- Ramadhan al-Mubarak tiba lagi dan sudah semestinya bulan yang penuh barakah dan rahmat ini menjadi masa yang ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan umat Islam dengan pelbagai alasan. Ada yang hendak mencari keberkatan dan limpahan kurnia yang berlipat kali ganda dari segi pahala dan ganjaran kebaikan dan ada juga yang berkira-kira tentang keuntungan yang dapat dijana dalam bulan ini dengan jualan yang cukup-cukup 'laku' sama ada jualan berbuka puasa mahu pun jualan menyambut hari raya.
- Sesungguhnya, sama ada keuntungan itu diperoleh secara duniawi mahu pun ukhrawi, terbukti sudah Ramadhan sebagai bulan yang melimpah-ruah manfaatnya yang seharusnya dikejar oleh setiap orang yang diberi peluang menikmatinya. Andai tidak, maka sudah semestinya seseorang itu tergolong di dalam golongan yang rugi.
- Tiap-tiap malam bermula malam pertama Ramadhan, kebanyakkan umat Islam akan turun beramai-ramai ke masjid dan surau bagi menunaikan Solat Sunat Tarawih. Barang perlu diingati bahawa Solat Sunat Tarawih merupakan ibadah yang istimewa kerana hanya dilaksanakan pada bulan Ramadhan. Walau pun ada ulama berpendapat bahawa Tarawih merupakan "solat sunat malam pada malam Ramadhan," pendapat sebegini tidak langsung menghalang umat Islam untuk menunaikannya secara berjamaah.
- Cuma kadang-kala, ada jemaah yang seboleh-boleh mencari surau atau masjid yang bacaannya laju dan lekas habis, dengan harapan dapat mengikuti jemaah tarawih sehingga habis. Hal sebegini sudah pasti mencacatkan matlamat asal tarawih itu sendiri kerana seharusnya dilakukan secara sukarela dan khusyuk. Kalau bacaannya terlampau laju tidak menjaga tajwidnya, bagaimana mungkin sembahyang tersebut hendak diterima sebaiknya oleh Allah Taala?
- Justeru, andai tidak dapat mengikut imam membuat sampai 20 rakaat, buatlah seadanya. Andai hendak buat 20 tapi tak larat hendak tunggu baca sampai sejuzuk, mungkin boleh pilih tempat yang membaca ayat-ayat lazim dengan tertib (kadang-kala, 20 rakaat pukul 9.30 dah habis!). Kalau yang lapan, pergilah yang membaca bacaan yang panjang. Kalau dua-dua tak berkenan, buatlah sendiri di rumah seafdal-afdalnya menjelang sepertiga malam [1]. Kalau tak mampu juga, buatlah seadanya bila-bila masa dari selepas fardhu Isyak sehingga waktu Subuh; asalkan jangan dilepaskan. Sungguh pun tahapnya sunat, janganlah diabaikan mahu pun janganlah sehingga menjejaskan jasad pula.
- Kepada tok imam yang mengimamkan sembahyang tarawih, sangat patut dijaga bacaannya terutamanya Al-Fatihah kerana Al-Fatihah adalah rukun sembahyang baik sembahyang wajib mahu pun sembahyang sunat. Elok sangat Fatihah itu dibaca sepotong-sepotong ayat kerana yang demikian itu merupakan amalan Nabi SAW [2]. Janganlah kiranya hendak mengejar waktu, senafas sahaja langsung Fatihah itu dihabisi sedari Bismillah hingga Waladdholiiin! Fatihah merupakan Ummul Kitab, justeru seharusnya surah ini dijagai statusnya dijaga kerana sebagai surah paling istimewa di dalam Al-Quran.
- Soal 20 atau lapan rakaat Tarawih tidaklah mahu dibincangkan pada kali ini kerana terlalu banyak blog-blog, buku rujukan, perbahasan dan polemik berkaitan dengannya sehingga kadang-kala lebih panjang daripada perbincangan fadhilat Ramadhan itu sendiri.
- Berkenaan soal keringanan untuk berbuka puasa ketika puasa, kepada mereka yang harus berbuka, maka eloklah berbuka daripada puasa andai puasa itu mendatangkan mudarat. Kita tidak mahulah mereka yang terkesan dengan puasanya (puasa beri kesan buruk) terus berpuasa terutamanya bagi pekerja-pekerja yang terpaksa membanting tulang pada panas terik, pemandu bas dan pesakit-pesakit tertentu yang perlu makan semasa bulan puasa [3]. Begitu juga bagi musafir, memanglah kalau hendak dibanding zaman nabi berunta, akan tetapi musafir tetap musafir tidak kira naik unta, naik kereta mahu pun naik kapal terbang. Allah mengkehendakkan kemudahan dan bukannya kesukaran [4]. Andai tidak larat, tidak ada cacat-celanya mereka yang berbuka kerana sebab-sebab yang dibolehkan itu.
- Soal korek hidung, telan air liur, kentut dalam air, gunakan ubat mata pun tidaklah hendak dibincangkan pada kali ini; sama ada batal mahu pun tidak. Puasa sebenarnya menggalakkan umatnya menahan daripada melakukan perbuatan yang dibolehkan semasa tidak berpuasa. Larangan itu lebih kepada makan dan minum dan melakukan hubungan jenis. Oleh sebab itu, andai kita hendak mencapai martabat yang tinggi dalam berpuasa, maka eloklah 'diketatkan' apa yang 'longgar' sebab itu merupakan amalan ahli salik. Kita sebenarnya berusaha mencapai tahap puasa yang terbaik dan tidak sekadar menahan makan, minum dan seks sahaja. Jadi, ada eloknya kita ambil perhatian tentang perkara yang mengurangkan pahala puasa setelah kita sudah pun faham erti puasa itu sendiri.
- Oleh yang demikian, dalam 'menahan', amat patutlah ditahan sekali hawa nafsu kita tatkala berhadapan dengan orang ramai yang pelbagai ragam. Nafsu berskodeng, nafsu lirikan mata dan nafsu berahi haruslah ditahan supaya lengkap puasanya. Sama ada lelaki mahu pun perempuan, tahanlah mengumpat dan mengata hatta profesion tersebut menuntut untuk bergosip (macam wartawan politik, hiburan) kerana apa yang dikata dan diumpat akan menjadi tanggungjawab kita yang menyampai. Ingatlah yang fitnah itu lebih dahsyat implikasinya berbanding membunuh [5]. Frasa ini ialah maksud ayat suci Al-Quran, dari hal itu jangan dimulut sahaja jadi bual bicara tapi amalnya tidak kerana kelak, anggota badan yang menjadi saksi akan apa yang kita perkatakan tapi kita tidak pula perbuat.
- Pada masa yang sama, elok dikurangkan hiburan kerana hiburan berlebihan sama melalaikan dan membawa kesan lagho. Kalau hari-hari menghadap telenovela, sinetron, drama Korea, muzik K-Pop dan sebagainya eloklah dikurangkan. Gantikan dengan bacaan Al-Quran sebab bulan Ramadhan itu bulan Al-Quran diturunkan. Bertadarus kalau boleh, andai kesibukan maka curilah masa untuk membaca Al-Quran. Janganlah sampai sudahlah bulan-bulan biasa Al-Quran tidak baca, bulan Ramadhan ini pun tidak mahu diambil peluang untuk membacanya! Bacalah walau semuka dua kerana yang demikian itu lebih baik daripada tidak melihat kalam Allah langsung sedangkan bulan ini bulan kenuzulannya!
- Betul, kita hendaklah buat sebagaimana biasa pada bulan ini (bekerja sebagaimana biasa) namun bulan ini bukannya bulan biasa. Ibadah umum (kerja, cari rezeki) memang tidak boleh dihentikan namun yang khusus biarlah kita cuba tambahkan terdaya mampu sebab Ramadhan ialah bulan ibadah. Alangkah ruginya andai kita langsung tidak mencuba untuk merebut peluang keemasan ini umpama sudah terhidang di depan mata tetapi masih enggan memanfaatkannya. Umpama lain ialah sudah diberi modal tetapi tida mahu menggunakannya! Alangkah ruginya manusia ini. Alangkah ruginya!
- Pendek kata, rebutlah peluang Ramadhan yang ada kerana belum tentu kita akan bertemunya lagi pada masa akan datang. Pada waktu negara dalam keadaan yang cukup-cukup aman, manfaatkan keamanan ini dengan menambahkan amalan kita. Bersedekahlah tanpa berkira-kira kerana sedekah merupakan amalan yang berterusan selagi harta itu dimanfaatkan. Janganlah dengan tangan kita sendiri kita campakkan diri kita ke lembah kebinasaan kerana kebakhilan kita [6]. Apatah lagi pada bulan Ramadhan ini, elok dilipat-gandakan amalan sedekah kita.
