Wednesday, September 28, 2011

Pulang ke pangkal jalan?

Terkini (29/9/2011)

Ketua Pembangkang merangkap Penasihat PKR menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak akan melaksanakan hukum hudud sebagaimana yang dicanang oleh Tuan Guru Sahibus Samahah Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagaimana yang telah dibangkitkan seminggu-dua ini. (Laporan Berita Harian, 29 September 2011.) Tidak menghairankan isu ini akan dipolemikkan dalam masa seminggu dua lagi bagi melenyapkan sebentar ketegangan isu-isu sebelumnya! 

Terbitan asal

Apabila kita memperkatakan PAS, sudah semestinya imej kopiah arwah Fadzil Noor, Mursyidul Am Sahibus-Samahah Al-Ustaz Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dogma PAS ialah Islam dan Islam adalah PAS akan bermain di fikiran kita. PAS merupakan parti terunggul Pakatan Rakyat daripada sudut bilangan negeri yang ditawan, berbanding dua parti yang lain. Malah, kredibiliti PAS daripada segi pentadbiran bolehlah dikatakan lebih tinggi berbanding DAP dan PKR apabila memiliki negeri yang stabil di bawah pentadbirannya iaitu Kelantan yang diperintah lebih 20 tahun.
Rakyat Kelantan begitu berbangga dengan pencapaian PAS yang dianggap sebagai begitu monumental kerana berjaya mengekalkan “kerajaan berlandaskan Islam.” Dan baru-baru ini, pada muktamar tahunan parti, PAS membuat kejutan yang maha dahsyat pula apabila melalui Presidennya Sahibul-Fadhilah Al-Ustaz Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang dengan jelas dan nyata mengatakan bahawa parti tersebut tidak sama sekali akan memperjuangkan negara Islam sebaliknya beralih arah memperjuangkan apa yang dikatakan sebagai ‘negara kebajikan.[1]

Beberapa bulan berlalu dan kini, akibat daripada cabaran Tun Dr Mahathir yang menuntut agar Kelantan melaksanakan hukum hudud (secara mudah, biasa diterjemahkan sebagai Hukum Allah). Dan kali ini, Pok Nik bangkit dengan tegas mengatakan bahawa Kelantan sesungguhnya sudah sedia melaksanakan hukum hudud tersebut; malah menyifatkan bahawa keterwujudan PAS sedari 1951 adalah bagi menegakkan hudud-Allah! Maka, tidak hairanlah rakan PR terutamanya DAP meloncat bagai hendak membuka langkah pencak silat/karate-do/taekwondo bagi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang pada hemat mereka; dianggap sebagai sekular. Karpal Singh membantah. Lim Guan Eng juga turut senada. Tetapi apa kata Pok Nik? ‘Dia orang nak keluar daripada Pakatan biarlah! Bukannya dia orang tak pernah keluar!’

Isu PAS, secara spesifiknya Pok Nik kembali memperkatakan hudud adalah sesuatu yang begitu lama tidak didengari daripada kem parti tertua dalam PR. Sejak dua menjak ini, PAS hanya mencanang ‘Negara Berkebajikan’ malah menafikan tuntutan ‘Negara Islam’ wujud di dalam Al-Quran. Hal yang demikian menampakkan PAS seakan-akan lupa dengan sebab kewujudannya bagi memperjuangkan Islam secara sepenuhnya kerana kalau setakat hendak katakan kebajikan, UMNO yang mereka gelar sekular pun memperjuangkan kebajikan rakyat. PAS sesungguhnya mempunyai matlamat yang besar dalam menjadi alternatif yang terbaik untuk UMNO dalam segala hal termasuklah hubungan sesama kaum. Malah hudud merupakan satu-satunya kelainan yang nyata yang diperjuangkan oleh PAS berbanding UMNO. Malangnya, semenjak tertubuhnya PR, PAS telah memperlihatkan sisi lain sehingga sanggup menidakkan perjuangan negara Islam; sesuatu yang amat bertentangan dengan asal kewujudan PAS.

