Friday, September 23, 2011

Jalan-jalan di kotaku

Pengenalan
Jalan raya merupakan satu utiliti yang sangat penting bagi menampung keperluan asasi manusia, juga sebagai penyambung kelangsungan ekonomi negara. Pertambahan kenderaan saban tahun menunjukkan betapa pentingnya jalan raya dalam kehidupan rakyat Malaysia. Ramai di kalangan rakyat Malaysia menggunakan kenderaan sendiri seperti kereta dan motorsikal walaupun insentif penggunaan kenderaan awam giat dijalankan. Sungguh pun begitu, bukanlah bermakna kenderaan awam di Malaysia tidak mendapat sambutan kerana berlaku 'kesesakan' luar biasa di stesen-stesen LRT, bas dan komuter di ibu kota terutama pada waktu puncak.
Sebagai pengguna tegar jalan raya, adalah amat penting untuk jalan yang dilalui oleh penulis tiap-tiap hari lancar bagi mengelakkan sebarang kelewatan. Bagaimanapun, hal itu jarang-jarang sekali berlaku baik ketika penulis berada di Lembah Klang mahupun ketika berada di kampung halaman di Kulai. Hal ini disebabkan di kedua-dua tempat tersebut, kesesakan jalan raya merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Keadaan hanya akan reda sedikit menjelang hari-hari minggu namun kesesakan di tengah-tengah kota tetap berlaku dek kerana begitu ramai manusia hadir untuk berlibur dan membeli-belah.
Akibat sesak
Hakikatnya, kesesakan jalan raya pada waktu puncak merupakan sesuatu yang merunsingkan pengguna jalan raya sehingga mungkin boleh menyumbang kepada pelbagai masalah lain seperti kelewatan, pertambahan kos kerana penggunaan minyak yang tidak efisyen dan tidak kurang juga menyebabkan tekanan psikologi. Bayangkan pengguna Lebuh raya Damansara-Puchong (LDP) perlulah keluar rumah mungkin seawal subuh bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku antara jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi! Pengguna terpaksa keluar lebih awal bagi menggunakan lebuh raya tersebut sedangkan pada asasnya, masa 'punch card' adalah dua atau tiga jam selepas mereka keluar rumah. Andai kita pukul ratakan masa pergi dan masa balik lebih kurang sama, pengguna mungkin menghabiskan masa sekitar empat jam sehari atau hampir sehari dalam seminggu hanya untuk terlibat dalam kesesakan jalan raya!
Pertambahan perumahan di kiri dan kanan lebuh raya merupakan antara faktor terbesar yang menjadi penyumbang kepada kesesakan jalan raya. Sekali lagi mengambil contoh LDP, sepanjang lebuh raya tersebut tidak lekang dari perumahan sama ada baru ataupun lama; dari plaza tol di sempadan Kepong sampailah ke plaza tol di sempadan Serdang/Putrajaya. Malah, jalur jalan sepanjang Puchong akan bertambah lagi dengan perumahan-perumahan baru yang akan bakal menambahsesakkan lagi LDP.
Pembangunan tak dirancang?
Oleh yang demikian, adakah pembangunan kiri dan kanan jalan raya boleh dijadikan sebagai faktor utama penyumbang kesesakan jalan raya? Semakin bertambah perumahan di sepanjang jalan raya utama, semakin bertambah kebarangkalian jalan itu untuk menjadi sesak dek bertambahnya pengguna jalan tersebut. Aggapan sebegini ada kebenaranya kalau kita lihat kes LDP tadi. Kenderaan acap kali meningkat dan begitu juga perumahan. Begitu juga di lebuh raya Pasir Gudang apabila begitu banyak perumahan baru dibuka di sepanjang jalan yang berusia lebih sedekad itu. Dengan jalan yang masih kekal sama selama sedekad sedangkan kenderaan dan perumahan setiap masa bertambah, mana mungkin lebuh raya tersebut mampu menampung kenderaan yang menggunakannya!