- Moga-moga rahmat Allah pada bulan Ramadhan ini akan dapat kita kecapi jua! Amin!
Nota hujung
1. Sebagaimana sabda Nabi SAW dalam Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim bermaksud, 'Barangsiapa yang mendirikan sembahyang malam pada bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala, maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu.' Sila rujuk misalnya Alawi Abbas Al-Maliki, Hasan Sulaiman An-Nuri dan Syeikh Abu Abdullah bin Abd Salam Allusy, Ibanah Al-Ahkam Syarah Bulughul Maram, terjemahan Nor Hasanuddin M. A. Fauzi, Al-Hidayah Publication: Kuala Lumpur, 2010. m.s. 446.
2. Sebagaimana hadis yang dipetik dalam kitab Syamail Muhammad SAW bermaksud, 'Rasulullah SAW membaca setiap ayat (Al-Fatihah) berasingan. Selepas membaca Alhamdullillahi robbil alamin, baginda berhenti sebentar. Kemudian selepas membaca Ar Rahmanir Rahim, kemudian baginda juga berhenti sekejap. Baginda juga berhenti selepas membaca Maaliki yaumiddin.' Hadis riwayat Tirmizi. Lihat Ahmed Ebrahim Bemat, Insan Teladan Sepanjang Zaman, diterjemahkan oleh Abdul Aziz Abdul Hamid, Darul Nu'man: Kuala Lumpur, 1998. m.s 305-306. Hal ini membawa maksud bacaan Al-Fatihah yang menuruti sunnah adalah dengan membaca secara wakaf untuk setiap ayat.
3. Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin (sekarang Prof Madya) pernah mengulas berkaitan pemandu bas yang sepatutnya berbuka puasa ketika memandu bas pada bulan Ramadhan seandainya berpuasa mengganggu pemanduannya kerana akan membahayakan dirinya dan penumpang yang lain. Hadis yang dipetik adalah yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang bermaksud, 'Rasulullah SAW dalam perjalanan lalu melihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung. Lalu baginda bertanya, "Kenapa?" Mereka menjawab, "Dia berpuasa." Baginda bersabda, "Bukanlah sesuatu yang baik berpuasa ketika musafir."' Lihat Mohd Asri Zainul Abidin, Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, Utusan Publication & Distribution Sdn. Bhd., 2008, m.s. 109-110. Begitu juga dalam sebuah hadis riwayat Muslim bermaksud, 'Nabi SAW berangkat menuju Mekah pada tahun pembukaan Mekah dalam bulan Ramadhan, Ketika sampai di Kura' al-Ghamim, orang ramai tetap berpuasa; kemudian Rasulullah SAW meminta sekendi air, lalu diangkat hingga seluruh muslimin melihat ke arahnya, kemudian baginda meminumnya. Sesudah itu ada orang yang berkata kepadanya, bahawa sesungguhnya sebahagian orang masih ada yang tetapi berpuasa, lalu baginda bersabda, "Mereka adalah orang derhaka, mereka adalah orang yang derhaka." Rujuk hadis penuh dan syarahnya dalam Alawi Abbas Al-Maliki, Hasan Sulaiman An-Nuri dan Syeikh Abu Abdullah Abdus Salam Allusy, op.cit., m.s. 400-401.
4. Sebagaimana terkandung dalam ayat Al-Quran pada Surah Al-Baqarah, ayat 185 antara lain menyebut 'Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran'. Ayat ini antara lain menyatakan keringanan untuk umat Islam berbuka ketika bermusafir. Malah, menurut pendapat Imam Ahmad, adalah lebih afdal untuk yang bermusafir berbuka.
5. Merupakan maksud sebahagian ayat daripada Surah Al-Baqarah, ayat 191.
6. Sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud, 'Belanjakan hartamu ke jalan Allah dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan; dan berbuat baiklah (ihsan) sesungguhnya Allah menyayangi orang-orang yang berbuat baik.' Selalunya frasa berkaitan mencampakkan diri ke kebinasaan itulah yang digunakan merujuk kepada jangan berbuat kezaliman kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Maksud yang am lebih diraikan daripada maksud yang khas. Bagaimana pun, usah dilupa maksud sebenar itu kerana pangkal ayat hingga hujung ayat yang sempurna itu merujuk kepada gesaan menginfakkan harta ke jalan Allah dan kebinasaan itu disebabkan kita berlaku bakhil.
No comments:
Post a Comment