Oleh sebab itu, pertembungan ideologi antara PAS dan DAP secara fundementalnya adalah sesuatu yang tidak dapat dielak sama sekali. Gelarlah Lim Guan Eng itu siapa pun; Khalifah Umar Abdul Aziz? Atau setinggi Umar Al-Khattab sekali pun, kenyataannya tetap tidak dapat diubah. DAP sesungguhnya tetap sebuah parti sekular dan memperjuangkan idea sekular. PAS pula dijadikan alat yang cukup sempurna apabila pendekatan mereka mula berubah daripada tegar memperjuangkan Islam kepada kebajikan. Gelarlah apa sahaja; negara kebajikan sama sekali berbeza berbanding negara Islam?! Mother Teresa[2] pun boleh digelar pejuang kebajikan namun adakah beliau seorang Muslim? Ada nilai-nilai Islam yang bersifat universal namun hal-hal berkait syariah dan perundangan, dua sumber utama adalah Al-Quran dan As-Sunnah dan hakikat kebenaran dalam kedua-dua sumber utama itu lebih tinggi daripada falsafah-falsafah tertentu yang mungkin bersalahan dengan Islam.

Ambil contoh demokrasi atau hak seorang rakyat seorang undi. Daripada satu segi, sememangnya hak tersebut merupakan sesuatu yang logiknya adil kepada semua orang. Malah, ada yang menyifatkan bahawa sungguh pun tiada contoh dalam sirah Nabawi mahu pun kisah sahabat yang menyatakan bahawa pemimpin tertinggi itu dipilih secara demokrasi, demokrasi itu sendiri tidak bercanggah dengan nilai Islam. Bagaimana pun, demokrasi yang bagaimanakah yang sebenarnya tidak bercanggah dengan nilai Islam? Adakah pemilihan persis pilihan raya Presiden Amerika itu dikatakan sebagai demokrasi terbaik menurut Islam?

Sistem kekhalifahan Islam bermula daripada zaman Sayidina Abu Bakar dan perlantikan beliau sememangnya mempunyai unsur demokrasi. Akan tetapi, baiah kesetiaan kepada Abu Bakar bukanlah secara pemilihan undi popular seluruh masyarakat Madinah kerana nyata sekali wujudnya peranan Sayidina Umar pada ketika itu yang mempunyai pengaruh sebagai seorang muhajirin, pemimpin Quraisy dan sebagai sahabat Nabi SAW yang dijamin syurga. Sudah tentu kualiti tersebut perlu ada bagi seseorang yang bakal melantik seorang pemimpin tinggi (juga kualiti yang sama; malah lebih baik lagi, perlu ada kepada bakal pemimpin tertinggi) berbanding mereka-mereka yang bertaraf awam. Adakah layak seseorang yang baru menganut Islam misalnya hendak mencalonkan diri sebagai khalifah atas maksud keadilan? Sebab itulah asas kepada keadilan ialah meletak sesuatu pada tempatnya dan bukannya semata-mata pembahagian sama rata. Sudah tentu ada pemberat tertentu bagi sesuatu kelayakkan dan kita perlulah mengambil kira pemberat tersebut.

PAS sebagai sebuah parti yang dikatakan memperjuangkan Islam perlu sedar perkara ini. Bekerjasama dengan DAP tidak boleh dikatakan sama sekali sebagai cubaan untuk membawa Islam kepada kefahaman bukan Islam kerana ternyata DAP merupakan sebuah parti yang sekular. Tidak ada sama sekali kenyataan yang boleh diputar-alam bagi menidakkan hakikat tersebut. DAP penuh dengan pemimpin ultra-sekular yang menuntut agar soal keagamaan tidak dibincangkan sama sekali dalam isu kenegaraan. Bagaimanakah mungkin PAS boleh terjebak untuk berlemut dan berbaik sangka kepada DAP? Apakah perjuangan sebenar PAS? Menubuhkan sebuah daulah Islamiyah atau sekadar berusaha menggulingkan BN dan UMNO?

