Pendahuluan: Bahasa Melayu- tulisan jawi
Perkembangan isu bahasa masih tidak surut-surut lagi. Pihak yang menolak pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris masih lagi berjuang bagi mengembalikan semula kedua-dua subjek tersebut diajar ke dalam Bahasa Melayu. Mereka berhujah bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris telah mencemar Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia. Pelbagai cara telah dilakukan oleh pihak pencinta bahasa ini; dari piket di Sogo, forum dan persidangan serata negara, laporan polis dan menghantar memorandum terus kepada Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein. Mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan Bahasa Melayu sehinggakan ada yang berpendapat andai Bahasa Melayu tidak dipertahankan sedemikian rupa, kemungkinan besar terbitan Bahasa Melayu akan pupus pada masa akan datang sehingga menerima nasib yang sama dengan penulisan akhbar Melayu Jawi – hanya diterbitkan sebagai sisipan sebanyak sekali seminggu !
Namun begitu, hujah menyamakan Bahasa Melayu dengan tulisan jawi tidak dapat diterima seratus peratus. Pertamanya penulisan tersebut sendiri yang dipupuskan oleh setiap orang Melayu tersebut tanpa ada usaha yang rencam daripada mereka-mereka yang menyintai Bahasa Melayu. Pada masa kini pun, penulisan sastera Melayu moden ditulis tulisan rumi; tiada pula yang hendak mengusahakannya dalam tulisan jawi ! Sehinggakan penulisan naskah yang lebih dekat jiwanya kepada tulisan jawi i.e. penulisan buku-buku agama sekarang inipun lebih banyak dicetak dalam tulisan rumi. Pelajar menjawab kertas peperiksaan Pendidikan Islam dalam SPM pun menulis rumi; kalau tulis jawi salah ejaan akan dipotong markah, namun kalau pun betul ejaan tidak pula akan diberi tambahan markah ! Oleh sebab itu, kalau hendak meletakkan kesalahan tentang pupusnya tulisan jawi tidak boleh diletakkan kepada pemerintah per se, sebaliknya mereka yang sepatutnya mengusahakannya tidak pula mengambil peranan dalam memperkasakannya.
Kedua, sebagai mana longgarnya ketetapan tatabahasa Bahasa Melayu yang saling berubah, begitulah pula masalah yang timbul dalam ejaan jawi. Penulis tatkala sekolah menengah dahulu naik keliru; biasanya eja RASUL dalam jawi dikekalkan ejaan arabnya, ro sin wau lam. Tiba-tiba, pada suatu hari, ustaz yang mengajar pula mengatakan bahawa telah berlaku perubahan dalam ejaan dimana kita perlu mengeja perkataan yang asalnya arab itu sebagaimana mengeja perkataan melayu; jadilah ro alif sin wau lam dengan ditambah alif. Sesudah itu, yang mana satu yang betul? Haji dieja ha alif jim atau ha jim sahaja? Atau kenapa tidak pula diikut "ketetapan mengeja perkataan melayu" menjadi ha alif jim ya ?! Puasa dieja pa wau alif sin alif atau pa wau alif sin? (sudah macam puas pulak!) Perkataan-perkataan yang begitu dekat dengan unsur Melayu-Islam inipun macam-macam versi; apatah lagi tatabahasa dalam tulisan jawi pula. Seingat penulis, ada diterangkan dalam arahan soalan kertas Bahasa Melayu SPM bahawa pelajar boleh menulis dalam tulisan rumi atau jawi; nak tulis jawi macam mana? Ajar pun dalam tulisan rumi! Tiada pula pencinta bahasa kita berpiket untuk mengembalikan semula tulisan jawi sebagai kegunaan harian kita.
Malah kalau kita melihat dan membaca buku-buku agama jawi lama pun, kita akan banyak menghabiskan masa untuk berfikir macam mana hendak sebut perkataan yang ditulis dan apakah sebenar-benarnya yang hendak diutarakan oleh pengarang. Kitab Matla'al Badrain umpamanya memerlukan pembacaan yang teliti kerana takut pembaca tersalah maksud pula. Menyentuh hujah bagi mereka yang mengatakan bahawa mempelajari ilmu agama sebenarnya memerlukan guru, maka sebab itu kitab-kitab begitu perlu kepada guru untuk menelaah kitab tersebut, maka penulis memetik pula pemikiran Sasterawan Negara Abdullah Hussein dalam karya beliau Imam yang mengatakan bahawa kita dituntut untuk mempelajari ilmu dengan membaca (Iqra') bukannya berguru.
Maka tidak harianlah seandainya lebih ramai memilih alternatif dengan membeli buku-buku keagamaan yang baru di pasaran yang telah ditulis atau dialihbahasakan dalam Bahasa Melayu moden yang lebih mudah difahami dan lebih-lebih lagi mudah dibaca. Penulis TIDAK memperkecilkan karya ulama terdahulu namun, kita juga perlu akur dengan tuntutan semasa bagi memudahkan orang awam mencapai ilmu dengan lebih cepat dan tepat. Malah, sudah ada usaha-usaha yang dibuat oleh pihak penerbitan buku keagamaan tertentu untuk menerbitkan karya-karya lama yang ditulis oleh ulama terdahulu untuk "dialihtuliskan" daripada tulisan jawi kepada rumi dan ditambah pula dengan penerangan-penerangan yang munasabah. Kitab-kitab seperti Bahr Mazi himpunan Syeikh Muhammad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi (bermastautin di Lubuk Merbau), Siyrus Salikin dan Hidayatus Salikin oleh Abdus Samad Falimbani dan Matla'al Badrain Wa Majma'al Bahrain kini dapat diperoleh dalam tulisan rumi. Malah, kitab alihbahasa arab-melayu yang dahulunya hanya boleh diperoleh dalam tulisan jawi seperti Tafsir Fi Zhilal Quran oleh Sayid Qutb pun sudah ada cetakan rumi. Jadi, apakah usaha-usaha ini hendak kita katakan sebagai perencat kepada perkembangan tulisan jawi?
Oleh sebab itu, masa hadapan Bahasa Melayu tidak boleh disamakan dengan keruduman penggunaan tulisan jawi itu sendiri. Terbitan akhbar melayu masih lagi banyak diedarkan; cuma mendapat saingan daripada internet melalui terbitan atas talian dan blog. Pembelajaran lain seperti Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral pelajaran ikhtisas lain masih diajar dalam Bahasa Melayu. Di universiti misalnya, subjek kenegaraan atau TITAS juga dalam Bahasa Melayu. Mungkin ada usaha universiti tertentu yang hendak menginggeriskan semua subjek namun tidak semestinya pelajar tersebut menjadi orang Inggeris. Oleh sebab itu, terpulanglah kepada cara kita untuk memartabatkan Melayu melalui usaha dan iniseatif kita.
Kalimah Allah dan Bible Melayu
Isu terkini tentang bahasa (namun pihak media tidak pula meletakkan isu ini sebagai isu bahasa) adalah penggunaan kalimah Allah dalam penulisan keagamaan Kristian. Hal ini mendapat tentangan yang hebat daripada kebanyakkan ulama di Malaysia terutamanya daripada JAKIM, Jabatan Agama Negeri, Majlis Agama Negeri Persatuan Ulama dan NGO yang berkaitan Islam. Namun, tidak kurang pula ulama, contohnya Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyatakan tidak mengapa kalimah Allah itu digunakan dalam Bible kerana kalimah tersebut hanya satu kalimah arab yang bermaksud Tuhan. Sudah pastilah Tuhan dalam istilah Islam berbeza daripada Tuhan dari istilah Kristian.
Dalam penggunaan perkataan Allah dalam Bible dan penulisan keagamaan Kristian sebenarnya menimbulkan rasa kurang senang masyarakat Islam. Menjadikan keadaan lebih keliru, terdapat pandangan yang mengatakan bahawa istilah Allah itu hanya salah satu istilah yang merujuk kepada Tuhan dalam Bahasa Arab. Anehnya, mengapa pula Bible Inggeris tidak pula menggunakan perkataan Allah dalam terbitan terdahulu malah menggunakan istilah God, Mary dan Jesus sebagai Tuhan mereka? Hal ini sebenarnya mengundang persoalan dalam sebab mengapakah sebenarnya mereka (pihak persatuan Kristian) ini beria-ia sangat hendak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mereka.
Namun, perkara tidak kurang menariknya adalah isu yang dibangkitkan oleh pihak persatuan Kristian di Malaysia bahawa Bible seharusnya dibenarkan dicetak dalam Bahasa Melayu kerana bagi memenuhi tuntutan perlembagaan memartabatkan Bahasa Melayu! Sekarang, yang manakah pendirian penyokong dan pencinta Bahasa Melayu yang dari dahulu memperjuangkan Bahasa Melayu? Adakah mereka menyokong atau membangkang? Sehingga kini tidak ada satupun kenyataan daripada pihak berkenaan tentang isu Bible dalam Bahasa Melayu. Sedang mereka sibuk ingin mengembalikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu, kumpulan Kristian pula berhujah bahawa Bible seharusnya dibenarkan untuk cetakan edisi Melayu untuk memartabatkan Bahasa Melayu! Apakah pendirian mereka? Dan apakah pula pendirian pihak Kristian itu tadi dalam isu memartabatkan Bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik? Adakah mereka menyokong usaha itu?
Hal berkaitan sebegini (penerbitan Bible dalam Bahasa Melayu dan Allah sebagai Tuhan dalam penerbitan Kristian) sebenarnya sangat sukar untuk diulas disebabkan sensitiviti beragama dalam masyarakat Malaysia. Malah, kita pun tidak pula mendengar pandangan ulama yang membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Kristian mengulas isu Bible dalam Bahasa Melayu. Kelihatan yang bersungguh-sungguh untuk tidak membenarkan sama ada penerbitan Bible dalam Bahasa Melayu dan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian adalah Kementerian Dalam Negeri melalui menterinya Datuk Seri Syed Abdul Hamid Albar. Walaupun terdapat usaha daripada Jabatan Agama Negeri, Majlis Agama Negeri, Persatuan Ulama dan pihak-pihak lain, nyata sekali KDN menggunakan sepenuh kuasa yang ada untuk menidakkan kedua-dua perkara tersebut daripada berlaku. Malah, walaupun terdapat keputusan Mahkamah Tinggi dalam isu kalimah Allah, KDN dan Jabatan Perdana Menteri (melalui JAKIM) masih berjaya menangguhkan kebenaran tersebut (i.e. kalimah Allah dalam Bible).
Dapat dilihat disini bahawa kedua-dua isu ini sebenarnya ada kaitan dengan isu bahasa; namun yang lebih dicanangkan dalam media adalah isu keagamaan semata-mata. Sememangnya kita senang berkata bahawa kalau seseorang itu sudah Islam, walaupun ada Bible dalam Bahasa Melayu pun pastilah beliau tidak akan berganjak dari Islam sebab beliau mempunyai keimanan. Namun begitu, hal ini sebenarnya tidak berlaku di Malaysia. Berbeza dengan negara asing terutamanya di Barat, penerbitan keagamaan Islam di Malaysia itu sendiri hampir seakan-akan eksklusif dalam Bahasa Melayu. Hanya sehingga tahun lepas sahaja Tafsir Pimpinan Ar-Rahman diterbitkan dalam versi Bahasa Inggeris. Malahan, kedai buku utama di ibu kota Kuala Lumpur, lebih banyak rak buku penerbitan kekristianan (Christianity) daripada penerbitan Islam dalam Bahasa Inggeris. Hal ini berlaku disebabkan buku-buku keagamaan yang diterbitkan di Malaysia hampir semuanya dalam Bahasa Melayu dan kebanyakkan buku-buku tentang Islam dalam Bahasa Inggeris adalah buku-buku import (yang sudah pastilah jauh lebih mahal !)
Situasi sebeginilah sebenarnya yang melahirkan kesukaran untuk masyarakat Melayu Islam di Malaysia menerima penerbitan Bible dalam Bahasa Melayu. Malaysia sebenarnya unik dalam hal ini. Tambahan pula takrifan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan yang memasukkan unsur "menganuti agama Islam" di dalamnya yang mendorong keadaan unik tersebut. Dalam hal ini, orang bukan Melayu yang menganut agama Islam atau memasuki agama Islam tidak dikira sebagai "masuk Melayu" sementara bagi orang Melayu yang murtad pula sudah dikira sebagai "keluar Melayu." Oleh sebab itulah, penerbitan Bible dalam Bahasa Melayu dikira sebagai janggal kerana menurut takrifan perlembagaan tadi, adalah mustahil orang Melayu menganut Kristian kerana kalau beliau sudah keluar daripada Islam, sekaligus beliau sebenarnya telah "keluar daripada Melayu!"
Dicampur pula dengan ura-ura berlakunya gejala murtad beramai-ramai di kalangan orang Melayu menyebabkan hal penerbitan Bible dalam Bahasa Melayu ini lebih sukar diterima oleh orang Melayu dan ulama. Mereka mendakwa gejala inilah (i.e. penerbitan Bible dalam Bahasa Melayu) akan digunakan sebagai senjata untuk memurtadkan orang Melayu daripada Islam. Penulis bersetuju dengan pandangan tersebut; malahan keadaan umat Islam di Malaysia ini pula sering berpecah belah atas hal yang titik bingit seperti dalam politik. Parti sekian-sekian mengkafirkan orang Melayu dalam parti yang lain kerana bekerjasama dengan orang bukan Islam; namun boleh pula parti tersebut bekerjasama dengan orang bukan Islam dalam perjuangan mereka menubuhkan "negara Islam" Lebih aneh adalah apabila keluar kenyataan bahawa keluar dari parti tersebut dikira murtad sementara kalau "lompat masuk" pakatan tersebut bermaksud "kembali ke jalan benar" dan dibolehkan !
Tuntasnya isu penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian dan Bible dalam Bahasa Melayu memang merupakan satu isu keagamaan namun tidak boleh dilihat dari sudut tersebut semata-mata. Isu ini seharusnya juga dilihat dari segi sejarah, perlembagaan dan dari sudut penggunaan bahasa itu sendiri. Masyarakat Malaysia sudah terbina dalam satu acuan sebegitu dan adalah sesuatu yang sangat-sangat sukar untuk mengubah acuan tersebut yang dibaluti dengan sejarah dan perlembagaan. Hal ini bukan bermaksud untuk menghalang agama lain namun kita juga perlu menerima keadaan semasa seadanya. Masyarakat Melayu masih sensitif dengan terbitan Kristian dalam Bahasa Melayu dan hal ini mungkin tidak akan berubah dalam keadaan yang cepat (atau mungkin juga tidak akan berubah!). Lebih penting, dakwaan pihak persatuan Kristian untuk "memartabatkan Bahasa Melayu mengikut perlembagaan" seharusnya diulas dan diberi pendirian oleh pencinta-pencinta Bahasa Melayu sama ada menyokong atau membangkang usaha tersebut. Hal ini disebabkan pendirian tersebutlah yang akan menentukan sama ada penggunaan hujah "memartabatkan Bahasa Melayu" itu sah ataupun tidak menurut pencinta bahasa.
Apartheid-Yahudi-Celaka
Baru-baru ini, Yang Berhormat (YB) kita di sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kita yang kita lantik sekali lagi membuat hal yang tidak mencerminkan keilmuan dalam diri mereka. Dasar kerajaan i.e. DEB dilabel sebagai dasar apartheid dan ada pertubuhan pemuda yang dilabel sebagai celaka. DEB dilabel sebagai apartheid kerana dasar tersebut hanya mementingkan kaum bumiputera (lalu dilabel pula sebagai fahaman bumiputeraisme). DEB dikatakan sebagai dasar yang berat sebelah dan menyebabkan kaum lain tertindas dan tidak mendapat peluang yang sama.
Mungkin YB tersebut LUPA bahawa istilah apartheid merupakan satu dasar penjajah, sedangkan kerajaan Malaysia sekarang sebenarnya bukan penjajah (walaupun mereka melabel kerajaan BN sebagai penjajah). Tiada kerahan tenaga dibuat, rakyat hidup dengan senang dan boleh mencari kekayaan sendiri walaupun memang tidak dinafikan, ada juga mereka yang miskin. Namun, apakah kerana terdapat golongan yang miskin dan kelebihan diberikan kepada bumiputera itu perlu dikaitkan dengan dasar apartheid? Anehnya, dasar apartheid sebenarnya menekan dan menindas penduduk peribumi di Afrika Selatan itu disamakan pula dengan dasar DEB yang memberi kelebihan kepada bumiputera peribumi?!
Apakah teruk sangatkah kerajaan di Malaysia ini membiarkan rakyatnya mati kelaparan, hidup dalam kesukaran mencari rezeki dan makanan, sebahagian besar rakyat langsung tidak diberi peluang untuk mendapat kemudahan, banyak yang mati kelaparan dan hanya kaum tertentu sahaja yang kaya (baca: bumiputera) sedangkan kaum lain (baca: bukan bumiputera) semuanya mati kelaparan, tidak boleh berniaga, tidak boleh bekerja, tidak boleh menjadi bos sebagaimana dasar apartheid? Kalau begitu, mungkin ada kesilapan yang sangat besar oleh majalah Malaysian Business yang menyenaraikan sembilan daripada sepuluh orang paling kaya di Malaysia adalah orang bukan bumiputera untuk tahun ini. Sebab kalau betul orang bukan bumiputera tertindas sebegitu rupa, pastilah kesemua empat puluh orang yang tersenarai tersebut adalah orang bumiputera!
Hal inilah yang akan berlaku apabila istilah digunakan sewenang-wenangnya dan lebih menambah burukkan keadaan, mereka (baca: YB yang kita lantik itu) cuba menghiperbolakan penggunaan istilah bahasa dengan menggunakan istilah yang tidak tepat. Memang betul, DEB ada kekurangan dan mewujudkan masalah interpretasi andai disalahtafsir. Namun hendak menyamakan DEB dengan apartheid sebenarnya adalah persamaan yang dangkal dan hanya berlandaskan emosi semata-mata. Aneh juga apabila seorang professor yang menggunakan istilah tersebut sedangkan seharusnya seorang ahli akademik seharusnya mempunyai latar belakang keilmuan yang baik. Beliau sendiri dibenarkan untuk bertanding pilihan raya, menang pilihan raya beliau menjadi seorang wakil rakyat sah tanpa bantahan, hadir ke Parlimen tanpa ada sekatan, tiada pula orang yang hendak menghalang beliau hadir ke Parlimen, diberi kereta, senang makan minum, dibayar gaji, menjadi timbalan ketua menteri; beliau melahirkan pandangan bahawa beliau sebenarnya hidup dalam dasar apartheid! Aneh !?
Penggunaan istilah seharusnya betul. Membuat analogi pun kenalah bertempat. Penulis faham betapa apa sahaja dasar kerajaan dipandang serong oleh mereka yang memang tidak menerimanya. Apabila kerajaan putus untuk naikkan tol, mereka kata kerajaan zalim dan tidak patut. Apabila kerajaan tidak jadi naikkan tol, mereka kata itu taktik pilihan raya, dan flip flop. Apa sahaja perkara yang kerajaan buat sekarang inipun pada mereka tidak pernah betul. Kalau ditakdir kerajaan bagi bonos sejuta seorang pun pada mereka tidak betul. Namun, dalam kita menghentam kerajaan, janganlah pula melampau-lampau sampai tidak ada input baru yang boleh diutarakan kepada rakyat. Apakah yang beliau-beliau ini dapat kalau menggelarkan kerajaan Malaysia berdasar apartheid? Mereka hanya dapat memancing undi sebahagian pihak dan menimbulkan kemarahan sebahagian yang lain. Lalu andai kenyataan ini digunakan oleh media asing, media asing hanya tahu lebih memutarbelitkan keadaan dan memberikan gambaran buruk kepada Malaysia. Apakah ini yang hendak dicapai oleh YB-YB kita?
Begitu juga dengan halnya gelaran kerajaan sekarang ini umpama Yahudi sebagaimana yang dibuat dalam satu perhimpunan bagi mengutuk regim Zionis dan membela rakyat Palestine. Elok-elok sahaja rapat umum sebegitu dapat menyatukan rakyat tanpa mengira parti politik; tiba-tiba sahaja dicemari dengan label yang tidak bertanggungjawab daripada pihak tertentu. Seharusnya perhimpunan sebegitu dan perbincangan tentang isu-isu yang boleh menyatukan rakyat tidak dicemari dengan agenda politik kepartian yang sempit. Sesungguhnya memang ramai di kalangan rakyat Malaysia membenci Zionis.
Jadi, apakah yang Zionis sangat kerajaan Malaysia ini? Mengebom sekolah? Memusnahkan harta benda awam ? Membunuh kanak-kanak dan wanita? Membunuh orang sesuka hati? Membunuh orang yang membaling batu dengan peluru kereta kebal? Mengebom masjid sesuka hati? Istilah Yahudi itu sendiri mempunyai konotasi yang tertentu, diterangkan dalam Al-Quran dengan sifat-sifat tertentu. Kalau dikatakan kerajaan Malaysia sekarang ini bersifat Yahudi kerana tidak menegakkan hudud; apakah kerajaan yang bakal dibentuk oleh gabungan parti yang sememangnya menolak negara Islam dan parti yang berteraskan Islam serta parti tengah-tengah tersebut boleh dikatakan kerajaan bukan Yahudi?
Selain itu, dalam memperkatakan istilah bahasa, ingin disentuh disini berbudi bahasa. Memang sangat menghairankan seorang ahli YB yang kita panggil pun "Berhormat" berbahasa kasar dalam Dewan Yang Mulia di Parlimen. Kita faham bahawa YB begitu marah dengan orang yang mengancam nyawa beliau, namun adakah beliau ada bukti bahawa pihak yang beliau tuduh itu yang mengancam nyawa beliau? Sehingga sekarang pun beliau tiada bukti; malahan masih lagi mengatakan bahawa pihak tersebut menghadiahi beliau peluru. Tindak tanduk beliau sebagai seorang yang berpengalaman dalam Parlimen menunjukkan ketidakmatangan beliau dalam menghadapi situasi sebegitu. Beliau juga yang terdahulu lantang sekali berbicara bahawa beliau tidak takut kepada mereka-mereka yang menentang beliau dan sanggup bertemu di mahkamah, sudah itu apa yang perlu beliau risaukan lagi?
Tindakan mengeluarkan perkataan celaka itu kini sudah menjadi ikutan pula ahli-ahli YB di dalam Parlimen. Parlimen Malaysia penggal ini merupakan antara yang paling banyak kata-kata kesatnya menunjukkan ahli-ahli YB tidak bersedia sebenarnya menjadi BERHORMAT. Anehnya, kutukan, kritikan dan kesungguhan sini sana ahli-ali YB hanya berlaku tatkala sidang membincangkan soal-soal yang boleh membawa kepada isu kepartian dan isu-isu popular. Tidak ada pula ketuk meja dan enthusiasism ahli-ahli YB ini dalam membincangkan hal-hal seperti ekonomi negara, kadar pengangguran, mencipta peluang pekerjaan, pembelaan mereka yang benar-benar miskin, kebejatan sosial, cerai ekspress dan isu-isu kemasyarakatan yang lebih dekat dengan rakyat.
Gula hendak naik harga, dimarahnya kerajaan; namun tidak ada pula ahli-ahli YB ini (tidak kira penyokong kerajaan atau pembangkang) hendak mencadangkan mekanisme galakan untuk rakyat menjalani gaya hidup sihat dan mengurangkan pengambilan gula ringkas dan karbohidrat ringkas (seperti tepung putih, nasi yang telah diputihkan) bagi menjaga kesihatan. Dan tiada pula dikalangan ahli-ahli YB ini yang hendak cadangkan agar makanan yang lebih menjurus kepada kesihatan (seperti beras perang, gula perang, roti wholemeal) ini dikawal oleh kerajaan agar pengguna boleh mendapatkannya dengan harga yang lebih murah berbanding yang telah diproses! Sudahnya, ahli-ahli YB ini hanya tahu bertepik, bertikam lidah dan bermadah bicara untuk hal-hal yang popular dan kepartian sahaja.
Penutup
Dalam hal bahasa, berbudi bahasa dan penggunaan istilah bahasa, kadang kala kita lupa bahawa kesemuanya adalah berkaitan dengan bahasa. Kita hanya melihat perlaksanaan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris sebagai satu isu bahasa, sedangkan banyak lagi isu bahasa yang boleh kita kaitkan. Kita hanyut dengan memperjuangkan penggunaan Bahasa Melayu, namun kita lupa untuk memperjuangkan kesopanan dan kesantunan untuk berbahasa. Bukankah dalam Rukun Negara yang selalu kita ungkapkan ada terkandung prinsip "kesopanan dan kesusilaan? Sememangnya kita harus memperjuangkan Bahasa Melayu namun bukankah yang sepatutnya kita perjuangkan sekali adalah penggunaan Bahasa Melayu yang indah dan baik? Kalau semata-mata Bahasa Melayu, maka "sial", "celaka", "bangsat", "bodoh" dan "pergi mampus" pun sebenarnya Bahasa Melayu juga.
Selain itu, adalah penting untuk pihak kerajaan meletakkan kembali Bahasa Melayu ke tempat asalnya. Mungkin kita telah berkompromi banyak dengan membiarkan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris; namun tidak pula kita perlu menginggeriskan kesemua perkara yang hendak dibuat! Mesyuarat kerajaan seharusnya kekal Bahasa Melayu, papan tanda sepatutnya tidak perlu pelbagai bahasa, forum peringkat domestik sepatutnya dikekalkan Bahasa Melayu, BAJET ditukar kepada BELANJAWAN. Malah, ahli bahasa dan pencinta bahasa sendiri seharusnya memainkan peranan lebih aktif dan efektif dengan menerbitkan makalah dalam Bahasa Melayu, menterjemahkan karya-karya penting bahasa asing (Inggeris dan sebagainya) dalam Bahasa Melayu. Malahan, adalah lebih baik seandainya terbitan Malaysia masa kini diterbitkan dalam kedua-dua Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Ambil sahaja contoh bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir. Beliau bukanlah seseorang yang asyik sangat berbicara tentang bahasa. Malah, beliau juga antara yang mencadangkan perlaksanaan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Namun, apa yang penulis perhatikan, kebanyakkan karya terbaru beliau, terbitan akan dikeluarkan dalam kedua-dua bahasa; Melayu dan Inggeris. Terbitan baru The Malay Dilemma juga dituruti dengan terbitan Melayu, Dilema Melayu. Malah, terbitan buku Blog: Merentas Halangan juga diterbitkan dalam dua versi Bahasa Melayu dan Inggeris dalam senaskah. Terbitan surat-surat beliau kepada pemimpin dunia juga diterbitkan dalam Bahasa Melayu setelah dikeluarkan pada dua tahun lepas dalam Bahasa Inggeris. Hal ini bertepatan dengan usulan yang dibawa oleh Prof Diraja Ungku Aziz yang mencadangkan pebelajaran dwibahasa dilaksanakan dalam sistem pembelajaran Malaysia. Mungkin kedengaran sistem sebegini sukar namun kita seharusnya berusaha ke arah itu bagi membolehkan generasi akan datang menguasai kedua-dua bahasa; tidak ralat memasuki industri tetapi tidak pula akan belagak orang putih memanjang apabila bergaul dalam masyarakat.
Perkara-perkara sensitif seperti penggunan istilah keagamaan seharusnya tidak menjadi perdebatan; kerana hal-hal ini seakan-akan sengaja dicetuskan pihak-pihak tertentu dengan mengambil kesempatan terhadap situasi tertentu. Hal-hal sebegini selayaknya dibuat perbincangan tertutup dan kenyataan rasmi daripada perbincangan tersebut dikeluarkan bagi memuktamadkan keputusan; dan bukannya dijadikan isu tenggelam timbul sebagaimana sekarang ini dan seterusnya akan mempunyai kecenderungan untuk disalahtafsir oleh media dan menyebabkan keadaan semakin tegang.
Satu lagi perkara adalah peranan ahli-ahli YB kita di Parlimen dan DUN. Mereka seharusnya menunjukkan budi bahasa yang baik bukan sahaja di dewan persidangan malahan turut serta menunjukkan sikap yang baik semasa berbicara dengan media dan masyarakat. Perbincangan di Parlimen dan DUN seharusnya lebih menjurus kepada kepentingan rakyat, dan bukannya semata-mata politik kepartian dan isu-isu popular; menggulingkan kerajaan lompat sini-lompat sana semata-mata. Jangan sibuk membincangkan memartabatkan Bahasa Melayu namun sikap kita, percakapan kita dan perbuatan kita semacam orang yang tidak geti-geti bahasa!