kerajaan. Jadikan laporan tersebut tajuk utama akhbar (perlu kerjasama pihak media pulak!) supaya rakyat peka dan cuba faham daripada sekadar satu berita sampingan satu lajur daripada seluruh muka surat khabar yang biasanya diletakkan di bahagian dalam yang orang pun kadang-kala tak baca.

Dan bagi pihak kerajaan, terima kasih kerana memberikan satu cadangan perbelanjaan yang disifatkan begitu menyeluruh; walaupun ada pihak yang merasakan mungkin harapan mereka tidak tertunai. Cukai rokok & tembakau dan arak tidak dinaikkan; sudah tentu memberi satu booster kepada perokok tegar. Namun kita tidak tahu pada masa akan datang dan sudah semestinya perlaksanaan cukai penggunaan akan memberikan impak luas kepada bukan sahaja rokok dan arak, sebaliknya segala perkara yang berkaitan dengan ‘barangan’ dan ‘perkhidmatan.’ Semoga kerajaan berdaya saing dan mampu mengekalkan atau menambahbaik tahap ekonomi negara dengan sebaik mungkin dan mengelak daripada meminjam wang daripada negara lain dengan banyaknya sehingga boleh menyebabkan krisis hutang persis negara-negara Eropah pada masa kini.

Satu lagi, bagi pihak media dan kerajaan juga, nampak sangat yang usaha memartabatkan bahasa Melayu sekadar bertanam tebu di pinggir bibir kerana sudahnya, jadi ‘bajet’ juga akhirnya istilah timangan untuk ‘rang undang-undang perbekalan.’ Sudah-sudahlah. Janganlah munafik (hipokrit) hendak jadi pejuang bahasa, menuntut universiti menjadi pendorong pejuangan bahasa kalau kerajaan sendiri tidak mahu turut serta memperjuangkannya. Sebab itu wujud perkataan bajet, sebab kerajaan pun pengiakannya penggunannya. Tugas memartabatkan bahasa bukan sekadar di bahu rakyat, kerajaan dan media pun perlu turut serta melakukannya.

Dari itu, selamatlah berbelanja atau berbajet!

Monday, October 3, 2011

Pekerja lama hendak lama; yang baru nak campak mana?

 
Ramai orang yang mengatakan bahawa dengan peningkatan kos sara hidup, gaji pekerja mesti dinaikkan. Hanya dengan gaji naik sahaja maka rakyat boleh bertahan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar. Tuntutan sebegini biasanya dibuat oleh badan-badan penekan dan kesatuan-kesatuan pekerja. Pada hemat mereka, adalah wajar untuk majikan mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh pekerja bagi sektor pekerjaan mereka. Bukankah pekerja yang berusaha dengan penuh dedikasi dan penat lelah untuk menyumbang kepada peningkatan pendapatan firma/kerajaan dan bagi mereka yang telah memenuhi keperluan pendapatan dicukai, maka cukai pula perlu dibayar untuk pembangunan negara?

Pada masa yang sama, kedengaran dengan lantang dan jelas supaya umur pesaraan wajib bagi kedua-dua sektor awam dan swasta ditingkatkan ke 60 tahun. Bukankah mereka yang berpengalaman ini patut dihargai kerana telah memberi sumbangan besar kepada firma/kerajaan dan pengalaman mereka tidak akan sama sekali dapat dijual beli? Malah, merekalah yang sepatutnya diangkat menjadi mentor kepada pekerja baru agar dapat menurunkan ilmu dan pengalaman bagi menghadapi cabaran mendatang?

 
Bagi generasi muda, janganlah sama sekali rasa terancam bahawa peningkatan umur pesaraan ini mengganggu-gugat peluang mereka memasuki alam pekerjaan. Peluang pekerjaan banyak! Terdapat beratus ribu kekosongan jawatan dalam segala bidang yang boleh diisi oleh mereka. Malah, ada yang menyindir 'andai yang muda ini sudah tiba ke tahap umur yang tua, pasti cadangan lanjutan umur pesaraan ini pantas dipersetujui.’ Kita perlu menerapkan meritrokrasi sedari sekarang supaya yang benar-benar layak sahaja yang mengisi jawatan. Yang tidak layak, silakan pergi kursus-kursus peningkatan kemahiran bagi menambahkan ilmu dan pengalaman. Kita perlukan pekerja yang dinamik, yang mampu menghadapi pancaroba akan datang, jadi perlukan bakal pekerja yang mahir, yang mantap serba-serbi. Jangan rasa peluang tidak ada hanya kerana yang tua diberi peluang barang tiga-empat tahun tambahan bekerja kerana kelak, yang muda akan jadi tua menyebabkan kaedah sama juga memberi manfaat kepada yang muda sekarang ini.


Lalu dibuatlah perbandingan umur pesaraan dengan negara-negara lain, semuanya bagi maksud merasionalkan keperluan untuk melanjutkan umur pesaraan. Ada negara yang hingga 65 tahun, ada yang sehingga 60 tahun. Maka dikeluarkanlah kenyataan bahawa 'rakyat Malaysia terlalu muda untuk pencen pada 55 tahun.’ 55 tahun itu masih muda! Kata orang putih, 'life begin at 40!' Kalau begitu, jangka masa selepas 40 baru 15 tahun jika umur pesaraan dikira pada usia 55 tahun.


Andai dilihat pula daripada segi jangka umur, secara puratanya, umur penduduk di Malaysia adalah lebih 70 tahun. Sudah tentu perbezaan 15 tahun selepas pesaraan perlu diambil kira. Bayangkan tabungan pesara kelak sekiranya sekadar bekerja sehingga 55! Kalau setakat tabungan RM100 000, maka jumlah perbelanjaan bulanan yang dapat ditampung selepas bersara hanya sekitar RM550; setara dengan pendapatan golongan miskin. Justeru, tambahan masa bekerja sehingga 60 tahun pasti akan membantu mereka menampung kehidupan selepas sepuluh tahun mereka bersara. Lagipun, mereka yang telah tiba di usia sedemikian bolehlah dikatakan sebagai 'nenek-nenek' atau 'atuk-atuk' atau mungkin 'moyang-moyang.' Inilah masanya orang-orang muda berbakti kepada bakal-bakal nenek, atuk dan moyang dengan memberikan tempat kepada mereka bekerja barang lebih lima tahun daripada masa biasa sekarang ini. Bukannya hendak minta duit pun, hendak minta kerja itu diberi tempoh yang lebih lama! Mereka yang terbabit bukannya makan gaji buta! Tetapi sebenarnya menyumbang juga untuk negara!


Begitulah hujah-hujah mereka yang membangkitkan dan menyokong cadangan ini. Kesemuanya menjurus kepada tekanan kos ekonomi yang tinggi, kepakaran yang berharga dan jangka hayat penduduk yang meningkat. Oleh sebab itu, sebagai orang muda mereka mesti faham cadangan dan tuntutan ini sebenarnya membawa manfaat bersama. Kita kena fikirkan yang muda sudah tentu akan jadi tua, dan yang tua sudah tentu bertambah tua dan mungkin telah menghadapi Ilahi tatkala yang muda menjadi tua. Apalah salahnya andai umur pesaraan itu dilanjut sampai ke 60 tahun?


Penulis setuju sangat dengan cadangan tersebut. Malah, jangankan sampai ke umur 60, sampai ke tua­-bangka pun penulis setuju sangat. Malangnya, kita mesti berpijak di bumi yang nyata dan realiti masa kini. Antara kehendak, kemahuan untuk bekerja, keperluan, kemampuan majikan untuk membayarnya dan kemampuan pekerja itu sendiri untuk bekerja. Faktor-faktor inilah yang sepatutnya ditimbang dahulu sebelum kerajaan/pihak majikan untuk melaksanakannya. Kalau negara mampu, memang patut ditanggung rakyatnya sampai ke liang lahad. Patutnya dibayar terus pencen untuk semua tanpa mengira sektor apa kerana mereka semua berjasa kepada negara. Buat apa disuruh kerja pasca-55? Akan tetapi, mampukah kita?

Sebab itu kita hendaklah berpijak di bumi yang nyata. Kita jangan menuntut tetapi sekadar sehala sahaja tuntutan kita. Kalau boleh dilaksanakan, nah silakan! Tetapi kalau tak dapat, janganlah kita menuduh orang muda takut kepada peluang orang tua. Mungkin ada dikalangan muda yang berfikiran begitu akan tetapi kehujahan mereka tidak semestinya salah. Kita kena kaji secara pendekatan holistik bagi menanganinya. Kalau sesebuah firma itu mampu, rasanya tidak akan ada sebab mereka tidak berbuat begitu kerana pekerja merupakan aset. Lebih mudah mengekalkan pekerja berbanding mencari yang baru yang sudah semestinya perlu dibangunkan (nuture). Namun kalau pekerja tersebut mempunyai masalah, misalnya masalah kesihatan sehingga menjejaskan produktiviti, mengapakah perlu diberi peluang kepadanya sehingga lanjut umur?

Selain itu, sikap ‘orang muda-orang tua’ merupakan satu lagi yang mendorong orang muda kurang gemar dengan cadangan sedemikian. Golongan yang veteran ini kadang-kala lebih menjadi liabiliti berbanding aset seandainya mereka kekal pada pemikiran takuk lama. Pemimpin-pemimpin tertinggi kadang-kala mendakwa bahawa yang muda kurang kreatif, namun apakah ertinya kreativiti dan inovasi yang cuba diketengahkan oleh orang muda kalau orang lama itu tolak mentah-mentah. Sudahnya, yang muda akan kekal mengikut perangai orang yang lama dan mereka akan berperangai sama apabila mereka tiba ke tahap tersebut. Tiada peningkatan langsung daripada segi sikap, kelakuan dan hubungan daripada satu generasi pekerja ke generasi yang lain kerana sebarang perubahan akan dicantas siang-siang.

Kekangan kewangan juga menjadi salah satu faktor yang mungkin dipertimbangkan. Adalah lebih mudah membayar pekerja baru pada harga yang lebih rendah berbanding mengekalkan yang tidak produktif pada harga yang tinggi. Menggaji pekerja baru yang dinamik lebih baik daripada menyimpan penyakit di dalam sesebuah firma. Oleh sebab itu, janganlah harapkan yang tua hendak dibayar sedangkan banyak kerja yang tak beres sedangkan yang muda mungkin boleh membuat kerja dua kali ganda berbanding yang tua.

Lebih daripada itu, pekerja lama telah dapat merasa suasana ekonomi yang jauh lebih baik berbanding pekerja baru, jadi apa salahnya orang lama berkorban sedikit demi yang muda dalam bidang pekerjaan setelah tiba masa yang veteran itu bersara? Andai kos sara hidup masa sekarang dijadikan sandaran, bagaimanakah pula kos sara hidup pada masa hadapan? Setakat ini, terlalu sedikit harga barangan keperluan yang mempunyai trend menurun harganya berbanding menaik! Generasi pencen sekarang mungkin sudah memiliki rumah; namun harga perumahan secara statistiknya sentiasa meningkat sehingga harga yang tidak munasabah. Sudah tentu generasi muda akan perlu membayar lebih berbanding generasi pencen jikalau untuk memiliki rumah!

Peluang kenaikan pangkat pekerja pula, kalau pun tidak memberikan kesan yang besar, pasti akan tetap memberikan kesan kepada struktur pangkat dan jawatan sesebuah firma dan jabatan kerajaan. Sudah tentu yang veteran menginginkan jawatan dan tangga gaji lebih tinggi dan lebih baik andai hendak dikekalkan berbanding jawatan lama. Oleh yang demikian, adalah sangat wajar kajian dilaksanakan kerana pekerja yang baru masuk ke alam pekerjaan sudah tentu akan terpaksa menghadap masa yang lebih panjang untuk naik pangkat kerana yang di atasnya kekal lebih lama.

Justeru penilaian yang menyeluruh harus dilakukan oleh pakar-pakar tempatan bagi mencari penanda aras yang realistik untuk usia pesaraan di Malaysia. Jangan dilihat semata- mata kepada usia pesaraan negara lain andai tidak dilihat bersama-sama dengan kerangka sistem pesaraan mereka (termasuk kaedah tabungan), kadar kelahiran, kadar kematian dan tahap kesihatan, lebih-lebih lagi penyakit kronik. Jangan kita bandingkan kita dengan negara yang mempunyai kadar kelahiran dan kadar pertumbuhan populasi yang rendah sedangkan generasi baru mereka jauh lebih rendah dinisbahkan dengan negara ini. Bak kata orang putih bandinglah epal dengan epal. Bandinglah ‘pekerjaan’ itu secara holistik meliputi segala sistem berkaitan dan dasar pemerintah agar kita dapat maklumat yang tepat dan berguna untuk kita contohi di negara kita. Penulis yakin perkara tersebut pantas sekali dilakukan oleh pakar-pakar sosial dan pembuat dasar negara ini bagi membolehkan keputusan yang lebik konstruktif bersama-sama bukti-bukti empirikal dan bukan sekadar andaian-andaian kosong.


Selain itu, mentor yang baik menghasilkan protege yang baik. Malah, dalam kebanyakan keadaan, protege lebih menyerlah berbanding mentor. Maka kita hendaklah mewujudkan satu sistem ‘pewarisan tanggungjawab’ (succession) yang mantap bagi mempersediakan orang baru mewarisi kerja orang lama dengan lebih baik. Pengekalan orang lama seharusnya lebih kepada mempersiapkan orang baru untuk mengambil alih jawatannya, dan bukannya semata-mata sebagai ‘mengenang jasa,’ atau ‘sebagai membantu yang veteran menambahkan tabungan pesaraan’ atau kerana ‘yang tua lebih dulu makan asam dan garam berbanding yang muda.’ Didiklah si muda supaya merasa garam dengan betul, yang asli; bukannya hanyut dek kesedapan serbuk perasa monosodium glutamate; sedapnya seketika tetapi haus selepasnya... Masya Allah! Namun, bersediakah orang yang veteran ini bertindak demikian berbanding berfikiran yang lebih muda cuba merampas kerjanya kelak?


 
Kesimpulannya, sebagaimana yang pernah diutarakan dalam blog ini bagi isu wanita yang cuti bersalin mahukan cuti tiga atau empat bulan, tuntutan hendaklah dibuat mengikut kemampuan kita dan bukan kerana negara lain buat, maka negara kita hendaklah buat. Kalau mampu, tiada salah, cacat dan celanya berbuat demikian. Namun kalau tak mampu, berlapang dadalah kerana ketakmampuan kerajaan dan majikan kita. Kejayaan generasi sekarang sangat bergantung dengan generasi terdahulu dan memanglah patut untuk generasi sekarang akui. Pada masa yang sama, penting juga diingat bahawa kejayaan generasi akan datang pula sangat-sangat bergantung kepada generasi sekarang juga. Selain kita bekerja untuk diri kita, ingat-ingatlah juga kepada yang akan datang yang akan mengganti kita sebab mereka pun akan kelak mengganti tempat kita.
Letaklah tuntutan pada tempatnya.,..................

Saturday, October 1, 2011

PAS WAJIB laksana hudud

 

Salah satu ciri-ciri pemimpin yang adil adalah melaksanakan perkara-perkara yang pernah dijanjikannya dahulu (kini dan selamanya). Pemimpin yang adil merupakan antara tujuh yang dinaungi Allah pada hari akhirat kelak[1]. Intisari hadis ini sering digunakan oleh penceramah-pencerama, ustaz-ustaz dan ulama-ulama dalam memperteguhkan tuntutan Islam terhadap kemimpinan yang adil.

PAS sebagai sebuah institusi politik tidak kurang pentingnya memahami intisari hadis tersebut. Menunaikan janji bukan sahaja untuk memelihara keadilan, malah turut serta mencakupi tuntutan amanah dalam kepimpinan umat Islam. Malah, sebagai entiti yang begitu dikaitkan dengan Islam, PAS sudah tentu lebih faham dan lebih tahu hal-hal berkaitan kepimpinan yang adil dan amanah.

Perjuangan dalam menegakkan undang-undang hudud bukanlah baru dikemukakan oleh PAS. Malah, pemimpin mereka terutamanya Mursyidul Am Tuan Guru Sahibus Samahah Al-Alamah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan mudah dan senang melabel kerajaan pusat BN sebagai sekular. Begitu juga dengan Presiden PAS kini Tuan Guru Sahibul Fadhilah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pernah mengeluarkan amanat bahawa perjuangan menentang UMNO hukumnya fi-sabilillah dan kalau mati maka dikategorikan sebagai mati syahid[2]. Begitulah pemikiran PAS dalam mencorakkan minda masyarakat Islam bahawa pemerintahan BN kini merupakan pemerintahan yang tidak berlandaskan Islam. Seolah-olah hanya parti mereka sahajalah yang dikatakan 'hizb Allah' dan hanya parti mereka yang boleh menegakkan sistem perundangan Islam. Sebab itu tidak hairan ada pemimpin mereka yang mewajibkan pengundi muslim untuk menyokong mereka.

Malang sekali, dengan pengalaman, ilmu dan sumber yang sedia ada, PAS masih tidak menunaikan janji mereka untuk melaksanakn agenda hudud yang selama ini mereka perjuangkan. Mereka mempunyai majoriti besar dalam dua buah negeri, namun masih tidak kelihatan usaha mereka ke arah mengimplimentasikan hukum hudud. Ada suara-suara dikalangan mereka sendiri yang berkata, 'cakap senang, nak buat kita perlu lebih lagi.' Ada juga yang mengeluarkan pelbagai hujah dan pelbagai alasan, kaitkan soal kerajaan pusat masih dikuasai BN, ada yang berkata mengenai semangat setiakawan/solidariti dalam Pakatan Rakyat, ada yang bertegas tentang 'yang penting adalah roh perjuangan' dan sebagainya.

Soalnya sekarang, semasa berkempen (tak kiralah semasa pilihan raya atau ceramah) isu hudud itulah yang menjadi salah satu daripada isu yang dicanang dan yang dibangkitkan untuk dilaksanakan. Pemimpin mereka, ustaz-ustazah mereka begitu menitikberatkan soal hudud dan seandai kita tidak berhukum melainkan hukum Allah, maka kita dikatakan sebagai zalim, fasik dan kafir[3]. Hujah sedemikianlah yang sering digunakan dan sering dijadikan dalil mengapa hudud itu perlu dilaksanakan dan mengapa pengundi 'wajib' mengundi mereka. Jadi, apabila sudah menang, mengapakah ada perselisihan antara pemimpin mereka sama ada hendak laksanakan hudud atau perlu akur kepada semangat solidariti Pakatan Rakyat?

Kini, Kelantan telah lebih dua puluh tahun di bawah pemerintahan PAS. Tuan Guru Pok Nik telah menjadi antara MB paling lama memerintah sesebuah negeri[4]. Maknanya, sudah lebih dua puluh tahun sebuah parti yang mendasarkan hudud sebagai asas perjuangan mereka. Dengan tempoh yang begitu lama, apakah yang menghalang PAS untuk menegakkan hudud yang mereka beria-ia war-warkan? Mengapakah masih tidak dilaksanakan hudud yang begitu dijunjung oleh pemimpin-pemimpinnya sehingga sanggup mengatakan kalau sokong PAS, maka syurgalah balasannya?