Seandainya Islamlah yang menjadi pegangan PAS dalam perjuangan, nescaya PAS tidak akan sama sekali bersekongkol dengan parti lain yang tidak mempunyai hala-tuju dan asas perjuangan yang sama ataupun tidak mengiktiraf Islam sebagai asas atau acuan kepada pentadbiran dan perundangan (walaupun mungkin tidak menyokong ‘Negara Islam’). Islam itu syumul dan PAS seharusnya mencari cara dan jalan untuk memancarkan kesyumulan tersebut kepada orang ramai agar mereka memahami PAS itu sendiri, memahami apakah hudud yang PAS bawa. Kalau PAS masih terjebak dan terperangkap dalam isu hudud itu sekadar ‘empat orang saksi untuk menuduh zina atau sabitan zina dan liwat,’ nampak sangat seperti PAS tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan hudud itu sendiri. PAS perlu bertegas bahawa dengan Islam, akan selesai semua masalah dan buktikan bahawa sememangnya, ‘dengan Islam, akan selesai semua masalah.’ Bukannya berusaha mencari dalil tertentu yang mengiakan segala tindak-tanduk mereka sama ada daripada isu mengkafirkan orang, siapa tak sokong PAS tak masuk syurga, Allah mencarut di dalam Al-Quran[3]. Sedangkan Islam itu akar katanya adalah salam yang membawa makna kesejahteraan dan penyerahan kepada Yang Maha Esa; masakan PAS boleh belagak Tuhan dengan menyatakan siapa sokong siapa masuk syurga[4]?

Andai PAS nyatakan orang ramai tidak faham hudud, maka PAS sendiri mesti menunjukkan cara hudud itu dilaksanakan. Kelantan sudah dipegang lebih 20 tahun dan tiada alasan langsung untuk PAS tidak melaksanakan hudud. Lakukanlah mana yang patut dan mana yang boleh kerana mereka ada kuasa dan bidang kuasa terutamanya syariah tertakluk kepada kerajaan negeri. Adakah kalau PAS bersama-sama PR menang dalam PRU, PAS mengatakan alasan itu dan ini untuk perlaksanaan hudud sedangkan mereka telah berjaya memegang tampuk kuasa pemerintahan? Adakah hendak tunggu menang PRU baru mereka hendak memperjuangkan hudud sedangkan kemenangan mereka dalam PRU sebenarnya atas bantuan yang lain (PKR dan DAP).

Kalau sudah menang, adakah alasan ‘hendak menjaga semangat setiakawan dalam PR’ pula akan menjadi satu sebab PAS tidak boleh melaksanakan hudud? Soalan yang mungkin lebih besar lagi, mengapakah PAS memerlukan kawan yang berlainan ‘kutub’ sama sekali dalam Pakatan Rakyat untuk bertindak memperjuangkan Islam? Sedangkan DAP memang tidak akan sama sekali memperjuangkan Islam dan PKR pula melalui Ketua Umumnya asyik berbolak-balik berkenaan perjuangan Islam dan hanya menggunakan istilah-istilah Islamik pada suatu ketika dan memperjuangkan kesaksamaan agama pada ketika yang lain.

Hal-hal sebegini perlu jelas kerana nyata sekali perjuangan PAS semakin hari semakin tidak jelas. Tatkala Pok Nik bangkitkan isu hudud, seolah-olah ribut telah melanda di dalam PR dan berlakulah perang mulut hentam-menghentam antara satu sama lain terutamanya antara Pok Nik dengan pimpinan tertinggi DAP. Insya-Allah, dalam sehari dua atau seketika masanya nanti, intervensi daripada Anwar Ibrahim, Hadi Awang (dan mungkin pimpinan lain PR yang masih belum bersuara lantaran mereka masih belum duduk berbincang isu hudud yang baru ini) akan cuba mengendurkan keadaan[5]. Malah, UMNO pula akan dipersalahkan (ayat-ayat biasa PR) kerana cuba menimbulkan isu yang akan menggegarkan kekukuhan PR. Kini di laman web berita partisan PR sudah pun menimbulkan isu bahawa komponen BN tidak merestui hudud menjadi agenda perjuangan BN.

Akan tetapi, yang seharusnya PAS tanya diri sendiri adalah ke manakah perjuangan PAS sebetul-betulnya? Andai benar Islam yang hendak diperjuangkan, maka PAS sepatutnya tegar dalam memperjuangkannya dan bukannya mengguna platform ‘kebajikan’ atau ‘semangat solidariti’ sesama pakatan sebagai wadah perjuangan. Bagaimana PAS sebagai sebuah parti memikat undi orang bukan Islam tetapi orang bukan Islam tetap/masih setuju dengan perlaksanaan hudud? Itulah persoalan yang perlu dijawab PAS. Sebuah rangka kerja sepatutnya digerakkan agar syiar Islam ditegakkan, dipetakan dan dilaksanakan. DAP sepatutnya dibasuh agar mereka faham apakah yang dimaksudkan dengan hudud dan mengapakah hudud itu perlu dilaksanakan. PAS (dan PR) boleh sentiasa menuding jari bahawa semua ini kerja UMNO dan BN tetapi berbanding UMNO dan BN yang nampak jelas dan terang siapa nakhoda di dalam perikatan tersebut, PR sebenarnya masih samar-samar mengenai siapakah pemimpin sebenar mereka. Anwar Ibrahim? Lim Guan Eng? Hadi Awang atau Pok Nik? Seandainya PR tidak mampu untuk memperjuangkan idealisme hudud dan Islam, mengapakah PAS masih lagi setia bersekongkol dengan sebuah pakatan yang tidak meletakkan Islam sebagai asas perjuangan atau setidak-tidaknya mengiktiraf Islam sebagai acuan politik dan pentadbiran negara?

Sebagai penutup, hendaklah kita renungi bahawa asal-usul kewujudan PAS itu sendiri adalah bertitik-tolak daripada betapa dayusnya UMNO pada ketika itu untuk memperjuangkan isu Islam dan mereka terpaksa tunduk dengan kehendak British bagi menjamin pengaruh, kuasa dan kemerdekaan negara[6]. Setelah mereka yang tegar memperjuangkan Islam bersatu membentuk PAS, bermulalah perjalanan PAS yang pada ketika itu mempunyai idealisme yang tinggi bagi memartabatkan Islam. Benar, mereka juga patut diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan. Namun, adakah idealisme ini dan semangat membangunkan dan memartabatkan Islam hanya akan terpahat sebagai bahan sejarah atau sekadar jadi bahan cerita dan pertikaian sedangkan PAS pada masa kini tidak segan silu bekerjasama dengan parti-parti sekular bagi menumbangkan BN? Justeru, apakah perbezaan antara PAS dengan UMNO kalau bukan Islam yang sempurna yang hendak dimartabatkan?
 

Nota hujung.






[1] Ucapan Haji Hadi Awang dalam Muktamar PAS ke-57, 2011. Contoh rujukan ucapan (secara audio & video) yang boleh diperolehi bagi ucapan ini misalnya daripada sedutan yang boleh ditonton di http://www.youtube.com/watch?v=HM3sU_RBqoQ.  
[2] Beliau memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada 1979 merupakan seorang missionari Kristian yang begitu berjaya menyebarkan ajaran Kristian di benua kecil India.
[3] Salah satu daripada isu yang timbul pada zaman reformasi (1998-1999) yang berkisar karya magnum opus SN Dato’ Shahnon Ahmad bertajuk Shit, ‘sanggup meminta bantuan syaitan sekali pun’ dan hujah-hujah ulama PAS melalui akhbar rasmi mereka Harakah.
[4] Isu ini biasanya dinafikan oleh sebahagian ahli PAS sendiri akan tetapi, pada masa yang sama ada juga pemimpin mereka yang menjaja ‘undi PAS adalah jihad,’ atau ‘wajib syarie sokong Pakatan; hatta DAP.’
[5] Sehingga artikel ini diterbitkan di blog ini, PR telah menghalang sama sekali pemimpin mereka untuk menjawab isu-isu berkaitan hudud sehingga satu perjumpaan bersama diadakan antara PAS-PKR dan DAP...mungkin?!
[6] Salah satu daripada peristiwa yang mendorong tertubuhnya sebuah organisasi yang bergerak bagi memertabatkan Islam dengan menghimpunkan ulama, imam dan nasionalis konservatif adalah rusuhan Natrah 1950. Kegagalan UMNO dalam mempertahankan nilai tradisi dan keagamaan di kalangan Melayu malah dilihat terlalu ingin menjaga hati penaung British pada ketika itu. Lihat Farish A. Noor, Islam Embedded (Volume 1), (KL: Malaysian Sociological Research Institute, 2004), p. 61-72.

No comments: