Akhbar The Malay Mail (27 Mei 2010) merupakan antara akhbar pertama yang memaparkan berita tentang betapa kerajaan Malaysia bakal muflis menjelang 2019 seandainya kerajaan masih terus mengamalkan kaedah pemberian subsidi sebagaimana sekarang ini. Berita ini dari satu sudut adalah sangat-sangat mengejutkan kerana seolah-olah segala wang yang kerajaan kutip, dapat dan laburkan selama ini adalah bertujuan untuk memberikan "tongkat" sakti subsidi kepada rakyat semata-mata.
Berita yang baik tentang penyusunan semula subsidi adalah berkenaan betapa rakyat yang miskin memperoleh manfaat kerana subsidi yang akan diagihkan lebih menjurus kepada mereka dan berita yang tidak menyedapkan hati kita adalah betapa harga makanan dan petrol akan meningkat secara berperingkat dari sama ada tahun ke tahun atau enam bulan ke enam bulan.
Walaupun panjang lebar leteran dan cerita tentang penyusunan subsidi ini yang akan memberikan manfaat kepada kumpulan sasar (baca: golongan miskin), namun masih tidak ada satu definisi jelas lagi menjelaskan tentang SIAPAKAH yang dikatakan miskin itu? Apakah yang miskin dalam konteks kerajaan adalah orang yang berpendapatan RM650 dan ke bawah sahaja? Ataupun yang miskin itu merupakan orang-orang yang daif hidupnya sebatang kara, duduk di rumah separuh runtuh tanpa bekalan air/eletrik, hidup dipenuhi pelbagai kekangan fizikal seperti mengalami kecacatan kekal dan mempunyai kebarangkalian tinggi untuk turut serta dalam senarai "Tabung Bersamamu-TV3" sahaja?
Pada hemat penulis, sebelum kita susun subsidi (baca: Mansukhkan subsidi) ada baiknya kita menilai dahulu bagaimanakah pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap rakyat Malaysia sehingga hari ini untuk kita kesan siapakah mereka yang memerlukan subsidi.
Sebagaimana biasa, kerajaan dengan clichenya akan membandingkan negara Malaysia dengan sekian-sekian negara bagi merasionalkan betapa bertuahnya penduduk di negara kita menikmati subsidi. Somalia antara negara bandingan yang menjadi sasaran. Malangnya, walaupun Somalia merupakan negara yang "dikatakan" lebih ketinggalan berbanding Malaysia, struktur ekonomi dan pembangunan rakyat di sana agak berbeza kalau hendak dibandingkan dengan Malaysia.
Ambil contoh petrol dan profesion guru di Somalia, rasanya guru di sana tidak perlu memiliki kereta dan gaji mereka mungkin lebih rendah berbanding di Malaysia. Namun, kalau kita tengok cikgu di Malaysia, berebut tempat parking tiap-tiap pagi di sekolah dek kerana hampir semua cikgu membawa kereta. Kereta memerlukan petrol. Maka sudah pasti kenaikan harga petrol akan mengganggu-gugat pelan perbelanjaan guru kerana mereka akan menampung lebih daripada biasa.
Walaupun status negara kita adalah negara membangun, hampir kesemua golongan pertengahan (middle income) memiliki kereta. Kalau tidak satu, dua buah. Lebih lagi apabila si suami dan isteri sama-sama bekerja. Sedar atau tidak, dasar kerajaan jugalah yang menyebabkan mereka ini berkereta. Tambahan pula golongan-golongan yang hampir separuh masa hidup mereka yang bukan kerja berada di dalam kenderaan. Contoh yang duduk di Bangi tetapi kerja di Puchong. Yang duduk di Kepong kerja di PJ, yang duduk Kulai kerja di JB, mereka mahu tidak mahu perlu berkenderaan untuk ke tempat kerja. Hendak harapkan bas pun belum tentu tiba ke tempat kerja tepat pada waktunya.
Dengan kenaikan harga bahan api dan "kempen" menaiki kenderaan awam, apakah kerajaan sedang menghantar isyarat kepada rakyatnya supaya "jangan membeli kereta" kerana harga petrol mahal?
Lebih dari itu, cadangan untuk menaikkan harga minyak setiap enam bulan menampakkan tidak rasionalnya kerajaan dalam "memansukhkan subsidi secara berperingkat" Apakah pihak kerajaan lupa atau buat-buat lupa seandainya diumumkan esok harga minyak akan naik maka apa akan berlaku pada stesen-stesen minyak pada malam itu? Kereta beratur memanjang di pam minyak bagi mendapatkan bekalan petrol harga lama di saat-saat akhir. Seandainya tidak dikawal dengan betul, ada kemungkinan akan timbul huru-hara yang tidak diingini. Apakah kerajaan sudah bersedia bagi menghadapi kemungkinan seperti ini dalam masa enam bulan sekali?
Pemberian rebet tunai kepada kenderaan 1000cc dan ke bawah juga menghantar isyarat kepada rakyat supaya "bertukarlah kepada kereta Kancil kerana anda akan dapat rebet tunai." Apakah benar golongan miskin sahaja yang pakai kereta Kancil? Atau apakah benar golongan yang tidak menggunakan kereta 1000cc (e.g: 1100 cc atau 1300cc) merupakan golongan yang "berada"? Bagaimanakah kerajaan merasionalkan keadaan berikut: sebuah keluarga (mungkin 5-6 orang ahli) mempunyai 3 buah kereta, satu MPV Naza Ria, satu lagi Proton Wira dan satu kereta kancil. Apakah rasional bagi kereta kancil tersebut menerima rebet tunai?
Justeru, kerajaan perlu mengambil kira persoalan penting di dalam merasionalkan sebarang bentuk perasionalan penyusunan semula subsidi. SIAPAKAH yang secara rasionalnya perlu menerima subsidi? Kalau gaji seseorang yang tinggal di bandar RM3000 namun hampir kesemua wangnya dihabiskan untuk perbelanjaan utiliti, kereta, sewa, petrol sampaikan hendak simpan untuk belanja makan pun susah, apakah mereka ini tidak layak mendapat subsidi atas dasar gaji mereka RM3000?
Penulis senang sekali dengan cadangan Tun Dr Mahathir tentang betapa sebelun pemansukhan subsidi berlaku, rakyat perlulah memiliki pendapatan yang lebih dahulu bagi membolehkan mereka merangka perbelanjaan mereka. Kerajaan perlu ingat bahawa rakyat walau berpangkat kecil, sederhana atau besar sekalipun adalah penjana pendapatan negara. Mungkin ada bahan yang boleh dipotong subsidinya. Mungkin tepung, gula boleh dinaikkan harga kerana suasana di bandar besar sudah boleh menerima harga tidak masuk akal yang dijual oleh penjual (mungkin lepas ini harga kuih adalah seringgit untuk sebiji!)
Namun, ada juga barang sensitif yang mungkin akan mendatangkan kesan besar kepada masyarakat kita. Tatkala orang ramai masih lagi berbual tentang "tsunami" politik 2008, masih ramai yang percaya bahawa kenaikan harga minyak yang begitu drastik yang dilakukan oleh Pak Lah merupakan antara penyumbang tumbangnya regim beliau. Dan selagi pihak pembangkang masih lagi tercari-cari formula untuk membela rakyat, mungkin kerajaan masih boleh menarik nafas lega dengan segala tindak-tanduk mereka sendiri. Namun, tatkala lanskap politik dunia pun sudah semakin berubah, apakah tindakan menarik subsidi ini akan memberikan "daya saing" kepada parti pemerintah dalam menghadapi cabaran politik yang lebih kotor dan dahsyat?
Hanya masa akan menentukannya.
P/s: Kalau pasal ganjaran dan berita baik, PM Najib yang umum, pasal nak naikkan harga itu dan ini, orang lain yang jadi kambing hitam.....