Pertambahan perumahan juga menjadi punca kepada satu masalah terbitan iaitu pertambahan simpang di jalan raya. Pertambahan simpang pula akan mendorong aliran trafik yang lebih lembab dek kerana hendak melayan 'hak' pengguna yang ingin masuk/menyusur ke simpang tersebut. Kesannya, kenderaan yang melalui kawasan susur/simpang akan memperlahankan kenderaan mereka; ada yang dari lorong kanan hendak susur ke kiri begitu juga selepas simpang/susur, ada juga kenderaan dari kiri hendak ke kanan. Bagi bandar padat seperti Kulai, keadaan lebih kelam-kabut apabila laluan sehala pergi dan balik yang dipisahkan dengan penghadang jalan masih mempunyai simpang yang membolehkan kenderaan dari arah kanan masuk ke simpang yang berada di seberang kanan jalan (melintasi jalan yang berlawan arah).
Oleh yang demikian, sering kali berlaku kelewatan trafik apabila ada kenderaan yang mengeksesais hak mereka untuk masuk ke simpang sebelah kanan jalan dengan terpaksa berhenti di laluan bahagian kanan jalannya disebabkan untuk mencuri peluang 'melintas' jalan yang melawan arus. Pastilah kenderaan yang mengekori dari belakang akan menjadi mangsa kepada kenderaan hadapan yang ingin 'mengambil' simpang masuk ke kanan kerana terpaksa berhenti terlebih dahulu, menanti kenderaan lawan arus tiada dan barulah melintas masuk ke simpang tersebut. Hal tersebut tidak dapat tidak akan menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih-lebih lagi pada waktu kenderaan padat.
Traffic light=traffic jam
Simpang-siur di jalanan biasanya akan cuba diselesaikan sama ada dengan membuat persimpangan bertingkat mahupun meletakkan lampu isyarat. Malangnya, bagi kedua-dua cara pun, ada sahaja masalah yang tercetus disebabkan 'penyelesaian' tersebut. Persimpangan bertingkat bermaksud susur ke kiri dan susur juga sebenarnya banyak menyumbang kepada pengguna memperlahankan kenderaan mereka kerana ada yang ingin menyusur ke kiri dan ada juga yang hendak keluar dari kiri. Kebanyakkan kesesakan lalu-lintas di Lembah Klang disebabkan perkara tersebut contohnya dari Angkasapuri ke jambatan kabel susur ke LDP (Kelana Jaya), juga dari arah bertentangan ke persimpangan ke Seremban.
Begitu halnya dengan lampu isyarat. Setiap lampu isyarat untuk setiap simpang akan menyebabkan aliran trafik yang kurang lancar. Simpang berlampu isyarat yang sangat berhampiran antara satu dengan yang lain juga menambahrumitkan keadaan. Cuba bayangkan seandainya pada waktu puncak, kenderaan banyak dan ada dua persimpangan berlampu isyarat yang sangat hampir antara satu dengan yang lagi satu. Di persimpangan pertama mungkin lampu berwarna hijau (jalan) namun di simpang kedua lampu masih merah. Bukankah hal demikian menyebabkan kenderaan masih tersekat di antara dua persimpangan sedangkan lampu isyarat pertama telah hijau. Lebih menambah rumit adalah apabila kenderaan hadapan masih tidak boleh bergerak sedangkan kenderaan di belakang sudah tiba di tengah-tengah simpang, lalu warna lampu isyarat yang hijau telah bertukar merah. Hal yang demikian akan menjadikan suasana kelam-kabut kerana apabila tiba peluang kenderaan lain melintas simpang tersebut bertembung dengan kenderaan yang masih tersekat di tengah-tengah simpang?! Hari ini, keadaan tersebut boleh dilihat terutamanya di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur seperti persimpangan Jalan Pudu, Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang. Malah, keadaan yang hampir sama berlaku waktu petang di jalan utama Saleng menghala ke pusat bandar Kulai serta laluan bertentangan pada waktu pagi (dari Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim ke arah Senai) apabila pihak majlis dari semasa ke semasa sentiasa menambah persimpangan berlampu isyarat disebabkan mungkin tuntutan pengguna atau penambahan demi penambahan taman-taman perumahan di sekitar Kulai.