Justeru, dengan keadaan PAS yang kini bukan sahaja berjaya di peringkat parlimen, malah mempunyai dua negeri di bawah pemerintahannya, maka tiada alasan lagi untuk PAS melaksanakan hudud. Kini, PAS wajib melaksanakan hudud kerana telah diberi mandat terutamanya di Kelantan dan Kedah, apatah lagi sudah dua puluh tahun pemerintahan PAS di Kelantan. Andai diambil contoh sumber kenabian, Rasulullah SAW berdakwah dan menegakkan sebuah negara Islam di Madinah dalam jangka masa sepuluh tahun. Itu dikira Nabi SAW bermula daripada dakwah menyeru penduduk Arab memasuki Islam terlebih dahulu, barulah usaha pembentukan sebuah pentadbiran Islam terlaksana. Namun di Kelantan misalnya, sudah tersedia wujud umat Islam majorti besar semasa pemerintahan PAS; maka tidak ada alasan langsung untuk tidak menegakkan hudud-Allah sebagaimana yang sering pemimpin mereka ceramahkan, tazkirah dan sebagainya.

Janganlah apabila sekutu mereka didakwa atas tuduhan liwat atau berbuat zina, maka penyokong mereka berteriak 'empat saksi' atau 'qazaf' yang menampakkan sangat yang mereka tidak faham hudud itu sendiri. Dan apabila ada kedengaran sekutu mereka tidak setuju langsung dengan hasrat PAS untuk melaksanakan hudud, lantas mereka menyalahkan UMNO pula yang menjadi dalang membangkitkan isu ini. Memanglah UMNO akan ambil kesempatan mencanang dan melaga-lagakan PAS dengan sekutunya DAP; macamlah PAS juga ambil kesempatan dalam setiap kelemahan dan kekurangan dasar UMNO dan BN. Namun, janganlah tukar topik pula hendak salahkan orang lain mengambil kesempatan terhadap keadaan, sebaliknya cubalah putuskan dan usahakan untuk menunaikan janji melaksanakan hudud sebagaimana yang dihebah-hebahkan selama ini.

Islam itu dilihat daripada niat, percakapan dan perbuatan. Kalau sekadar cakap sahaja, atau khutbah sahaja atau ceramah berapi-api sahaja tanpa tindakan, maka tiada maknanya. Kata orang putih, 'word is cheap.' Dahulu mungkin orang percaya apa yang dijanji dan dikatakan. Namun lama-kelamaan janji pasti ditagih. Janji tersebut merupakan amanah yang perlu ditunaikan. Harapan besar rakyat yang mengundi dek kerana terkesan dengan ceramah, janji dan kepastian yang parti yang mereka undi akan melaksanakan hukum Allah. Namun, sehingga kini hudud itu sekadar di mulut tok guru, ustaz-ustazah dan pemimpin sahaja. Perlaksanaannya tiada! Zero! Dan kini sudah dua puluh tahun menanti di Kelantan tetapi ceritanya masih sama. 'Akan laksana, akan laksana.' Soalnya bila?

Kesimpulannya, PAS wajib melaksanakan hudud kerana itulah yang mereka jadikan sebagai salah satu hujah mengapa umat Islam perlu menyokong mereka. Malah, PAS adalah satu-satunya entiti politik kini yang menggunakan nama 'Islam' dan mengeksploitasi sepenuhnya nama 'Islam' yang mereka ada untuk mengatakan segala tindakan, keputusan dan kelakuan mereka lebih Islamik berbanding parti lain. PAS mendakwa mereka pejuang unggul gagasan Islam tulen tidak berasaskan asabiyah; malah Mursyidul Am mereka tidak berbangga langsung menjadi seorang Melayu[5]. Oleh yang demikian, PAS kini tidak ada alasan langsung untuk tidak melaksanakan hudud. Wajib untuk PAS melaksanakan hudud lebih-lebih lagi di Kelantan dan Kedah kerana mereka telah diberi peluang untuk memerintah di sana.

Atau sebenarnya segala-galanya cuma cakap-cakap politik, yang digunakan untuk memancing undi bagi menunjukkan betapa Islamnya mereka berbanding yang lain....

Nota hujung


[1] Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW, Tujuh golongan manusia yang mendapat naungan Allah pada ketika tidak ada satu pun naungan selain daripada naungan-Nya: pemimpin yang adil, pemuda yang rajin beribadah kepada Allah, seseorang yang hatinya terpaut di masjid, dua orang saling mengasihi; berkumpul dan berpisah kerana Allah, seseorang yang diajak oleh wanita yang berkedudukan dan cantik tetapi dia kata: ‘Aku takut kepada Allah,’ dan (seterusnya) orang yang bersedekah lalu dirahsiakan sedekahnya sehinggakan tangan yang di sebelah kanan tidak tahu apa yang diinfakkan oleh yang disebelah kiri, dan orang yang berzikir pada kesunyian malam lalu menitiskan air matanya. (Hadis riwayat Muslim)

[2] Polemik ini walaupun ada dikalangan ahli PAS sendiri tidak mengakuinya, namun sememangnya terbukti wujud ucapan sedemikian. Rujukan contoh adalah daripada teks http://ms.wikipedia.org/wiki/Amanat_Haji_Hadi.

[3] Surah Al-Maidah: 5 ayat 44, 45 dan 47. Ayat-ayat inilah yang sangat-sangat selalu digunakan oleh pemimpin dan ahli PAS bagi berhujah atas kewajipan melaksanakan hukum Allah; dan caranya adalah dengan melaksanakan perundangan hudud. Namun, setelah ‘hilang’ tuntutan negara Islam, masih tidak diketahui bagaimanakah mereka hendak berhujah atas kehujahan yang dahulunya mereka begitu pertahankan.

[4] Selama lebih 20 tahun PAS memerintah Kelantan, selama itulah Tuan Guru Pok Nik menjadi MB Kelantan.

[5] Hal ini pernah dinyatakan oleh Tuan Guru Pok Nik sekitar 2010 dengan menyatakan bahawa beliau tidak berbangga menjadi seorang berbangsa Melayu datang secara ‘automatik.’ (rujuk http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_06.htm.). Pada beliau, yang penting adalah yang lebih takwa. Hujah beliau berasaskan Surah Al-Hujaraat: 49, ayat 13. Bagaimanapun, andai dilihat daripada pangkal ayat, Allah telah berfirman mengenai penciptaan manusia oleh-Nya daripada lelaki dan perempuan (Adam dan Hawa) dan daripadanya bangsa dan puak supaya berkenal-kenalan. Menurut satu tafsiran, Mujahid menyatakan yang dimaksudkan ‘berkenal-kenalan’ itu apabila seseorang berkatakan ‘wahai sekian anak sekian daripada puak sekian.’ Nyata di sini bahawa suku, puak dan bangsa sememangnya wujud dan menjaganya adalah penting bagi menjamin kelangsungan bangsa. Salah satu maqasid syar‘iyah adalah untuk menjaga keturunan dan peringkat atas kepada keturunan itu adalah bangsa. Walaupun jelas bahawa yang paling mulia disisi Allah SWT adalah yang paling bertakwa, bukan bermaksud bangsa dan kaum kerabat tidak perlu dijaga. Beberapa hadis Nabi SAW menyatakan bahawa sedekah yang terbaik adalah kepada ahli keluarganya (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.) Tuntasnya, tidak dinafikan bahawa ketakwaan jualah yang membezakan seseorang itu dengan yang lain disisi Allah namun tidaklah bermaksud usaha menjaga bangsa, suku dan puak itu salah di sisi agama Islam selagi usaha tersebut tidak mendatangkan kezaliman kepada yang lain dan tidak melanggar syariat Islam.