- Sebenarnya isu ini sudah menjajat lebih tiga minggu dan baru kali ini blog ini ingin mengulasnya. Masih tidak terlewat untuk mengulas isu tersebut; lebih-lebih lagi mengenangkan gelagat manusiawi yang sememangnya sering tergesa-gesa dalam melakukan pelbagai perkara di atas muka bumi ini.
- Polemik JAIS 'serbu' gereja kini sudah berubah tunjangnya daripada aspek akidah kepada aspek politik. Saman-menyaman telah berlaku dan tuduh menuduh telah pun digembar-gemburkan. Situasi sebegini tidak ubah sebagaimana pada zaman Khalifah Ar-Rasyidin terakhir yang mana umat Islam berpecah-belah kerana masing-masing hendak menegakkan yang mereka lebih benar berbanding puak yang satu lagi. Sehingga timbulah ungkapan mengkafirkan sesama sahabat yang seterusnya membawa pertumpahan darah sesama umat Islam pada ketika itu.
- Soalnya, siapakah yang lebih benar pada ketika itu?
- Selepas Khalifah Ali KRW meninggal dunia dibunuh, runtuhlah satu sistem asli (genuine) pemerintahan kekhalifahan Islam dan bangkit pula sistem monarki Islam sungguh pun pemerintah tertinggi daulah Islamiyyah pada ketika itu menggunakan gelaran 'khalifah.' Begitulah hebatnya pertentangan idealisme umat Islam ketika itu sehingga menyebabkan runtuhnya satu paradigma asli agama Islam yang membawa kepada unsur-unsur baru menyerap masuk ke dalam sistem pemerintahan dan politik Islam.
- Tidak berhenti setakat itu, umat Islam terus menerus menghadapi perbalahan sesama sendiri melibatkan akidah pula. Pada zaman 'keemasan' Islam, umat Islam sebenarnya menghadapi cabaran sengit dalam soal akidah pula apabila fahaman cenderung kepada dalil akal muncul. Puak ini digelar Muktazilah dan kehebatan mereka mendapat perhatian Orientalis zaman kini dalam mengiktiraf 'kemajuan umat Islam.' Nama seperti Ibn Sina, Ibn Rushd dan Al Farabi menjadi penyumbang kepada pemikiran yang pro-akal (walaupun tidaklah semestinya mereka Muktazilah) sehingga menyebabkan berlaku 'pertelingkahan' kosmologi dan teologi antara mereka dan puak sunni. Kemuncak kepada pertelingkahan hujah tersebut maka lahirlah Tahafut Al-Falasifah yang ditulis oleh Al-Ghazali.
- Al-Ghazali, tokoh yang digelar Hujjahtul Islam seterusnya menyusun pula sebuah karya monumental yang berjudul Ihya Ulumuddin yang berhasrat mengembalikan semula pemikiran Sunni sebagai tunjang falsafah Islam. Bagaimanapun menjelang masa, Ihya juga dikritik teruk kerana terlalu banyak menggunakan hadis-hadis dhaif dan maudu' di dalamnya. Malah, terdapat juga cakap-cakap mengatakan bahawa terdapat negara Islam kini yang telah mengharamkan sama sekali Ihya kerana ada umat Islam yang melebihkannya sehingga ke tahap Al-Quran sedangkan kitab tersebut bukanlah sebuah kitab yang berautoriti dari segi hadisnya.
- Mutakhir selepas zaman kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyah, muncul pula gerakan 'mengembalikan semula Islam ke asasnya' yang kini digelar fundemantalis. Tokoh seperti Ibn Taimiyah, Muhammad ibn Wahhab antara pelopor gerakan sebegini yang kemudiannya mempengaruhi sedikit sebanyak gerakan islah yang membawa kepada tokoh-tokoh seperti Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Redha dan Qutbuddin Ahmad (Shah Waliyullah Ad-Dahlawi). Bagaimanapun, gerakan sebegini pun dikritik apabila ada yang mengaitkannya sebagai gerakan anti-mazhab dan/atau selalu membidaahkan amalan tertentu yang telah diamal menjadi adat turun-temurun.
- Kesan di Malaysia juga nyata apabila ada ulama-ulama tertentu sebelum merdeka yang pendapatnya dikatakan tidak selaras dengan mazhab Syafie; sehingga wujudlah regim yang dikatakan sebagai kaum muda (yang cenderung kepada islah dan tajdid) dan kaum tua (yang cenderung mempertahankan tradisi). Sekadar menyebut beberapa nama yang mana pendapat mereka berbeza dengan kebiasaan pada ketika itu seperti Zaaba, Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin dan Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi. Pandangan Hassan Bandung (A. Hassan) dan Haji Abdul Malik Amrullah (HAMKA) juga antara pandangan yang 'digam' pada ketika itu (berkait soal fikah).
- Oleh sebab itu, adalah tidak menghairankan sangat apabila pada masa sekarang ini, pasca tahun 2000 pun, masih ada pertelingkahan pandangan sama ada berkait akidah, fikah dan lebih-lebih lagi teristimewanya di Malaysia: politik. Mempolitikkan isu agama merupakan sesuatu tindakan yang cukup-cukup gemar dilakukan oleh ahli politik Islam Malaysia, apatag lagi apabila di Malaysia, wujud sebuah parti yang bernama parti Islam yang pandangan mereka berkaitan Islam hendaklah pada pendapat mereka perlu diraikan lebih berbanding autoriti agama lain di dalam negara.
- Berbanding Muhammadiyah dan Nadhatul Ulama di Indonesia yang mana entiti kedua-duanya boleh dikatakan wujud tanpa terlalu banyak sangat pertelingkahan politikal, di Malaysia, ada mufti yang digelar mufti poco-poco, ada ulama yang digelar barua kerajaan dan ada tok guru yang peranannya sudah sampai ke tahap 'Mullah' apabila semua kenyataan beliau dipetik sebagai hukum belaka! Perkara sebegini merupakan sesuatu yang akan menyelinap di dalam arena keagamaan Malaysia saban hari dan saban masa.
- Kembali kepada isu JAIS yang dikatakan 'menyerbu' sebuah gereja Methodis di Petaling Jaya, putaran isunya tetap sama. Akhirnya isu ini dipolitikkan dan wujudlah seolah-olah ada konspirasi tertentu bagi menjatuhkan pihak tertentu. Walhal, isu pokoknya adalah umat Islam cuba untuk dimurtadkan! Cubaan Kristianisasi telah berlaku dan hal ini entah macam mana diputar alamkan kepada isu politik! Alangkah anehnya umat Islam di Malaysia?
- Kita sudah pernah mendengar ada masjid yang membuat dua jemaah Jumaat hanya kerana imam berlainan parti politik. Kita juga telah didedahkan dengan baiah andai seseorang keluar parti, akan tertalaklah si isteri dan wanita di dalam parti tersebut berasa bangga dengan baiah tersebut. Kita pun telah dengar kalau keluar parti sekian, maka nerakalah hukumnya dan dilaknat Allah Taala namun apabila masuk ke parti tersebut, akan bersihlah segala dosa sebagaimana bayi yang baru lahir. Bukankah perkara-perkara sebegini cukup-cukup menganehkan?
- Dan apabila umat Islam di negara ini menghadapi isu Kristianisasi sebagaimana di dedahkan di dada-dada akhbar; bukannya kenyataan bersama yang hendak dikeluarkan. Sebaliknya 'jangan terpengaruh dengan muslihat parti tertentu,' atau 'ini merupakan satu sandiwara politik pihak tertentu,' atau 'eh, apa pula parti kita yang suruh, bukankah JAIS bawah pemerintahan parti itu.' Umat Islam sedang mengadapi cabaran akidah dan mereka yang berkuasa dan berpengaruh ini cenderung 'main bola;' tendang sini tendang sana isu tersebut? Apa ke hal?
- Penulis sungguh pun mengakui bahawa seharusnya badan bertanggung jawab (jabatan agama Islam, Majlis Agama Islam, Baitul Mal, Jabatan Kebajikan Masyarakat)perlu lebih peka keperluan umat Islam yang kekurangan dari segi wang ringgit; tetapi penulis tidak akan bersikap apologikal andai benar umat Islam di Malaysia ini sedang berusaha dipesongkan akidahnya. Kalau benar kita sebagai rakyat negara 1Malaysia, mengapakah bantuan yang hendak diberikan disulami dengan pujuk-rayu dan syarat-syarat yang berkaitan dengan agama (seperti nyayian, amalan, ikrar)? Lakukanlah kebajikan tersebut atas nama rakyat Malaysia dan bukannya cuba untuk menyulami bantuan dengan mengganggu gugat kepercayaan yang dianuti oleh seseorang itu!
- Bagi pemimpin Islam pula, ambil contoh isu murid beragama Islam disogok dengan unsur-unsur nyanyian Kristian dan bertuhankan Jesus sebagaimana yang didedahkan oleh media tempoh hari, guru yang melaporkannya merupakan seorang bukan Islam dan beliau melaporkan atas rasa tanggung jawab sebagai rakyat Malaysia. Mengapakah ada yang bukan Islam yang rasa 'lebih bertanggung jawab' mendedahkan hal tersebut sedangkan dalam isu gereja ini, umat Islam 'tidak pula lebih bertanggung jawab' untuk duduk semeja dan cuba menyelesaikan isu yang sama?
- Oleh sebab itu, pemimpin-pemimpin Islam Malaysia seharusnya bersatu-padu bagi mencari jalan penyelesaian kepada kes-kes sebegini dan bukan hanya tunggu isu Palastin sahaja barulah hendak bergabung tenaga mengutuk Yahudi. Dalam kita mengutuk dan mencerca regim Israel dan Zionis yang menzalimi umat Islam di Palastin, adakah kita terlupa bahawa puak-puak ini satu ketika dahulu dihina dan dicerca tak bertanah air. Namun disebabkan kesepaduan antara mereka menyokong antara satu sama lain (pada masa itu) dalam mempropagandakan sistem kapitalis menyebabkan mereka kini boleh memijak-mijak kepada umat Islam dengan semudah itu?
- Justeru, kepada PAS, tak usahlah label ini isu perangkap maut UMNO atau sandiwara BN, alangkah eloknya gunakanlah biro dakwah yang ada berdakwah kepada mereka yang memerlukan? Kononnya hendak menegakkan negara kebajikan, namun kebajikan umat Islam sendiri tak terjaga; bagaimana? Islam bukan pada ceramah keluar dalil itu ini dok tuduh orang itu gini, orang ini gitu semata-mata. Mana sifat ihsan yang seharusnya ada pada pemimpin dan pengikut kamu? Kamu dok pegang nama Islam itu pada parti kamu tapi hal-hal Islam ada saja alasan politik; apa sebenarnya perjuangan kamu? Keluar dalil beria-ia dipadankan ayat Quran dengan tindakan mereka namun tidak pernah menghayati pula walatafarraqu yang juga disebut dalam Al Quran! Ada sahaja alasan untuk tidak mahu bersama-sama parti yang satu lagi (UMNO) macamlah parti tersebut merogol kesucian Islam zaman-berzaman sedangkan PAS kini dengan tawaduknya bekerjasama dengan parti-parti yang tidak langsung meletakkan Islam sebagai asas perjuangan mereka! Bertaubatlah!
- Dan kepada UMNO, ikhlaskanlah perjuangan memartabatkan agama Islam dan membantu umat Islam. Janganlah bila timbul isu sebegini, diajuk pula, 'ini isu PAS; berlaku di negeri PAS' Kamu pegang negara, kalau umat Islam sampai ke gereja nak mintak bantuan, apakah sudah menyeluruh usaha yang kamu dah lakukan? Perangai sebegini sama sahaja membuat blok pemisah kerjasama sesama umat Islam. Buat apalah nak saman pemimpin PAS tu sebab mereka memang tak tahu apa-apa! Lantaklah mereka hendak tuduh apa tetapi patut difikir apakah yang telah dan akan kamu lakukan bagi mengelak kejadian sebegini berulang? Mintalah info daripada mereka yang arif, yang pernah membangkitkan isu sebegini sebelum ini (seperti Sahibus Sahamah Tuan Guru Al-Alamah Tan Sri Harussani Zakaria) bagi menyelesaikan masalah gejala murtad ini. Baik sangkalah yang PAS itu sebenarnya masih jahil tak tahu nak bezakan antara isu politik dengan isu akidah. Bukan semua orang dalam PAS yang tunduk sami'na wa ato'na dengan pemimpin tertinggi mereka sebab ada yang turut serta mengambil berat isu memurtadkan umat Islam. Carilah cara atas nama dan landasan Islam bagi menyelesaikan masalah ini bersama-sama.
- Dan kepada pihak autoriti agama (selain PAS), sudah semestinya isu sebegini akan menjadi tamparan yang maha besar apabila kamu dituduh melulu 'menyerbu' gereja tersebut. Sama ada benar atau tidak gejala kristianisasi tersebut, mencegah lebih baik daripada mengubat. Perkasakanlah kaedah penghapusan kemiskinan terutamanya kemiskinan bandar yang melanda umat Islam. Lantiklah pakar ekonomi Islam menyertai badan-badan kamu kerana mereka mampu memberikan maklumat bagaimana mengatasi masalah kemiskinan dan masalah penerima zakat. Dinamika pengurusan zakat dan baitul mal perlulah ditambah baik agar kita dapat mengurangkan sama sekali umat Islam yang fakir, miskin dan yang berkeperluan. Janganlah akaun agihan zakat itu asyik-asyik ada lebihan sebab zakat pada asalnya bukannya modal untuk dijadikan wang pusingan untuk 'lembaga' atau 'pusat.'
- Kepada umat Islam Malaysia pula, udah-udahlah asyik hendak menghentam orang sini sana tentang siapa yang salah. Cuba tanya diri sendiri, sudahkah kita menunaikan zakat (bukannya fitrah Ramadhan sahaja; tetapi zakat harta sekali)? Sudahkah kita bersedia dengan 'sedekah jariah' yang bakal menjadi amalan yang berkekalan selepas mati? Pertingkatkanlah taraf ekonomi diri sendiri dan keluarga dan dari semasa ke semasa cuba capai keadaan ekonomi yang benar-benar ideal sebagaimana zaman Khalifah Umar Abdul Aziz (yang tulen; khalifah daulah Islamiyyah; bukannya 'khalifah celup' yang diangkat yang bernama Lim Guan Eng!) Kita hendaklah mengingati dan menginsafi firman Allah dalam Al-Quran yang mana ayat ini menjadi salah satu daripada sunnah Nabi SAW untuk dibaca semasa sembahyang Jumaat yang bermaksud 'Dan nafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan sebelum maut datang kepadamu, lalu kamu mengatakan "Wahai Tuhanku, mengapakah aku tidak diberikan penangguhan waktu sebentar sahaja supaya aku boleh bersekah dan menjadi orang yang soleh". Namun, Allah tidak sama sekali akan menangguhkan ajal seseorang itu apabila sudah tiba, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang kamu lakukan.' (Surah Al-Munafiqun: 63, ayat 10-11). Maka hendaklah kita beramal dengan mafhum ayat tersebut.
- Menjelang akhir Ramadhan, marilah kita sama-sama meningkatkan amalan khusus dan umum yang kita boleh buat dan dari semasa ke semasa, tinggalkan pertelingkahan yang sebenarnya hanya membawa kerugian kepada umat Islam. Selamat beramal!
PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Tuesday, August 23, 2011
Isu JAIS 'serbu' gereja: Refleksi sejarah silam dan pepecahan masa kini
Wednesday, August 17, 2011
Mengisikannya menjelang akhir
- Sudah setengah bulan Ramadhan berlalu dan kini kita memasuki fasa setengah yang terakhir. Disebabkan roh Islami yang semakin meningkat di kalangan umat Islam, sudah semestinya ada yang kritikal dengan sikap sesetengah umat Islam yang lantas menjadikan baki Ramadhan yang tinggal untuk dipenuhi dengan persiapan hari raya; baju raya, seluar raya, langsir raya, kuih raya, duit raya dan pelbagai raya lagi. Antara peluang mahu pun ruang, haruslah kita mengejarnya kerana yang dikejar untuk puasa itu adalah taqwa. Justeru, kalau hendak buat persediaan, buatlah (sebab itu sudah menjadi adat) namun matlamat asal puasa dan limpah kurnia rahmat dalamnya jangan pula kita lupakan semata-mata hendak menyambut Aidil Fitri yang secara syariatnya hanya disambut sehari!
- Barang yang kurang disedari umum bahawa bulan Ramadhan ini juga merupakan bulan keampunan. Kita mungkin sudah berulang kali diperdengarkan tentang hadis yang antara lain menyebut sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadhan dan sesiapa yang membangunkan malam bulan Ramadhan (berqiyamulail) dengan mengharapkan pahala dan kebaikannya daripadanya akan diampunkan dosa. Dalam sebuah hadis yang lain, sebaik-baik doa pada bulan Ramadhan lebih-lebih lagi apabila ketemu lailatul qadar adalah memohon keampunan (kemaafan) dengan disandarkan betapa Allah cukup suka yang pemaaf. Oleh sebab itu, selain daripada kita asyik dok menunggu hari raya baru hendak dipohon maaf, baiklah kita terlebih dahulu meminta maaf kerana sifat Allah yang sukakan orang yang memaafkan! Apatah lagi doa tersebut dibacakan pada bulan Ramadhan, maka mulakanlah maaf-bermaaf pada bulan yang mulia ini; jangan ditunggu-tunggu lagi.
- Oleh yang demikian, dengan kombinasi amalan kita dan permohonan keampunan dan kemaafan kita sama ada kepada Khalik mahu pun makhluk, tidak hairanlah selepas Ramadhan berakhir, kita (secara teoritikalnya) akan kembali kepada fitrah; tanpa sebarang dosa kerana telah diampunkan oleh Allah dan diberi kemaafan daripada yang kita lakukan salah. Bukankah itu sebenarnya balasan yang Allah berikan kepada kita sebagaimana yang dinyatakan dalam Hadis Nabawi? Justeru kita menyambutnya pada satu hari yang dinamakan Aidil Fitri - membawa konotasi kejayaan kembali kepada fitrah.
- Kita tinggalkan dahulu cerita tentang raya. Kembali kepada Ramadhan. Dalam pada kita melaksanakan tarawih, timbul juga isu berkaitan 'tazkirah Tarawih.' Apa yang berlaku adalah terdapat surau atau masjid tertentu yang melaksanakan 'tazkirah;' biasanya setelah empat rakaat sembahnyang sunat Tarawih. Isu ini timbul kerana ada yang berpendapat amalan tersebut merupakan bidaah yang tidak dilakukan pada zaman Nabi SAW.
- Lebih-lebih lagi, ada tazkirah yang disampaikan berlarutan sehingga setengah jam atau lebih daripada itu yang menyebabkan niat asal 'tazkirah' sudah menjadi 'kuliah.' Sudah tentu hal yang demikian akan mengundang rasa kurang senang jemaah kerana mereka hadir untuk 'solat tarawih' dan bukannya 'mendengar kuliah.' Apa lagi andai isi di dalam 'tazkirah' tersebut yang berbaur politik; menghentam pihak-pihak tertentu kerana tidak berhukumkan Islam, menyeru jemaah untuk turut serta dalam memartabatkan 'parti Islam,' balasan buruk bagi mereka yang tidak menyertai parti Allah, menceritakan panjang lebar tentang qazaf, zina, empat orang saksi; kesemua isu ini kalau kita dengar pun kita faham ke mana hala tuju penceramah yang memberikan ceramah. Sudah tentu ada jemaah yang akan mempersoalkan (dalam hatinya) adakah acara ini sembahyang sunat tarawih disulami ceramah politik atau ceramah politik disulami sembahyang tarawih?
- Penulis jujurnya terkena juga 'kejutan budaya' pada awala bertarawih di negeri lain yang mana bacaan zikir antara dua rakaat yang agak berbeza sedikit berbanding di masjid dan surau di Johor. Apa lagi ketika hampir sembilan tahun di Lembah Klang (semasa belajar), penulis menemui kepelbagaian dalam sembahyang tarawih di sana. Memang terkejut juga apabila secara tiba-tiba, ada pula tempat yang mana, tazkirah diselitkan di antara empat rakaat pertama tarawih. Penceramahnya memang bermacam-macam karakter, dan panjang tazkirah juga berbeza-beza. Ada yang memang hampir setengah jam bercakap dan bercerita hentam sana hentam sini. Ada yang ringkas tetapi padat dan penuh pengisian yang cukup-cukup berguna.
- Oleh sebab itu, adakah perlu tazkirah tarawih ini diteruskan? Bagi mereka yang menyokong, mereka berhujah bahawa pada ketika inilah ramai jemaah yang hadir ke surau dan masjid, maka apalah salahnya diberi tazkirah bagi perkongsian ilmu. Bukankah menuntut ilmu itu satu ibadah? Oleh sebab itu, dengan kapasiti jemaah yang ramai, seharusnya dimanfaatkan dengan penyampaian ilmu yang sudah tentu tujuannya bagi mendapatkan keredhaan-Nya. Malah, bukankah ibadah itu juga perlu kepada ilmu agar kita dapat melaksanakan dengan sebaik mungkin dan sebetul mungkin menurut syariat dan sunnah Nabi SAW?
- Bagi mereka agak kurang setuju pula, antara hujah yang dikemukan adalah andai tarawih itu diselitkan dengan tazkirah, nescaya Nabi SAW melakukan dahulu pada zamannya dan sahabat pula pasti menurutinya! Namun, tidak ada satu pun hadis berkaitan tarawih yang menyebut Nabi SAW ada berkuliah atau berkhutbah semasa perlaksanaan tarawih. Andai ada, sudah semestinya akan ada hadis/dalil berkenaan 'khutbah antara tarawih!' Oleh sebab itu, tazkirah antara rakaat tarawih itu boleh dikatakan bidaah. Isu ini tidak boleh disamakan dengan sembahyang tarawih berjemaah kerana ternyata memang ada dalil yang menyokong perlaksanaannya dan diperkasakan pula pada zaman pemerintahan Sayidina Umar Al-Khattab RA. Oleh sebab itu, amalan sahabat sudah menjadi sunnah (sebagaimana hadis riwayat Tirmizi: berpenganglah kepada sunnahku dan sunnah Khulafa-Al-Rasyidin Al-Mahdiyin).
- Isu ini pasti akan dijadikan polemik walaupun isu ini sebenarnya isu furu. Apatah lagi apabila kandungan tazkirah dan masa yang diambil untuk tazkirah itu terlalu lama sehingga menyebabkan keresahan dikalangan jemaah yang hadir. Bukan hendak mengatakan bahawa yang tidak mahu mendengar itu sudah pandai, mungkin niat mereka hadir adalah bagi melaksanakan sembahyang sunat tarawih dan sudah semestinya hak itu juga perlu dipertimbangkan. Mungkin kalau ringkas dan padat, boleh diterima. Akan tetapi apabila khutbah lebih panjang daripada sembahyang, sudah tentu hal yang demikian akan menimbulkan rasa kurang senang.
- Lantaran itu, eloklah jawatankuasa masjid dan surau yang terlibat dengan tazkirah tarawih ini mengambil kira faktor isi tazkirah itu sendiri. Tak salah hendak beri tazkirah kerana ramai jemaah, namun kalau pengisiannya terlalu panjang, atau nampak sangat kedengaran politikal, maka kita seharusnya mempertimbangkan jemaah yang lain yang mungkin bukannya hendak dengar sangat kuliah-kuliah politik ini. Lainlah kalau memang surau itu atau masjid itu memang markaz parti, barangkali terpulanglah kepada jawatankuasa masjid atau surau tersebut sebab yang hadirnya memang majoriti penyokong parti.
- Alangkah eloknya tazkirah tarawih itu dibuat ringkas tetapi padat mencakupi topik-topik berkaitan Islam terus kepada asasnya; soal akidah, ibadah dan akhlak. Barangkali ada yang mengatakan pengisian berulang itu membosankan namun bukankah manusia itu kerap lupa. Sebab itu si penyampainya yang main peranan untuk menjadikannya lebih bermakna, dan bukannya sekadar satu cakap-cakap bual kosong yang hanya mengisi masa lapang antara rakaat tarawih. Soal berkenaan tauhid, ibadah dan akhlak merupakan isu malar segar yang seharusnya diperkukuhkan dalam hati nurani umat Islam. Lebih-lebih lagi yang berkaitan keimanan dan berlaku ihsan, topik-topik yang sebenarnya jarang mencuri perhatian dalam kuliah-kuliah di masjid yang biasanya lebih memberati hal-hal berkaitan hukum-hakam dan fiqah.
- Pengalaman penulis dalam satu tazkirah tarawih cukup mengujakan. Si pemberi tazkirah menerangkan perkara-perkara yang kita sendiri selalu lakukan tetapi biasanya silap. Contohnya kenapa bacaan La haula wala quata illa billah hi 'ali yil azim dan bukannya 'ali yul azim sebagai mana yang selalu dibaca oleh orang ramai. Atau mengapa walad dholin itu tidak ada qalqalah (seperti yang kadang-kadang kita dengar walada-dholin..). Soal-soal sebegini walaupun kecil namun manfaatnya besar untuk membetulkan kebiasaan yang salah. Masa yang diambil pun tidak terlalu lama. Barulah tercapai maksud, 'hendak beramal mesti ada ilmu.'
- Namun, andai tazkirah tarawih pun hendak cerita politik yang mana dengan mudahnya kita boleh baca daripada akhbar, buku, majalah, internet atau hadir ke ceramah umum yang sememangnya hampir tiap-tiap hari pun kita boleh dapat, apa lagi dengan maki hamun, fitnah-memfitnah dan 'undi ini wajib syarie, undi itu haram syarie'; sudah semestinya rasa iman dan ihtisaban itu sudah sudah semakin luntur... maka akan terampunkah dosa kita?
- Walaupun penulis cenderung kepada 'bahawa Nabi SAW tak buat tazkirah tarawih, tetapi kita pun hendak meraikan amalan yang moga-moga membawa ke arah kebaikan sebagaimana tazkirah tersebut. Cuma itulah, kepada mereka yang hendak bertazkirah, ingat-ingatlah pada bulan mulia ini, elok sangat diperkuatkan mahabbah berbanding disemai dengan rasa perpecahan antara umat Islam. Isu akidah jauh lebih utama berbanding hendak menuduh orang itu dalang itu dan orang ini dalang ini. Sudah-sudahlah seharian bergelumang dengan politik, dalam kita beribadah hendak mendekatkan diri kepada Allah pun hendak berpolitik juga? Alangkah ruginya manusia? Alangkah ruginya!
- Akhir kalam, menjelang penghujung Ramadhan ini, seharusnya kita lebih bersungguh-sungguh mengejar kerahmatan dan keredhaan yang terbuka luas di dalam bulan yang mulia ini. Lebih-lebih lagi, di dalamnya terkandung satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, maka seeloknya kita menguatkan tekad bagi menghirup kelebihan malam tersebut. Soal berkenaan bilakah malam tersebut dan apakah tanda-tandanya sudah banyak dibahaskan baik dalam buku, kitab dan terkini, internet. Apa guna kita bahas bila terjadinya malam tersebut andai kita tidak pula bersungguh-sungguh untuk mengejar malam itu?
- Oleh sebab itu, selamatlah beribadah bagi menghabiskan hari-hari dalam Ramadhan yang tinggal dan berdoalah agar kita dapat ketemunya pada tahun-tahun akan datang...Amin.
Tuesday, August 9, 2011
Huru-hara Tottenham: Hak kebebasan suara?
- Siapa tak kenal UK. United Kingdom; bukan Ulu Klang. Begitu banyak sekali perkara positif dan suka dijadikan contoh apabila kita berkata tentang UK. Maklumlah, terdapat rakyat di negara Malaysia ini yang begitu mengagung-agungkan segala perkara berkaitan negara asing... Negara sekian lebih demokratik, Malaysia kurang demokratik... Negara sekian taraf hidup lebih baik, Malaysia banyak ketirisan sini-sinun, negara sekian sudah maju, kita di Malaysia masih mundur... negara sekian mempunyai hak kebebasan bersuara, berkumpul, pelabur tetap datang melabur pun kalau rakyat mereka buat demo tiap-tiap hari..., kerajaan Malaysia mundur dan tak terbuka, takut dengan bayang-bayang sendiri.
- Kembali kepada UK; dari pelbagai segi, kalau ditanyalah segenap lapisan masyarakat di Malaysia baik ahli politik, peniaga, pekerja makan gaji, pelajar dan lain-lain tentang mana lebih maju sama ada infrastruktur, budaya, etika, minda dan pendidikan; sudah semestinya banyak yang menjawab UK. Lulusan SPM cerdik pandai 'berderet A+' pun banyak yang bercita-cita hendak belajar di UK. Hendak belajar di Oxford la, Cambridge la, University of London la... Kesemua ini memperlihatkan betapa superiornya UK berbanding Malaysia yang ada UM, UKM, USM...
- Akan tetapi, dalam meraikan kecerdikan negara Anglo-Saxon ini; peristiwa huru-hara di utara London dua tiga hari yang lepas (dan pelbagai lagi huru-hara sebelum-sebelum ini) memperlihatkan wajah sebenar UK dan Eropah (baca: BARAT) dalam memperkenalkan konsep-konsep penting yang dimomokkan kepada negara-negara dunia ketiga yang mereka katakan ketinggalan zaman. Konsep demokrasi, hak kebebasan bersuara yang begitu diterajui barat pantas sekali menikam mereka dari belakang apabila mereka sendiri tak terkawal kemarahan rakyat mereka sehingga mengakibatkan pelbagai insiden buruk yang dilaporkan di dalam media. Adakah itu yang dimaksudkan kebebasan bersuara dan tunjuk perasaan?
- Isu yang membawa kepada keadaan huru-hara di Tottenham tidaklah mahu dibincangkan di sini namum reaksi rakyat tindak balas mereka mencerminkan betapa seaman mana pun demonstrasi yang hendak dibuat, kita tak terjangka perangai dan tingkah laku orang ramai yang mahu mengambil kesempatan daripada keadaan yang ada. Sudah tentu dalam kes Tottenham ini polis akan dipersalahkan (lebih la lagi, polis jua yang menjadi punca demonstrasi...!). Bangunan terbakar, bas terbakar, kedai dirompak; kesemuanya merupakan kesan yang diterima masyarakat setempat Tottenham setelah tunjuk perasaan itu bertukar ganas.
- Ada pengikut tunjuk perasaan yang menyertai demonstrasi tersebut dengan suka-suka; justeru membawa kepada tindakan suka-suka juga! Andai benar polis yang hendak dipersalahkan dek kerana menembak orang tak bersenjata (antara tujuan asal tunjuk perasaan membantah tindakan tersebut), apakah kena-mengenanya tindakan membakar, merosakkan harta benda awam dan memecah masuk kedai dengan bantahan tersebut? Jawabnya tiada! Tapi adakah yang melakukan semua perkara tersebut faham isu sebenar yang diperjuangkan oleh penunjuk perasaan?
- Ada yang mungkin sinis mengatakan sebenarnya bukan orang setempat Tottenham yang hendak membuat tunjuk perasaan, atau wilayah tersebut dihuni oleh kebanyakkannya imigran yang tidak sama etika dengan penduduk tempatan atau pelbagai lagi alasan; namun alasan tetap alasan. Dilaporkan seorang pelajar Malaysia di sana telah dirompak dalam keadaan kononnya, dia hendak dibantu. Nah, bukankah tindakan sebegini tidak jauh berbeza dengan apa yang kadang-kala berlaku di Malaysia yang kononya negara ketiga? Dalam sebuah tunjuk perasaan yang menjejah ratusan atau ribuan orang, mana nak tahu secara jelas yang orang ini datang untuk jadi pelakon, orang yang itu datang hendak memecah kedai, orang yang sekian datang untuk berprovokasi, orang yang segini datang dengan niat murni meluahkan perasaan bagi menambah baik keadaan atau orang segitu datang untuk menuntut bela, mendapatkan sokongan dan mengambil kesempatan?
- Kejahanaman telah berlaku di Tottenham dan kini khabarnya telah merebak serata England (media hendak dipersalahkan?!?). Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin gawat dek krisis hutang US dan Eropah, adalah elok agar kerajaan Malaysia melihat perkembangan terkini sebagai sesuatu yang boleh diteladani bahawa sebijak mana pun manusia, belum tentu dalam keadaan seperti tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan mereka boleh berkelakuan rasional dan tidak menyusahkan orang lain. Kesan tersebut bukanlah hendak diberatkan pada imej negara sahaja, rakyat di sekeliling kawasan kejadian menerima tempias buruk hasil daripada kelakuan manusia-manusia yang bertindak atas nama hak kebebasan bersuara. Sedangkan mereka itu bukanlah orang yang akan membantu masyarakat sekeliling apabila berlaku kerugian yang terpaksa ditanggung hasil kerja tangan demonstrator!
- Dan mengambil kira UK sebagai sebuah negara yang dipenuhi dengan institusi pendidikan terulung dunia, dapatlah disimpulkan bahawa hati manusia tidak semurni mana; andai ada sekelumit perasaan untuk mengambil kesempatan daripada apa yang telah berlaku. Lantaran itu, mohon dielakkan daripada berlaku di Malaysia!
Sunday, August 7, 2011
Krisis Hutang US: Kesan dan Mengurangkan Kesan
Pendahuluan: Apabila Obama sepatutnya berpeluh
- Pada hari semalam (2/8/2011; waktu US), setelah berminggu-minggu debat dan debik antara pro-Republikan dan pro-Demokrat berkaitan krisis hutang, Dewan Perwakilan US berjaya juga meluluskan rang undang-undang berkaitan polisi hutang mereka setelah dilobi dengan bersungguh-sungguh oleh Presiden Barack Obama. Sejurus diluluskan oleh Senat, Barack Obama segera menandatangani rang undang-undang tersebut bagi menaikkan had hutang (siling hutang; macam 'harga siling...') US bagi mengelakkan apa yang dikatakan sebagai kebarangkalian untuk negara Uncle Sam itu bankrup menjelang keesokkan harinya (3/8/2011).
- Sebagai pemerhati ekonomi sambilan dan tak bertauliah, keadaan sebegini pastilah akan menimbulkan tanda tanya. Andai semudah itu US menyelesaikan krisis ekonominya dengan membuat undang-undang baru, alangkah mudahnya dunia ini menyelesaikan segala krisis yang ada di atas muka bumi ini. Tetapi tidak. Bukan semudah itu US menyelesaikan masalah hutangnya kerana sungguh pun undang-undang baru itu diperkenalkan, sentimen pasaran masih lagi bersikap pessimis dan hasilnya, kebanyakan bursa utama dunia masih menunjukkan trend penurunan mata indeks mereka. Penyelesaian melalui perundangan lewat 2/8 hanya menjadi penyelesaian jangka pendek sahaja kerana hutang tetap perlu dibayar dan gaji kakitangan awam juga perlu dilangsaikan.
- Banyak yang kita boleh pelajari daripada krisis hutang US ini. Salah satu yang mendapat perhatian adalah betapa perubahan (change) bukanlah semudah disangka. Obama dalam kempen politiknya sebelum menjadi presiden begitu ghairah mengetengahkan manifesto perubahannya. Malah, selepas 100 hari menjadi presiden pun, beliau sempat berseloroh bahawa 'kerjanya' rupanya lebih mudah daripada yang disangka dan rangka kerja 100 hari akan datang akan dapat diselesaikan lebih awal lagi. Namun, kini kita pun tahu bahawa disebalik gelek tarinya sekali dua menari seperti di siaran Ellen DeGeneres, beliau sepatutnya lebih kelihatan berpeluh dan panik berbanding ketenagan di wajahnya yang menyimpan pelbagai kerungsingan berkenaan negara.
- Keadaan 'genting' sebelum undian di kongres juga memperlihatkan bahawa dengan kerajaan yang mempunyai dua kuasa undi yang sama kuat, adalah amat sukar untuk membuat keputusan undian bagi meluluskan rang undang-undang. Untuk rekod, selepas pilihan raya 'mid term' US, dewan kongres US lebih banyak dikuasai parti Republikan berbanding Demokrat dan hal yang demikian pastilah memberi kesan terhadap dasar dalaman kerajaan US sendiri. Perkara tersebut disebabkan presiden tidak sebulu dengan majoriti ahli perwakilan (secara parti - Obama: Demokrat). Seolah-olah Presiden US adalah presiden yang terkuat pengaruhnya di luar US akan tetapi, di dalam negara sendiri lain pula ceritanya. Sungguh pun beliau boleh melobi untuk melakukan sesuatu keputusan; ahli kongres (Congressman; sepangkat dengan YB Dewan Rakyat) dan Senator tetap menjadi pemutus sama ada sesuatu rang undang-undang itu untuk diteruskan atau pun tidak.
- Perbahasan berlangsung apabila kebanyakan ahli kongres US daripada Republikan menolak sama sekali usaha kerajaan meningkatkan cukai negara dan enggan setuju dengan peningkatan had hutang. Mereka menuntut kerajaan lebih berjimat dalam pengurusan wang kerana kerajaan didapati terlalu membazir memperhabiskan wang. Sedangkan andai had itu tidak dinaikkan, kerajaan US akan mengalami kebankrapan hasil dasar sendiri kerana tidak mampu membayar hutang mereka di seluruh dunia. Bagaimana pun, meningkatkan had hutang pun tidak menjamin bahawa ekonomi US akan mampu dipulihkan kerana kerajaan sebenarnya menambahkan lagi beban hutang sendiri dan belum tentu juga akan terbayar pada masa akan datang.
- Dapatlah disimpulkan di sini bahawa walau pun ekonomi US bertindak sebagai penanda aras ekonomi dunia, ekonomi US sendiri penuh dengan kepalsuan apabila mereka sebenarnya merupakan negara yang paling tinggi nilai hutangnya. Justeru akan timbulah satu paradoks, bagaimanakah sebuah negara yang paling banyak hutangnya di dunia ini menjadi petunjuk kepada keadaan ekonomi dunia? Jawabnya mudah. Kebergantungan negara terhadap US sendiri yang menyebabkan negara akan terkesan kalau ekonomi US 'terbatuk.' Antara negara-negara yang mempunyai kepentingan adalah seperti Jepun, China, UK dan Timur Tengah kerana mereka melanggan sekuriti perbendaharaan US. Sudah tentu kalau nilai sekuriti US tak laku, mereka pun turut melabur di sesuatu yang sudah tidak laku (perhabis duit untuk rugi). Gred penarafan kredit US kini dalam keadaan kritikal direndahkan grednya daripada AAA kepada AA+ (oleh Standard & Poors) dan sudah semestinya ramai pelabur akan mula menjual (menuntut duit semula) pegangan mereka kerana tidak mahu menanggung kerugian!
'Kerajaan' pun jatuh bankrup....
- Tatkala kegawatan ekonomi dunia sedang menjalar sama ada ke Eropah dan besar kemungkinan Asia, sudah semestinya kita tercari-cari apakah punca kepada malapetaka ekonomi yang boleh memberikan kesan jangka panjang terhadap kehidupan manusiawi di atas muka bumi ini. Barangkali perlu diingat bahawa oikos nomos boleh dikaitkan dengan oikos logos dan ekologi manusia sememangnya tidak dapat tidak; mesti dikaitkan dengan perhubungan sesama manusia bagi memenuhi keperluan antara satu sama lain. Dalam Bahasa Arabnya disebut mualamat.
- Sistem kapitalis menjadi sasaran sebagai penyumbang kepada ketaktentuan ekonomi dan kewangan masa kini terutamanya bagi mereka yang beretika. Sistem ini membolehkan pengautan keuntungan dengan apa cara sekali pun dengan berlipat kali ganda. Industri kewangan dan korporat di US baru sahaja dilanda 'krisis subpirma,' yang memberi kesan yang dahsyat sehingga mengakibatkan kebankrupan begitu banyak sekali firma-firma yang satu ketika dahulu gah menakhodai ekonomi US. Semua itu dek kerana mahukan untung yang cepat dengan apa cara sekali pun, kredit dijual dengan berleluasa dan 'jual atas jual' berlangsung sehingga kering-kontang dibuatnya simpanan tunai mereka sedangkan mereka terlalu berharap kepada segala nilai masa hadapan yang kononnya memberikan pulangan berlipat kali ganda. Akhirnya, apa yang mereka peroleh hanyalah hutang berganda-ganda.
- Andai sebelum ini kita terfikir, bagaimanakah sebuah bank boleh jatuh bankrup (bank yang penuh duit pun boleh muflis), bagaimanakah pula kita boleh menerima sebuah 'negara' menjadi bankrup? Sudah pastilah hal yang demikian akan menimbulkan tanda tanya yang sangat-sangat menghairan lagi menganehkan. Apatah lagi institusi kewangan lebih mempercayai 'kredit-kredit' yang hendak diambil oleh kerajaan dan yang berkaitan dengannya kerana kerajaan secara logiknya tidak akan jatuh muflis. Lihat sahaja misalnya pinjaman korperasi, perbankan dan dana-dana tertentu di Malaysia yang memberi syarat 'terbuka kepada kakitangan kerajaan dan badan berkanun sahaja' yang memperlihatkan keyakinan pelabur dan pemberi biaya bahawa kewangan kerajaan adalah kukuh. Kalau hendak dibandingkan pekerja sektor swasta yang mana syarikat yang menggajinya boleh sahaja mengalami pelbagai masalah kewangan dan persekitaran sama ada mikro mahu pun makro; perkara tersebut menyebabkan mereka tidak semudah itu mendapat sebarang biaya!
- Oleh yang demikian, kejadian di US memberi amaran besar terutamanya kepada kerajaan agar lebih berhemah ketika berbelanja kerana kebankrupan negara boleh sahaja berlaku walau pun kedengaran agak pelik. Pelaburan negara seharusnya dilakukan dengan berhemah agar wang rakyat tidak akan dibazirkan sehingga menyebabkan dana-dana lain seperti skim pencen dan simpanan pekerja yang kelak menjadi galang gantinya. Perkara tersebut bukanlah mustahil berlaku kerana sudah ada ancaman berkenaan di US.
- Selain itu, alternatif ekonomi perlulah dibangunkan bagi menjadi penampan kepada sebarang ancaman ekonomi terutamanya berkaitan dengan ekonomi negara lain. Untuk sekian kalinya, pelaburan dalaman atau kini lebih popular dengan nama kini, pelaburan terus domestik (DDI) haruslah diperkukuhkan bagi mengurangkan kebergantungan ekonomi negara dengan pasaran asing. DDI berfungsi bagi mengurangkan impak ketaktentuan pasaran antarabangsa terutamanya apabila fungsi FDI dikompromi oleh keadaan ekonomi negara pelabur yang gawat yang mungkin akan mengheret sama kesannya kepada Malaysia.
- Bagi menjayakan DDI, tidak dapat tidak, pasaran kerja hendaklah diwujudkan bagi membolehkan rakyat di negara kita menceburi bidang perniagaan dan mengurangkan pengangguran. Industri kecil dan sederhana (IKS) tidak lagi boleh dianggap sebagai penyumbang sampingan negara sebaliknya harus digembeleng agar menjadi industri yang setara dengan sektor korporat dan menjadi petunjuk penting kepada ekonomi dunia. Bagi mencapai tahap tersebut, ada baiknya skim kredit mikro diperkasakan bagi membantu usahawan-usahawan baru untuk bertapak menjalankan perniagaan mereka dengan lebih baik. Skim latihan memanglah sangat-sangat penting; akan tetapi apa yang lebih penting adalah usahawan tersebut mengamalkan apa yang dilatih. Tak guna andai diberi sijil barang berpuluh keping tetapi aplikasinya tidak ada. Sudah tentu mereka akan melakukan banyak kesilapan sedangkan kesilapan adalah perkara yang perlu dielakkan dalam suasana tidak menentu. 'Belajar daripada kesilapan' adalah frasa yang tidak bermakna kalau seseorang itu sudah pun belajar tetapi asyik berkali-kali buat silap!
- Apabila memperkatakan pelaburan domestik, sektor pertanian juga tidak boleh dipandang sepi hanya kerana statusnya 'pertanian.' Pertanian harus dilihat sebagai sumber yang sangat-sangat penting kerana melalui pertanian, kebergantungan negara terhadap pengimportan makanan akan dapat dikurangkan. Ruangan Kunta Kinte (pengarangnya dipercayai Datuk A Kadir Jasin?) di Berita Harian pada 5/8/2011 memberikan amaran terhadap kurangnya perhatian terhadap sektor pertanian sedangkan sektor tersebut merupakan pembekal makanan yang utama dalam citra ekonomi dunia. Perkara tersebut tidaklah menghairankan kerana ternyata kebangkitan ekonomi Eropah dan US dahulunya didorong oleh sektor pertanian yang menjana pembekalan makanan. Jadi, amatlah penting untuk kita mempelbagaikan maksud pertanian dan perladangan itu agar tidaklah terlalu dikaitkan dengan penanaman kelapa sawit semata-mata. Melainkan kita boleh menggunakan kelapa sawit untuk dijadikan makanan ruji, kita sebenarnya sangat bergantung kepada sawah bendang bagi membekalkan beras kepada rakyat. Begitu juga usaha bagi menggalakkan industri penternakan sama ada ayam, lembu, kambing dan ikan kerana kesemuanya menyumbang kepada peningkatan kapasiti makanan negara.
- Usaha memperkasakan pertanian harus disokong oleh kerajaan, pihak swasta dan rakyat bagi membolehkan perkembangan pertanian makanan akan dapat berterusan seterusnya menjadi penyumbang yang substantif (kalau pun tidak mencapai tahap penyumbang utama) untuk KDNK negara. Ambil contoh Belanda, negara yang tak seberapa besarnya kalau hendak dibandingkan dengan jiran Eropah yang lain; bagaimana pun menjadi penyumbang pertanian terbesar dunia? Macam yang penulis pernah beberkan sebelum ini, karipap pun belum tentu boleh dikatakan sebagai 'buatan Malaysia' lantaran bahan daripada tepung, kentang, mentega, rempah dan bebawang kesemuanya diimport dari negara asing sebelum diadun menjadi kuih yang terpopular di tanah air itu!
- Selain daripada pertanian, sudah tiba masanya kerajaan bersungguh-sungguh untuk mengeksploitasi peluang ekonomi dan kewangan Islam sebagai peneraju model ekonomi negara. Kesedaran ekonomi Islam haruslah dimangkin supaya rakyat faham faedah daripada perlaksanaan sistem tersebut yang bukan sahaja menjaga kepentingan pengguna, malah dapat mengelakkan daripada sebarang salah laku akibat pengambilan untung (baca: riba) yang berlipat kali ganda dan keuntungan atas angin. Oleh sebab itu, pembekal perkhidmatan hendaklah melatih tenaga kerjanya supaya menyebarkan informasi yang tepat berkaitan dengan instrumen pelaburan Islam dan mengapakah terdapat perbezaan antara yang mematuhi kehendak Islam dan yang konvensional. Janganlah terkeluar daripada mulut pekerja bank, 'Oh yang ini sama saja dengan pinjaman konvensional; cuma dia Islamik,' kerana kenyataan tersebut memperlihatkan betapa rendahnya kesedaran kita untuk memartabatkan sistem kewangan Islam.
- Sudah tentu dalam sistem kewangan Islam, hutang tidak boleh dijual kerana penjualan hutang hanya memberi keuntungan atas angin kepada institusi perbankan. Jangan salah faham. Ekonomi Islam juga memberikan peluang seluas-luasnya kepada pelabur untuk mencari keuntungan; akan tetapi keuntungan melalui kezaliman kepada penerima biaya dan keuntungan atas angin ini merupakan keuntungan yang ditegah oleh syariah. Pematuhan terhadap syarak menjadi asas kepada sebarang keputusan pelaburan.
- Untuk mencapai hasrat tersebut, instrumen perbankan Islam hendaklah dipelbagaikan bagi membolehkan rakyat memilih dan memanfaatkannya dengan seluas-luasnya. Dari pelaburan berasaskan mudharabah (Qiradh), pinjaman berasaskan murabahah atau ijarah (istilah yang dipopularkan PTPTN: ujrah), simpanan berasaskan wadi'ah, kerjasama berasaskah syarikah, sewa-beli berasaskan ijarah tsumma bai', gadaian secara rahn serta perlindungan berasaskan takaful.
- Selain itu, terdapat juga instrumen kewangan yang pada asalnya konvensional namun bolehlah digunapakai selagi berlandaskan syarak seperti pelaburan amanah (trust) seperti amanah hartanah (REIT) dan amanah saham (unit trust) yang boleh dieksploitasi oleh pemain industri agar terciptanya kepelbagaian dalam portfolio pelaburan. Kewujudan bon Islam yang kini digelar sukuk juga akan dapat memberikan alternatif kepada mereka yang meminati pasaran bon untuk melabur dalam skim yang berlandaskan syariah. Kadang-kala, pelabur minat kepada yang Islamik tetapi hebahan dan capaian yang terbatas menyebabkan mereka ternanti-nanti bilakah tibanya peluang dan ruang.
- Pasaran emas juga merupakan satu lagi pasaran yang cukup popular masa kini. Sama ada melalui buku pelaburan emas (di Maybank, CIMB, KFH; bukan KFC!) mahu pun emas fizikal seperti kepingan emas (gold wafer), barang kemas mahu pun syiling emas (dinar). Pasaran emas adalah pasaran yang stabil; oleh sebab itu, kekukuhan pasaran ini dapat menjamin pelaburan yang baik dan halal. Sungguh pun terdapat pandangan skeptik berkaitan penggunaan emas sebagai mata wang (seperti emas dalam dunia ini tidak cukup untuk menampung penggunaannya sebagai duit), didapati pasaran emas lebih stabil berbanding wang kertas yang boleh dicetak dan boleh sahaja dinaik turunkan nilainya kerana spekulasi oleh pelabur mata wang yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan dan keuntungan (pasaran ini dipopularkan sebagai ForEx).
- Dalam hal mencari keuntungan, jangan dilupa hak orang lain daripada rezeki yang kita ada. Maka hak tersebut boleh dilangsaikan melalui zakat. Kesemua instrumen pelaburan dan pelaburan emas tadi, ada keperluannya untuk dizakatkan apabila cukup tempoh masanya (haul) dan cukup nisabnya (jumlah yang diwajibkan zakat). Apabila kita bercakap tentang zakat, pastilah institusi baitul mal menjadi pasangan terbaik untuk dibicarakan sama. Baitul mal hendaklah bertindak dengan proaktif bagi mengeluarkan asnaf-asnaf daripada dibelenggu kefakiran dan kemiskinan. Mereka yang seharusnya diutamakan terlebih dahulu berbanding yang lain. Pengurusan zakat perlulah didinamikkan agar tujuan asal zakat bagi mengeluarkan umat manusia daripada kesempitan hidup dapat dicapai. Kita tidak mahu entiti baitul mal hanya mengalami perubahan kosmetik sahaja dengan nama sebagai 'lembaga' atau 'pusat' namun penerima zakat bagi kategori fakir dan miskin masih orang yang sama. Eloklah konsep pengagihan itu ditambah baik agar yang meminta-minta ini tidak terus-menerus menjadi peminta kerana 'tangan yang memberi lebih mulia daripada yang menerima.'
Penutup: Amaran dan cabaran
- Penutup kata, tatkala kebergantungan ekonomi kita dengan perubahan landskap ekonomi dunia, bukanlah mustahil bagi negara dan rakyat mengurangkan impak fluktuasi pasaran luar daripada mengganggu dan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara. Di bawah pentadbiran PM Najib, begitu banyak sekali senarai kependekan yang dikeluarkan dari GTP, ETP, PTP, NKRA, NKEA dan KPI (sungguh pun KPI merupakan istilah yang umum tak tertakluk di Malaysia); akan tetapi, yang lebih penting adalah perlaksanaannya agar mencapai matlamat sebenar penubuhan kosa-kosa kata baru tersebut. Setelah gelembung hartanah subprima yang berlaku dalam sektor kewangan US memberi kesan yang amat signifikan kepada kestabilan ekonomi negara, adalah amat penting untuk kerajaan melalui agensi yang berkaitan (MOF, MITI, EPU, KPDNKK) mengambil serius apa yang berlaku di US sekarang bagi mencari dan menggali sebarang kontinjensi untuk menghadapi asakan kegagalan US menguruskan hutang mereka. Kejadian di US juga menginsafkan kita betapa setingginya harapan yang diletakkan ke bahu Obama bagi membuat perubahan, setinggi itulah harapan itu jatuh berkecai ke lantai dan bersepai umpama orang terjun bangunan dari tingkat 80! Melainkan usaha kita bagi menyerap tekanan ekonomi dunia yang dikuasai puak Yahudi, kita seharusnya bertawakkal agar diberi kemudahan bagi menghadapi urusan duniawi sebagai bekal kelak ke akhirat sana.
- Moga-moga Tuham merahmati dan memberkati usaha kita ke arah itu!
Tuesday, August 2, 2011
Rebutlah peluang Al-Mubarak
- Ramadhan al-Mubarak tiba lagi dan sudah semestinya bulan yang penuh barakah dan rahmat ini menjadi masa yang ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan umat Islam dengan pelbagai alasan. Ada yang hendak mencari keberkatan dan limpahan kurnia yang berlipat kali ganda dari segi pahala dan ganjaran kebaikan dan ada juga yang berkira-kira tentang keuntungan yang dapat dijana dalam bulan ini dengan jualan yang cukup-cukup 'laku' sama ada jualan berbuka puasa mahu pun jualan menyambut hari raya.
- Sesungguhnya, sama ada keuntungan itu diperoleh secara duniawi mahu pun ukhrawi, terbukti sudah Ramadhan sebagai bulan yang melimpah-ruah manfaatnya yang seharusnya dikejar oleh setiap orang yang diberi peluang menikmatinya. Andai tidak, maka sudah semestinya seseorang itu tergolong di dalam golongan yang rugi.
- Tiap-tiap malam bermula malam pertama Ramadhan, kebanyakkan umat Islam akan turun beramai-ramai ke masjid dan surau bagi menunaikan Solat Sunat Tarawih. Barang perlu diingati bahawa Solat Sunat Tarawih merupakan ibadah yang istimewa kerana hanya dilaksanakan pada bulan Ramadhan. Walau pun ada ulama berpendapat bahawa Tarawih merupakan "solat sunat malam pada malam Ramadhan," pendapat sebegini tidak langsung menghalang umat Islam untuk menunaikannya secara berjamaah.
- Cuma kadang-kala, ada jemaah yang seboleh-boleh mencari surau atau masjid yang bacaannya laju dan lekas habis, dengan harapan dapat mengikuti jemaah tarawih sehingga habis. Hal sebegini sudah pasti mencacatkan matlamat asal tarawih itu sendiri kerana seharusnya dilakukan secara sukarela dan khusyuk. Kalau bacaannya terlampau laju tidak menjaga tajwidnya, bagaimana mungkin sembahyang tersebut hendak diterima sebaiknya oleh Allah Taala?
- Justeru, andai tidak dapat mengikut imam membuat sampai 20 rakaat, buatlah seadanya. Andai hendak buat 20 tapi tak larat hendak tunggu baca sampai sejuzuk, mungkin boleh pilih tempat yang membaca ayat-ayat lazim dengan tertib (kadang-kala, 20 rakaat pukul 9.30 dah habis!). Kalau yang lapan, pergilah yang membaca bacaan yang panjang. Kalau dua-dua tak berkenan, buatlah sendiri di rumah seafdal-afdalnya menjelang sepertiga malam [1]. Kalau tak mampu juga, buatlah seadanya bila-bila masa dari selepas fardhu Isyak sehingga waktu Subuh; asalkan jangan dilepaskan. Sungguh pun tahapnya sunat, janganlah diabaikan mahu pun janganlah sehingga menjejaskan jasad pula.
- Kepada tok imam yang mengimamkan sembahyang tarawih, sangat patut dijaga bacaannya terutamanya Al-Fatihah kerana Al-Fatihah adalah rukun sembahyang baik sembahyang wajib mahu pun sembahyang sunat. Elok sangat Fatihah itu dibaca sepotong-sepotong ayat kerana yang demikian itu merupakan amalan Nabi SAW [2]. Janganlah kiranya hendak mengejar waktu, senafas sahaja langsung Fatihah itu dihabisi sedari Bismillah hingga Waladdholiiin! Fatihah merupakan Ummul Kitab, justeru seharusnya surah ini dijagai statusnya dijaga kerana sebagai surah paling istimewa di dalam Al-Quran.
- Soal 20 atau lapan rakaat Tarawih tidaklah mahu dibincangkan pada kali ini kerana terlalu banyak blog-blog, buku rujukan, perbahasan dan polemik berkaitan dengannya sehingga kadang-kala lebih panjang daripada perbincangan fadhilat Ramadhan itu sendiri.
- Berkenaan soal keringanan untuk berbuka puasa ketika puasa, kepada mereka yang harus berbuka, maka eloklah berbuka daripada puasa andai puasa itu mendatangkan mudarat. Kita tidak mahulah mereka yang terkesan dengan puasanya (puasa beri kesan buruk) terus berpuasa terutamanya bagi pekerja-pekerja yang terpaksa membanting tulang pada panas terik, pemandu bas dan pesakit-pesakit tertentu yang perlu makan semasa bulan puasa [3]. Begitu juga bagi musafir, memanglah kalau hendak dibanding zaman nabi berunta, akan tetapi musafir tetap musafir tidak kira naik unta, naik kereta mahu pun naik kapal terbang. Allah mengkehendakkan kemudahan dan bukannya kesukaran [4]. Andai tidak larat, tidak ada cacat-celanya mereka yang berbuka kerana sebab-sebab yang dibolehkan itu.
- Soal korek hidung, telan air liur, kentut dalam air, gunakan ubat mata pun tidaklah hendak dibincangkan pada kali ini; sama ada batal mahu pun tidak. Puasa sebenarnya menggalakkan umatnya menahan daripada melakukan perbuatan yang dibolehkan semasa tidak berpuasa. Larangan itu lebih kepada makan dan minum dan melakukan hubungan jenis. Oleh sebab itu, andai kita hendak mencapai martabat yang tinggi dalam berpuasa, maka eloklah 'diketatkan' apa yang 'longgar' sebab itu merupakan amalan ahli salik. Kita sebenarnya berusaha mencapai tahap puasa yang terbaik dan tidak sekadar menahan makan, minum dan seks sahaja. Jadi, ada eloknya kita ambil perhatian tentang perkara yang mengurangkan pahala puasa setelah kita sudah pun faham erti puasa itu sendiri.
- Oleh yang demikian, dalam 'menahan', amat patutlah ditahan sekali hawa nafsu kita tatkala berhadapan dengan orang ramai yang pelbagai ragam. Nafsu berskodeng, nafsu lirikan mata dan nafsu berahi haruslah ditahan supaya lengkap puasanya. Sama ada lelaki mahu pun perempuan, tahanlah mengumpat dan mengata hatta profesion tersebut menuntut untuk bergosip (macam wartawan politik, hiburan) kerana apa yang dikata dan diumpat akan menjadi tanggungjawab kita yang menyampai. Ingatlah yang fitnah itu lebih dahsyat implikasinya berbanding membunuh [5]. Frasa ini ialah maksud ayat suci Al-Quran, dari hal itu jangan dimulut sahaja jadi bual bicara tapi amalnya tidak kerana kelak, anggota badan yang menjadi saksi akan apa yang kita perkatakan tapi kita tidak pula perbuat.
- Pada masa yang sama, elok dikurangkan hiburan kerana hiburan berlebihan sama melalaikan dan membawa kesan lagho. Kalau hari-hari menghadap telenovela, sinetron, drama Korea, muzik K-Pop dan sebagainya eloklah dikurangkan. Gantikan dengan bacaan Al-Quran sebab bulan Ramadhan itu bulan Al-Quran diturunkan. Bertadarus kalau boleh, andai kesibukan maka curilah masa untuk membaca Al-Quran. Janganlah sampai sudahlah bulan-bulan biasa Al-Quran tidak baca, bulan Ramadhan ini pun tidak mahu diambil peluang untuk membacanya! Bacalah walau semuka dua kerana yang demikian itu lebih baik daripada tidak melihat kalam Allah langsung sedangkan bulan ini bulan kenuzulannya!
- Betul, kita hendaklah buat sebagaimana biasa pada bulan ini (bekerja sebagaimana biasa) namun bulan ini bukannya bulan biasa. Ibadah umum (kerja, cari rezeki) memang tidak boleh dihentikan namun yang khusus biarlah kita cuba tambahkan terdaya mampu sebab Ramadhan ialah bulan ibadah. Alangkah ruginya andai kita langsung tidak mencuba untuk merebut peluang keemasan ini umpama sudah terhidang di depan mata tetapi masih enggan memanfaatkannya. Umpama lain ialah sudah diberi modal tetapi tida mahu menggunakannya! Alangkah ruginya manusia ini. Alangkah ruginya!
- Pendek kata, rebutlah peluang Ramadhan yang ada kerana belum tentu kita akan bertemunya lagi pada masa akan datang. Pada waktu negara dalam keadaan yang cukup-cukup aman, manfaatkan keamanan ini dengan menambahkan amalan kita. Bersedekahlah tanpa berkira-kira kerana sedekah merupakan amalan yang berterusan selagi harta itu dimanfaatkan. Janganlah dengan tangan kita sendiri kita campakkan diri kita ke lembah kebinasaan kerana kebakhilan kita [6]. Apatah lagi pada bulan Ramadhan ini, elok dilipat-gandakan amalan sedekah kita.
- Moga-moga rahmat Allah pada bulan Ramadhan ini akan dapat kita kecapi jua! Amin!
Nota hujung
1. Sebagaimana sabda Nabi SAW dalam Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim bermaksud, 'Barangsiapa yang mendirikan sembahyang malam pada bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala, maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu.' Sila rujuk misalnya Alawi Abbas Al-Maliki, Hasan Sulaiman An-Nuri dan Syeikh Abu Abdullah bin Abd Salam Allusy, Ibanah Al-Ahkam Syarah Bulughul Maram, terjemahan Nor Hasanuddin M. A. Fauzi, Al-Hidayah Publication: Kuala Lumpur, 2010. m.s. 446.
2. Sebagaimana hadis yang dipetik dalam kitab Syamail Muhammad SAW bermaksud, 'Rasulullah SAW membaca setiap ayat (Al-Fatihah) berasingan. Selepas membaca Alhamdullillahi robbil alamin, baginda berhenti sebentar. Kemudian selepas membaca Ar Rahmanir Rahim, kemudian baginda juga berhenti sekejap. Baginda juga berhenti selepas membaca Maaliki yaumiddin.' Hadis riwayat Tirmizi. Lihat Ahmed Ebrahim Bemat, Insan Teladan Sepanjang Zaman, diterjemahkan oleh Abdul Aziz Abdul Hamid, Darul Nu'man: Kuala Lumpur, 1998. m.s 305-306. Hal ini membawa maksud bacaan Al-Fatihah yang menuruti sunnah adalah dengan membaca secara wakaf untuk setiap ayat.
3. Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin (sekarang Prof Madya) pernah mengulas berkaitan pemandu bas yang sepatutnya berbuka puasa ketika memandu bas pada bulan Ramadhan seandainya berpuasa mengganggu pemanduannya kerana akan membahayakan dirinya dan penumpang yang lain. Hadis yang dipetik adalah yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang bermaksud, 'Rasulullah SAW dalam perjalanan lalu melihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung. Lalu baginda bertanya, "Kenapa?" Mereka menjawab, "Dia berpuasa." Baginda bersabda, "Bukanlah sesuatu yang baik berpuasa ketika musafir."' Lihat Mohd Asri Zainul Abidin, Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, Utusan Publication & Distribution Sdn. Bhd., 2008, m.s. 109-110. Begitu juga dalam sebuah hadis riwayat Muslim bermaksud, 'Nabi SAW berangkat menuju Mekah pada tahun pembukaan Mekah dalam bulan Ramadhan, Ketika sampai di Kura' al-Ghamim, orang ramai tetap berpuasa; kemudian Rasulullah SAW meminta sekendi air, lalu diangkat hingga seluruh muslimin melihat ke arahnya, kemudian baginda meminumnya. Sesudah itu ada orang yang berkata kepadanya, bahawa sesungguhnya sebahagian orang masih ada yang tetapi berpuasa, lalu baginda bersabda, "Mereka adalah orang derhaka, mereka adalah orang yang derhaka." Rujuk hadis penuh dan syarahnya dalam Alawi Abbas Al-Maliki, Hasan Sulaiman An-Nuri dan Syeikh Abu Abdullah Abdus Salam Allusy, op.cit., m.s. 400-401.
4. Sebagaimana terkandung dalam ayat Al-Quran pada Surah Al-Baqarah, ayat 185 antara lain menyebut 'Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran'. Ayat ini antara lain menyatakan keringanan untuk umat Islam berbuka ketika bermusafir. Malah, menurut pendapat Imam Ahmad, adalah lebih afdal untuk yang bermusafir berbuka.
5. Merupakan maksud sebahagian ayat daripada Surah Al-Baqarah, ayat 191.
6. Sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud, 'Belanjakan hartamu ke jalan Allah dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan; dan berbuat baiklah (ihsan) sesungguhnya Allah menyayangi orang-orang yang berbuat baik.' Selalunya frasa berkaitan mencampakkan diri ke kebinasaan itulah yang digunakan merujuk kepada jangan berbuat kezaliman kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Maksud yang am lebih diraikan daripada maksud yang khas. Bagaimana pun, usah dilupa maksud sebenar itu kerana pangkal ayat hingga hujung ayat yang sempurna itu merujuk kepada gesaan menginfakkan harta ke jalan Allah dan kebinasaan itu disebabkan kita berlaku bakhil.