Kajian
Justeru, dengan graviti yang telah dibentangkan tentang pembangunan di kiri dan kanan jalan utama, adalah sangat penting untuk pihak berkuasa berkait pembangunan dan perancangan bandar untuk membuat kajian yang tuntas berkait dengan pembangunan bandar. Boleh saja kita luluskan pelbagai taman perumahan sebab dengan meluluskannya, kerajaan juga yang akan mendapat serba-serbi dari cukai pintunya, cukai tanahnya, lesen niaganya, tapi apabila bab jalan raya, tidak dibuat pula ramalan (forecasting) tentang berapa banyak kenderaan yang akan lalu, apakah kesan pembukaan simpang baru kepada simpang sedia ada, adakah kelebaran jalan yang sedia ada dapat menampung kepadatan kenderaan pada waktu puncak dan pelbagai lagi persoalan berkaitan jalan dan perancangan jalan. Mungkin nampak remeh tetapi hakikatnya, kelangsungan keharmonian sesuatu kota itu mungkin bergantung kepada kelancaran aliran trafik di bandar tersebut.
Kaliber kontraktor
Pun begitu, dalam keghairahan pihak berkuasa menyediakan yang terbaik untuk rakyat, janganlah pula sehingga apa yang hendak dibuat itu menambahburukkan lagi keadaan sedia ada. Kadang-kala, kecekapan kontraktor yang dilantik oleh mereka boleh dipertikaikan sehingga menyebabkan yang sesak bertambah sesak. Contohnya, apalah gunanya lobang di jalan itu ditampal atau jalan itu diturap semula hanya untuk menjadi sopak semula selepas seminggu. Atau kontraktor yang tidak cekap sehinggga masa yang diperlukan untuk naiktaraf bertambah-tambah (dan sudah tentulah kos pun bertambah). Contohnya di sepanjang kawasan HICOM Shah Alam yang penulis saksikan sedari 2008 (kali pertama melalui kawasan tersebut) keadaan jalan semacam 'under construction', sekarang ini, sudah bertukar kerajaan negeri pun masih sama sahaja keadaannya; macam jalan rosak yang semakin rosak!
Atau kini seperti di kawasan Senai yang pembinaannya berjalan seperti kura-kura sedangkan Senai merupakan kawasan perindustrian dan sudah pastilah mempunyai jumlah kenderaan yang banyak pada waktu pagi dan petang. Untuk makluman, simpang utama Senai kini dalam pembinaan persimpangan bertingkat dan pembinaan bolehlah dikatakan sudah berusia dua tahun. Kini, pekerja di kawasan Senai dari arah Johor Bahru perlu membuat pusingan-U di tapak plaza tol lama Kulai hanya untuk berjalan hampir dua kilometer untuk memasuki simpang ke kawasan perindustrian Senai. Oleh sebab itu waktu pagi misalnya, dicampur dengan kesesakan trafik di kawasan Saleng, mereka yang tinggal di Kulai akan menghadapi masalah kesesakan bertimpa-timpa dari Kulai, plaza tol lama Kulai (kerana menghadapi aliran trafik pemandu yang membuat pusingan-U dari arah JB) dan pembinaan persimpangan bertingkat di Senai. Tak kena gaya, masa yang diperuntukkan hanya untuk menghadapi kesesakan trafik bertimpa-timpa ini adalah sekitar satu jam!
Kesan trafik
Penyakit trafik sebegini tidak dapat tidak akan menyebabkan penyakit lain melanda manusia yang terlibat dengannnya. Tekanan emosi, perasaan marah, cabaran kesabaran dan tekanan fisiologi pasti akan dirasai oleh pengguna yang sering terbabit dengan kesesakan jalan raya. Tatkala trafik yang sesak, adrenalin akan meningkat mengakibatkan degupan jantung bertambah. Pada masa yang sama, tekanan darah dalam badan juga akan meningkat mengakibatkan rasa stress. Stress yang luar kawalan akan menyebabkan hipertensi. Hipertansi berterusan boleh menyumbang kepada penyakit jantung dan/atau angin ahmar (stroke). Sebab itu ada seorang pensyarah penulis di Universiti Malaya yang pernah berseloroh, 'Duduk di KL ni cepat mati. Sebab orang asyik tersekat di traffic jam je...' Kajian lanjut tentang trend kesesakan lalu lintas dan penyakit kronik wajar dijalankan kerana bukan sahaja kita dapat memahami kesan kesesakan trafik terhadap kesihatan, kita juga akan lebih memahami apakah tahap kesihatan generasi masa kini berbeza dengan yang terdahulu disebabkan faktor trafik?
Selain tekanan fisiologi dan psikologi, kesesakan trafik juga boleh kita kaitkan dengan ketidakpuasan hati masyarakat. Bayangkan seorang pekerja kolar putih yang terpaksa berhadapan dengan kesesakan trafik tiap-tiap hari, sudahlah di tempat kerja ada masalah, di jalan raya pun ada masalah, akhirnya mereka akan berasa bosan dengan masalah jalan raya yang sentiasa berulang. Perlu diingat juga kenderaan di jalan raya akan bertambah saban tahun; maka sudah pasatilah tekanan di jalan raya juga akan bertambah saban tahun! Rakyat sebenarnya sudah semakin bosan, tertekan dan menyampah dengan keadaan tersebut dan oleh sebab itu, mereka pasti hendak meluahkan kemarahan mereka terhadap ketidakcekapan jalan menanggung trafik. Sudahnya, di kertas undi jualah tempat mereka menyatakan protes. Mungkin agak samar untuk dikaitkan, namun kesesakan jalan raya sebenarnya boleh jadi pencetus awal rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan dan perkara tersebut diakumulasikan dengan pelbagai faktor lain (seperti ketidakcekapan kerajaan, persepsi negatif daripada pihak pembangkang) menyebabkan rakyat terutamanya yang berada di bandar-bandar besar beralih arah menyokong pembangkang pada 2008. Masyarakat bandar jelas sekali mempunyai keperluan yang berbeza berbanding masyarakat luar bandar dan seandainya keperluan ini (seperti aliran trafik lancar) tidak diambilkira, mereka pasti mengambil alternatif lain untuk meluahkan rasa tidak puas hati melalui kertas undi. Kesannya, undi popular kerajaan BN di kawasan bandar nyata sekali merosot teruk kerana rakyat telah mengeksesais hak mereka.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kesesakan jalan raya bukanlahs sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan pihak berkuasa. Perancangan pembangunan perlulah dipantau dan unsur trafik harus menjadi salah satu daripada atribut yang peelu diambilkira oleh pihak berkenaan. Lantiklah mereka yang layak untuk membaiki jalan dan janganlah biarkan tikus-tikus membaiki labunya. Lebih penting lagi, kerajaan harus merenung fakta berikut, cukai jalan dibayar, beli kenderaan pun bercukai, nombor plat kena bayar, cukai pintu dan cukai tanah kena bayar. Lesen memandu, lesen itu dan ini pun kena bayar. Lebih sakit lagi, kalau di Lembah Klang misalnya, hari-hari kena bayar tol hanya untuk tersekat dalam kesesakan lalu lintas; maka apakah nilainya wang yang dibayar?
Rakyat tidak hanya nilai prestasi parti tiap lima tahun sekali, rakyat juga menilai jalan raya yang mereka lalui tiap-tiap hari.....

No comments: